Web Analytics

Takaful Perlu Operasi Yang Seragam

Sudah menjadi lumrah, setiap yang baru tidak mudah diterima sekalipun banyak kebaikannya. Begitulah takaful semasa diperkenalkan, ada yang kurang yakin serta ragu-ragu sistem insurans secara Islam sebagai bidang baru boleh maju dan berdayajaya.

Apatah lagi bila diketahui sistem insurans ini dilaksanakan mengikut kaedah berkongsi untung, sedangkan perniagaan insurans konvensional secara amnya sewaktu takaful dilancarkan di Malaysia pada awal tahun 80an menghadapi kerugian pengunderitan.

Dengan kata lain, jumlah manfaat tuntutan yang dibayar lebih besar berbanding premium yang diperolehi menyebabkan perniagaan insurans menanggung defisit. Tanpa dibantu pulangan pelaburan mungkin prestasi kewangan syarikat-syarikat insurans konvensional menjadi parah.

operasi takaful

Apapun selain bayaran tuntutan yang besar, terutama sektor motor, aliran perbelanjaan operasi yang sukar dibendung juga antara punca tekanan kewangan keatas syarikat-syarikat insurans tersebut.

Kini dengan terlaksananya peraturan penambahan modal serta usaha menggabungkan syarikat-syarikat ini supaya menjadi lebih kuat dari segi kedudukan kewangan dan aras kepakaran bagi menghadapi pasaran kewangan yang terbuka, tekanan ini akan dapat diatasi.

Operasi takaful mula diperkenalkan kira-kira 17 tahun lalu dengan tertubuhnya Takaful Malaysia, sebuah syarikat di bawah kumpulan Bank Islam berikutan Kerajaan Malaysia menerima perakuan oleh Badan Petugas Bagi Mengkaji Penubuhan Sebuah Syarikat Insurans Secara Islam Di Malaysia, sebuah badan yang dibentuk oleh Kerajaan bagi mengkaji samada gagasan insurans Islam ini akan berjaya atau sebaliknya, sebagai suatu bidang usahaniaga baru.

Sesungguhnya pendekatan seperti ini, yang tiada dilaksanakan di negara lain, menambahkan kredibiliti cadangan mempraktikkan gagasan ini kerana ia menunjukkan betapa prihatinnya pihak Kerajaan.

Meskipun tiada model khusus yang boleh dijadikan contoh dan ikutan oleh Badan Petugas semasa kajian dilakukan, setelah didirikan, Takaful Malaysia berpegang kepada prinsip berhati-hati dalam menyusun kerangka kerja yang menjadi asas operasi dan sentiasa merujuk kepada bimbingan Majlis Pengawasan Syariah untuk memastikan perjalanannya selaras hukum syarak.

Sebagai usahaniaga baru berlandaskan pula operasi yang belum ada di mana-mana sebelum ini prinsip berhati-hati ini amat penting.

Dalam mana-mana perniagaan, lebih-lebih lagi di peringkat awal operasi, belanja mengurus perlu dikawal. Sekalipun tidak dijangka terus untung dalam tahun pertama, kerugian pula jangan terlalu banyak sehingga memakan masa lama untuk dihapus. Atas dasar inilah Takaful Malaysia berjaya mengawal kos operasinya.

Sesungguhnya kawalan ini mudah dilaksanakan kerana mengikut struktur operasi yang berasaskan kontrak al Mudharabah, semua kos operasi atau belanja pengurusan ditanggung sepenuhnya oleh pemilik iaitu pemegang saham daripada kumpulanwang pemegang saham dan tidak dicaj keatas wang caruman yang dibayar peserta sebagaimana terkumpul dalam kumpulanwang takaful.

Ini berbeza dengan amalan insurans konvensional yang mengambil wang premium pemegang polisi untuk membiayai belanja pengurusan kerana operasinya adalan mengikut kontrak jual beli. Wang premium sebagai harga membeli polisi menjadi hak yang boleh digunakan oleh syarikat insurans selaku penjual.

Sememangnya seseorang itu akan lebih berhati-hati dan berusaha untuk berhemah jika belanja pengurusan kena dibayar sendiri daripada poketnya.

Di bawah takaful sebagaimana yang diamalkan oleh Takaful Malaysia sebagai contoh, apa-apa belanja pengurusan di bawah kontrak al Mudharabah ditanggung sepenuhnya oleh kumpulanwang pemegang saham, selaras dengan pandangan ulamak kos pengurusan hendaklah ditanggung oleh mudharib sebagai pengendali takaful.

Amalan pengurusan kewangan seumpama ini menyebabkan pendekatan yang berhati-hati wajar dilaksanakan dalam operasi perniagaan. Selepas asas yang kukuh dapat dibina, di bawah pendekatan ini operasi berkembang dengan penuh yakin walaupun pada tahun-tahun awal pelbagai langkah berhemah perlu.

Umpamanya, kutipan wang caruman/sumbangan takaful tidak sampai 2% berbanding jumlah premium sektor insurans konvensional pada tahun 1998. Angka ini kini telah meningkat hampir 5%. Berpandukan pertumbuhan sektor takaful pada kadar kira-kira 30% setahun, perniagaan takaful akan berkembang dengan lebih pantas.

Apapun pihak Kerajaan telah menetapkan matlamat khusus kearah memperluaskan lagi sektor takaful sejajar dengan usaha ke arah memperkembangkan sistem kewangan Islam secara amnya di Malaysia.

Dalam konteks ini, kira-kira setahun lalu, Kerajaan telah mengumumkan Pelan Induk Sektor Kewangan yang antara lain menetapkan sasaran supaya sektor takaful menguasai 20% daripada pasaran insurans menjelang akhir 2010.

Sememangnya sasaran ini memberi cabaran besar kepada sektor takaful dalam merangka strategi untuk memperluaskan operasi perniagaan. Sasaran ini akan tercapai jika kadar pertumbuhan sekarang sekurang-kurang dapat dikekalkan.

Dalam konteks ini ada dua cara untuk menuju sasaran ini. Pertama pengendali takaful sediada, yang telahpun diberi lesen mengikut Akta Takaful 1984, wajar melakar perancangan perniagaan masing-masing bagi meluas dan mempertingkatkan prestasinya.

Dengan kata lain masing-masing harus mengkaji rancangan perniagaan supaya selangkah dengan sasaran yang hendak dicapai oleh negara. Usaha ini dipercayai telah dan sedang diambil oleh pengendali takaful. Sejajar dengan ini juga, kerjasama amat perlu dikalangan pengendali supaya tidak berlaku persaingan yang tidak sihat.

Saiz pasaran takaful boleh dipertingkatkan melalui menambahkan bilangan pengendali dengan pemberian lesen baru. Nampaknya ini telahpun dilaksanakan dengan laporan baru-baru ini kumpulan Maybank akan mendapat lesen takaful dan barangkali akan memulakan operasi tidak lama lagi.

Atas dasar inilah ada pihak yang membuat andaian, menjelang akhir tempoh Pelan Induk Sektor Kewangan kemungkinan bilangan pengendali takaful bertambah kepada 5 atau 6. Sudah pasti jika ini berlaku akan ada persaingan.

Dalam mana-mana bidang perniagaan, tidak semua persaingan itu buruk selagi ia bersaing dengan sihat kerana pengguna akan mendapat manfaat melalui khidmat yang baik. Apapun persaingan seharusnya berasaskan gelanggang permainan yang sama.

Sehubungan ini sektor takaful di Malaysia amat memerlukan struktur operasi yang seragam supaya tidak berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat.

Meskipun dalam Islam memang ada perbezaan pendapat ulamak mengenai hukum hakam khususnya yang berkaitan dengan sistem kewangan, namun dalam menentu dan memilih struktur yang menjadi asas atau tapak sesuatu operasi haruslah berteraskan satu prinsip utama sahaja.

Ini tidak bermakna prinsip-prinsip sampingan tidak boleh digabungkan sebagai akad tambahan atau akad kecil di bawah prinsip utama yang menjadi asas itu.

Dalam konteks ini, operasi takaful yang telah berjaya dibangun sehingga berkembang dengan baik di Malaysia adalah berasaskan kontrak al Mudharabah. Pelaksanaannya telus dan memenuhi nilai-nilai adil dan ehsan yang merupakan tonggak dalam mana-mana kontrak.

Atas kejayaan asas yang dibangun ini, Malaysia telah menjadi contoh dan model untuk digunapakai dan diikuti oleh pihak luar.

Sekalipun Malaysia bukan negara pertama memperkenalkan sistem ini tetapi ternyata Malaysia telah mendahului negara-negara lain dalam memperkembangkan operasi takaful, sehingga diminta menyelaraskan promosi dan perkembangan sektor takaful di negara-negara Kumpulan-8 khasnya dan negara-negara Islam amnya. Ini testimoni jelas kepada asas yang telah dimajukan oleh Malaysia.

Oleh itu supaya tidak berlaku perbezaan operasi yang ketara, sebelum bilangan pengendali baru bertambah, wajar operasinya diseragamkan bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan masyarakat. Ternyata model berasaskan kontrak al Mudharabah wajar dijadikan asas bagi mempiawai dan menyeragamkan struktur operasi takaful.

Memandangkan asas ini adalah soal pokok, langkah menyeragamkannya dengan segera amat mustahak kerana peraturan-peraturan lain yang berkaitan dengan dasar kewangan, prinsip perakaunan, pemasaran dan yang lain-lain mudah dibuat.

Jika tidak, selain kekeliruan di kalangan masyarakat Malaysia sendiri, model yang menjadi contoh di peringkat dunia itu pun akan menimbulkan pelbagai keraguan.

Disamping itu pemilihan nama pengendali juga wajar diberi perhatian. Walaupun takaful sudah diterima sebagai nama `generic’, pilihan yang sesuai tetap penting bagi memastikan adanya perbezaan `jenama’ antara satu pengendali dengan pengendali yang lain.

Sebagai contoh, masyarakat memandang dua pengendali sediada sebagai sama dan satu kerana perkataan Malaysia pada Takaful Malaysia dan nasional pada Takaful Nasional dianggap sinonim. Mereka membandingkan sukan bola sepak dimana pemain negara sering juga disebut sebagai pemain Malaysia atau pemain nasional.

Perkara-perkara seperti ini perlu dibereskan bagi memastikan langkah ke arah memperkembangkan sektor takaful sebagaimana yang disasarkan dalam Pelan Induk tersebut tiada gangguan

Leave a Comment