Tanda Hamil Sangka Tanda Period – Pengalaman UPT Negatif Tapi Mengandung

Pernahkah anda mengalami tanda hamil yang disangka tanda hendak period? Antaranya seperti emosi yang sensitif, payudara terasa tegang, senggugut, rasa loya, kuat makan dan lain-lain. Biasanya tanda hendak period ini sangat serupa dengan tanda hamil. Sebab itulah ramai ibu-ibu yang selalu keliru sama ada dirinya hamil ataupun hendak period.

Pengalaman saya..

Saya memang biasa mengalami tanda-tanda seperti ini seminggu sebelum tarikh sepatutnya period sejak bujang lagi sampailah sudah berkahwin. Ianya masih sama. Kadang saya tertanya sama ada ianya adalah benar-benar tanda saya hendak period atau tanda hamil kerana perasaannya sangat serupa! Walhal ketika itu saya masih lagi memakai alat perancang kehamilan (implanon).

Merancang untuk anak yang ke-4

Saya dan suami sudah mulai merancang untuk mendapatkan anak yang keempat memandangkan anak ketiga kami sudah berusia 2 tahun lebih. Berharap juga mudah-mudahan ada rezeki dapat anak perempuan memandangkan ketiga-tiga orang anak sebelum ini semuanya lelaki hehe.

Walaupun begitu, tidak mudah juga untuk merancang hamil memandangkan kami berjauhan / PPJ (perkahwinan jarak jauh). Saya di Sabah manakala suami di Sarawak. Setiap kali suami balik bercuti, ianya bukanlah tempoh di mana saya sedang subur.

Kebetulan, suami ada mesyuarat di Sabah malah berhampiran pula dengan rumah kami. Untungnya lagi sebab suami boleh terus sambung bercuti kerana kebetulan bersambung dengan cuti Awal Muharam. Maka seminggulah suami berada di kampung. Kebetulan lagi, minggu tersebut adalah minggu di mana saya sedang subur (peluang untuk saya hamil sangat tinggi).

Jika ikut My Calendar (aplication untuk mengetahui tarikh jangkaan period, tarikh subur serta tarikh berlakunya ovulasi), hari ovulasi dijangka adalah pada hari Sabtu dan suami pula sampai rumah (baru balik dari Sarawak) pada lewat malam hari Jumaat (esoknya adalah jangkaan ovulation day). Jadi memang agak tinggilah peluang saya untuk hamil. Apapun, kami cuba jaya saja dulu hahaha.

Apa tanda-tanda hamil yang disangka tanda hendak period itu?

Tarikh jangkaan period saya ialah pada 30 September 2017 (kitaran 28 hari). Tanda-tanda yang saya rasakan sebelum tiba masanya tarikh period ini ialah :-

  1. Sakit perut (cramp) yang berpanjangan dan ianya bermula selepas hari ovulation.
  2. Sakit gusi.
  3. Pening dan migrain yang ringan.
  4. Payudara terasa tegang tetapi puting tidak sakit.
  5. Vagina terasa ngilu dan mencucuk ( yang ini terasa ketika subuh sekali saja pada 28 Okt ).
  6. Rasa penat, mengantuk dan malas sedangkan sebelum ini saya seorang yang aktif.
  7.  Sehari sebelum tarikh period, cramp perut makin menjadi-jadi.
  8. Sakit pinggang dan sejuk tapak kaki.
  9. Berasa loya apabila perut kenyang haha.
  10. Panas baran ( kasihan anak-anak huhu).
  11. Cepat berasa lapar.
  12. Ada buat UPT pada 28hb (tapi petang hehe) dengan UPT jenama Omeo RM5.10 beli di Watson tapi sedihnya negatif.
  13. Sekali lagi buat UPT pada 29hb (kencing pertama selepas bangun subuh) jenama Disclosure RM5.30 juga beli di Watson, tapi negatif juga. haha
  14. Tanda paling JELAS : Period tidak datang-datang

Pengalaman UPT Negatif Tapi Mengandung Pula

Lebih kurang dua minggu sampailah hari yang saya sepatutnya period (30 September 2017). Period tidak menjelma tiba tetapi cramp perut / sakit mencucuk-cucuk pada bahagian bawah perut ini masih lagi berterusan. Risau juga sebab ini adalah kali pertama saya mengalami sakit perut ala senggugut yang berpanjangan seperti ini. Tanda hamil sebelum ini juga tidak begini.

Selalunya kalau pun hendak period, rasa sakit cuma akan terasa beberapa hari sebelum period dan period saya pula memang akan datang on time atau paling pun akan awal / lewat sehari ( berdasarkan My Calendar). Kitaran haid saya ialah 28 hari setiap bulan.

Kerana risau, saya pun berjumpa doktor. Ketika ini, ada lima hari lagi sebelum tarikh saya sepatutnya period. Risau juga kalau-kalau sakit ini disebabkan oleh ovarian cyst saya. Manalah tahu kalau-kalau cyst tersebut makin membesar atau lain-lain. Sebelum ini saiznya cuma tinggal 2.2cm (temujanji doktor yang terakhir pada bulan Mac 2017). Temujanji seterusnya ialah pada 11 Oktober 2017. Alhamdulillah selepas berjumpa doktor, beliau sahkan bahawa cyst saya tidak membesar dan tidak juga terpulas (cyst yang terpulas akan menyebabkan rasa sakit kata doktor). Saiznya juga masih 2 cm.

Kemungkinan Saya Hamil

“Mungkin awak mengandung?”Kata doktor.. Saya cakap, “tidak mungkinlah doktor” (sebab belum period padahal dalam hati berharap jugalah hehe). Doktor pun kata tidak nampak kantung bayi semasa melakukan scan perut tadi. Erm tidak mengapalah.

Dua minggu sebelum tarikh period, saya ikut bermain futsal untuk PSKPP guru-guru. Ketika ini sakit perut masih berlanjutan tetapi bila bermain, sakit itu hilang. Malamnya datang lagi. Hari sepatutnya period pula (30 Sept 17), saya ikut bermain bola jaring. Masa bermain memang tiada rasa sakit. Malah selepas bermain, rasa sakit perut berkurangan. Malam pun tidur lena. Saya sebenarnya risau juga kalau-kalau mengandung tapi oleh kerana UPT negatif maka saya pun meneruskanlah niat untuk ikut bermain.

wanita hamil
wanita hamil

Period Lewat!

Hari yang ditunggu-tunggu iaitu 30 September 2017 akhirnya tiba. Tapi tidak period pun. Tidak mengapalah sebab kadang-kadang memang biasa juga lewat sehari. Ketika ini masih lagi terasa sakit senggugut / cramp perut. Kadang sakit sikit, kadang sakit lebih kuat.

1 Oktober 2017 (Isnin)

Tunggu punya tunggu. Period masih tidak memunculkan diri juga. Ehh, biasanya kalau lewat period lebih dari sehari, itu kemungkinan besar saya mengandung. Wahh..benarkah? Sebabnya period saya memang jenis yang sangat teratur setiap bulan dan apps My Calendar memang tepat untuk saya ( sudah guna hampir 7 bulan).

Tapi kenapa UPT negatif? Kenapa? Kenapa?? Haha.. Ikut naluri sebenarnya dah kata ‘saya mengandung’ tapi oleh sebab UPT negatif, kita tunggu dulu. Lagipun baru lewat sehari. Hehe..Tapikan, masa anak yang ketiga dulu pun begini. Masa itu lagilah lama, bayangkan 2 bulan lewat period barulah UPT positif haha. Jadi kali ini agaknya bagaimana?

Percayalah Naluri Keibuan Anda

Ya, naluri seorang ibu itu tidak dapat dinafikan. Naluri dan firasat seorang ibu selalunya betul. Ianya umpama suatu perasaan yang sangat kuat dan walaupun kita merasakan bahawa ianya adalah mustahil, tetapi jauh di sudut hati kita tetap merasakan bahawa ianya betul.

Naluri saya kuat mengatakan saya mengandung. Walaupun UPT asyik negatif. Apa yang menguatkan lagi rasa itu ialah apabila period saya lewat.

Sebabnya, memang period saya jenis teratur setiap bulan tanpa gagal hehe. Begitulah juga dengan kehamilan yang lepas-lepas. Period lewat saja, i’m pregnant!

Sakit Perut Yang Amat Menyakitkan

Pada hari ke 4 saya lewat period, saya tidak lagi bercadang mahu membuat UPT atau ke klinik kerana ingin tunggu sehingga 2 minggu lagi,barulah membuat UPT semula memandangkan UPT sebelum ini asyik negatif.

Tetapi, oleh kerana semasa dalam perjalanan balik dari sekolah, perut saya tiba-tiba terasa sangat sakit dan mencucuk (jalan yang tidak rata / gravel menambahkan rasa sakit apabila terhentak), maka saya ke hospital pada petang itu juga.

Di Hospital Ranau, saya pun mendaftarlah di kaunter pesakit luar. Tunggu giliran berjumpa doktor. Di bilik doktor, saya terangkan tentang sakit yang saya alami.

Doktor bertanyakan tentang period. Apabila saya bagitahu lewat 4 hari, beliau bertanyakan sama ada saya ada buat UPT atau tidak. Saya bagitahu ada dan ianya negatif.

Namun, doktor minta saya buat UPT sekali lagi di hospital. Maka, saya pun ke kaunter sekali lagi bagitahu hendak buat UPT. Agak terkejut juga sebabnya sekarang buat UPT di hospital kerajaan kena bayar RM5. Dahulu tidak.

Rasanya sistem bayaran ini baru saja dilaksanakan. Masa ini, saya fikir..wah, ekonomi negara semakin meruncingkah? Takutnyaaa.hehe. Ala, kira masih murahlah tu RM5 kan.

UPT Negatif atau Positif?

Dah buat UPT, saya pun menunggulah keputusannya sambil berwasap dengan suami. Apabila nombor saya dipanggil, dengan penuh debaran saya pun mengambillah borang tadi. Bila nampak sahaja perkataan ‘UPT POSITIVED‘, ‘arrghh’ (tak jerit kuat hehe) saya terkejut sambil keluar air mata terharu. Huhuu..

Masa ni teringat dengan suami yang nun jauh di Sarawak sana. Dia juga menunggu keputusan ni sebab saya dah maklumkan yang saya ke hospital. Saya tersenyum apabila terbayang dia pun pastinya akan terkejut sama macam saya bila tahu UPT positif. Hihi.

Masuk saja ke bilik doktor, beliau ucapkan TAHNIAH bila nampak keputusan UPT tersebut. Kemudian, doktor bagitahu hendak buat scan perut lagi.

Memandangkan pundi kencing saya dah kosong, doktor minta saya minum air banyak-banyak dan selepas 30 minit akan dipanggil semula. Lamanyaa..huhu. Sempatlah juga saya ke kantin hospital mengisi perut yang kelaparan.

Tiba masanya doktor scan, alhamdulillah semuanya ok dan tiada masalah. Kandungan juga bukanlah kandungan di luar rahim. Jadi, mungkin sakit yang saya rasakan itu adalah kerana rahim yang sedang mengembang.

Masa ni, kandungan sudah 5 minggu. Doktor suruh buka buku di Klinik Ibu dan Anak keesokan harinya juga. Jangan berlengah katanya. Rupanya, buka buku lebih awal lebih bagus supaya doktor boleh periksa kandungan kita jika ada sebarang masalah. Maka, dapatlah saya MC sehari untuk esok.

Alhamdulillah, terungkai sudah mengenai UPT saya yang negatif walaupun period lewat. Cuma kali ini, lewat 4 hari akhirnya UPT positif bila cek di hospital. Mudah-mudahan entri ini sedikit sebanyak menceriakan anda yang sedang mengalami pengalaman yang serupa.

Selepas ini, insya-Allah saya hendak ceritakan pula tentang dokumen apa yang diperlukan apabila ‘booking’ klinik / buka buku klinik di KKIA, macamana alahan semasa awal mengandung, masalah yang saya hadapi dan rezeki anak yang membawa khabar gembira.

Amalan Supplemen Untuk Kesihatan

Ohh ya, hendak tahu tak supplemen apa yang saya amalkan sebelum hamil ni? Saya makan vitamin asas, vitamin untuk kulit, vitamin untuk lawas, bersihkan usus dan perut tak buncit, badan kurang lenguh dan cukup kalsium, minuman kegemaran iaitu merangkap sarapan pagi saya sebelum ke sekolah.

Wah, macam banyak kan? Saya perlukan supplemen ini sebabnya saya perlukan kekuatan apatah lagi PJJ dengan suami sambil menjaga 3 orang anak lelaki yang masih kecil, sambil menguruskan pula kedai mainan. Siapa yang PJJ dengan, pasangan, mereka sangat memahami huhu.

Kesibukan tugas sebagai ibu, sebagai bos kedai dan tugas hakiki sebagai seorang guru memang membuatkan pemakanan saya selalu tidak menentu. Maka, supplemen Shaklee memang tidak saya tinggalkan (saya makan sejak 2013).

Semoga ibu-ibu yang PJJ juga kuat menghadapi ujian.

Semoga anda yang inginkan zuriat dikurniakan pengalaman hamil dan anak-anak yang comel, sihat sempurna dan soleh /solehah.

Baca juga: Petua Utama Untuk Cepat Hamil

One Comment on “Tanda Hamil Sangka Tanda Period – Pengalaman UPT Negatif Tapi Mengandung”

  1. hai, saya baru saja berkahwin sebulan yang lalu. dalam seminggu ini saya asyik merasa letih, cepat mengantuk sebelum ini kalau saya hendak buat kerja tidak pernah cepat penat.
    1. perut bahagian bawah kiri dan kanan sering sakit seperti di cucuk-cucuk.
    2. pinggang belakang sering terasa sakit.
    3. bahu dan leher terasa sakit.
    4. sering sakit kepala
    5. terasa payudara semakin lembut dan permulaannya saja merasa sakit serta puting tidak terasa sakit tapi semakin gelap.
    6. perutku buncit tapi terasa kembung perut.
    7. saya juga merasa loya ketika perut sangat kenyang dan sering buang angin.
    8. terpingin hendak makan sesuatu

    sebelum datang haid, saya tidak pernah merasakan seperti ini dahulu. tapi sekarang, semuanya sakit-sakit dan ada 10 hari lagi masa datang haid saya. apakah ini tanda-tanda hendak datang haid atau tanda-tanda hamil? saya sering merasakan yang saya ini mengandung tapi macam buncit pun ada, saya jadi binggung ni. bolehkah berhubungan intim ketika merasa diri itu mengandung beberapa minggu?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *