Alangkah Baik Boleh Kekal Fokus Untuk Semua Benda

Kejayaan adalah satu perjalanan. Pasti mengambil masa yang cukup panjang, laluan yang sukar lagi mencabar. Hanya orang yang kekal fokus pada matlamat dan impian boleh berjaya.

Tanpa fokus boleh kecundang ditengah jalan. Lebih parah kalau tersungkur pada hampir ke garisan kejayaan. Hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi. Itulah kecewa yang perlu kita hindari dalam hidup ini.

fokus

Atas sebab itu saya nak berkongsi beberapa tip untuk kekal fokus. Mungkin tip ini biasa sahaja. Namun percayalah tip ini berdasarkan pemerhatian saya sendiri di dalam kehidupan ini. Doakan juga saya untuk diberi kekuatan beramal dengan apa jua ilmu yang baik termasuk tip ini.

1. Tulis dekat kertas

Tak kisah la sama ada dekat kertas atau buku. Jika nak lebih bersifat elektronik boleh buat menggunakan wallpaper di komputer atau telefon bimbit. Rasionalnya agar target atau impian yang kita ingini itu sentiasa bermain di fikiran. Lagi kerap maka lagi bagus. Cara ini akan memandu fikiran kita untuk sentiasa fokus dan tidak beralih arah.

2. Jadikan perbualan harian

Sungguhpun cara ini kurang digemari oleh mereka yang berfikiran negatif. Mereka akan menjelir lidah terhadap kita. Namun jangan pulak risau kerana impian atau matlamat itu kita yang punya. Orang lain tidak boleh mempertikaikannya sama ia boleh tercapai atau tidak. In shaa Allah jika selalu kita bercakap tentang impian maka secara tidak langsung minda separa sedar akan lebih fokus.

3. Sentiasa berdoa

Kelebihan orang Islam kerana doa adalah senjata paling ampuh. Bukan bermaksud untuk bunuh orang maupun membuat kekacauan. Doa yang disinonimkan dengan senjata kerana sifatnya untuk teras dalam perjuangan. Dengan doa fikiran lebih fokus dan impian akan lebih terarah. Doa boleh dilakukan bila-bila masa. Paling afdal selepas solat fardu, satu pertiga malam, bulan Ramadhan dan ketika di tanah suci.

Saya berharap pembaca boleh menerima tip yang hebat ini sebagai cara untuk mengekal daya fokus untuk berjaya mencapai impian masing-masing.

Tak kira impian kalian untuk menjadi jutawan atau apa-apa impian yang bagus. Tanpa fokus boleh dikatakan tanpa kejayaan. Percayalah konsep yang mudah tersebut.

Fokus Solat Sebaik Yang Mungkin

Saya rasa agak segan nak tulis bab ibadah peribadi kepada umum. Namun terpaksa kongsikan juga untuk memastikan cabaran saya untuk diri sendiri adalah benar-benar telus. Tiada perkara yang perlu diselindung terutama perkara yang baik-baik agar menjadi sumber tauladan dan wadah dakwah. Minta dijauhkan hati kita supaya jangan beramal kerana manusia. Sebaliknya mesti ikhlas hanya kepada Allah SWT sahaja.

Solat 5 waktu adalah wajib ke atas orang Islam yang akil baligh dan waras akal fikirannya. Oleh kerana solat 5 waktu perkara wajib HB akan memberi lebih fokus berbanding perkara lain. Mungkin sebelum ini sambil lewa dan kurang serius. Jadi dalam kesempatan ini saya akan sedaya upaya menyempurnakan ibadah solat sebagai tabiat hebat orang berjaya.

Berdasarkan rutin kerja sekarang agak sukar HB untuk berada 5 waktu secara berjemaah di masjid. In shaa Allah waktu subuh sahaja saya boleh berjemaah secara konsisten. Waktu lain ada ketikanya hanya berjemaah di musola tempat kerja. Kadang-kadang solat bersendirian kerana jemaah di musola bukan sesuatu yang tetap.

Selain itu saya akan mencari ruang waktu yang terbatas itu untuk solat sunat Dhuha, hajat, taubat serta tahajud. Namun saya bukanlah membanggakan sangat ibadah tersebut sebagai amal terbaik.

Masih banyak kekurangan sana dan sini. Demi kejujuran dan ketelusan saya sanggup kongsikan juga dalam artikel ini sebagai entri rujukan ketika berada di puncak kejayaan suatu hari nanti. Aamiin.

Saya tak minta lain selain dari doa para pembaca untuk memastikan saya berjaya dalam cabaran yang saya tetapkan untuk diri saya sendiri. Itupun setelah diulangi semula sebanyak tiga kali atas sebab-sebab yang sukar dielakkan. Hari ini adalah hari pertama dan dijangka berakhir tidak lama lagi. In shaa Allah.

Saya yakin boleh berjaya dengan mengekalkan fokus serta fokus pada setiap masa yang ada. Tidak timbul siapa cepat atau lambat. Persoalannya sesiapa yang berani dan tahan diuji akan terus berada di barisan hadapan.

Fokus Kepada Keluarga Untuk Berjaya

Keluarga adalah unit terkecil namun terpenting dalam sesebuah masyarakat. Keluarga yang paling asas dianggotai oleh suami dan isteri serta anak-anak. Masing-masing ada peranan tersendiri. Mengabaikan salah satu peranannya mengakibatkan kepincangan keluarga dan kucar-kacir dalam masyarakat. Kemungkinan ini jangan dirasa atau difikirkan. Kalau boleh gantikan nilai positif, sejahtera dan bahagia.

Demi mencipta kejayaan tersebut saya telah memberi fokus kepada keluarga dalam senarai utama. Tiada maknanya kita begitu gah dengan reputasi kejayaan. Namun kisah sebaliknya pula ialah anak isteri terabai dan tersisih. Kejayaan diluar itu bagaikan satu lakonan drama yang mengkagumkan tetapi tiada maknanya. Perjuangan tetap diteruskan.

Hari ini saya memberi fokus kepada keluarga. Saya tidak mahu mengabaikan keluarga. Saya memberi keutamaan kepada keluarga. Saya nak berjaya dan kejayaan tersebut dinikmati bersama.

Untuk mencapai objektif tersebut saya menarik getaran Hukum Tarikan menggunakan kuasa bayangan. Saya membayangkan betapa bahagianya saya melihat si isteri isteri dan anak anak hidup dalan serba selesa. Cukup serba serbi dan menikmati alam rumahtangga yang sempurna.

Keluarga pada saya adalah segalanya. Lebih utama dari harta benda dan wang ringgit. Anak yang soleh menyejuk mata memandang dan isteri yang taat telah mengisi keperluan suami. Indahnya hidup berkeluarga. Lagi bahagia jika ada keluarga besar, ramai dan harmoni. Aamiin.

Saya dapat merasakan betapa kasih sayang isteri tanpa bersyarat. Redha menerima kekurangan diri suami dan mensyukuri kejayaan kecil yang digapai satu persatu. Realiti belum berlaku namun perkara tersebut sudah dirasakan begitu dekat.

Perkara ini hendaknya dilakukan setiap hari secara berterusan biarpun sudah berumahtangga untuk masa yang lama. Fokuskan minda untuk memberi kejayaan kepada keluarga tercinta. Luangkan masa seketika untuk anak-anak dan isteri. Peruntukkan masa berkualiti itu jauh lebih baik dari bersama keluarga dalam tempoh lebih lama namun masing-masing sibuk melayan media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *