Wanita Juga Kumpulan Sasar Utama Takaful

Dalam apa juga bidang perniagaan golongan wanita tidak ketinggalan diberi perhatian istimewa. Sebagai masyarakat pengguna wanita turut dikira kumpulan sasar penting.

Di mana-mana, termasuk di Malaysia, wanita sebagai ibu, isteri dan surirumah kerap menjadi kata pemutus dalam menentukan urusan perbelanjaan keluarga. Ini meliputi juga hal-hal berkaitan tabungan.

Misalnya, berapa banyakkah sewajarnya wang belanja diketepikan setiap bulan untuk tujuan tabungan sebagai langkah persiapan kewangan keluarga masa depan.

Oleh kerana wanita lazimnya diberi tanggungjawab oleh suami mengurus dan mengendalikan belanja harian keluarga, wanita jugalah yang sesuai menentukan kadar tabungan.

Dengan cara ini urusan perbelanjaan keluarga tidak terganggu kerana wanita senditi yang mengatur bajet keluarga.

Secara tidak langsung membuktikan kuasa belian wanita semakin besar. Apatah lagi kini bilangan wanita bekerja, sama ada makan gaji atau berniaga, yang memberi peluang mereka mempunyai pendapatan sendiri bukan kecil bilangannya.

takaful utk wanita
takaful utk wanita

Barangkali atas keadaan inilah, tidak hairan bilangan wanita yang berurusan dengan institusi kewangan sama ada perbankan atau syarikat insurans kian bertambah.

Malahan sebagai mengiktiraf pengaruh kuasa belian ini, ada institusi perniagaan termasuk sektor perbankan menyediakan keistimewaan khusus seperti kaunter khas wanita sahaja bagi memudahkan wanita berurusan dengan institusi terbabit.

Dalam sektor takaful misalnya, bilangan wanita agak ramai yang menyertai produk tabungan semata-mata bertujuan mengumpul wang secara beransur-ansur dalam satu jangkamasa tertentu untuk persiapan belanja masa depan pendidikan tinggi anak-anak seperti yang ditawarkan melalui Pelan Takaful Siswa dan Pelan Takaful Keluarga Untuk Pelajaran.

Pengalaman Takaful Malaysia sendiri memperlihatkan ramai wanita yang ingin tahu berkaitan produk takaful pendidikan, simpanan hari tua dan perlindungan untuk rawatan perubatan.

Malah ada yang sensitif sehingga ingin pasti, jika ditakdirkan selepas menyertai produk takaful, ia meninggal terlebih dahulu jangan pula sampai wang perolehan takaful diwarisi oleh orang yang tidak sepatut menerimanya, seperti isteri baru suaminya.

Sesungguhnya dalam konteks takaful sebagai sistem berasaskan Syariah, apa-apa perolehan seumpama ini akan dikira sebagai harta pesaka dan yang demikian akan tertakluk kepada pembahagian mengikut hukum faraid.

Satu lagi bukti kecenderungan wanita mengamalkan aktiviti menabung, meskipun untuk jangka pendek, dapat dilihat daripada kegiatan ‘kutu’.

Biasanya wanita termasuk surirumah akan membentuk kumpulan kutu dikalangan mereka. Setiap bulan ahli-ahli kumpulan berpakat mencarum sejumlah wang mengikut kadar yang dipersetujui bersama; dan undian dibuat menentukan ahli yang mana akan menerima imbuhan kutu.

Begitulah proses agihan imbuhan kutu dilaksana dan ditentukan setiap bulan. Ahli yang telah memperolehi imbuhan bulan-bulan sebelumnya tidak lagi termasuk dalam undian. Tempoh pusingan kutu selalunya memakan masa setahun dan tempoh baru dikuatkuasakan oleh ahli berkenaan.

Sayangnya setengah penerima imbuhan kutu biasanya telah mempunyai perancangan masing-masing untuk membelanjakan wang imbuhan yang diterima itu.

Meskipun ini tidak salah, tetapi sudah pasti lebih bermanfaat jika sebahagian imbuhan tersebut diketepikan untuk tabungan masa depan.

Ini memerlukan sedikit perancangan dan mungkin lebih penting perlu pula maklum serta faham apakah produk tabungan yang lebih sesuai untuk mencapai matlamat ini.

Secara am produk tabungan bertujuan membantu seseorang mengumpul sejumlah wang untuk digunakan bila diperlukan. Ini adalah kaedah persiapan sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku kerana menjadi lumrah hidup manusia: ada masa senang ada masa susah, ada waktu sihat dan ada waktu sakit.

Namun disebabkan lazimnya senang itu lebih lama berbanding masa susah atau umumnya lebih ramai yang sihat dan lama pula tempohnya berbanding yang sakit maka kurang diberi perhatian menyediakan persiapan sebelum susah atau sakit menyerang.

Meskipun penyakit boleh menimpa sesiapa, tetapi ada penyakit tertentu yang lebih kerap menyerang golongan wanita. Misalnya penyakit kanser anggota badan tertentu seperti rahim, saluran falopian, vagina dan payudara boleh dikatakan tertumpu kepada golongan wanita sahaja.

Mengikut kajian perubatan, wanita dua kali ganda lebih mudah ditimpa kanser berbanding lelaki. Tambahan pula, penyakit datang tidak mengenal yang tua atau muda.

Atas hakikat inilah Takaful Malaysia telah menyediakan produk-produk tertentu ditujukan khusus kepada golongan wanita sebagai salah satu kumpulan sasar utama.

Antaranya produk yang dinamakan Pelan Takaful Hawa (Takaful Hawa), terbuka kepada wanita berusia 18 sehingga 59 tahun sebagai jaminan sejumlah wang untuk membiayai kos rawatan jika ditakdirkan kanser menyerang mereka.

Oleh kerana ada penyakit kanser hanya menyerang bahagian anggota tertentu wanita, Takaful Hawa memberi tumpuan manfaat khusus seandainya anggota badan berkenaan diserang kanser. Manfaat khusus ini berupa perolehan manfaat berganda.

Oleh itu jika peserta Takaful Hawa mengidap kanser payudara, vagina atau vulva, saluran falopian, rahim, serviks dan ovari, ia akan menerima manfaat tambahan sekali ganda berbanding yang dibayar akibat kanser anggota badan lain.

Sebagai contoh, jika di bawah manfaat berbentuk wang tunai sekaligus RM20,000 disediakan bagi kanser biasa, amaun ini digandakan menjadi RM40,000 bagi kanser khusus anggota badan berkenaan.

Manfaat tunai yang dibayar boleh diguna oleh peserta untuk belanja rawatan mengikut pilihannya; sama ada rawatan hospital termasuk luar negeri atau secara berubat tradisional.

Selain manfaat ini, Takaful Hawa juga membayar manfaat lain termasuk elaun wad kerana di masukkan ke hospital, belanja pembedahan baikpulih payudara dan kos ujian pangkal rahim (pap smear).

Jika peserta yang sama meninggal dunia, tidak kira akibat kanser atau lain-lain penyakit termasuk ditimpa kemalangan, Takaful Hawa menyediakan pula wang khairat sebanyak RM4,000 yang akan dibayar kepada keluarganya.

Produk ini menyediakan tempoh penyertaan secara tahunan yang boleh diperbaharui setelah tempoh setahun tamat. Seperti produk takaful lain, Takaful Hawa menjamin pembahagiaan untung mengikut prinsip al-Mudharabah jika operasi takaful ini memperolehi keuntungan, tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Ertinya ada pulangan, sama ada perolehan tuntutan atau berkongsi untung.

Khusus wanita sebagai kumpulan sasar, Pelan Takaful Wiladah (Takaful Wiladah) pula memudahkan wanita merancang program tabungan secara jangkapanjang sebagai persiapan kewangan untuk belanja kelahiran anak.

Ada kos tertentu yang kena ditanggung apabila seseorang ibu melahirkan anak terutamanya di hospital. Biasanya bagi ibu ini atau suaminya yang bekerja, tidak semua kos perubatan bersabit kelahiran akan ditanggung dan dibayar oleh majikan meskipun majikan menyediakan kemudahan skim perubatan kepada pekerjanya.

Ini bererti kos yang tidak ditanggung majikan ini perlu dibayar sendiri oleh ibu atau suaminya. Dalam konteks ini pasangan boleh menjimatkan kos yang berkaitan melalui Takaful Wiladah.

Oleh kerana mengumpul wang mengambil masa, Takaful Wiladah menyediakan pilihan tempoh tabungan sama ada 10 tahun, 15 tahun atau 20 tahun; mengikut perancangan masing-masing. Takaful Wiladah boleh disertai oleh mana-mana wanita termasuk yang belum berumah tangga, diantara usia 18 sehingga 40 tahun.

Sesuai dengan kaedah dan amalan tabungan, banyak mana wang yang hendak dicarum bergantung kemampuan pesertanya, namun ia mestilah tidak kurang RM50.00 dan tidak lebih RM1,000 sebulan.

Perolehan manfaat akan diserahkan kepada peserta bagi menampong kos bersalin mengikut peratusan dan jumlah yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sehingga 70% baki tabungan yang terkumpul dalam Akaun Peserta Takaful Wiladah boleh dikeluarkan untuk tujuan ini; tidak kira sama ada peserta bersalin mengikut kaedah biasa atau melalui pembedahan caesarean.

Manfaat tambahan juga disediakan seandainya berlaku pelbagai masaalah atau komplikasi sewaktu bersalin. Begitu juga bayaran khusus akan dibuat jika anak yang lahir itu cacat termasuk ‘down syndrome’, cacat anggota badan, spina bifida dan seumpamanya.

Jika ibu itu meninggal dunia atas apa sebab sekalipun dan tidak terhad kepada bersalin semata-mata atau bayi yang baru lahir itu juga meninggal dunia maka ada wang khairat yang akan dibayar.

Apapun baki wang yang tidak dikeluarkan dalam Akaun Peserta akan menjadi tabungan pesertanya yang akan dibayar sebagai perolehan matang sebaik tempoh Takaful Wiladah tamat.

Sesungguhnya program kewangan melalui pelbagai produk takaful sebagaimana yang disediakan oleh Takaful Malaysia bertujuan memudahkan golongan wanita merancang tabungan masing-masing, memandangkan wanita juga mempunyai keperluan kewangan yang khusus.

Apa yang lebih penting ialah kesedaran menabung itu sendiri dan beramal dengannya. Wanita sebagai ibu dan surirumah turut bertanggungjawab membentuk keluarga sejahtera.

Begitu juga proses mendidik anak terutamanya dalam menyedari betapa penting mempunyai masa depan yang cerah melalui pendidikan tinggi. Wanita juga mempunyai peranan besar dalam memastikan urusan kewangan keluarga teratur.

Selain berbelanja untuk keperluan sekeluarga, wanita harus juga bijak mengenepikan sejumlah pendapatan untuk tujuan tabungan. Manfaatnya tidak datang bergolek tanpa usaha dan kesedaran yang bersungguh-sungguh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *