Baru-baru ini saya ada tersentak dengan info yang disampaikan oleh pihak pengurusan di mana premis perniagaan tempat saya mencari rezeki telah dicemari oleh penerimaan wang palsu RM100. Heboh satu tempat kerja kerana ia baru pertama kali berlaku.
Antara orang yang gempar adalah saya sendiri. Mana tidaknya saya sepatutnya boleh mengelak perkara tersebut dari berlaku. Ini adalah kerana juruwang tidak menggunakan ‘money detector’ untuk semak wang ketika menerima wang kertas itu dari para pelanggan. Saya sepatutnya bertegas dalam pelaksanaan mesin ini.
Maka nasihat yang boleh saya beri kepada kalian ialah kita harus hati-hati, sekarang sudah banyak peredaran wang palsu. Kejadian ini boleh jadi pengajaran untuk kita semua, bila-bila masa sebaik saja kita melihat wang dalam jumlah yang besar haruslah diperiksa dengan pakai ‘money detector’.
Walaubagaimanapun, perkara yang tidak diingati memang sudah berlaku. Pihak pengurusan minta kami bertanggungjawab. Saya memang tiada pilihan lain selain dari membayar harga wang palsu tersebut.
Nasib baik ada pekerja yang terlibat termasuk penyelia bersetuju untuk membuat ganti rugi. Kalau seorang saja yang bayar memang mengeletar juga tangan nak mengeluarkan sejumlah wang benar bernilai RM100.
Ambil Kejadian ini Sebagai Satu Pengajaran
Selepas kejadian ini, saya membuat pesanan kepada semua pekerja supaya jadikan ia sebagai satu pengajaran dan juga kepada semua juruwang yang di luar sana supaya berhati-hati dengan wang palsu. Dalang yang menyebarkan wang palsu patut ditangkap dan sumbatkan ke dalam penjara. Pembuatan mereka ini dianggap agak zalim kerana menganiaya kita perniaga yang jujur untuk menerima wang palsu.
Sekiranya ada mangsa yang rasa tak puas hati tu, harap bersabar dan titipkan doa agar mereka yang terlibat, hidup merana dan sengsara.Jahat ke saya macam ni?
Biarlah balasan ‘tunai’ itu terus menimpa mereka di dunia ini. Mudah-mudahan dengan balasan sedemikian rupa supaya mereka segera insaf dan menyesali perbuatan terkutuk itu.
Mari saya bawa kalian semua untuk membayangkan sendiri bagaimana dahsyatnya penangan wang palsu. Bagi dalang atau pengedar yang mengedar wang palsu akan merasa betapa mudahnya mendapat duit. Dapat rasai kemewahan dan kesenangan ‘palsu’ buat seketika.
Tidak Adil Untuk Orang Yang Berniaga Bersungguh-sungguh
Sebagai contoh, mereka yang mengedar wang palsu RM100 berjumlah RM1,000 ke dalam pasaran. Wang ini akan berlegar kepada 10 orang penerima melalui transaksi jualan. Wang tunai asli masuk poket mereka dan mereka dapat nilai sebenar dari wang palsu. Adakah ini adil untuk orang lain. Sudah semestinya tidak.
Wang palsu terus bertukar tangan kepada orang yang kurang mampu dan orang hidup susah. Sebelum itu mereka bertungkus lumus mencari rezeki halal tetapi menerima wang yang bukan halal iaitu palsu.
Bagaimana perasaan mereka ketika itu. Mereka akan bertambah susah sekiranya wang palsu yang mereka terima itu ditolak oleh pasaraya. Sedang pada masa tersebut duit itu sepatutnya untuk membeli susu bayi, beras, gula dan apa sahaja keperluan harian yang mendesak. Mana nak cari ganti.
Kisah ini sekadar contoh. Kalau kisah benar memang sudah kena dengan saya. Dalam kes tersebut saya terpaksa mengorban sejumlah RM14.30 untuk seorang. Sedangkan wang ini untuk bajet membeli broadband. Bayangkan beribu-ribu orang sehari menunggu untuk baca entri penulisan dari saya tetapi saya tak terbitkan kerana bajet internet dah lari. Apa perasaan mereka? (Haha… macam hal yang agak besar nie…)
Kesimpulan
Memang sedih bila dapati ada orang yang tidak bertanggungjawab dan menggunakan wang palsu. Hakikatnya setiap perbuatan yang kita buat pasti ada balasan, mungkin hari ini kita guna wang palsu RM100, esok mungkin kita pula yang kehilangan duit dengan cara yang berbeza.
Penyebaran wang palsu tak kira RM50 atau RM100 sama sahaja kesan buruknya. Si pengedar tidak berhati perut langsung untuk mengenang jerit payah dan kesengsaraan orang lain yang bakal menerima wang palsu tersebut.
Saya percaya setiap kejadian ada hikmahnya. Walaupun berita gempar terima wang palsu RM100 semakin pulih namun saya diberi peluang oleh Allah SWT untuk menulis dalam blog ini. Dengan perkongsian ini, saya berharap pihak yang berisiko tinggi untuk menerima wang palsu meningkatkan tahap waspada.
Mereka yang tak bertanggungjawab ni, sebenarnya tak sedar akibat dari apa yang dia buat. Balasan pasti menanti.
Bagi semua orang yang selalu terima duit itu, perlulah anda berhati-hati walaupun perkara macam ini jarang berlaku atau anda tidak pernah menghadapi perkara macam ini lagi. Memang sekarang banyak penipuan yang berlaku dan perlulah kita selalu ingatkan kita sendiri supaya terjaga-jaga dengan sesiapa pun supaya dapat kurangkan peluang kejadian yang tidak baik atas kita walaupun kadang-kadang perkara macam ini memang susah untuk dielakkan.