Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Takaful Melindungi Rumah Anda

Sekalipun kesedaran pentingnya insurans dikalangan masyarakat dikatakan telah meningkat sebagaimana meningkatnya kadar pertumbuhan sektor insurans keseluruhannya, namun masih ramai lagi, individu khususnya, yang tidak menginsuranskan rumah kediaman mereka. Barangkali melindungi rumah dengan insurans kebakaran bukan suatu yang dipandang utama. Padahal rumah sebagai tempat tinggal adalah antara tiga keperluan asas sesebuah keluarga, selain makanan dan pakaian. Bahkan bila disebut rumah sebagai kediaman keluarga wajar pula ada peralatan rumah dan kemudahan-kemudahan asas lain seperti bekalan air, elektrik, perabot dan lain-lain keperluan bagi memastikan keselesaan tempat tinggal untuk anggota keluarga. Lazimnya peranan menyediakan tempat tinggal yang sempurna seumpama ini menjadi tanggungjawab ketua keluarga. Dalam konteks Islam, penyediaan rumah sebagai tempat kediaman adalah antara nafkah yang diwajibkan keatas setiap suami untuk melindungi isteri serta anak-anak. Jika ditakdirkan rumah binasa atau musnah akibat ditimpa sesuatu musibah atau bencana seperti kebakaran, banjir, letupan atau tanah runtuh sudah tentu kesan tanggungan dan truma yang melanda keluarga terbabit amat berat dan pilu. Apatah lagi sekiranya tiada apa-apa persediaan bagi membolehkan gantian atau rumah dibina semula.

perlindungan rumah

perlindungan rumah

Kemudah Kewangan untuk Membeli Rumah

Sesuai dengan matlamat Kerajaan agar setiap rakyat Malaysia berpeluang memiliki rumah sendiri dibawah dasar pendemokrasian perumahan, pelbagai kemudahan kewangan disediakan oleh institusi kewangan dan juga pihak-pihak lain yang berkaitan untuk membolehkan rakyat mendapat sumber dana membeli rumah. Misalnya kakitangan Kerajaan disediakan dengan kemudahan pinjaman perumahan yang diuruskan oleh pihak Perbendaharaan Malaysia. Institusi kewangan pula, termasuk sektor perbankan, menyediakan kemudahan yang sama untuk orang ramai. Dengan berkembangnya sistem kewangan Islam yang mula bertapak pada awal 80an, kemudahan membeli rumah secara pembiayaan berasaskan syariah di bawah prinsip al-Bai Bithman Ajil (BBA) yang secara kasar bermaksud pembiayaan dengan bayaran balik secara tertangguh semakin popular. Ertinya bagi masyarakat Islam tiada lagi pilihan untuk memastikan urusan pinjam meminjam benar-benar berlandaskan syariah. Namun sebagai satu kemudahan kewangan BBA tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Malahan pengguna-pengguna bukan Islam juga menerimanya dengan baik. Atas hakikat inilah barangkali lebih banyak institusi perbankan, termasuk bank-bank asing, kini menyediakan kemudahan yang sama dibawah khidmat sistem perbankan tanpa faedah perbankan masing-masing.

Bagi seorang ketua keluarga, menyediakan rumah kediaman bererti menyediakan jaminan perlindungan dan keselamatan kepada orang-orang dibawah tanggungannya. Sesungguhnya menyediakan tempat tinggal yang sesuai bagi melahirkan hidup kekeluargaan yang bahagia sepanjang hayat merupakan suatu tuntutan Islam. Daripada Abdullah Ibn ‘Amru Ibn al-‘As bahawa baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : “Sudah cukup seseorang itu dikira berdosa apabila dia telah mengabaikan orang-orang yang berada dibawah tanggungannya” (Hadith sahih riwayat Abu Daud, Nasaie dan al-Hakim).

Bayar Balik

Selaras dengan struktur sosio-ekonomi masyarakat yang sebahagian besar bekerja makan gaji, boleh dikatakan hampir setiap rumah dimiliki melalui kemudahan pinjaman atau pembiayaan institusi kewangan. Kesannya purata 1/3 daripada pendapatan seseorang dibelanjakan untuk membayarbalik ‘hutang’ membeli rumah. Memandangkan hutang ini pula menjangkau tempoh yang lama, ada yang lebih 20 tahun, tidak salah jika dikatakan hutang rumah adalah sepanjang hayat. Yang demikian, seperti mana-mana harta yang amat besar nilainya, rumah perlu dijaga dan dilindungi daripada ditimpa musibah. Selain itu, wajar pula ada persediaan seandainya musibah tidak menimpa juga. Usaha perlu untuk meringankan kesan yang kena ditanggung kelak. Pepatah menyebut, malang tidak berbau dan geruh tidak berbunyi. Dalam hubungan inilah langkah dan ikhtiar perlu diambil sebelum sesuatu yang malang menimpa. Antaranya menginsuranskan rumah kediaman berkenaan.

Apapun yang sering berlaku masih banyak rumah kediaman yang tiada kemudahan perlindungan insurans. Biasanya sebaik hutang rumah dilunaskan sepenuhnya, insurans rumah seolah-olah tidak lagi diperlukan. Secara tidak disedari seolah-olah ada anggapan musibah hanya menimpa rumah orang lain. Hakikatnya jika musibah boleh menimpa rumah orang lain, ia juga boleh menimpa rumah sesiapa sahaja. Umumnya semasa hutang rumah habis dibayar, pemiliknya besar kemungkinan telah masuk dunia pencen. Bayangkan dimana akan diperolehi punca kewangan bagi mendirikan sebuah rumah baru sedangkan pemiliknya sudah bersara dan rumah yang musnah itu sahajalah rumah yang dimilikinya.

Kurangkan risiko dengan Perlindungan Takaful

Islam mengajar umatnya berikhtiar samada dengan cara menjauhi punca-punca yang boleh memudharatkan rumah kerana kemungkinan ditimpa sesuatu musibah. Serentak dengan itu, Islam juga menyuruh berusaha mengambil langkah bagi mengurangkan kesan atau risiko sekiranya musibah berlaku juga. Dalam konteks sekarang, antara usaha yang boleh diambil adalah dengan menggunakan insurans. Seandainya berlaku juga musibah seperti kebakaran, panahan petir, ribut dan seumpamanya yang boleh merosak atau memusnahkan sesebuah rumah kediaman maka setidak-tidaknya pemilik akan mempunyai sejumlah wang sebagai perolehan tuntutan insurans untuk membaiki atau membina semula rumah yang musnah.

Selaras dengan perkembagan perbankan Islam, sektor insurans secara Islam yang dikenali dengan nama takaful juga turut berkembang maju. Khusus kepada masyarakat Islam, takaful menjadi pilihan terbaik memandangkan operasi insurans konvensional tidak diasaskan mengikut landasan Syariah. Bahkan amat wajar pula sekiranya hutang rumah berasaskan prinsip BBA maka insuransnya melalui takaful. Yang demikian keseluruhan transaksi dan urusan hutang dan insurans rumah berasaskan hukum syarak. Dibawah takaful produk sedemikian dipanggil Skim Takaful Kebakaran Pemilik Rumah, iaitu produk takaful yang disediakan khas untuk melindungi rumah kediaman. Meskipun namanya takaful kebakaran tetapi skop musibah yang dilindungi termasuk bencana-bencana lain seperti ribut, angin puting beliung, panahan petir, pelanggaran dan lain-lain. Skim takaful ini tidak sekadar melindungi struktur atau binaan rumah itu sahaja. Bahkan rumah kediaman yang dilindungi itu boleh juga meliputi binaan luaran seperti tembok atau pagar. Disamping itu peralatan atau binaan dalaman rumah turut diliputi.

Malahan bagi sektor takaful seperti yang disediakan oleh Takaful Malaysia, jenis rumah yang secara tradisi tidak dilindungi oleh sektor insurans konvensional kini dilindungi di bawah dua produk khusus iaitu Skim Takaful Rumah Desa dan Skim Takaful Baitul Saadah. Kedua-dua produk ini disusun bagi membolehkan rumah-rumah di kampong yang biasanya dibina daripada bahan kayu dilindungi mengikut sistem takaful. Skop perlindungan pula meliputi bayaran manfaat seperti wang khairat, jika ditakdirkan pemiliknya meninggal dunia akibat dilanda kecelakaan.

Sesungguhnya langkah bersiap sedia bagi melindungi rumah kediaman daripada malapetaka kebakaran adalah selaras dengan dasar Kerajaan yang sememangnya amat menggalakkan rakyat mengambil langkah mencegah kebakaran. Pelbagai kempen telah dilancarkan bagi menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pencegahan ini dan persiapan jika malang tidak berbau. Berjuta ringgit telah dibelanjakan oleh pihakberkuasa untuk kempen seumpama ini, dan mengikut laporan akhbar baru-baru ini hasilnya masih kurang memuaskan apabila dilihat daripada kerugian kebakaran yang telah memusnahkan hartabenda. Misalnya pada tahun 1991 sejumlah 13,324 kejadian kebakaran telah dilaporkan dan angka ini meningkat kepada 15,419 pada tahun 2001, dengan jumlah kerugian meningkat dari RM347 juta kepada RM584 juta. Paling menyayat hati lagi ada diantara kebakaran ini juga turut meragut nyawa manusia. Paling malang pula, antara punca utama berlakunya kebakaran ini adalah kealpaan dan kelalaian manusia sendiri.

Pemilik rumah yang menyertai produk takaful ini kena membayar wang sumbangan sebagai belasannya seperti premium insurans. Wang ini akan dimasukkan ke dalam Kumpulanwang Takaful Am (KTA) bersama wang sumbangan semua peserta. Jika berlaku musibah yang dilindungi di bawah syarat dan peraturan produk ini, sehingga menyebabkan kerosakan atau kemusnahan rumah yang dilindungi itu, KTA akan mengeluarkan wang manfaat sebagai bantuan ke atas kerugian dan kehilangan yang ditanggung. Dengan kata lain, manfaat takaful merupakan sumbangan semua peserta atas prinsip sama-sama membantu mengikut amalan saling jamin-menjamin melalui bekalan dana bersama KTA. Atas hakikat inilah di bawah kontrak takaful wang sumbangan itu dibayar sebagai tabarru’ atau derma.

Kaedah Pembayaran

Kaedah pembayaran manfaat bila berlaku musibah wajar menjunjung prinsip kesaksamaan dan kebajikan semua peserta selain memelihara kepentingan KTA sebagai dana bersama semua peserta. Dalam hubungan ini KTA akan melantik pihak ketiga yang bebas untuk menyiasat dan memperakukan kepada KTA nilai kehilangan atau kerugian yang kena ditanggung. Tugas pihak ketiga ini dipanggil ‘penyelarasan kehilangan atau kerugian’. Mengikut undang-undang pihak ketiga ini pada dasarnya bertindak sebagai orang tengah. Mereka dipanggil ‘penyelaras kerugian yang berlesen’. Manfaat akan dibayar atau tidak berdasarkan laporan penyelarasan yang dibuat oleh penyelaras kerugian yang dilantik. Oleh kerana khidmat penyelaras mustahak dalam memelihara kepentingan KTA, kos dan fee penyelaras ditanggung oleh KTA.

Kepada pemilik rumah terbabit, wang sumbangan yang kena dibayar bagi menyertai produk takaful melindungi rumah kediamannya itu adalah terlalu kecil berbanding nilai manfaat yang akan diperolehi jika rumahnya musnah dan binasa akibat ditimpa musibah. Sekalipun kadar sumbangan berbeza mengikut jenis rumah, bahan binaan yang digunakan dan lokasi rumah terbabit rata-rata untuk nilai perlindungan RM100,000 kadarnya tidak sampai pun RM1.00 sehari. Dengan adanya pula hak berkongsi untung yang menjadi asas operasi takaful, pemilik rumah berkenaan boleh menjimatkan lagi kos insurans rumahnya dengan menyertai produk takaful.

Artikel berkaitan:

Leave a Reply

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh