Web Analytics
rumah perlindungan

Rumah: Penyediaan Perlindungan Asas untuk Keluarga

Rumah atau tempat tinggal adalah antara tiga keperluan asas sesebuah keluarga selain daripada makanan dan pakaian. Tanggungjawab untuk menyediakan rumah kediaman, peralatan rumah dan kemudahan lain seperti bekalan air, elektrik, perabot dan lain-lain keperluan harian adalah menjadi tanggungjawab ketua keluarga untuk menyempurnakannya.

rumah perlindungan
rumah perlindungan

Banyak hikmah mengapa penyediaan rumah kediaman menjadi salah satu nafkah yang diwajibkan ke atas setiap suami untuk isteri dan anak-anak antaranya ialah:

Rumah merupakan tempat yang paling sesuai untuk setiap pasangan suami isteri menjalani kehidupan mereka sebagai suami isteri. Rumah bukan sahaja berfungsi untuk melindungi penghuninya daripada panas, hujan dan ribut tetapi ia turut berfungsi dalam membentuk suami isteri dan keluarga yang ideal. Rumah merupakan tempat bagi suami isteri merapatkan lagi hubungan cinta dan kasih sayang mereka, menyimpan rahsia-rahsia kehidupan mereka dan merealisasikan cita-cita dan impian mereka sekeluarga.

Pada waktu-waktu tertentu, suami isteri perlu bermesra antara satu sama lain maka sudah tentu tempat yang paling sesuai untuk merapatkan kemesraan ini ialah satu bangunan yang dipanggil rumah. Yang pastinya apabila berada di dalam rumah setiap keluarga akan mempunyai ketenangan.

Sebenarnya Allah s.w.t telah menjadikan hubungan suami isteri sebagai hubungan yang sangat unik sekali. Pada waktu tertentu mereka boleh menjadi begitu mesra sekali tetapi pada saat yang lain pula mereka juga boleh berselisih faham. Bak kata pepatah “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”.

Kalau waktu sedang bermesraan sudah tentu mereka tidak mahu diganggu oleh orang lain. Dan begitu juga kalau sedang berselisih faham mereka juga tidak mahu orang luar masuk campur atau mendengar dan melihat perselisihan faham itu.

Kalau tidak mahu orang lain mencampuri urusan mereka samada ketika berlaku kemesraan atau perselisihan faham maka di manakah tempat yang paling sesuai untuk itu semua? Jawapannya sudah pasti di dalam rumah.

Justeru itu, Allah s.w.t memerintahkan para suami supaya menyediakan rumah kediaman untuk isteri mereka bagi mewujudkan pasangan suami isteri yang hidup bahagia sepanjang hayat tanpa gangguan orang lain. Malah sekalipun isteri tadi diceraikan dan masih berada dalam iddah maka suami tetap berkewajipan menyediakan nafkah termasuk rumah kediaman. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Tolaq ayat 6 yang bermaksud:

“Tempatkanlah mereka (isteri-isteri kamu yang dalam iddah) di rumah kamu mengikut kemampuan kamu. Dan janganlah kamu menyakiti mereka untuk membebankan mereka. Dan jika mereka sedang mengandung maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya itu. Dan jika mereka (isteri yang diceraikan itu) menyusukan anak itu bagi pihak kamu maka berikanlah upah kepada mereka. Dan berundinglah di antara kamu dengan baik dan jika kamu menghadapi kesulitan maka bolehlah perempuan lain menyusukan anak itu”.

Menyediakan rumah kediaman untuk isteri dan anak-anak bererti menyediakan jaminan perlindungan serta keselamatan kepada mereka daripada anasir-anasir yang boleh membahayakan atau mengganggu mereka. Membiarkan isteri dan anak-anak hidup tanpa rumah kediaman yang dapat melindungi mereka daripada panas dan hujan serta gangguan orang jahat merupakan satu keingkaran terhadap perintah Allah dan juga pengabaian terhadap keluarga.

Daripada Abdullah Ibn ‘Amru Ibn al-‘As bahawa baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Sudah cukup seseorang itu dikira berdosa apabila dia telah mengabaikan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya”. (Hadith sahih riwayat Abu Daud, Nasaie dan al-Hakim).

Rumah kediaman juga berfungsi sebagai tempat untuk kita menghampirkan diri kita kepada Allah s.w.t khususnya dengan ibadat-ibadat yang sunat seperti sembahyang sunat hajat, tahajjud, taubat dan lain-lain lagi. Dalam hal ini, Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik sembahyang seseorang itu adalah di rumahnya melainkan sembahyang fardhu”. (Hadith muttafaqun ‘Alaih).

Mafhum daripada hadith tersebut ialah Baginda Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya agar memperbanyakkan solat sunat di rumah manakala solat fardhu pula hendaklah didirikan di masjid.

Baginda Rasulullah s.a.w juga mengaitkan rumah dengan amalan-amalan tertentu yang telah dijanjikan Allah s.w.t dengan ganjaran yang cukup besar. Antaranya menjadikan rumah kediaman sebagai satu tempat untuk memberi perlindungan dan berbuat baik kepada anak-anak yatim. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak-anak yatim yang dilayan dengan baik sekali. Dan sekeji-keji rumah orang Islam ialah rumah yang ada di dalamnya anak-anak yatim yang dilayan dengan begitu buruk sekali”. (Hadith sahih riwayat Ibn Majah).

Rumah juga berperanan sebagai institusi pendidikan yang utama dalam membentuk manusia yang berperibadi tinggi. Ia akan dapat mendidik para suami supaya tidak berpeleseran di luar rumah dengan mengabaikan kewajipan di dalam rumah. Ia juga akan mendidik para isteri dengan sifat-sifat yang baik seperti pandai mengatur urusan rumahtangga dan juga tempat melatih isteri dengan sifat-sifat kepimpinan dan bijak menguruskan ekonomi rumahtangga. Tepat sepertimana sabda Baginda Rasulullah s.a.w dalam hadith yang bermaksud:

“Dan isteri pula adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan dia akan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya itu”. (Hadith sahih muttafaqun ‘alaih).

Malah rumah juga berperanan sebagai institusi pendidikan awal bagi anak-anak. Bukankah ketika di rumah lagi, anak-anak di ajar supaya mengenal batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan sehingga dalam sebuah hadith baginda memerintahkan ibubapa supaya memisahkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan apabila mereka sudah mencapai umur baligh. Oleh itu jelas bahawa pendidikan sebenarnya bermula dari rumah lagi.

Besarnya peranan rumah ini, sehinggakan Baginda Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya apabila telah selesai menyempurnakan sesuatu urusan yang penting maka segeralah pulang ke rumah menemui ahli keluarganya kerana Allah telah menjanjikan ganjaran yang cukup besar. Daripada Aisyah r.a bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith yang bermaksudi:

“Apabila seseorang di antara kamu telah selesai menyempurnakan ibadat fardhu haji maka hendaklah dia bersegera pulang (ke rumah) menemui ahli keluarganya kerana ganjarannya cukup besar”. (Hadith riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Malah rumah kediaman juga turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan kebahagiaan kepada seseorang. Kebahagiaan seseorang sebenarnya bermula dari rumah. Kalau di rumah lagi seseorang itu tidak bahagia maka di pejabat, di masjid dan di mana-mana sahaja dia tidak akan bahagia. Keselesaan rumah memberi kesan kepada kebahagiaan seseorang. Setiap keluarga mestilah mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa dalam rumahnya. Daripada Sa’ad r.a bahawa baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadith yang bermaksud:

“Empat tanda kebahagiaan seseorang iaitu isteri yang baik, rumah yang selesa, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa”. (Hadith riwayat al-Baihaqi).

Begitulah besarnya peranan sesebuah rumah. Namun malang tidak berbau dan geruh tidak berbunyi. Seringkali terpapar di dada akhbar atau di kaca televisyen bencana kemusnahan atau kerosakan rumah kediaman serta isi kandungannya yang berpunca daripada kebakaran, angin ribut, petir atau kerosakan pendawaian elektrik. Seringkali juga musibah ini disusuli dengan kemalangan diri sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas penghuni rumah tersebut. Musibah sebegini boleh berlaku di mana-mana sahaja samada di kota mahupun di desa.

Islam menyuruh umatnya berikhtiar samada dengan cara menjauhi punca-punca yang boleh memudaratkan rumah atau mengurangkan risiko apabila musibah berlaku. Salah satu ikhtiar untuk mengurangkan beban kewangan yang mungkin ditanggung kesan musibah seperti ini ialah dengan menyertai produk-produk takaful yang selaras dengan kehendak syariah.

Hari ini mungkin musibah menimpa rumah orang lain tetapi siapa tahu mungkin satu hari nanti tidak mustahil ianya menimpa rumah kita dan jiran-jiran kita. Oleh itu beringat sebelum kena. Renung-renungkanlah kata-kata hikmat daripada Sayyidina Umar r.a apabila beliau ditanya kenapa beliau tidak memasuki kota yang sedang dilanda wabak taun dan terus kembali ke kota Madinah. Apakah beliau melarikan diri daripada takdir Tuhan. Sayyidina Umar r.a menjawab: “Sesungguhnya aku lari daripada takdir yang tidak baik kepada takdir yang lebih baik”.

Leave a Comment