Tips Untuk Bahasa Inggeris Dalam Peperiksaan SPM

Hari ini saya ingin berkongsi sebuah tips SPM Bahasa Inggeris untuk bakal-bakal pelajar yang akan mengambil SPM untuk tahun ini. Tips ini adalah berkaitan dengan bagaimana untuk mendapatkan A dalam subjek Bahasa Inggeris.

InsyaAllah tips ini dapat membantu dan telah berhasil kepada saya ketika saya mengambil peperiksaan pada masa dahulu. Masa yang saya ambil peperiksaan SPM bukanlah lama sangat, dan harap ianya masih relevan sehingga sekarang.

bahasa english

Kisah Saya

Sebelum saya kongsikan tips ini, mari saya kongsikan sebuah kisah bagaimana ianya telah membantu saya terlebih dahulu. Ceritanya adalah seperti begitu.

Pada masa saya masih seorang pelajar, saya belajar di sebuah sekolah asrama penuh di Pulau Pinang. Ketika masuk awal tingkatan satu dahulu, kebiasaannya akan adanya ujian Bahasa Inggeris untuk dibahagikan kepada beberapa set kumpulan. Bermula daripada 1 sehinggalah ke set 6. Semakin menghampiri set 1, maknanya semakin pandai dan tinggi mereka dalam ujian yang diambil ketika itu. Cuba teka saya set mana?

Saya di dalam set 6. Haha, maksudnya dalam banyak-banyak orang saya merupakan seorang pelajar yang tidak beberapa pandai dalam Bahasa Inggeris di sekolah ketika itu. Set yang terakhir. Adoi.

Tetapi lama-kelamaan, saya berjaya masuk ke set 2 dan akhirnya set 1 pada tingkatan 5. Dan apa yang paling penting sekali adalah apabila keputusan SPM diumumkan saya berjaya mendapat A1 untuk Bahasa Inggeris, boleh ibaratkan seperti A+ untuk peringkat SPM sekarang ini.

Bagaimana ini berlaku? Adakah ia satu magik yang saya mainkan? Hoho, memang tidaklah, tetapi ia merupakan tips yang saya amalkan yang mungkin anda juga boleh cuba sendiri.

Tips Dapat A Dalam SPM Untuk Subjek Bahasa Inggeris

1. Buat latihan sebanyak mungkin

Ini adalah sangat penting. Rasanya saya telah membuat latihan untuk SPM sebanyak 20-30 set kertas peperiksaan sebelum peperiksaan. Jawab dan jawab dan ulang dengan banyak kali. Kerana akhirnya anda akan mendapat satu paten benda yang perlu diutamakan.

2. Hafalkan ayat-ayat dan faham apa yang dimaksudkan

Cuba untuk hafal ayat-ayat yang biasa digunakan dalam karangan dan boleh dimasukkan ke dalam mana-mana sahaja. Contohnya dalam kes ini biasanya seperti di bawah.

In conclusion, through a multi-pronged approach, it is possible to increase the use of……

In the present age, ……..is playing an increasingly important role in our lives. But in the meantime, whether it is a blessing or a curse has sparked a heated debate. Some people argue that ………… has a fundamentally beneficial influence on our lives, while many others contend that it has a detrimental effect as well.

Kalau kita perhatikan ayat di atas, kebanyakkan masalah atau artikel boleh dimuat ke dalam ini. Contohnya kalau isu ‘globalization’ yang dibincangkan, maka ganti sahaja perkataan ‘globalization’. Begitu juga untuk perkara yang lain.

Jadi, cuba cari ayat-ayat penting yang boleh digunakan ke dalam kebanyakkan karangan.

3. Lazimkan diri membaca karangan dalam ton nada yang kuat

Ini bertujuan untuk memahirkan lagi kemahiran Bahasa Inggeris anda. Sebabnya? Cuba bayangkan kalau kita sendiri tidak beberapa yakin menyebutnya ketika adanya bantuan buku, sudah tentu kita TIDAK akan menyebutnya apabila tiada bantuan buku. Betul tidak?

4. Cuba hafal karangan

Serius. Ini merupakan tips yang paling penting sekali bagi saya. Cuba hafal karangan yang akhirnya habis dengan kisah tragedi dan sebuah lagi yang habis dengan pengakhiran gembira. Cuba cari karangan yang sesuai untuk keadaan ini. Walau bagaimanapun ada risiko juga, takut karangan yang anda hafal tidak sesuai digunakan ketika peperiksaan.

Dalam kes saya, saya menghafal sebuah karangan mengenai April Fool di mana pengakhirannya terkena pada diri sendiri. Jadi soalan yang berbentuk pengalaman yang tidak dapat dilupakan, tragedi sedih yang tidak dapat dilupakan, karangan yang tamat dengan “sesuatu yang sedih ” boleh menggunakan karangan April Fool ini.

5. Baca banyak buku Inggeris dan pakai kamus dengan rajin

Anda boleh cuba baca lebih banyak buku, surat khabar dan majalah dalam Bahasa Inggeris. Sebenarnya, ini adalah cara terbaik. Jika banyak ayat tak faham, boleh anda beli sebuah kamus yang bagus. Jangan habiskan duit anda untuk membeli kamus yang nipis.

Kamus nipis tidak berguna kerana tidak mengandungi cukup kata-kata dan penjelasan yang diberikan di dalamnya terlalu singkat. Belanjakan lebih banyak duit pada kamus yang lebih baik yang boleh anda gunakan seumur hidup. Setiap kali anda menemui perkataan yang tidak anda fahami, cari dalam kamus.

Selalunya, anda akan merasa malas untuk cari makna untuk perkataan tertentu dan cuba meneka maksudnya dari konteksnya. Saya sangat menasihatkan agar anda tidak melakukannya! Ambil keluar kamus dan periksa makna perkataan. Juga buat usaha untuk mempelajari simbol pengucapan sehingga anda dapat memeriksa sebutan setiap kata sebelum anda memeriksa maknanya.

Pengucapan bagi kebanyakan orang yang berbahasa Inggeris agak mengerikan. Semakin banyak anda membaca dan semakin banyak anda memeriksa kamus, pemahaman bahasa Inggeris anda akan bertambah semakin baik. Tidak ada jalan pintas dalam menguasai bahasa Inggeris. Perjalanan untuk belajar adalah sangat panjang dan membosankan. Ia mungkin mengambil seumur hidup anda untuk menguasainya.

6. Beli buku tatabahasa

Perlu anda dapatkan buku tatabahasa yang baik. Saya akan cadang hanya beli buku tatabahasa yang ditulis oleh pengguna bahasa asli seperti British atau Amerika. Pelajari buku ini dengan baik. Pelajari tentang kerumitan bahasa dan banyak kesalahan yang sering dilakukan oleh orang-orang yang belajar Bahasa Inggeris.Dengan cara ini anda akan kurangkan kesalahan semasa anda bercakap atau menulis dalam Bahasa Inggeris.

7. Dapat bantuan dari orang yang pandai dalam Inggeris

Selain itu, anda boleh mendapatkan seseorang yang pandai berbahasa Inggeris untuk mengajar anda. Dengan standard bahasa Inggeris yang sangat rendah pada masa ini, sangat sukar untuk mencari tutor bahasa Inggeris yang baik. Tuisyen persendirian boleh menjadi sangat mahal tetapi anda mesti bersedia untuk membayar sekiranya anda benar-benar berminat untuk meningkatkan Bahasa Inggeris anda.

8. Tonton Wayang

Anda boleh cuba untuk menonton lebih banyak program Bahasa Inggeris di televisyen. Ini adalah cara belajar Bahasa Inggeris yang sangat menyenangkan kerana anda dapat menghiburkan diri pada masa yang sama. Anda akan belajar bagaimana kata-kata diucapkan dan situasi di mana sesuatu perkataan digunakan.

9. Cakap dalam Inggeris

Gunakan bahasa Inggeris setiap kali anda berpeluang untuk bercakap dengan orang lain. Bercakap dengan mereka yang fasih berbahasa Inggeris akan dapat anda belajar dari mereka. Anda juga dapat hilangkan rasa takut untuk berkomunikasi secara lisan dalam bahasa Inggeris dengan orang lain.

Alhamdulillah, karangan inilah saya tulis dalam peperiksaan.

Semoga tips SPM Bahasa Inggeris di atas membantu untuk adik-adik atau anak-anak anda yang akan megambil SPM. Yang penting banyakkan berdoa dan usaha. InsyaAllah, apa-apa yang kita buat akhirannya kita akan gembira. Gembira ketika berjaya dan Redha jika sebaliknya.

Baca juga: Kelebihan dan Kelemahan Masuk Tingkatan 6

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *