Web Analytics
Takaful Sebagai Kaedah Menguruskan Risiko

Takaful Sebagai Kaedah Menguruskan Risiko

Ketidakpastian, berlaku atau tidaknya sesuatu gejala sememangnya tidak boleh dipisah dari apa juga kegiatan atau perbuatan seharian hidup manusia. Kesan semua ini boleh membawa kerugian kepada mangsa atau pihak-pihak terbabit akibat kemusnahan atau kehilangan yang berlaku.

Kehilangan hartabenda, semestinya suatu penderitaan yang berat, tetapi berat lagi kesannya jika ia mengancam nyawa manusia. Malah buruk pula jika ia menggugat kestabilan ekonomi sesebuah negara. Dalam istilah moden, kesemua gejala ini dipanggil risiko.

perlindungan takaful
perlindungan takaful

Usaha mengelak risiko telah menjadi fitrah manusia. Tiada orang kalau boleh mahu memikirkan risiko menimpa dirinya apatah lagi menanggung bebannya. Dengan kata lain, apa juga bentuk risiko, tidak kira kecil atau besar perlu ditangani dengan sempurna.

Dalam ertikata yang lebih formal, perancangan mengelak gejala tidak diingini ini dipanggil pengurusan risiko (risk management). Ternyata pentingnya pengurusan risiko sebagai salah satu strategi pengurusan moden sehingga ia disusun menjadi satu disiplin pengajian ilmiah oleh institusi pengajian tinggi.

Matlamat utama strategi menguruskan risiko untuk mengelak dan meringankan beban kewangan yang kena dipikul seandainya risiko datang melanda juga.

Sesungguhnya dalam kaitan ini merancang dan usaha menguruskan risiko adalah sejajar dengan tuntutan Islam. Sekalipun seorang muslim dikehendaki beriman dengan qada` dan qadar dan beritikad setiap yang berlaku itu adalah takdir Allah, oleh itu hendaklah menghadapinya dengan penuh keimanan, ini tidak pula bererti seseorang itu tidak wajar melakukan sesuatu, ataudan sekadar berpeluk tubuh sahaja.

Sebaliknya dalam Islam, manusia dituntut berusaha bukan sahaja bagi mengelakkan risiko tetapi diwaktu yang sama meringankan kesan atau natijah yang kena ditanggung seandainya risiko yang hendak dielak itu melanda juga. Inilah antara jalan ikhtiar yang boleh difikir dan dilaksanakan oleh manusia, selain berdoa dan menyerah kepada takdir.

Sesungguhnya usaha mengelakkan risiko atau meringankan beban kerugian yang dikena ditanggung boleh dibuat melalui berbagai cara dan kaedah. Sebahagian besar daripadanya barangkali sememangnya sentiasa diamal dan dilakukan setiap hari oleh manusia samada secara sedar atau tidak.

Antara yang paling mudah yang secara lumrah dilakukan oleh setiap orang ialah menguncikan rumah sebelum keluar. Di jalan raya pula amalan memandu dengan cermat dengan mematuhi peraturan lalulintas.

Begitu juga menyimpan atau menabung wang dalam pelbagai institusi kewangan; tidak lagi di bawah tilam atau dalam tanah. Semua ini bertujuan baik iaitu untuk mengelak sama ada berlakunya risiko pencerobohan, kecelakaan, kehilangan atau kecurian.

Beban yang kena ditanggung amat berat jika dilanda risiko ini. Disamping itu ada pula peluang memperolehi pulangan atau keuntungan wang yang ditabung sebagai kelebihan amalan menguruskan risiko yang sama.

Diperingkat lebih kompleks, antara kaedah menguruskan risiko yang lazim dan biasa diguna oleh masyarakat ialah sistem insurans. Malahan dalam keperluan tertentu, sistem insurans menjadi wajib disisi undang-undang.

Contoh jelas adalah peraturan mewajibkan mana-mana kenderaan yang menggunakan jalanraya sekurang-kurangnya hendaklah dilindungi oleh jenis insurans pihak ketiga.

Begitu juga kemudahan pembiayaan atau pinjaman perbankan tidak akan sempurna dan wang tidak akan dikeluarkan oleh institusi kewangan jika peminjam atau penerima biaya, samada individu atau institusi, tidak bersedia membeli insurans melindungi hartabenda yang dibeli dengan wang pinjaman atau pembiayaan tersebut.

Dalam konteks ini takaful juga menyediakan khidmat yang sama seperti insurans kepada peminjam dan penerima biaya. Jika kemudahan pembiayaan itu sendiri berlandaskan Syariah maka wajar sekali perlindungan insuransnya disediakan melalui takaful.

Sehubungan ini, berikhtiar menguruskan risiko bukan bererti menentang takdir atau tidak beriman dengan qada` dan qadar. Insurans secara konsep, pada dasarnya tidak bercanggah dengan tuntutan Islam.

Apa yang bercanggah ialah perjalanan atau operasi insurans itu yang tidak menepati rukun-rukun tertentu mengikut syarak dari segi kontraknya. Berdasarkan kontrak jual beli yang tidak menepati rukun jual beli sebagaimana di sisi syarak maka timbul unsur-unsur gharar dan maisir dalam pelaksanaan kontrak insurans.

Yang demikian wang pampasan yang diperolehi di bawah polisi insurans mengandungi unsur maisir kerana amaunya jauh lebih besar daripada wang premium yang dibayar.

Ditambah pula dengan keperluan melabur wang premium yang membabitkan amalan riba maka keseluruhan sistem insurans itu sendiri menjadi tidak selaras dengan kehendak syarak.

Atas hakikat ini sistem insurans tidak boleh dikatakan telah menepati syarak semata-mata membersihkan bidang pelaburan dengan tidak membabitkan amalan riba.

Ini boleh berlaku di Malaysia yang telah berjaya menghasilkan banyak instrumen kewangan Islam untuk mempelbagaikan peluang pelaburan yang terbuka kepada kedua-dua institusi kewangan Islam dan institusi kewangan konvensional.

Sesuai dengan tuntutan Islam yang menghendaki manusia tidak putus-putus berusaha dan meneroka mengikut yang diredhai Allah, bagi memperbaiki hidup di dunia, maka lahirlah takaful sebagai sistem insurans yang harus di sisi syarak.

Sekalipun daripada segi kewangan bila berlaku risiko atau musibah manfaat takaful kelihatan sama dengan wang pampasan insurans, hakikatnya takaful tidak serupa dengan insurans.

Jika seorang pemegang polisi insurans kenderaan misalnya berhak membuat tuntutan jika sesuatu musibah menimpa ke atas kenderaan yang dilindunginya dan syarikat insurans yang menjual polisi insurans berkenaan pada dasarnya akan membayar manfaat tuntutan maka begitu juga seorang peserta takaful yang menyertai skim takaful kenderaan berinjin akan memperolehi manfaat kewangan yang telah ditabarru’ dari kumpulanwang takaful hasil sumbangan semua peserta.

Namun ini tidak bererti kontrak insurans sama dengan kontrak takaful sungguhpun kedua-dua pemegang polisi insurans dan peserta takaful menerima perolehan melebihi premium atau wang sumbangan yang dibayar.

1Sementara di bawah produk takaful keluarga yang menyediakan kemudahan semacam polisi insurans nyawa, ahli waris peserta akan menerima bayaran manfaat melebihi wang caruman yang telah dibayarnya jika ditakdirkan peserta meninggal dunia sebelum genap tempoh matang produk yang disertainya.

Namun berbeza dengan perolehan tuntutan polisi insurans nyawa, manfaat kematian takaful seperti perolehan dalam contoh tuntutan kenderaan, merupakan sumbangan derma khusus secara tabarru’ yang dibuat oleh semua peserta.

Di bawah takaful keluarga wang tabarru’ ini pula yang ditentukan kadarnya semasa mula penyertaan diasingkan dalam satu akaun khas seperti dana atau tabung khairat kematian. Dengan kata lain, seluruh pelaksanaan kontrak disusun dengan jelas dan telus.

Oleh yang demikian, perolehan manfaat yang diterima ahli waris dalam kes kematian peserta tidak boleh disamakan dengan pampasan kematian insurans nyawa.

Adalah kurang sesuai sekiranya ada pihak menganggap harapan dan matlamatnya peserta agar ahli waris menerima wang manfaat melebihi wang caruman asal di bawah program seumpama tabung khairat tidak selari dengan kehendak Islam.

Pandangan ini bererti konsep ikhtiar dan usaha mengelak atau mengurangkan kesan risiko yang kena ditanggung tidak selaras dengan kehendak syarak, sedangkan ulamak sepakat menerima konsep ini berasaskan seruan Islam supaya bekerjasama, tolong menolong untuk kebaikan dan jalan ketaqwaan serta saling jamin menjamin khususnya dalam menghadapi bala dan musibah.

Amalan saling jamin menjamin yang menjadi teras sistem takaful bukan suatu yang baru. Sebelum kedatangan Islam, ia telah diamalkan oleh kaum jahiliyah. Sistem bantuan kewangan berasaskan bayaran diyah kepada mereka yang berhak menerimanya dari dana atau tabung khusus apabila sesuatu musibah menimpa merupakan amalan biasa dalam masyarakat dan pemerintah Islam. Asas inilah yang menjadi pelaksanaan takaful.

Dalam masyarakat Melayu, saling jamin menjamin adalah amalan diterima umum, terutamanya dalam rangka menyediakan bantuan kewangan bersama, khusus apabila ada ahli meninggal dunia.

Seperti sistem aqila yang diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. di Madinah maka dilaksanakan tabung khairat atau tabung kebajikan kematian dalam satu-satu kariah. Pada dasarnya setiap anggota masyarakat setempat atau kepala keluarga dikenakan membayar sejumlah wang caruman yang sama setiap orang untuk mengisi tabung berkenaan.

Amalan kini dilaksanakan baik di bandar mahu pun di desa. Tujuannya adalah semata-mata mempraktikkan bantuan ikhlas bersama dalam ertikata setiakawan samarata. Manfaat bantuan yang dibayar jika berlaku kematian juga jauh lebih besar berbanding wang caruman yang dibayar ahli. Sudah pasti manfaat tabung ini tidak boleh disamakan dengan perolehan pampasan insurans kerana asas kontraknya berbeza.

Apa yang jelas masyarakat Malaysia, khususnya yang beragama Islam, yang sebelum ini umumnya menolak insurans kini telah menerima takaful. Tren yang sama juga kelihatan di negara-negara Islam lain dan negara-negara bukan Islam yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam.

Ini terbukti daripada kunjungan dan pemintaan bantuan yang diterima pengendali takaful seperti Takaful Malaysia oleh berbagai pihak luar bagi membolehkan sistem takaful di perkenal dan disediakan tempat-tempat mereka.

Sehubungan ini adalah amat penting ciri-ciri Islam dan amalan-amalan yang dituntut syarak dalam operasi takaful ini hendaklah sentiasa dipelihara dan dilaksanakan dengna betul oleh pengendali takaful.

Sesungguhnya kecenderungan berjinak-jinak dengan takaful pada keseluruhannya akan membantu memantapkan sistem kewangan Islam yang akan membawa pula kepada pengukuhan ekonomi negara.

Sumbangan sektor insurans selama ini kepada kekuatan ekonomi negara sudah ternyata. Misalnya pada tahun 2001 jumlah premium insurans melebihi RM17 bilion atau kira-kira 5.4% daripada Keluaran Negara Kasar (KNK).

Kesedaran mengenai pentingnya takaful akan turut memberi sumbangan yang sama. Takaful harus dilihat bukan hanya untuk kemudahan kewangan pesertanya, baik individu mahupun institusi, tetapi juga sebagai saluran ke arah mengukuhkan kedudukan kewangan dan ekonomi secara keseluruhannya. Sesungguhnya matlamat untuk membina kekuatan negara dan ummah menjadi tuntutan Islam.

Leave a Comment