Tuntutan Takaful Keluarga Boleh Menjadi Manfaat Pencen

Matlamat besar seseorang menggunakan produk takaful antara lain adalah untuk mendapat sejumlah manfaat berupa bantuan wang jika ditakdirkan sesuatu musibah menimpanya.

Daripada manfaat ini peserta takaful setidak-tidaknya dapat meringankan sedikit beban kewangan yang kena ditanggungnya atau ahli warisnya atas kerugian dan penderitaan yang menimpa.

Oleh itu bagi peserta ini tujuan menggunakan produk takaful adalah memastikan kemudahan perlindungan dan juga tabungan yang akan diperolehinya dalam bentuk sejumlah wang daripada produk takaful yang disertainya dapat disediakan dengan sempurna oleh pihak yang menguruskan operasi takaful iaitu pengendali takaful, seperti Takaful Malaysia, yang dilesen dan dikawalselia mengikut peruntukan undang-undang khas – Akta Takaful 1984.

Kawalselia undang-undang sebegini terutama bagi sektor industri kewangan amat wajar dalam memupuk keyakinan dan kredibiliti kerana di bawah operasi takaful ia membabitkan amanah dalan urusan menjaga wang orang ramai.

takafullink
takafullink

Fikir Dengan Mantap

Dalam konteks inilah barangkali ungkapan ‘ketenangan fikiran’ yang sering dikaitkan dengan slogan strategi pemasaran insurans konvensional boleh juga terpakai untuk takaful.

Peserta takaful tidak lagi merasa gundah kerana terpaksa kena memikirkan bagaimana boleh mendapatkan bekalan wang untuk menghadapi kesan musibah jika sesuatu yang tidak diingini menimpa hartabenda atau dirinya.

Misalnya seorang suami dan bapa tidak akan bebas dari memikirkan tentang hidup anak-anak yang masih kecil tanpa bapa dan bagaimanakah isterinya akan menyara hidup sekeluarga seandainya sebagai ketua keluarga sisuami meninggal dunia lebih awal.

Atas hakikat inilah mana-mana orang yang menjadi peserta takaful berhak membuat tuntutan sebagai balasan atas penyertaan produk takaful, daripada pengendali takaful, sebagai pihak yang diberi amanah menguruskan dana bersama atau kumpulanwang takaful yang sememangnya dibentuk khusus untuk menyediakan manfaat kewangan kepada peserta yang menanggung kerugian kesan ditimpa musibah. Seperti insurans, operasi takaful mempunyai pelbagai jenis tuntutan.

Perniagaan Takaful Keluarga dan Am

Oleh kerana pada dasarnya operasi takaful terbahagi kepada dua – Perniagaan Takaful Keluarga dan Perniagaan Takaful Am – tuntutan yang boleh dibuat sudah pasti berbeza diantara kedua jenis perniagaan ini.

Oleh kerana pada dasarnya, takaful keluarga menyediakan produk-produk takaful yang berkaitan dengan perlindungan diri seseorang maka tuntutan yang boleh dibuat adalah yang bersabit daripada berlakunya sesuatu musibah keatas diri peserta.

Sebagai contoh, akibat diserang penyakit atau ditimpa kecelakaan peserta meninggal dunia atau dimasukkan ke hospital atau menderita kecacatan anggota badan maka manfaat tuntutan akan dibayar atas penderitaan berkaitan mengikut kontrak takaful.

Dari segi manfaat yang disediakan takaful keluarga boleh menyaingi kemudahan polisi insurans nyawa di bawah sistem konvensional. Syarat dan peraturan kontrak terkandung dengan jelas dalam dokumen yang dipanggil ‘Sijil Takaful’.

Namun demikian perlindungan bukan semata-mata menjadi matlamat produk takaful keluarga. Sebaliknya matlamat tabungan adalah sama penting. Apabila genap tempoh penyertaan, sekalipun peserta tiada menghadapi apa-apa musibah, wang yang terkumpul dalam tabungan akan dikembalikan kepadanya sebagai perolehan matang.

Manfaat yang dibayar ketika matang ini berupa jumlah keseluruhan wang caruman yang dibayar oleh peserta secara beransur-ansur sepanjang tempoh penyertaan dan juga apa-apa untung pelaburan keatas wang caruman tersebut yang terkumpul dalam tempoh yang sama.

Dalam operasi takaful, wang caruman untuk tujuan tabungan peserta dikenalpasti dengan jelas serta diurus dan ditadbir oleh pengendali takaful dalam satu akaun khusus yang dipanggil ‘Akaun Peserta’ (AP) yang tidak dicampur adukkan dengan dana-dana lain.

Sesuai dengan AP sebagai tabungan peserta dan diperkuatkan pula melalui akad mengikut landasan Syariah, operasi takaful yang berasaskan kontrak berkongsi untung dibawah prinsip al Mudharabah, setiap sen dalam AP adalah hanya milik peserta semata-mata.

Pengendali takaful sebagai pengurus dan pemegang amanah tidak boleh menggunakan AP untuk membiayai atau menampong belanja mengurus pengendali sendiri.

Atas dasar ini jugalah, mana-mana peserta yang terpaksa menyerah atau memberhentikan penyertaan produk takaful keluarganya sebelum genap tempoh, mungkin kerana terdesak memerlukan wang secara mendadak, keseluruhan baki AP akan dikembalikan kepadanya.

Itu sebabnya di bawah operasi takaful yang berlandaskan prinsip al Mudharabah seperti yang dilaksanakan oleh Takaful Malaysia, wang caruman peserta tidak hangus. Wang caruman peserta yang terkumpul menjadi tabungan dalam AP.

Berbeza dengan insurans konvensional, takaful tidak menyediakan produk seperti polisi insurans sementara (term assurance) yang tidak membuat apa-apa bayaran samada kepada peserta sendiri mahupun ahli warisnya, sekalipun peserta masih hidup sewaktu tempoh polisi insurans sementara ini tamat. Pelaksanaan produk seperti ini sudah pasti tidak selaras dengan rukun al Mudharabah.

Apapun selain perolehan AP, manfaat matang di bawah takaful akan ditambah pula dengan wang lebihan yang diperaku dan disahkan oleh aktuari bertauliah daripada penilaian yang dilakukan keatas ‘Akaun Khas Peserta (AKP)’.

Secara kasar lebihan ini diperolehi setelah mengambilkira unjuran tanggungan yang kena dibayar oleh AKP jika ditakdirkan peserta meninggal dunia berpandukan kepada jadual kematian mengikut peringkat umur setiap peserta.

Memandangkan semua peserta bersetuju menyumbang sebahagian wang caruman masing-masing ke dalam AKP mengikut perjanjian bersetuju secara tabarru’, lebihan yang dikira setiap tahun oleh aktuari itu berupa anggaran bagi tahun-tahun berkenaan sahaja.

Lebihan tabarru’ seumpama ini, yang amaunnya boleh berubah dari setahun ke setahun dan tidak dapat dimuktamadkan selagi produk takaful belum genap tempohnya, tidak boleh diperakukan sebagai untung operasi.

Oleh itu lebihan aktuari ini hanya boleh diagihkan kepada peserta yang tamat tempohnya sahaja. Yang demikian tiada apa-apa perkongsian yang dibuat dengan pengendali.

Sebelum bayaran manfaat matang dapat disempurnakan, ia akan melalui proses tertentu. Selaku pengurus dan pemegang amanah, pengendali takaful lazimnya akan memaklumkan melalui notis bertulis kira-kira dua bulan terdahulu kepada peserta yang akan matang produk takaful keluarganya.

Peserta dikehendaki menyerahkan beberapa dokumen termasuk naskah asal Sijil Takaful, salinan kad pengenalan yang disahkan dan dokumen-dokumen lain berkaitan, jika perlu.

Sekiranya naskah asal Sijil Takaful hilang, peserta hendaklah mendapatkan surat sumpah yang diperakukan oleh Pesuruhjaya Sumpah akan kehilangan tersebut.

Setelah penyerahan dokumen yang lengkap diterima, pengendali akan memaklumkan secara bertulis amaun manfaat yang akan dibayar sebagai perolehan manfaat matang mengikut pecahan amaun wang caruman yang terkumpul dan untung pelaburan kepada peserta.

Peserta kemudian dikehendaki menandatangani baucer pelepasan atau discaj sebagai persetujuannya menerima amaun manfaat matang yang ditawarkan oleh pengendali dan proses berkenaan dimuktamadkan.

Melalui baucer pelepasan ini juga peserta memperakukan tiada apa-apa lagi tanggungan yang diwajibkan keatas pengendali mengikut kontrak produk takaful keluarga yang matang itu. Bayaran sebenar, biasanya melalui cek berpalang atas nama peserta akan dihantar kepada peserta.

Menyedari hakikat keperluan kewangan seseorang adalah sepanjang hayat, peserta sebagai penerima manfaat matang ini harus terus merancang dalam mencari cara terbaik memaksimakan penggunaan wang manfaat tersebut.

Sudah menjadi lumrah, seseorang akan mudah berbelanja bila ada wang banyak dalam tangan. Sebaliknya wajar menjadi cabaran bagaimana memastikan perolehan ini tidak habis dalam sekelip mata.

Sedangkan semasa menyertai produk takaful keluarga dahulu tujuannya untuk menabung secara beransur-ansur dari pendapatan yang diperolehi hasil titik peluh peserta sendiri.

Bagi memudahkan peserta sebegini terus mengatur perancangan kewangan peribadi dan keluarga melalui takaful dia boleh menyertai produk takaful yang bersesuaian, mengikut umur dan keperluan kewangannya. Dalam hubungan ini,

Takaful Malaysia sebagai contoh, menyediakan produk yang dapat membekalkan aliran pendapatan secara beransur-ansur dalam bentuk pencen seperti anuiti yang dipanggil ‘Takaful Maasyi (TM).

Matlamat TM membolehkan peserta mencarum kembali perolehan manfaat matang produk takaful keluarga dengan perolehan maasyi dibayar kepadanya secara beransur-ansur samada sebulan sekali atau mengikut lat yang dipilihnya.

Seseorang yang masuk usia bersara produk takaful keluarga tidak lagi sesuai; sebaliknya TM lebih relevan dengan keperluan kewangannya.

Bayaran Caruman

Jika produk takaful keluarga menetapkan peserta membayar wang caruman secara beransur-ansur sepanjang tempoh penyertaan selagi peserta masih hidup, TM sebaliknya memerlukan peserta membayar wang caruman sekaligus pada masa penyertaan berkuatkuasa.

Berasaskan kontrak berkongsi untung mengikut prinsip al Mudharabah, wang caruman ini akan dilabur dan apa-apa untung pelaburan akan dikongsi dengan peserta. Manfaat maasyi akan dibayar seperti wang pencen kepada peserta.

Namun sebahagian daripada wang caruman sekaligus yang dibayar itu, peserta juga bersetuju untuk dimasukkan ke dalam akaun khusus yang dipanggil Akaun Waqaf Maasyi (AWM). Berbeza dengan tabarru’, pewaqaf mengikut syarak boleh sama-sama menggunakan harta yang diwaqafkannya dengan pihak lain.

Atas prinsip ini manfaat maasyi yang diterima oleh peserta secara beransur-ansur itu termasuk sebahagiannya daripada perolehan AWM.

Bagi Takaful Malaysia yang telah beroperasi hampir 18 tahun, semakin ramai peserta yang masih hidup yang akan memperolehi manfaat matang produk takaful keluarga masing-masing.

Kepada peserta-peserta yang menyertai takaful keluarga dengan tempoh antara 10, 15 dan 20 tahun barangkali ada yang akan menerima manfaat matang dalam tahun ini. Sekiranya sedemikian TM dapat memastikan perancangan kewangan mereka sepanjang hayat.

Apapun di bawah operasi takaful, peserta tidak diberi pilihan secara otomatik untuk menukarkan produk takaful keluarga yang matang kepada TM. Ini adalah disebabkan asas kontrak kedua-dua produk ini berbeza. Menyertai TM memerlukan akad baru.

Dalam konteks ini peserta amat digalakkan menggunakan perolehan manfaat matang untuk terus kekal dengan operasi takaful melalui produk TM.

Semasa usia muda, seseorang wajar merancang bagaimana menjamin sejumlah wang sebagai bekalan kepada ahli waris yang ditinggalkan jika ditakdir dia meninggal lebih awal.

Ini boleh dirancang dengan bantuan produk takaful keluarga. Sebaliknya orang yang sama perlu juga merancang bagaimana dia boleh menjamin bekalan wang berterusan jika ditakdirkan umurnya panjang selepas tempoh persaraan dan tiada lagi punca pendapatan tetap kerana sudah tidak bekerja lagi.

Ini boleh pula dirancang melalui kemudahan yang disediakan oleh produk maasyi. Dengan pelbagaian ini operasi takaful dapat menyediakan produk takaful bagi memenuhi keperluan kewangan setiap orang, baik muda mahupun yang sudah bersara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *