Takaful Menjamin Hutang Rumah

Seperti produk kewangan lain, baik perbankan, insurans mahu pun saham produk kewangan Islam juga harus berupaya memenuhi citarasa dan kehendak kewangan penggunanya.

Matlamat memperluaskan penggunaan produk kewangan Islam dengan harapan setiap lapisan masyarakat sedia melangganinya tidak akan tercapai seandainya yang diutamakan keistimewaannya hanyalah ciri pematuhan Syariah sahaja.

Hakikat sesungguhnya produk ini mampu memenuhi keperluan kewangan semasa setiap pihak perlu diberi penjelasan juga.

Hal ini juga sama dengan produk takaful; hanya menunjukkan bahawa ia diasaskan mengikut prinsip dan amalan Syariah, sekalipun ciri ini memang penting ditonjol dan diterangkan, tidak semestinya ia akan dilanggani atau disertai oleh masyarakat pengguna jika mereka tidak dapat nampak apa manfaat kepada mereka.

Barangkali kegagalan sesetengah produk baru yang diperkenalkan di pasaran bukan kerana produk itu tidak menarik tetapi kerana strategi pemasaran yang tidak tepat.

Sungguhpun ini tidak berlaku kepada industri kewangan Islam di Malaysia khususnya, namun wajar ada kesedaran oleh pihak berkaitan termasuk institusi kewangan Islam itu sendiri agar tidak alpa dengan kejayaan selama ini.

Sudah menjadi sifat manusia bila berada dalam kejayaan, kelemahan yang ada tidak diambil berat. Dalam dunia perniagaan ini boleh membawa kepada kerugian.

Sistem kewangan Islam amat mustahak diperkembangkan kerana ia adalah untuk kebaikan sejagat, baik yang berada mahupun yang miskin, dan bagaimana mereka boleh memperolehi manfaat daripadanya.

hutang rumah
hutang rumah

Sususan Strategi Pemasaran Rumah

Banyak wang telah dibelanja dan masa dihabiskan terutamanya oleh kedua-dua sektor perbankan Islam dan takaful dalam menyusun strategi pemasaran termasuk menyebar luas maklumat bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang produk-produk yang disediakan.

Penyebaran maklumat boleh dilihat dalam dua tahap. Peringkat permulaan lebih tertumpu kepada ciri-ciri berkaitan dengan persoalan Syariah.

Ini wajar kerana kedua-dua sektor ini menghadapi cabaran untuk menyakinkan masyarakat Islam ini wajar kerana kedua-dua sektor ini menghadapi cabaran untuk meyakinkan masyarakat Islam khasnya bahawa perjalanan produknya selaras dengan prinsip dan amalan Syariah.

Bagi seorang Muslim sudah pasti dia ingin mengetahui lebih dekat selok belok hukum dan prinsip yang menjadi asas sesuatu produk kewangan Islam berbanding dengan produk kewangan konvensional yang sudah mereka biasa kerana telah lama berada dalam pasaran.

Tetapi jika aspek ini sahaja yang dibesarkan tidak semestinya akan tergoda ‘selera kewangan’ seseorang untuk melanggani produk kewangan Islam. Mereka mungkin mendengarnya dengan teliti, menerima hakikat produk tersebut sememangnya mematuhi syariah tetapi tidak semestinya dia akan menggunanya.

Umpama seorang ‘jurujual’ tentu akan merasa amat kecewa jika bakal pelanggan hanya memuji dan menyanjung kecantikan produk yang dijualnya tetapi dia pulang dengan tangan kosong. Tiada yang membeli produk yang dijualnya. Ini tidak berlaku kepada kewangan Islam.

Jika dilihat pengalaman Takaful Malaysia misalnya, kebanyakan bakal peserta bersedia menyertai produk-produk takaful selepas mereka mendengar taklimat mengenai produk-produk tersebut. Ini menunjukkan bahawa produk takaful barangkali dapat memenuhi citarasa dan keperluan kewangan pesertanya.

Angka purata menunjukkan setiap eksekutif pemasaran takaful, seperti jurujual, mendapat 25 peserta baru sebulan, sedangkan satu kajian antarabangsa memperlihatkan hanya enam polisi baru setahun bagi setiap agen insurans nyawa.

Produk Yang Memenuhi Keperluan

Yang demikian dalam melakar strategi pemasaran sebagai aktiviti dakwah selain prinsip dan aspek-aspek hukum yang menghalalkan sesuatu produk itu, sama pentingnya juga meyakinkan bakal pengguna bahawa produk ini sebenarnya boleh memenuhi keperluan semasa kewangannya.

Matlamat strategi wajar mencapai prinsip ‘melihat sendiri dan percaya dengannya’. Jika mesej ini berjaya diserap dan difaham dengan lebih luas oleh masyarakat sudah pasti produk kewangan Islam dapat menguasai pasaran dengan lebih besar.

Apapun trend ke arah ini mula menjadi kenyataan dengan semakin ramai orang memilih produk ini termasuk juga daripada kalangan bukan Islam. Kadar pertumbuhan industri kewangan Islam yang terus meningkat merupakan bukti pencapaiannya.

Atas kesedaran ini, institusi kewangan Islam sentiasa berusaha memperkembangkan produk masing-masing supaya setiap kehendak dan keperluan kewangan masyarakat pengguna dapat dipenuhi.

Dalam konteks ini pengendali takaful juga berusaha menyediakan satu rangkaian produk yang boleh memenuhi keperluan setiap pesertanya.

Bagi Takaful Malaysia misalnya produk yang ada boleh dikatakan setanding dengan polisi insurans konvensional dalam memenuhi keperluan insurans seseorang. Secara tidak langsung membuktikan bahawa sistem kewangan Islam adalah untuk setiap zaman dan bagi setiap orang.

Disamping menekankan keutamaan tabungan, produk takaful juga mementingkan aspek perlindungan yang merupakan sifat asas takaful itu sendiri. Sehubungan ini ada beberapa produk takaful yang secara khusus menekankan keperluan perlindungan berbanding tabungan.

Salah satu produk tersebut melindungi hutang rumah. Tetapi produknya bukan yang melindungi binaan atau bangunan rumah itu sendiri misalnya daripada musibah kebakaran atau bencana lain yang berkaitan seperti banjir, ribut dan panahan petir, iaitu Skim Takaful Kebakaran Pemilik Rumah.

Sebaliknya perlindungan yang dimaksudkan adalah khidmat melindungi hutang rumah. Umum diterima hutang rumah hutang sepanjang hayat. Membeli rumah merupakan pelaburan yang besar.

Atas hakikat ini boleh dikatakan setiap orang memiliki rumah melalui kemudahan pinjaman atau pembiayaan; biasanya disediakan oleh institusi kewangan terutamanya sektor perbankan.

Apabila muncul dan berkembangnya industri kewangan Islam di Malaysia, kemudahan membeli rumah melalui pembiayaan secara Islam melalui prinsip al Bai Bithamin Ajil (BBA) turut disediakan oleh institusi kewangan ini.

Hutang Pinjaman Rumah

Samada hutang rumah melalui pinjaman berasaskan faedah atau BBA, pokoknya rumah yang dimiliki itu tidak boleh dianggap hak pemiliknya secara mutlak sepanjang berhutang.

Selagi dalam tempoh hutang, mengikut undang-undang, institusi yang memberi pinjaman atau pembiayaan turut mempunyai hak tertentu dan kepentingan yang sama keatas rumah berkenaan.

Itu sebabnya jika pemilik ingkar menjelaskan ansuran bayaranbalik, institusi kewangan berhak mengambil tindakan undang-undang termasuk mengambilalih hak milik rumah.

Atas hakikat ini jugalah jika ditakdirkan pemilik yang sama meninggal dunia sebelum hutang rumah dilunaskan sepenuhnya maka warisnya terpaksa mengosongkan rumah kerana hak milik akan diambilalih oleh institusi kewangan yang berkepentingan jika waris yang ditinggalkan tidak dapat mengambilalih bayaran balik hutang.

Justeru matlamat pemilik meninggalkan sesuatu yang bermakna untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa sebagai jaminan perlindungan kepada anak-anak dan isterinya ternyata berkecai.

Namun kejadian pilu ini dapat dielakkan melalui produk takaful yang akan melindungi apa-apa baki hutang rumah jika ditakdirkan pemilik ditimpa sesuatu musibah. Produk ini diberi nama ‘Pelan Takaful Gadaijanji (PTG)’. Dengan kata lain, takaful akan melindungi hutang rumah yang digadaikan kepada institusi kewangan sebagai jaminan pemilik ke atas hutang yang diperolehinya itu.

Mana-mana pemilik yang menyertai PTG, jika ditakdirkan meninggal dunia dalam tempoh hutang, baki hutang rumahnya akan dijelaskan sepenuhnya secara sekaligus oleh PTG kepada institusi kewangan yang berkaitan hasil perolehan PTG.

Manfaat yang disediakan PTG ini seolah-olah memberi perakuan kepada pemilik bahawa waris yang ditinggalkan akan berhak mewarisi rumah yang dibeli secara hutang itu sekalipun hutangnya belum sempat dibayar sepenuhnya kerana kematiannya yang lebih awal.

Meskipun tempoh PTG panjang; sama dengan tempoh hutang rumah, namun berbeza dengan produk takaful jangkapanjang yang lain, wang sumbangan takaful sebagai balasan menyertai produk ini dibayar sekaligus semasa penyertaan bermula.

Tiada apa-apa lagi bayaran yang kena dibuat selepas ini. Dalam operasi takaful mengikut kontrak, wang sumbangan sekaligus ini dibuat secara tabarru’ dan dikreditkan ke dalam Akaun Khas Peserta (AKP) dibawah Kumpulanwang Takaful Keluarga.

Berasaskan status AKP sebagai dana bersama semua peserta, yang digunakan bagi menjana saling bantu membantu sesama mereka, apabila terjadi musibah menimpa salah seorang peserta ditimpa musibah sehingga membawa maut, perolehan manfaat kematian seperti wang khairat akan dibayar daripada AKP.

Jumlah manfaat kematian dikaitkan dengan baki hutang rumah. Daripada perolehan manfaat kematian ini, institusi kewangan yang memberi pembiayaan akan memperolehi kembali baki hutang yang belum dijelaskan, secara sekaligus, sementara ahli waris yang ditinggalkan oleh peserta yang meninggal dunia itu akan mempusakai rumah tanpa dikenakan melunas baki wang.

Sekiranya selepas baki hutang rumah dijelaskan sepenuhnya, wang manfaat kematian masih ada lebihan maka lebih ini akan diserahkan kepada ahli waris.

Dalam memberi liputan skop yang lebih luas, PTG tidak saja membayar manfaat kerana kematian peserta. Ada kalanya seseorang diserang penyakit atau ditimpa kecelakaan sehingga seluruh anggotanya lumpuh dan membawa kepada hilang upaya seluruh tubuh badan tetapi masih hidup.

Lazimnya seseorang yang sebegini tidak akan berupaya melakukan pekerjaan. Akhirnya dia juga hilang punca pendapatan. Dengan sedikit tambahan wang sumbangan takaful, PTG akan melindungi peserta yang dilanda kesusahan fizikal seumpama ini.

Ertinya manfaat yang sama juga akan dibayar dari AKP bagi menjelaskan sepenuhnya baki hutang rumah institusi kewangan terbabit kerana pemilik yang menyertai produk ini lumpuh atau hilangupaya walaupun masih hidup. Yang demikian PTG menyediakan manfaat sama ada peserta meninggal dunia atau hilangupaya tubuh badan.

Dalam konteks ini selari dengan prinsip ‘muwalah’ PTG bertanggungjawab seperti pelindung atau wali bagi pihak peserta yang akan menggantirugi institusi kewangan atas hutang yang diberinya jika peserta yang dilindungi itu meninggal dunia atau hilangupaya seluruh tubuh badan.

Oleh kerana PTG juga turut memelihara dan menjamin kepentingan institusi kewangan, lebih banyak institusi kewangan kini mensyaratkan pelanggan-pelanggan mereka menyertai PTG.

Untuk memudahkan penyertaan, wang sumbangan takaful yang kena dibayar akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada hutang. Dengan kata lain pelanggan institusi kewangan yang menyediakan kemudahan ini tidak perlu mengeluar wang sendiri untuk menyertai PTG.

Bayaranbalik wang sumbangan ini pula dibuat secara beransur-ansur dan merupakan sebagai sebahagian bayaranbalik hutang rumah. Oleh itu secara keseluruhannya beban kewangan tidak begitu terasa oleh pemilik.

Setiap tahun mengikut undang-undang, AKP yang pada dasarnya menanggung liabiliti kematian peserta akan tertakluk kepada penilaian mengikut asas dan prinsip aktuari bagi menentukan bahawa jangkaan aset AKP mencukupi untuk menampong unjuran liabilliti berasaskan kepada jangkaan kematian peserta mengikut peringkat umur.

Sekiranya penilaian menunjukkan jangkaan aset melebihi unjuran liabiliti bererti AKP mencatat lebihan. Dalam konteks ini istilah ‘lebihan’ sememangnya lebih tepat kerana ia merupakan anggaran sahaja memandangkan tempoh PTG atau produk-produk takaful jangka panjang yang lain masih belum matang atau genap.

Lebihan bersifat jangkaan boleh berubah apabila tempoh sebenar PTG atau produk-produk jangka panjang lain genap. Ini berbeza dengan ‘untung’ yang mengikut prinsip perakaunan sesuatu yang sudah muktamad apabila buku kira-kira ditutup.

Yang demikian lebihan ini hanya akan diagihkan kepada peserta-peserta yang tamat penyertaan PTG masing-masing sahaja. Setelah mengambilkira pulangan keatas agihan lebihan ini maka kos sebenar PTG kepada setiap pemilik rumah yang menyertainya adalah lebih rendah kerana agihan lebihan tersebut boleh dianggap sebagai potongan harga atau diskaun ke atas wang sumbangan takaful.

Artikel berkaitan:
Tuntutan Takaful Keluarga Boleh Menjadi Manfaat Pencen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *