Tiada `Harga’ Dikenakan Dalam Takaful

Pelaksanaan insurans secara Islam berpandukan konsep takaful adalah berasaskan kontrak al Mudharabah yang bermaksud berkongsi untung.

Bila disebut berkongsi untung pada dasarnya mesti ada satu pihak yang menyedia dan mengeluarkan wang seumpama `modal’ untuk diserah atau disumbang kepada satu pihak lain yang bertanggungjawab mengendali serta menguruskan sesuatu projek atau usahaniaga.

Dengan kata lain, di bawah kontrak al Mudharabah akan ada penyumbang modal yang bersetuju membekal wangnya kepada pengusaha atau peniaga dan mesti ada pula projek atau usahaniaga yang dijalankan.

Jika projek atau usahaniaga itu menguntungkan serta berdayajaya, perolehannya akan menghasilkan pulangan untuk dikongsi diantara penyumbang modal dengan pengusaha.

Banyak mana bahagian untung yang akan diperolehi diantara kedua pihak itu bergantung kepada nisbah perkongsian yang dipersetujui semasa kontrak al Mudharabah dimeterikan.

Oleh itu mudharabah merupakan antara kaedah yang boleh digunakan untuk menjana kegiatan ekonomi dengan menggabungkan kerjasama pihak yang banyak wang dan bersedia mengambil risiko perniagaan dengan pihak pengusaha atau peniaga yang mempunyai kepakaran dan daya keusahawanan.

pelaksanaan takaful
pelaksanaan takaful

Dalam mana-mana kontrak termasuk kontrak al Mudharabah, kewajipan dan tanggungjawab pihak-pihak yang berkontrak mestilah jelas, nyata dan telus.

Di bawah takaful misalnya mengikut susunan, peserta takaful sebagai pihak penyumbang wang yang dipanggil `sahibul-mal’ akan mengeluar atau membiayai wang caruman/sumbangan takaful yang dipanggil `ra’sul mal’ kepada pihak pengendali takaful seperti Takaful Malaysia atau disebut `mudharib’ sebagai pengusaha yang bertanggungjawab menyedia dan melaksanakan perniagaan takaful sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Takaful 1984.

Mengikut susunan ini, khasnya produk takaful keluarga dengan tempoh matang tertentu, peserta takaful boleh menyertai mana-mana produk pilihannya itu akan membayar wang caruman/sumbangan takaful, mengikut kemampuan peserta itu sendiri, sebagai balasannya.

Atas dasar `penyertaan’ dan bukan `pembelian’ seperti seorang pemegang polisi membeli polisi insurans nyawa di bawah sistem konvensional, tiada harga atau kos yang kena dibayar oleh peserta takaful kepada pengendali takaful.

Dengan perbezaan inilah peserta takaful tidak membuat bayaran premium seperti harga polisi yang kena dibayar di bawah sistem konvensional.

Di bawah mana-mana transaksi jualbeli harga boleh berubah, adakala `mahal’ dan adakala `murah’ bergantung kepada keadaan pasaran. Dalam konteks ini pasaran insurans juga tidak terkecuali: umpamanya, premium polisi insurans nyawa berbeza mengikut usia seseorang pemegang polisi.

Lazimnya semakin tua, semakin tinggi pula premiumnya. Selain itu faktor ekonomi juga boleh mempengaruhi kadar premium.

Misalnya baru-baru ini dalam media telah dilaporkan berita beberapa syarikat insurans yang akan menaikkan kadar premium insurans nyawa dan ada pula yang berura-ura untuk menarikbalik beberapa produk semata-mata disebabkan prestasi pelaburan yang lembab yang boleh menjejaskan unjuran pulangan pelaburan kerana kegawatan ekonomi yang kelihatan lambat pulih.

Begitu juga kesan sesuatu bencana besar seperti serangan ke atas bangunan pencakar langit `World Trade Centre’ di New York September lalu. Dengan kebanyakan syarikat insurans di seluruh dunia menghadapi bayaran tuntutan yang besar, sering dilaporkan kemungkinan kadar premium ditingkatkan.

Pendeknya atas asas jualbeli sudah pasti pihak-pihak yang berkontrak tidak dapat elak menanggung beban pertambahan kos. Biasanya pengguna atau pembeli yang akan menanggungnya.

Dalam transaksi takaful, khususnya produk takaful keluarga tidak berlaku jualbeli dalam erti kata pengguna kena membayar harga tertentu sebagai balasan untuk mendapatkan kemudahan perlindungan.

Sebaliknya sebagaimana yang tersirat dalam konsep takaful yang menggambarkan satu pakatan saling jamin menjamin dan kerjasama setiakawan peserta takaful menyumbang wang untuk membantu rakan peserta dalam kesusahan kerana ditimpa musibah menerusi berbagai produk yang disedia dan diuruskan oleh pengendali sebagai pengusaha takaful.

Sama seperti program kerjasama dikalangan ahli-ahli kelab kebajikan misalnya, peserta takaful yang bersetuju dan benrpakat untuk saling jamin menjamin sesama mereka akan menyedia wang caruman atau sumbangan masing-masing yang dikreditkan pula ke dalam suatu tabung khusus yang dipanggil kumpulanwang takaful.

Pengurusan kumpulanwang ini pula diasingkan daripada mana-mana kumpulanwang pengendali seperti kumpulanwang pemegang saham.

Atas hakikat ini, peserta takaful tidak `membeli’ polisi dan yang demikian tiada pula harga seperti premium insurans yang kena dibayarnya. Sekaligus wang caruman/sumbangan takaful tidak ditentukan amaunnya oleh pihak penjual seperti premium insurans.

Sekaligus juga tiada pula jumlah perlindungan yang ditetapkan sekiranya berlaku musibah kepada peserta takaful. Selain itu sekalipun kontraknya berkongsi untung, tiada jaminan diberikan sekiranya tiada untung yang diperolehi terutamanya pelaburan wang caruman.

Sesungguhnya amaun wang caruman/sumbangan takaful itu bergantung serta mengikut kemampuan peserta itu sendiri. Hanya yang ditentukan oleh pengendali, dan ini mungkin berbeza diantara satu pengendali dengan pengendali yang lain mengikut operasi masing-masing adalah tertentu amaun minima wang caruman/sumbangan tersebut.

Sebagai contoh, bagi produk takaful keluarga dengan tempoh matang amaun minima yang ditetapkan oleh Takaful Malaysia pada masa ini mestilah bersamaan tidak kurang RM15 sebulan.

Selain itu bagi produk takaful keluarga dengan tempoh matang, peserta takaful sendiri yang akan membuat pilihan yang mana satu produk hendak disertainya. Barangkali tempoh matang yang dipilih bergantung kepada selama mana jangkamasa pelaburan dan tabungan yang dimatlamatnya.

Mungkin disinilah umur semasa menyertai dengan jangkaan umur bersara akan diambilkira oleh peserta takaful. Umpamanya jika tempoh yang dipilih itu 15 tahun, peserta takaful berkenaan kena membayar wang caruman samada sebulan, tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali sepanjang tempoh 15 tahun itu selagi dia masih hidup.

Manakala banyak mana wang caruman yang hendak dibayarnya terpulang kepada kemampuannya, tetapi tidak kurang daripada amaun minima bersamaan RM15 sebulan. Namun begitu peserta takaful tidak pula digalakkan mencarum melebihi 10 peratus pendapatannya kerana komitmen lain juga perlu diambilkira olehnya.

Sebagai contoh, jika pendapatannya RM2,000 sebulan, amaun wang caruman tidak digalakkan melebihi RM200 sebulan. Yang harus diutamakan, penyertaan jangan terhenti sebelum genap tempoh semata-mata disebabkan wang caruman menjadi beban kewangan.

Sememangnya menyertai produk-produk takaful lebih mudah kerana pilihan berasaskan komitmen kewangan senang ditentukan oleh peserta takaful sendiri.

Tidak timbul desakan membayar wang caruman melebihi kemampuan, seperti bayaran premium insurans yang tinggi kerana semata-mata mahukan jumlah perlindungan yang besar walaupun premium sudah menjadi suatu beban belanja.

Atas asas penyertaan, peserta takaful, bila-bila masa, juga boleh menambah atau mengurangkan wang caruman yang dibayarnya.

Misalnya peserta takaful boleh menambahkan wang caruman selaras dengan bertambahnya pendapatan seperti kenaikan gaji. Fleksibiliti ini memberi kebebasan memilih sesuai dengan perancangan kewangan dan program belanjawan peserta takaful.

Ini selaras dengan tuntutan Islam yang memberi kebebasan memilih selagi sistem yang dipilih itu tidak terkeluar dari landasan syarak. Wang caruman produk takaful keluarga juga diberi pengecualian cukai pendapatan.

Artikel berkaitan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *