Ini kali kedua saya melanggan perkhidmatan Maxis Broadband. Saya pernah guna Maxis Broadband beberapa tahun dulu dengan pakej RM138/month bagi speed 7.2Mbps untuk kuota 7Gb. Dua tahun lebih pakai tanpa sebarang masalah, kecuali bilnya yang agak mahal. Kemudian saya buat keputusan untuk terminate sebab dah jarang guna Internet untuk tujuan kerja.
Jadi kenapa saya langgan balik Maxis Broadband kali ni? Ada dua sebab utama. Pertama, Internet dah jadi keperluan saya sekarang untuk kerja-kerja online selain daripada blogging. Kedua, talian Internet sedia ada bermasalah (Streamyx); talian tak stabil dan agak kerap terputus. Biasanya kalau saya perlukan penggunaan Internet yang ekstrem saya akan ke kampung untuk tumpang WiFi pakcik saya. Walaupun cuma pakej 1Mbps, tapi download dan upload rate Streamyx pakcik saya sangat memuaskan. Download rate boleh cecah sampai 150Kbps manakala upload rate saya tak pasti berapa tapi setakat ni sangat berpuas hati. Cuma masalahnya selalu sangat berlaku kecurian kabel telefon kat kampung.
Jadi penyelesaiannya hanyalah dengan melanggan perkhidmatan wireless broadband. Confirm tak ada masalah curi kabel lagi haha. Dah berbulan-bulan juga fikir sebenarnya. Baru petang semalam dapat buat keputusan. Kali ini saya pilih Maxis Broadband PortaFi dengan menggunakan modem model MF70. Bayaran bulanan cuma RM68 sebulan dengan rebet RM10 sebulan selama setahun. Maknanya untuk tahun pertama saya cuma perlu bayar RM58 sebulan sahaja.
Niat di hati nak modem 74Mbps (tiada dalam gambar) tapi dah habis stok. Bulan 5 lepas saya ditawarkan modem ni secara percuma tapi masa tu belum tergerak hati lagi nak langgan broadband. Sekarang ni stok untuk modem 74Mbps ni dah habis. Kalau ada pun ianya tidak lagi percuma berdasarkan katalog yang saya dapat semalam.
Memandangkan modem 42Mbps juga kehabisan stok, saya terpaksa pilih antara dua iaitu PortaFi modem atau MiFi modem. Kedua-duanya berkelajuan 21Mbps dan portable. Beza antara dua modem ini adalah kuasa baterinya.
Bagi MiFi modem ianya perlu dicaj untuk menggunakannya sama ada melalui USB atau caj secara terus melalui plug. Kebiasaannya hanya bertahan selama 3 jam jika diguna secara berterusan. Manakala PortaFi modem dikuasakan melalui sambungan USB ke laptop, adapter kereta ataupun rumah. Dari segi penggunaan, PortaFi lebih sesuai untuk saya.
Model MF70
Quota 8Gb (4Gb Off-Peak, 4Gb On-Peak)
Speed 21Mbps
Rebate RM10/month for 12 months
Bill RM68/month
Include Car adapter & house adapter
Contract 1 year
Maxis Broadband PortaFi
Modem melalui sambungan USB. Tidak perlukan password WiFi melainkan password dashboard sahaja. Kalau macam ni cuma satu peranti saja boleh digunakan iaitu laptop atau komputer. Melainkan jadikan laptop sebagai hotspot, tapi dengan PortaFi ni tak perlulah buat macam tu sebab PortaFi ni sendiri boleh berfungsi sebagai WiFi modem.
Pasang adapter dalam kereta untuk guna WiFi semasa travelling. Tapi kalau pergi tempat jin bertendang tak ada gunanya juga hehe.
Adapter rumah untuk dijadikan sebagai WiFi modem. Maksimum 10 peranti. Memerlukan password unik untuk menggunakannya.
Maxis Broadband PortaFi – Speed
Salah satu aspek paling penting dalam pemilihan broadband modem ialah speed. Semestinya kita nak yang paling laju. Tapi jangan harapkan download atau upload rate akan sama seperti apa yang sepatutnya modem mampu capai. Kat bawah ni adalah kadar download dan upload yang saya dapat melalui ujian Speedtest.
Kat bawah ni pula adalah screenshot Internet Download Manager daripada server Turboupload. Hanya sekitar 80Kbps sahaja.
Tapi perlu diingatkan kelajuan download rate juga bergantung pada kelajuan server yang hostkan file tersebut. Sebagai contoh saya dapat kelajuan yang sangat baik (dalam situasi saya) apabila download video daripada Youtube seperti dalam gambar kat bawah ni. Download rate sekitar 170Kbps dan tak lebih daripada 210Kbps. Dulu saya pernah dapat speed selaju 430Kbps dengan modem E220 (7.2Mbps).
Update: 4 September 2013
Ini download rate terbaru yang saya dapat sejak malam semalam. Surfing pun makin laju. Maxis Broadband PortaFi ni baru panas enjin agaknya hehe.
Kuota Maxis Broadband
Seperti yang diiklankan, saya memilih Maxis Broadband dengan kuota bulanan sebanyak 8Gb, cukup untuk saya buat masa ini. Berbeza dengan dulu, kuota yang disediakan dibahagikan kepada dua jangka waktu. Bermakna, saya dapat kuota sebanyak 4Gb dari pukul 8 pagi – 2 pagi dan 4Gb lagi dari pukul 2 pagi – 8 pagi. Kalau nak diikutkan tidaklah berapa menguntungkan sebab penggunaan waktu siang dan malam lebih banyak daripada maktu awal pagi. Lebih adil kalau dapat kuota sebanyak 6Gb dari pukul 8 pagi – 2 pagi manakala cuma 2Gb dari pukul 2 pagi – 8 pagi.
Dah tu kenapa pilih Maxis Broadband?
Satu saja sebabnya, hanya Maxis Broadband saja yang dapat berikan coverage yang paling baik di kawasan saya. Saya tak katakan penyedia broadband yang lain tidak bagus. Ianya bergantung kepada keluasan liputannya.
Kalau nak check baki kuota yang tinggal dalam bulan tersebut boleh klik pada ikon Maxis pada laman admin dalam browser. Satu paparan baru akan dibuka. Kat situ ada maklumat kuota bulanan dan juga profail kita.
Kelebihan Maxis Broadband PortaFi
- Portable. Boleh dibawa dan digunakan di mana-mana sahaja.
- Boleh digunakan di dalam kereta. Hanya perlu cucuk pada pengecas kenderaan.
- WiFi modem. Boleh dikongsikan sehingga 10 pengguna maksimum.
- Seperti kebanyakan portable broadband modem, PortaFi juga boleh dijadikan sebagai pendrive melalui kad MicroSD.
Kekurangan Maxis Broadband PortaFi
Berdasarkan pengalaman menggunakan PortaFi malam semalam, model MF70 ini cepat panas dan mengakibatkan connection terputus. Lebih teruk lagi laptop akan restart secara sendiri. Itu kalau laptop model baru yang mempunyai sistem keselamatan untuk mengelakkan daripada kejadian yang lebih buruk berlaku apabila mula panas melebihi hadnya. Tak pasti apa akan terjadi pada laptop model lama.
InsyaAllah dalam entri seterusnya saya akan jelaskan lebih lanjut pasal ni dan sarankan satu cara penyelesaiannya.
Artikel berkaitan:
- Cara Untuk Mengetahui Sama Ada Wifi Dicuri
- ZTE MF70 Modem Cepat Panas