10 Rahsia Komunikasi Yang Hebat

Dulu-dulu masa sekolah saya selalu mendengar cikgu berpesan. Mulut ada satu. Telinga ada dua. Oleh itu banyakkan mendengar dan kurangkan bercakap. Memang ada kebenarannya.

Saya mengakui untuk menjadi seorang yang hebat dalam komunikasi bukan bijak berkata-kata atau fasih berbahasa. Sebaliknya menjadi seorang pendengar yang cekap dan boleh memahami komunikasi dengan jelas serta tepat.

Ada 10 rahsia komunikasi yang hebat untuk saya kongsikan kepada pembaca semua. Sebelum itu letakkan pemikiran pembaca semua dalam kondisi tenang dan rileks sahaja. Usah terburu-buru maupun tergopoh gapah untuk memahami apa yang saya kongsikan ini.

komunikasi hebat
komunikasi hebat

1. Tunjukkan rasa minat yang tinggi

Hubungan komunikasi dua individu atau sekelompok orang memerlukan seorang sahaja yang bercakap dalam satu masa dan selebihnya mendengar. Oleh itu sebagai seorang pendengar mesti menunjukkan rasa minat yang tinggi kepada idea yang disampaikan oleh si pembicara. Situasi ini membangkitkan semangat si pembicara untuk menyampaikan ideanya bersungguh-sungguh.

2. Sokong cara minimum

Apa yang dimaksudkan sokong secara minimum ialah pendengar jangan membantah 100 peratus apa yang disuarakan oleh si pembicara.

Walaupun hakikat sebenarnya ada perkara yang kita kurang setuju. Sebaik-baiknya beri sokongan juga waima pada tahap paling minimum sekalipun. Rasionalnya tidak ada pihak yang terasa dan berkecil hati. Bila sokong juga perlu berhati-hati supaya tidak silap berkomunikasi dengan cakap yang bukan-bukan.

3. Pantang mencelah

Sebelum memulakan sesuatu operasi dan tugas, saya akan membuat taklimat ringkas kepada staff. Menjadi pantang kepada saya jika ada staff yang mencelah sewaktu saya bercakap dalam taklimat tersebut.

Sekiranya mereka berbuat demikian saya akan terus berhenti membuat taklimat dan beri peluang kepada mereka untuk bercakap pula. Kebiasaanya saya akan berpesan jangan mencelah sewaktu orang lain tengah bercakap.

4. Berfikiran terbuka

Ada juga masyarakat hari ini masih belum dapat menerima budaya pemikiran terbuka atau Open Minded Cultured. Realiti untuk menjadi seseorang yang hebat komunikasi mesti ada pemikiran terbuka.

Dalam pemikirannya mesti boleh menerima idea, konsep baru dan apa jua pendirian si pembicara jangan terlalu obses dengan pemikiran sendiri. Paling wajar untuk berfikiran terbuka selalu.

5. Menjadi pendengar yang sabar

Sabar adalah indikator akhlak yang terbaik dan ada kelas yang tersendiri.Malah ketika menjadi pendengar perlu sangat menjadi seorang yang sabar.

Dengan ada nilai kesabaran tadi seseorang akan menjadikan hebat dalam komunikasi. Bagi peluang si pembicara untuk menyampaikan idea dengan sempurna. Jangan membuat kesimpulan terlalu awal. Jangan mengkritik tanpa usul periksa.

Sekarang kalian akan faham bahawa untuk menjadi seorang yang hebat dalam komunikasi ialah menjadi pendengar. Pelik tapi benar. Namun begitulah hakikat yang sebenarnya.

6. Postur badan yang selesa

Seseorang akan berasa disenangi jika mempunyai postur badan selesa ketika mendengar atau sedang berbicara. Postur badan yang saya maksudkan disini tidak bercekak pinggang bagaikan tengah marah. Badan yang lemah longlai bagaikan tidak makan selama hari.

Seorang pendengar yang bijak akan memastikan badannya dalam posisi dan postur yang ideal. Tak kira semasa berdiri maupun duduk.

7. Condongkan badan ke arah pembicara

Condongkan badan kalian ke arah orang yang sedang berbicara menunjukkan kita berminat dengan topik yang diutarakan. Cara ini akan menaikkan semangat dan mood orang lain terhadap kita.

Dalam pada itu jangan pula berlebihan seperti sedang berpelukan. Bayangkan kalau sesama lelaki memang buang tabiat jadinya. Jika berlainan jantina pulak memang kes naya jadinya.

8. Menunjuk rasa empati

Dalam bahasa seharian istilah empati jarang kedengaran.Namun dalam bidang ilmiah dan psikologi istilah empati merujuk kepada perasaan kita perlu disamakan dengan perasaan orang lain.

Apabila ada penyatuan perasaan begini baharulah akan wujud persefahaman. Proses komunikasi seterusnya lebih mudah dan menyenangkan.Ini baru boleh dikatakan komunikasi yang hebat.

9. Menjauhi gangguan persekitaran

Memang tidak dinafikan suasana perbualan akan terganggu pada tempat yang sibuk dan hiruk pikuk. Topik perbualan dan idea perbincangan akan kucar kacir.

Sebab itu dalam memastikan komunikasi dua hala atau komunikasi berkelompok perkara yang penting ialah persekitaran yang selesa. Tidak boleh tidak. Mengabaikannya bermakna mengurangkan mood komunikasi itu sendiri.

10. Pandangan mata waktu berbicara

Semasa berbual berbicara tumpukan perhatian kepada anak mata si pembicara. Ini menunjukkan kita berminat dengan apa yang disampaikan. Jika berlainan jantina amat disarankan untuk memandang bahagian tengah antara alis mata.Merenung tepat pada mata boleh mengundang perasaan yang kurang selesa juga.

Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tinggi keimanannya.Lainlah kepada mereka mempunyai daya ketahanan godaan yang tinggi. Bab ini akan saya kupas dalam entri yang lain lah ye.

Ternyata bukan mudah untuk menjadi hebat dalam bidang komunikasi sesama manusia. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan dikuasai. Sekiranya kalian dapat menguasai kemahiran ini, saya amat percaya kejayaan dalam membina hubungan sesama manusia sangat hebat dan mengkagumkan.

Biar saya tekankan sekali, orang yang hebat dalam komunikasi bukan terletak pada kepetahan berbicara dan bijak bermain kata-kata. Ia sebenarnya terletak kepada kebijakan sebagai seorang pendengar. Pelik tapi benar. Namun itulah hakikat sebenar yang mesti kita fahami dan akui dengan hati terbuka.

Artikel berkaitan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *