Apa yang akan anda lakukan kalau anda mendapat seorang teman lelaki yang suka mengambil kesempatan atas orang lain?
Teman lelaki yang asyik nak anda mengalah dan ringan tangan membayar bil tak kiralah masa itu dia yang sebenarnya mengajak anda keluar dating atau makan di restoran. Pergi tonton wayang pun perlu anda beli tiket, popcorn dan minuman untuk dia.
Kalau anda mempunyai teman lelaki seperti ini tetapi dia merupakan seorang pemegang status penganggur terhormat, tak apalah kan itu bab lain. Kita boleh buat-buat faham kedudukan ekonominya yang mungkin tidak menentu.
Tapi bagaimana pula dengan lelaki yang mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji yang tinggi? Yang gajinya masuk setiap bulan, dan keseluruhan badannya pakai dengan pakaian mahal dan berjenama. Serta kasut yang dipakainya juga berkilat dan minyak wangi berharga ratusan ringgit.
Perlukah teman wanitanya yang memikul tanggungjawab sebagai pelunas bil setiap kali keluar untuk dating bersama? Pendek kata ikut prinsipnya “duit you… duit i juga, duit i… duit i juga”. Wah cantik punya ayat yang dikatakan macam ni, bukan? Sebagai seorang wanita, adakah anda ingin dapat seorang teman lelaki yang mempunyai perangai seperti ini?
Ada Juga Wanita Yang Suka Lelaki Jenis Ni
Walaupun ramai daripada kita meminta dijauhkan untuk mendapat seorang teman lelaki yang seperti ini, tapi siapa yang dapat menafikan bahawa ada juga di antara kaum-kaum wanita yang buta hatinya dan dengan ikhlas merelakan diri diperas oleh teman lelaki.
Biasalah, sayang punya pasal beb, kalau boleh semua yang dia nak bagi sajalah kepadanya. Tapi kalau sudah sampai tahap bila membeli-belah teman lelaki pisau cukur tak membeli untuk anda sebaliknya dia pula yang tak menang tangan memilih barang keperluan dirinya dan tanpa malu meminta anda membayar untuk semua barang yang dia beli tu, macam mana anda ingat? Perlukah anda masih terus bertoleransi dengan lelaki kaki kikis seperti ini?
Hah… Jangan anda rasa terperanjat, ini bukan suatu gurauan tetapi perkara seperti ini memang selalu berlaku di kalangan kita. Lelaki pisau cukur sebenarnya cukup pandai untuk bermain dengan perasaan dan menangguk di air yang keruh.
Peliknya si perempuan pula seakan tak kisah dan sanggup mengeluarkan wang demi kekasih hatinya tanpa sebarang alasan! Kononnya demi cinta yang tulus ikhlas terhadap teman lelaki. Padanlah jika si perempuan berperangai macam ni, mungkin kumbang dah pupus zaman millenium ni, tu yang perigi terhegeh-hegeh mencari timba. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran ya adik-adik sekalian.
Mereka Perlu Diberi Kauseling Dengan Kaw-kaw
Bagi saya teman lelaki seperti ini perlulah diberi kaunseling sehingga menitiskan air mata buaya atau pun dibuang terus dari senarai bakal suami anda.
Serius! Saya rasa lelaki macam ini adalah sungguh kedekut sampai ke tahap Haji Bakhil! Mana boleh semua benda yang anda pakai perlu dibayar oleh kekasih anda?
Ingat, kalau hari ini lelaki yang anda ingat dia sayangkan mu sudah berani untuk meminta itu dan ini, tidak mustahil bila sudah kahwin esok lusa nanti semua perbelanjaan dapur akan dibegitu dibeginikan kat atas bahu anda seorang nanti.
Nak harapkan hidu bau duit gaji dia selepas kahwin? Boleh saja anda nampak dalam mimpi anda! Saya pasti satu sen pun anda tak akan dapat jumpa.
Percaya pada saya, tidak kira betapa anda cinta padanya, tidak larat untuk anda hidup dengannya juga buat selama-lamanya.
Perlulah Wanita Mempunyai Sedikit Insaf
Maka, si perempuan yang merupakan hamba kepada percintaan, tak kesian ke dengan diri sendiri untuk cinta dengan buta terhadap lelaki jenis ini?
Seharian suntuk membanting tulang, memerah keringat tapi tidak mendapat belaian yang sewajarnya dek kerana sifat kedekut terhadap diri sendiri dan lebih memewahkan teman lelaki?
Seharusnya anda boleh mendapatkan gaji keras dari kerja yang anda rajin lakukan dan berbelanjalah untuk diri sendiri atau keluarga anda terlebih dahulu sebelum berkongsi gaji dengan teman lelaki. Membuat macam itu baru adalah adil biarpun untuk anda sendiri.
Janganlah sekali untuk anda membuang duit dengan benda yang merugikan diri sendiri tanpa mendapatkan sebarangan manfaat daripadanya.
Justeru sebelum mengambil keputusan untuk berumahtangga dengan kekasih pilihan hati anda, adalah baik untuk anda luangkan sedikit masa terlebih dahulu untuk memerhatikan perangai kedekut bakal suami anda tu.
Anda boleh kaji dan selidiki tabiat berbelanjanya dengan teliti. Lepas kajian dan anda rasa anda mampu dan tahan untuk makan hati sepanjang hidup bersamanya nanti, maka bolehlah anda teruskan apa yang anda nak buat. Saya tiada hak untuk menghalang anda untuk melakukan kesemuaan yang anda ingin lakukan. Lagipun bukan saya yang bakal menderitakan? Betul kan?