Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tiba Masanya Untuk Ganti Nasi Dengan Ubi Kayu

Benar! sudah tiba masanya kita menukar tabiat memakan nasi dengan memakan ubi kayu. Ini berdasarkan hasil kajian terbaru saintis di University Of Harvard yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang mendapati nasi merupakan penyebab utama kematian responden mereka!

nasi

nasi

Malahan fakta ini turut disokong oleh doktor kesihatan yang ada di Malaysia dan mereka sebulat suara mengatakan nasi itu lebih banyak membawa kesan buruk berbanding kebaikan. Apa kata anda lihat sendiri hasil kajian mereka seperti di bawah.

1. Makan nasi menyebabkan gen manusia tidak berkembang. Satu kajian pernah dilakukan di Amerika Syarikat yang bertujuan membandingkan saiz fizikal di antara lelaki dewasa yang memakan nasi dan yang memakan gandum. Mereka mendapati saiz lelaki dewasa yang memakan nasi, jauh lebih kecil dan bantut berbanding lelaki dewasa yang memakan gandum.

2. Siswa yang makan nasi lebih lemah daya ingatannya berbanding siswa yang memakan mi segera. Ini dapat dilihat berdasarkan statistik pelajar yang berjaya menamatkan pengajian 5 tahun kebelakangan ini. 99.99% siswa yang melanjutkan pengajian di luar negeri dan selalu memakan mi segera kerana kekurangan bajet, cenderung mendapat kelulusan yang lebih cemerlang berbanding mereka yang belajar di IPTA tempatan dan memakan nasi.

3. Doktor sendiri mengakui nasi tidak baik untuk kesihatan bayi. Ibu bayi seringkali disyorkan oleh doktor untuk memulakan hari bayi mereka, dengan menyusui susu ibu. Kalau ada pun kanak-kanak yang dibenarkan untuk memakan nasi, doktor akan menasihatkan ibu-bapa untuk menambah air, bertujuan melarutkan kandungan berbahaya di dalam nasi.

4. Nasi perlu dibasuh dan dimasak sebelum dimakan, Semata-mata untuk menghapuskan bakteria jahat yang hidup di dalamnya.

5. Memakan nasi menyebabkan lebih banyak pokok padi ditebang, tidakkah itu suatu pembaziran? Penebangan pokok padi bukan sahaja menambahkan gas rumah hijau, malah agen utama hakisan tanah yang acap kali berlaku di Malaysia.

6. Memakan nasi boleh menyebabkan kekenyangan yang menjurus kepada kemalasan.

7. Memakan nasi juga boleh memendekkan umur. Hasil kajian mendapati ayam yang memakan padi kebanyakannya mempunyai umur yang pendek. Itu hanya disebabkan oleh tabiat ayam yang suka memakan padi! Cuba Bayangkan kesannya kepada hidupan yang memakan nasi.

8. Nasi diletakkan di bahagian paling bawah dalam piramid makanan, yang membawa maksud makanan khusus untuk golongan bawahan.

9. Nasi boleh menyebabkan ketagihan. Selepas memakan nasi, kita akan mempunyai keinginan untuk memakan nasi sekali lagi keesokan harinya. Lebih teruk lagi, ada kes yang melibatkan responden akan merasa lapar selepas sehari suntuk tidak memakan nasi.

10. Makan nasi membazir. Dengan memakan nasi keinginan untuk memakan hidangan lain menjadi semakin tinggi. Maka tidak hairanlah nasi dihidang dengan beberapa sajian lain untuk sekali makan.

ubi kayu

ubi kayu

11. Nasi mengandungi karbohidrat yang bermaksud “karbon yang boleh menghidrasi”. Selepas memakan nasi, perut kita akan mula menghadam nasi dan proses pencernaan berlaku kerana badan secara semulajadi menolak kandungan luarbiasa nasi. Malah ada di antara kes menjadi sangat serius di mana seseorang akan bersendawa selepas makan nasi kerana kekurangan oksigen.

12. Mereka yang tidak memakan nasi didapati kurang berisiko untuk menghidapi sebarang penyakit berbahaya seperti Aids, selesema burung dan tibi. Contohnya masyarakat zaman batu yang tidak memakan nasi, badan mereka ternyata jauh lebih kuat berbanding badan manusia zaman kini, malahan jarang sekali kita mendengar mereka mati disebabkan oleh penyakit yang telah saya sebutkan itu tadi.

13. Jangan percaya semua info di atas! Tiada satu pun maklumat di dalam senarai itu yang betul (Itu cuma cerita rekaan saya, sebagai renungan dan hiburan kita bersama).

Kesimpulannya jangan terlalu percaya kepada kandungan internet. Lebih-lebih lagi artikel yang menyentuh bab-bab agama atau pun info kesihatan. Waima hasil tulisan di dalam artikel itu kelihatan amat profesional! Nasihat saya selidiki kebenaran sesuatu artikel sebelum menerimanya bulat-bulat kerana kebanyakan daripada artikel yang ada di alam maya ini hanyalah bertujuan mengaut keuntungan.

Ingatlah peribahasa melayu yang berbunyi adakah air yang penuh di dalam tong itu berkocak, melainkan air yang setengah tong itu juga yang berkocak. Tak salah berguru kepada internet, tapi biarlah berpada-pada.

Artikel berkaitan:
Makan Nasi Arab di Madinah
Tips Memasak Sayuran Hijau

Leave a Reply

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh