Takaful Memupuk Budaya Menabung

Bagi individu, tabungan penting sebagai langkah menyediakan bekalan wang ketika keperluan. Bila musibah menimpa beban belanja dapat diringankan dengan adanya bekalan wang yang secukup. Seseorang yang diserang penyakit atau ditimpa kecelakaan sudah pasti memerlukan wang untuk kos rawatan.

Sebaliknya wang yang secukup juga mustahak untuk bekalan hari-hari tua. Ada ibu bapa yang tiada tabungan secukup terpaksa bergadai golok bagi biaya belanja pendidikan tinggi anak-anak. Dalam kehidupan hari ini manusia tidak boleh lari dari keperluan menabung.

Sesungguhnya amalan menabung amat digalak dalam Islam sebagai strategi menentang perbuatan membazir dan boros selaras dengan hadith Rasulullah yang bermaksud, `Allah mengurniakan rahmat kepada orang yang berusaha dengan cara yang halal, membelanjakan harta dengan bijaksana dan dapat memperuntukkan sebahagian hartanya (sebagai tabungan) pada saat ia (berkemungkinan) fakir (nanti) dan disaat ia memerlukan’ (Muttafaq `Alaih).

Tabung Takaful
Tabung Takaful

Seandainya menabung menjadi satu budaya hidup yang diamalkan dengan teliti dan penuh disiplin oleh setiap individu, ekonomi negara secara amnya akan berkembang dengan baik. Kegiatan ekonomi mudah dirancang.

Lazimnya pembangunan ekonomi memerlukan pelaburan atau modal yang besar. Jika tabungan dalam sesebuah negara tinggi, aliran modal untuk pelaburan menjadi mudah.

Sungguhpun Malaysia dikira sebuah negara yang mencatat kadar tabungan yang tinggi, kira-kira 37% daripada KNK, berbanding kebanyakan negara membangun, tetapi ini masih belum cukup berbanding modal pelaburan yang diperlukan bagi membiayai pembangunan ekonomi.

Atas hakikat kurangnya tabungan dalam negara, menyebabkan hampir kesemua negara membangun di dunia terpaksa bergantung kepada bantuan atau pinjaman luar bagi menjana pembangunan ekonomi negara masing-masing.

Jelas kekuatan tabungan ibarat vitamin yang boleh memperkuatkan daya ketahanan badan bagi menentang angkara penyakit. Yang demikian ia harus bermula dengan diri sendiri.

Membantu memperkukuhkan kestabilan kewangan dan kesejahteraan ekonomi negara. Oleh itu setiap individu wajar sedar bahawa setiap sen yang ditabung, betapa kecil sekalipun akan turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara, jika langkah menabung dilaksanakan dengan tekun.

Menabung bukan hanya untuk golongan yang berada dan mampu sahaja. Berpandukan hadith di atas, setiap orang Muslim khususnya, wajar berusaha menabung dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan masing-masing.

Yang penting mesti ada disiplin yang kuat. Selain merancang belanja dengan teratur, dengan mengutamakan terlebih dahulu secara tetap sedikit tabungan, memilih produk tabungan yang sesuai juga mustahak.

Walaupun setiap produk tabungan mempunyai objektifnya yang tersendiri, namun tidak semua produk ini akan memudahkan amalan budaya menabung secara berdisiplin untuk memenuhi matlamat tabungan individu, lebih-lebih lagi matlamat jangka panjang.

Lazimnya antara faktor negatif kebanyakan produk tabungan seumpama akaun simpanan di institusi perbankan atau kewangan hanya berkuatkuasa apabila pengguna memasukkan wang ke dalam akaun tersebut dan jumlah tabungan yang akan diperolehi adalah banyak mana baki yang tercatat dalam produk tabungan tersebut.

Selain itu apa-apa wang yang ada dalam akaun mudah pula dikeluarkan. Jenis produk yang tabungannya mudah keluar masuk ini biasanya sukar memenuhi keperluan menyediakan bekalan simpanan hari tua atau bekalan untuk kos rawatan ketika sakit.

Sebaliknya produk takaful memupuk budaya menabung secara teratur. Amaun yang ditabung bergantung kepada kemampuan peserta. Tiada paksaan seperti membayar premium insurans.

Pelaksanaannya pula mengikut landasan syarak. Bagi maksud ini, mana-mana individu boleh menabung melalui produk takaful dengan menyertai Pelan Takaful Keluarga (PTK), program kewangan untuk individu menabung secara beransur-ansur dalam jangkapanjang mengikut tempoh tertentu.

PTK menyediakan pelan penyertaan mengikut tempoh matang, minimum 10 tahun dengan gandaan setiap lima tahun sehingga maksimum 40 tahun. Pilihan tempoh bergantung matlamat tabungan individu itu sendiri, tetapi setiap penyertaan wajar matang apabila peserta genap berusia 65 tahun.

Ini bererti individu berusia 55 tahun hanya boleh menyertai PTK 10 tahun sahaja. Namun yang harus dipastikan apa-apa akad perniagaan yang berlandaskan Syariah mesti jelas tempoh akadnya supaya tidak ada unsur `gharar’ yang boleh membawa kepada penipuan.

Oleh itu produk insurans seumpama polisi seumur hidup tiada di bawah takaful oleh kerana produk seumpama ini tidak dapat ditentukan bila matangnya memandangkan tiada seorang pun yang tahu tempoh hayatnya.

Setelah memilih tempoh PTK, bakal peserta akan menentukan pula amaun caruman takaful yang mampu dibayar samada sebulan, tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali sepanjang tempoh penyertaan selagi hidup.

Caruman takaful berbeza dengan premium insurans yang merupakan “harga” membeli polisi dengan amaunnya ditentukan oleh syarikat insurans selaku pihak penjual.

Oleh itu suka atau tidak, mampu atau sebaliknya, pemegang polisi tiada hak tawar menawar dalam amaun premium yang kena dibayar. Biasanya semakin tua semakin tinggi premium yang kena dibayar. Sebaliknya sebagai wang tabungan, caruman takaful bergantung kepada amaun yang mampu ditabung oleh peserta.

Sudah tentu dalam menentukan amaun ini keperluan belanja diri dan keluarga wajar juga diambilkira. Atas hakikat ada belanja dan komitmen lain sebagai panduan amaun wang caruman dalam 10 peratus jumlah pendapatan.

Wang caruman ini dimasukkan ke dalam kumpulanwang takaful keluarga dan dilaburkan oleh pengendali takaful sebagai pemegang amanah dan pengurus. Apa-apa pulangan atau untung pelaburan merupakan untung PTK.

Sesuai dengan akad berkongsi untung mengikut kontrak al Mudharabah, untung pelaburan ini akan dikongsi mengikut nisbah yang telah dipersetujui diantara peserta dengan pengendali takaful. Sebagai contoh nisbah perkongsian untung Takaful Malaysia untuk PTK adalah 7:3 antara peserta dan pengendali.

Persoalannya barangkali bagaimana manfaat tambahan dibayar jika ditakdirkan peserta meninggal dunia sebelum cukup tempoh matang. Perolehan kematian yang dipanggil manfaat perlindungan sememangnya penting bagi memastikan objektif takaful sebagai insurans secara Islam tidak berbeza dengan objektif insurans konvensional.

Jika insurans konvensional menyediakan manfaat perlindungan, takaful juga memberi kemudahan yang sama apabila berlaku kematian peserta. Untuk mencapai objektif ini, secara praktik setiap wang caruman PTK dipecah dan dikreditkan ke dalam dua akaun berasingan : Akaun Peserta (AP) dan Akaun Khas Peserta (AKP).

Kadar caruman untuk AKP diasaskan mangikut jadual kemortalan, secara purata kecil sahaja dan mengikut undang-undang mesti diperaku dan disahkan oleh aktuari bertauliah. Disisi akad kadar caruman untuk AKP dibuat oleh peserta atas prinsip tabarru’ yang membawa maksud menderma.

Sehubungan ini manfaat perlindungan yang dibayar atas kematian peserta diambil dari AKP berdasarkan derma semua peserta. Atas hakikat ini tidak lagi timbul unsur “maisir” atau amalan seperti berjudi apabila perolehan manfaat perlindungan yang dibayar itu lebih besar daripada wang caruman peserta.

Baki wang caruman setelah ditolak kadar tabarru’ untuk AKP itu dimasukkan ke dalam AP yang menjadi hak peserta sepenuhnya sebagai modal mudharabah. Bahagian untung pelaburan AP daripada perkongsian untung al Mudharabah di atas akan dikreditkan kembali ke dalam AP.

Tabungan peserta dalam AP akan bertambah secara beransur-ansur. Dengan wang caruman yang dibayar peserta mengikut lat yang dipilihnya sepanjang tempoh penyertaan, serta perolehan pembahagian untung pelaburan, tabungan yang terkumpul dalam AP akan terus meningkat dari masa ke semasa sepanjang tempoh penyertaan.

Genap tempoh matang semua wang terkumpul dalam AP akan dibayar kepada peserta sebagai perolehan tabungan. Banyak mana yang diperolehi akan bergantung kepada amaun wang caruman yang dibayar dan untung pelaburan yang dapat dihasilkan.

Dalam keadaan iklim pelaburan yang agak lembab seperti kini, untung pelaburan secara keseluruhannya agak berkurangan berbanding dalam keadaan ekonomi yang ceria.

Berpandukan pengalaman prestasi Takaful Malaysia sebagai contoh, purata kadar untung AP yang menjadi hak peserta melebihi 7% setahun. Namun sejak krisis ekonomi melanda Asia, kadar ini telah jatuh sehingga serendah 2% setahun.

Namun ketika matang AKP juga menyediakan bayaran. Setiap tahun AKP akan melalui penilaian wajib mengikut undang-undang. Dalam hubungan ini aktuari bertauliah, dengan berpandukan prinsip aktuari akan menentukan samada aset AKP dikira cukup untuk memenuhi liabilitinya, iaitu jangkaan kematian peserta dalam satu-satu tahun berasaskan jadual kemortalan yang digunapakai.

Jika kematian sebenar kurang daripada yang dijangka dan ditambah pula dengan perolehan pulangan pelaburan hasil perkongsian untung al Mudharabah maka penilaian AKP dikira mempunyai lebihan.

Bagi takaful lebihan atas perhitungan kurangnya peserta meninggal dunia berbanding jangkaan yang telah direzab, tidak boleh dikongsi dengan pengendali dan yang demikian lebihan ini menjadi hak peserta keseluruhannya.

Lebihan inilah yang akan diagihkan kepada peserta yang genap tempoh matang. Oleh itu, bagi PTK yang genap tempoh matang pesertanya akan memperolehi manfaat mudharabah dari AP dan juga lebihan penilaian aktuari dari AKP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *