Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Sektor Takaful Berkembang Dalam Kegawatan Ekonomi

kibat kegawatan ekonomi yang melanda Asia serta Malaysia lebih dua tahun lalu, kolum ini turut menjadi korban apabila halaman akhbar ini terpaksa dikurangkan. Kini keadaan ekonomi bertambah baik sekalipun tidak sepenuhnya. Kemungkinan ekonomi muram boleh berlaku lebih-lebih lagi dengan adanya tanda-tanda kelambapan ekonomi dunia terutama ekonomi Amerika Syarikat. Sedikit sebanyak ekonomi negara akan turut merasa tempiasnya jika ekonomi Amerika Syarikat lemah kerana hampir satu perempat ekspot negara adalah ke Amerika Syarikat. Ini menjadikan dasar dan usaha mempertingkat serta memperluaskan pasaran barangan dan ekspot Malaysia amat mustahak. Amat tidak wajar sesebuah negara terlalu bergantung pasaran ekspotnya kepada satu kawasan sahaja. Sekiranya negara berkenaan tidak berkeupayaan mengimpot bererti negara pengekspot akan menghadapi masaalah ekonomi.

takaful ekonomi

takaful ekonomi

Apapun, yang jelas kegawatan ekonomi secara amnya tidak begitu mengancam sektor kewangan Islam yang mana takaful merupakan antara komponen yang berpengaruh. Suasana ini tidak sahaja terhad di Malaysia, malah beberapa negara lain yang mengamalkan operasi kewangan Islam. Ini termasuk Turki sewaktu sektor kewangan konvensional mengalami krisis peningkatan mendadak kadar faedah ekoran kejatuhan nilai matawang kiranya sektor kewangan tanpa faedah tidak merasa ancaman krisis yang sama. Kalau adapun kesan daripada kegawatan ekonomi ini barangkali yang berkaitan dengan kejatuhan nilai pelaburan saham. Kejatuhan harga saham sedikit sebanyak memberi tekanan ke atas dayauntung mana-mana institusi kewangan yang turut dalam aktiviti pelaburan saham. Kalau harga saham sewaktu dibeli tinggi selangkah dengan indeks komposit yang melangit, sudah pasti mengikut piawaian perakaunan wajar diambilkira susut nilai sebaik harga saham merudum sejajar indeks komposit yang turun menjunam.

Namun diukur mengikut daya pertumbuhan takaful secara keseluruhan, tidak banyak terjejas. Umpamanya dalam tahun 1998 dan 1999 di tengah-tengah kancah kegawatan ekonomi, takaful mencatat pertumbuhan positif dengan purata peningkatan kutipan sumbangan takaful (premium) melebihi 24%. Sebaliknya prestasi insurans konvensional mengalami pertumbuhan negatif dengan jumlah premium menguncup kira-kira 4% dalam tempoh yang sama. Seandainya aliran ini berkekalan dalam jangkapanjang takaful akan berjaya berada dalam arus perdana sektor kewangan negara. Trend yang serupa juga dialami beberapa negara lain yang mempunyai operasi takaful atau insurans Islam dengan merekod pertumbuhan positif yang sama, sedangkan sektor kewangan konvensional menghadapi kesukaran untuk menambah perniagaan. Di Indonesia misalnya, Syarikat Takaful Indonesia terus maju dan mencatat peningkatan prestasi di tengah-tengah sektor insurans konvensional negara itu menghadapi soal mengekalkan operasi atau menutupnya. Begitu juga dengan prestasi takaful di Singapura apabila nilai `Takaful Global Fund (Dana Takaful Global)’ mencatat kenaikan 100% berbanding harga asal. Pertumbuhan yang serupa juga dialami di Brunei. Malahan dalam menghadapi kemaraan takaful, berbagai taktik diguna oleh sektor insurans konvensional di negara tersebut termasuk tawaran premium yang rendah misalnya dalam menarik perlindungan kenderaan. Sesungguhnya `perang premium’ dalam jangkapanjang tidak menguntungkan sesiapa baik, Syarikat mahupun pengguna. Apatah lagi takaful yang masih kecil dan baru `membuka kedai’ tidak wajar turut sama dalam perang harga untuk mendapat penyertaan orang ramai. Dalam apa-apa perniagaan sekalipun perlu ada kestabilan `harga’. Prestasi positif takaful dalam kegawatan ekonomi yang sebaliknya memberi kesan negatif ke atas insurans konvensional, barangkalai membuktikan keunggulan Syariah itu sendiri. Operasi takaful yang diamalkan di Malaysia dan negara-negara Asean lain adalah berasaskan kontrak atau akad mengikut prinsip al Mudharabah yang bermaksud berkongsi untung dalam perniagaan, dan al Tabarru’ atau menderma secara ikhlas untuk tujuan tertentu. Ringkasnya wang sumbangan yang dibayar sebagai balasan menyertai produk takaful disatu segi ibarat modal pelaburan yang akan memberi pulangan secara perkongsian untung diantara pembekal modal dengan pengusaha. Misalnya, pengalaman prestasi Takaful Malaysia untuk perlindungan harta benda seperti rumah, kenderaan, stok perniagaan dan lain-lain harta untung yang telah dibayar kepada peserta rata-rata tidak kurang daripada 35%. Dengan kata lain jika amaun wang sumbangan RM100 yang dibayar pulangan RM35 akan diperolehi daripada perkongsian untung al Mudharabah.

At tabarru’ pula di masukkan ke dalam akad bagi mengizinkan sekian peratus wang sumbangan yang sama diambil khusus untuk membantu rakan peserta yang ditimpa musibah. Perjalanan takaful sebegini menjadikan operasinya jelas, dengan struktur perjanjiannya telus. Ketelusan ini diperlihatkan pula dalam dasar perakaunannya. Kewajaran ini penting bagi memastikan keseluruhan operasi takaful itu adil dan ihsan iaitu dua prinsip tonggak yang dituntut Islam dalam setiap perilaku manusia. Seruan supaya berlaku adil dan ihsan disebut oleh khatib dalam setiap khutbah Jumaat.

Selain menyediakan kemudahan perlindungan apabila peserta ditimpa musibah seperti insurans, aktiviti takaful juga membabitkan pelaburan. Selangkah dengan peraturan Syariah, bidang pelaburan mestilah bersih dari apa-apa unsur riba. Sekali-kali ia tidak menjejaskan dana takaful. Pengendali takaful dan peserta sebagai kedua pihak yang berkepentingan tidak merasa diambil kesempatan atau tertekan untuk mendapat pulangan bagi menggantikan kejatuhan faedah atau sebaliknya. Menurut pengurus Dana Takaful Global di Singapura, seorang bukan Islam ketika ditanya apakah strategi pelaburannya yang mampu menghasilkan pulangan baik sedangkan pasaran saham dunia muram, beliau hanya menyatakan sukar dirasionalkannya secara ilmiah. Apa yang beliau benar-benar faham ia seolah-olah mendapat pertolongan oleh suatu `tangan’ ghaib.

Artikel berkaitan:
Masa Untuk Berjimat Semasa Economi Kurang Baik

Leave a Reply