Bahaya Mencabut Bulu Hidung

Mencabut bulu hidung boleh dikatakan sebagai perlakuan biasa dan normal bagi setiap orang. Malah perbuatan ini tidak dianggap sebagai suatu perkara yang negatif.

Ramai di antara kita akan menggunakan masa terluang untuk mencabut bulu yang terlalu panjang yang keluar dari lubang hidung. Saya pun sering melakukannya sedemikian tetapi bukan suatu kemestian.

2 Jenis Bulu

Terdapat dua jenis bulu hidung yang utama yang tumbuh di hidung kita. Bulu yang boleh kita lihat dan ingin cabutnya dipanggil vibrissae. Yang satu jenis lagi dipanggil silia mikroskopik(microscopic cilia), yang bertanggungjawab untuk menapis mukus dan menggerakkannya ke bahagian belakang hidung, di mana ia boleh masuk ke dalam perut.

mencabut bulu hidung
mencabut bulu hidung

Kenapa Tidak Boleh Cabut

Akan tetapi tahukah anda, tabiat mencabut bulu hidung itu amat berbahaya kepada kesihatan kita. Jangan cabut kerana bulu yang tumbuh dalam hidung itu tidak akan pernah panjang melebihi 2 cm. jadi memang tak ada alasan yang munasabah untuk mencabutnya.

Rimas pulak bila kita merasakan bulu hidung keluar dan ini menyebabkan ramai yang suka melakukannya secara spontan dan tergesa-gesa. Kita faham bahawa alangkah buruknya hidung anda dengan bulu-bulu panjang yang terjuntai keluar.

Bayangkan anda seorang gadis cantik dengan bulu-bulu hidung yang menggerbang? Walau bagaimanapun, jangan cabut menggunakan tangan dan peralatan seumpamanya tetapi gunakan cara yang paling selamat iaitu memotong bulu dengan menggunakan gunting.

Fungsi Bulu Hidung

Bulu hidung berfungsi sebagai penapis untuk menahan debu daripada masuk rongga hidung kita. Ia boleh membantu untuk memerangkap debu ataupun partikel halus yang masuk melalui rongga hidung dan seterusnya mencegah ataupun membuang debu yang memasuki hidung kita.

Bulu dalam hidung kita memiliki membran mukosa yang berfungsi meneutralkan benda asing, virus dan debu yang cuba memasuki hidung dan akan membahayakan saluran pernafasan. Kesimpulannya bulu hidung amat bermanfaat untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita terutamanya mencegah jangkitan kuman pada saluran pernafasan.

Akibat Cabut Bulu Hidung

Bila mencabut bulu hidung, kulit membran mukosa yang ada di tepi-tepi dinding dalam hidung kita akan terluka. Ini akan menyebabkan jangkitan dan merbahaya jika tidak diberi rawatan dengan segera.

Kita seharusnya tahu bahawa struktur dalam hidung kita dipenuhi dengan pembuluh darah yang secara terus menuju ke otak. Ini kerana otak merupakan pusat pengendali dan pengumpulan pembuluh darah manusia. Apa yang dikhuatirkan jangkitan pada membran mukosa akan mempengaruhi pembuluh darah yang menuju ke otak.

Sekiranya hidung terkena jangkitan, seseorang yang dijangkiti tidak akan dapat tidur dengan nyenyak kerana rasa kesakitan di bahagian hidung. jangkitan tersebut akan menyebabkan hidung menjadi bengkak dan tumbuh bisul.

Bengkak atau bisul pada hidung tidak akan pulih dengan sendiri tanpa mengubatinya. Jika dibiarkan berkemungkinan luka jangkitan itu akan menyebabkan bakteria mudah memasuki pembuluh darah dalam hidung kita dan seterusnya menyerang otak.

Begitulah kesannya, kita mungkin tidak menduga bahawa dengan cabut bulu hidung itu boleh menyebabkan radang otak sekiranya kita melakukannya dengan tidak berhati-hati.

Kenalah kita selalu ingat kebanyakan bulu yang tumbuh pada badan kita juga mempunyai fungsi mereka masing-masing. Haruslah kita gunting mereka dengan baik tanpa mencabut supaya badan kita dapat berada dalam keadaan yang sihat selalu.

Mengapa Bulu Hidung Beruban?

Bulu mendapat warna dari pigmen yang dipanggil melanin. Beruban awal untuk rambut atau bulu di mana-mana tempat pada badan kita biasanya adalah disebabkan oleh:

1. Kekurangan Vitamin B-12. Vitamin B12 adalah penting untuk kesihatan rambut, bulu dan kulit. Apabila anda tidak mengambil vitamin jenis ini yang mencukupi, maka rambut dan bulu anda boleh menjadi abu-abu. Untuk pastikan anda ada ambil Vitamin B-12 yang mencukupi, boleh anda makan hati lembu, kerang, ikan daging, ayam, telur, susu, dan produk tenusu lain.

2. Penyakit seperti hypothyroidism, anemia, penurunan kepadatan tulang, diabetes jenis 2 juga menyebabkan bulu hidung beruban.

3. Sebab genetik. Kemunculan rambut putih dan bulu hidung beruban terutama disebabkan oleh genetik. Sekiranya rambu dan bulu ibu bapa anda menjadi kelabu pada usia muda, anda mungkin akan jadi begitu juga.

Cara Gunting Bulu Hidung dengan Selamat

Memotong bulu hidung membolehkan anda memendekkannya bulu hidung yang boleh dilihat dengan ketara tanpa perlu mencabut dan mencederakan kulit yang halus di dalam hidung anda.

Apabila gunting bulu hidung:

  • Berdiri di depan cermin yang mempunyai cahaya yang baik.
  • Ambil nafas yang kuat terlebih dahulu dan bersihkan apa-apa mukus yang keras yang mungkin ada pada hidung.
  • Pegang gunting dengan tegas dan sengekkan kepala anda.
  • Gunting bulu yang ternampak.
  • Nafas dengan kuat buat beberapa kali selepas menguntingnya untuk mengeluarkan bulu di dalam. Jangan bilas hidung dengan air.
  • Jangan cuba gunting semua bulu dalam hidung. Sebaliknya, anda cuma perlu tumpu perhatian pada bulu yang paling tebal dan paling jelas.

Rujukan:

Artikel berkaitan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *