Waspada Geng Scammer Gores dan Menang!

Geng scammer gores dan menang ni dah lama saya perhatikan berlegar-legar di jejantas Terminal Bersepadu Selatan (TBS) atau tempat tumpuan ramai. Saya tak pernah dekati mereka sebab saya tak suka orang kacau saya bila berjalan, memang saya marah nanti. Haha. Ini cerita benar dan mangsa merupakan kenalan saya.

scammer
scammer

23 Mac 2013
8.00 p.m :
Mangsa melalui jejantas TBS untuk ke stesen KTM / LRT. Perjalanan mangsa dihentikan oleh dua orang lelaki. Mangsa berkeras untuk tidak melayan sebarang promosi atau perkhidmatan yang mereka tawarkan.

Namun selepas beberapa langkah, tiba-tiba mangsa dikerumuni oleh anggota sindiket yang lain dan meminta mangsa membuka sampul berwarna kuning yang berbentuk heksagon. Oleh kerana mangsa mahu segera melepaskan diri, mangsa bertindak mengambil sahaja sampul berwarna kuning tersebut dan membukanya.

Selepas membuka sampul berwarna kuning itu, mangsa dapati bahawa isi kandungan sampul tersebut hanyalah berupa satu bulatan yang berwarna kelabu. Mereka meyakinkan mangsa bahawa mangsa telah memenangi hadiah berupa RM 29,000 dan meminta mangsa mengikut mereka ke pejabat mereka untuk menuntut hadiah.

Mangsa berkeras tidak mahu pergi kerana hendak pulang segera ke kolej kediaman, tetapi akhirnya mangsa di bawa pergi dalam keadaan yang separa sedar.

9.00 p.m :
Mangsa tersedar selepas menerima panggilan telefon daripada rakan. Mangsa berasa takut kerana menyedari bahawa dirinya sudah berada di tempat dan persekitaran yang asing (ruang pejabat kosong yang hanya ada kerusi dan meja).

Apabila mangsa mula bertindak agresif, salah seorang anggota sindiket memberi mangsa kad pengenalannya (IC) untuk membuat mangsa yakin bahawa mereka adalah peniaga yang sah dan bukan penipu.

Mangsa segera menyalin nombor kad pengenalan tersebut dan dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya untuk tujuan keselamatan. Apabila rakan mangsa menelefon semula, anggota sindiket menghalang mangsa supaya tidak menjawab panggilan tersebut.

Apabila rakan mangsa mengugut untuk menelefon polis sekiranya mangsa tidak dilepaskan, dalam keadaan tergesa-gesa mereka segera menghantar mangsa ke bawah untuk menaiki teksi yang sudah sedia menunggu dan katanya sudah dibayar. Mangsa dibawa oleh pemandu teksi ke McDonald, Taman Connaught.

10.00 p.m :
Rakan mangsa segera mengambil mangsa di tempat di mana mangsa ditinggalkan. Setibanya di rumah, rakan mangsa segera menggeledah beg tangan mangsa kerana mangsa masih berada di dalam kebingungan.

Apa yang mengejutkan ialah mereka menemui sehelai borang yang mengandungi perjanjian yang siap dengan tanda tangan mangsa. Walau bagaimanapun, perjanjian itu berlangsung tanpa mangsa sedari walaupun terdapat tulisan tangan mangsa di atas kertas tersebut. Antaranya yang kandung dalam perjanjian ialah, “Jikalau saya scan mendapat no 88-10 saya setuju bayar cos GST 5000 serta merta tanpa membuat bantahan.”

11.30 p.m :
Mangsa dan rakan-rakannya segera menunju ke ATM yang berdekatan untuk menyemak baki akaun Bank Islam mangsa kerana mangsa tahu bahawa biasiswa JPA sebanyak RM5325.00 baharu sahaja dikreditkan ke dalam akaun mangsa pada hari itu. Dan seperti yang dijangka, sebanyak RM4500.00 telah lesap daripada akaun mangsa.

Mangsa terus bergerak ke Balai Polis Serdang untuk membuat laporan, tetapi mangsa diminta merujuk kes di Balai Polis Cheras atas alasan kes tidak berlaku di dalam kawasan Serdang. Selepas mangsa segera pergi ke Balai Polis Cheras, pegawai polis yang mengambil keterangan memaklumkan bahawa kes ini bukan di bawah bidang kuasa mereka dan akan diserahkan untuk tindakan pegawai penyiasat.

12.30 a.m :
Berdasarkan nombor telefon yang tertera pada borang perjanjian, mangsa cuba menghubungi seorang perempuan yang bernama Apple (010-7849998). Perempuan itu dengan beraninya mengaku bahawa dia telah mengambil duit mangsa sebanyak RM4600.00 atas alasan untuk keperluan GST bagi hadiah yang mangsa menangi.

**********

Cerita di atas adalah pengakuan benar. Rakan mangsa ada membuat panggilan kepada saya malam esoknya sebab mangsa nak pergi ke satu tempat berdekat di Damansara untuk jumpa scammer tadi berdasarkan alamat yang ada.

Pada waktu itu saya berada di IKEA tapi tak dapat membantu atas sebab saya ada urusan lain. Dipercayai ketika mangsa berbual dengan sindiket terbabit mereka ada berikan serbuk yang buat mangsa berada dalam keadaan separa sedar.

Semalam saya ke Terminal Bersepadu Selatan, dan tak nampak kelibat sindiket ni dan beberapa poster ditampal di jejantas TBS bertajuk “Banteras Jenayah Scammer Gores dan Menang” dari KPDNKK. Nampak ada usaha untuk banteras scammer ni tapi mungkin kita perlu sokong kesedaran ini.

Salah satu usaha mangsa untuk menyedarkan orang ramai, dia dan bina satu team dan buat Facebook Fan Page bertajuk You Will NEVER Walk Alone. Saya menjemput pembaca yang ada pengalaman kena tipu atau nak share apa-apa LIKE page ini dan baca atau kongsikan info bersama.

Artikel berkaitan:
Penipuan melalui panggilan telefon

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *