5 Perkara Bentuk Peribadi Mulia

Adakah anda tahu bahawa manusia adalah makhluk yang hebat di dunia ini? Kehebatan manusia akan terserlah melalui peribadi yang mulia, mantap dan disegani oleh semua pihak.

Namun peribadi begini bukan dilahirkan secara semulajadi. Peribadi mulia ini adalah natijah daripada didikan ibubapa dan corak pendidikan yang diberikan di dalam sekolah. Tidak keterlaluan untuk mengistiharkan bahawa pembentukan sikap adalah cerminan mantap melalui kerangka pemikiran manusia.

Dalam entri pada ini saya nak berkongsi bersama anda semua tentang 5 perkara yang boleh membentuk peribadi mulia. Sekiranya peribadi yang dikongsikan itu adalah sesuai untuk anda, maka boleh anda amalkan dalam kehidupan harian anda.

Jika tidak sila abaikan kerana apa yang baik untuk kita belum tentu sesuai untuk orang lain. Sebelum itu saya cuba perjelaskan secara bebas tanpa memberatkan kepada unsur-unsur keagamaan. Biarpun hakikatnya hanya agama Islam sahaja yang paling ideal untuk membentuk peribadi mulia seseorang manusia.

Peribadi Mulia

1. Pemikiran

Pemikiran manusia adalah teras. Pemikiran yang betul akan menghasilkan tindakan yang tepat. Jadi, tindakan kita mesti selaras dengan lumrah dan naluri kehidupan manusia itu sendiri. Salah satu sebab kita pergi ke sekolah bukan cuma nak dapat markah yang tinggi dan lulus dalam peperiksaan semata-mata. Sebaliknya kita pergi ke sekolah adalah untuk membina perkara asas iaitu membentuk pemikiran manusia yang beradab, bertamadun dan beretika.

2. Perasaan

Dalam falsafah pendidikan negara memang difokuskan untuk membina perasaan iaitu kecerdasan emosi. Dengan emosi yang stabil dan perasaan yang matang maka tahap pembesaran manusia di luar dan dalam akan jadi lebih sempurna.

Kenyataan saya ini bukan menidakkan elemen perasaan sebagai kurang penting. Sebab perasaan itu sendiri terlalu subjektif sifatnya. Kemungkinan bagus untuk kita namun belum tentu bagus untuk orang lain.

3. Pertuturan

Pertuturan yang sopan dan beradap memastikan orang lain suka dengan kehadiran kita. Untuk menjadi seorang yang berperibadi mulia maka tolong jaga pertuturan.

Kita perlu elakkan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan celupar. Jauhi istilah yang boleh menguris perasaan. In shaa Allah dengan disiplin dan tabiat yang terbaik akan memartabatkan diri seseorang secara tanpa disedari.

4. Perlakuan

Perlakuan adalah tingkah laku. Dalam ertikata yang lain tindak tanduk manusia. Demi membentuk peribadi mulia kita amat disarankan untuk menjaga perlakuan yang sesuai dengan masa, ketika dan tempat.

Sekiranya ada majlis formal sudah tentu tidak wajar untuk bersikap gila-gila. Naya jadinya nanti. Begitulah dengan tahap umur seseorang.Umur yang dah berusia biarlah cara matang. Malah umur kebudakkan boleh bertindak seperti orang dewasa. Lagi bagus dan lagi dimahukan oleh semua orang.

5. Pendengaran

Pendengaran yang saya maksudkan di sini ialah cara kita mendengar dan menilai sesuatu yang informasi yang diperolehi. Dengan niat dan hasrat untuk menjadi manusia yang berperibadi mulia sudah tentu kita tidak boleh mempercayai 100 peratus apa yang didengari tanpa usul periksa. Apatah lagi tiada bukti yang kukuh. Misalnya ada mendengar berita yang kurang baik.

Kini jelas kepada kita bahawa membentuk peribadi mulia bukan sesuatu yang terlalu sukar. Perkara tersebut ada pada diri manusia itu sendiri. Kini terpulang kepada kita nak menjadi manusia yang ada peribadi mulia atau yang sebaliknya. Bak kata pepatah lama. Tepuk dada tanya iman.

Walaupun nampaknya sungguh mudah untuk membentuk peribadi yang mulia, tetapi tanpa hati yang kuat, ianya mungkin merupakan sesuatu yang mustahil.

Apa yang boleh saya katakan adalah pertuturan dan perlakuan memberi bekas dan kesan kepada orang lain. Baik pertuturan, baik bekasnya. Amalan yang baik tentunya akan berbuah baik untuk kita.

Baca juga: Alangkah Baik Boleh Kekal Fokus Untuk Semua Benda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *