Wang Sumbangan Tidak Hangus Di bawah Takaful

Kontrak al Mudharabah yang menjadi asas operasi takaful memberi manfaat istimewa kepada pengguna. Dengan adanya hak berkongsi untung wang sumbangan, seperti premium insurans, yang dibayar oleh setiap peserta takaful sebagai balasan menyertai atau menggunakan pelbagai jenis produk takaful tidak `hangus’ atau luput sebaik sahaja tempoh penyertaan berakhir.

Asas kontrak sedemikian membawa perbezaan besar antara perniagaan insurans konvensional dengan operasi takaful yang menjadi teras sistem insurans secara Islam.

wang takaful
wang takaful

Di bawah insurans konvensional, wang premium yang dibayar setiap pemegang polisi, akan dikira langsai dan hapus kecuali sesuatu musibah menimpa keatas perkara yang dilindungi yang membawa kepada tuntutan.

Yang demikian atas balasan bayaran wang premium tersebut, pemegang polisi berkenaan akan menerima wang pampasan sebagai perolehan tuntutan.

Bagi pemegang polisi yang tidak membuat atau memperolehi apa-apa perolehan tuntutan, tiada pula diskaun atau potongan wang premium diberi kecuali polisi kenderaan berinjin yang menyediakan semacam diskaun mengikut peratusan tertentu keatas wang premium apabila polisi ini diperbaharui. Sistem diskaun ini dipanggil `diskaun bonus tanpa tuntutan (NCB)’. Ini bukan asas berkongsi untung.

Merupakan suatu amalan standard industri insurans, NCB sememangnya diakui dan diterima oleh semua syarikat insurans konvensional. Oleh itu diskaun NCB laku dan wajar diterima oleh setiap syarikat insurans sekalipun pemegang polisi menukar syarikat insuransnya.

Apapun takaful juga memperaku dan menerimapakai NCB yang sama. Oleh itu mana-mana individu atau institusi yang mahu berpindah insurans kenderaan berinjin masing-masing ke takaful dan mempunyai bukti hak NCB daripada syarikat insurans terdahulu akan diberi diskaun yang sewajarnya oleh Takaful Malaysia.

Sesungguhnya ini memperlihatkan takaful lebih kompetitif, kerana bagi perlindungan kenderaan berinjin, selain NCB sebagai diskaun wang sumbangan semasa penyertaan, peserta berhak mendapat untung pada akhir tempoh penyertaan berasaskan kontrak al Mudharabah.

Dengan kata lain, takaful bukan sahaja ada diskaun `harga’, tetapi hak berkongsi untung pula jika operasi takaful benar-benar perolehi untung.

Hak berkongsi untung di bawah kontrak al Mudharabah ini merangkumi kedua-dua jenis operasi takaful: keluarga dan am. Cuma yang membezakan keuntungan yang akan dikongsi itu pada takrif sahaja.

Bagi takaful keluarga khususnya produk jangkapanjang, yang dipanggil Pelan Takaful Keluarga Dengan Tempoh Matang, yang menyediakan program tabungan untuk suatu tempoh tertentu kepada individu, paling minima lima tahun dan maksima 40 tahun.

Kaedah berkongsi untung telah dihuraikan dalam kolum terdahulu. Namun takaful keluarga juga mempunyai produk jangka pendek dengan tempoh penyertaan setahun dan yang boleh diperbaharui setiap tahun.

Secara am produk jangka pendek adalah produk berkelompok, yang mana kaedah berkongsi untung adalah sama dengan produk takaful am seperti kebakaran, kenderaan berinjin, kemalangan diri dan sebagainya.

Keuntungan produk takaful keluarga jangka panjang adalah pulangan keatas pelaburan wang caruman yang dibayar oleh setiap peserta.

Ertinya jika nisbah berkongsi untung mengikut kontrak al Mudharabah 7:3 maka 70% pulangan pelaburan tersebut diagihkan kepada peserta dan baki 30% adalah untuk pengendali takaful.

Yang demikian pendapatan atau hasil produk takaful keluarga ini banyak dipengaruhi oleh daya pulangan pelaburan yang rata-rata dipengaruhi oleh iklim ekonomi serta prestasi pasaran kewangan khasnya pasaran kewangan Islam.

Selain hak berkongsi untung pelaburan peserta produk ini juga berhak memperolehi agihan keatas apa-apa lebihan wang tabarru’ yang terkumpul dalam Akaun Khas Peserta (AKP). Ini tidak bererti agihan dibuat daripada amaun tabarru’ asal kerana mengembalikan kepada penderma asal wang yang telah didermakan adalah bercanggah dengan peraturan Syariah.

Apa yang diagihkan adalah lebihan AKP yang dihasilkan daripada untung pelaburan serta kurangnya jangkaan kematian. Kaedah menentunya adalah ketat yang dibuat berpandukan asas-asas tertentu oleh pakar aktuari mengikut undang-undang. Tiada yang dibuat sewenang-wenang oleh pengendali.

Namun lebihan AKP hanya diagihkan kepada peserta sahaja apabila penyertaan produk takaful keluarga jangkapanjang yang disertainya genap tempoh. Dalam hubungan ini pengendali takaful tidak mendapat apa-apa bahagian daripada lebihan wang tabarru’ dalam AKP itu.

Mengikut Syariah, pengendali takaful tidak berhak mendapat apa-apa bahagian atau berkongsi lebihan AKP atas hakikat tiada peserta yang meninggal dunia atau jumlah yang meninggal dunia kurang daripada jangkaan sehingga ada lebihan tersebut.

Dengan kata lain pengendali tidak boleh mendapat atau mengaut untung atas hidup atau mati peserta daripada wang tabarru’ mereka. Sebaliknya lebihan seumpama ini hendaklah dikembalikan semula kepada peserta dengan syarat peserta masih hidup semasa penyertaannya genap tempoh.

Di bawah produk takaful berkelompok pula kaedah perkiraan untung yang akan dikongsi mengikut kontrak al Mudharabah pada dasarnya dibuat setiap tahun sempena tamat tempoh penyertaan produk.

Seperti untung produk takaful am, apa-apa pulangan pelaburan keatas wang sumbangan yang dibayar peserta produk takaful keluarga berkelompok yang terkumpul dalam Akaun Takaful Keluarga Berkelompok (ATKB) akan dicampur lebihan wang sumbangan ditakrif sebagai untung ATKB. Untung inilah yang akan dikongsi diantara peserta dan pengendali mengikut kontrak al Mudharabah.

Lebihan wang sumbangan adalah baki semua wang sumbangan yang terkumpul dalam ATKB selepas ditolak bayaran tuntutan dan apa-apa peruntukan serta rezab yang berkaitan dengannya. Oleh itu faktor besar yang mempengaruhi lebihan wang sumbangan adalah tuntutan. Jika ramai orang yang dilindungi ditimpa musibah dan tragedi besarlah perolehan tuntutan yang mengalir keluar dari ATKB. Sekaligus menjejaskan baki wang sumbangan yang akan menjadi sebahagian untung yang akan dikongsi.

Di bawah kontrak al Mudharabah, takrif untung ini wajar jelas dan telus. Untung pelaburan wang caruman dalam ATKB mesti dikira sekali dengan wang lebihan sumbangan. Memisahkan antara keduanya boleh merosakkan hak perkongsian tersebut.

Dalam konteks ini sebagai contoh berkongsi untung pelaburan tidak boleh dikira berasingan dengan berkongsi lebihan wang sumbangan. Kedua-duanya dikira satu di bawah kontrak al Mudharabah.

Mengikut kontrak yang sama, jika berlaku kerugian pengendali sebagai pengusaha tidak akan turut menanggung atau memikul kerugian tersebut. Apapun pengendali turut terjejas kerana pihaknya tidak mempunyai apa-apa hasil dan pendapatan daripada kontrak al Mudharabah dengan peserta.

Yang menanggung kerugian sepenuhnya adalah peserta sebagai pihak yang menyumbang modal. Oleh itu memisahkan kaedah perkiraan untung diantara pulangan pelaburan dengan lebihan wang sumbangan memberi implikasi yang tidak saksama kerana jika salah satu daripadanya mengalami kerugian perkiraan untung kepada peserta akan terjejas dan boleh membawa kepada ketidakadilan.

Yang demikian mengikut syarak takrif untung di bawah kontrak al Mudharabah seumpama ini mesti jelas bagi mengelak manipulasi oleh pihak-pihak berakad.

Artikel berkaitan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *