Produk Takaful Juga Untuk Bukan Islam

Sejajar dengan kedudukan Islam agama sejagat, apa-apa sistem yang dibangunkan untuk dimanfaati oleh manusia keseluruhannya adalah tidak terhad kepada masyarakat Islam sahaja. Oleh itu, sebagai sistem kewangan Islam, takaful bukan untuk orang Islam semata-mata.

Bila disebut sistem yang berlandaskan hukum syarak, mungkin timbul tanggapan ia tidak terpakai bagi masyarakat bukan Islam. Barangkali atas tanggapan ini, ada masyarakat bukan Islam bertanya samada produk takaful boleh mereka langgani.

Mujur bagi Takaful Malaysia sebagai contoh, atas statusnya menjadi syarikat tersenarai, ada antara pemegang sahamnya adalah individu bukan Islam. Sebagai pemegang saham, mereka setidak-tidaknya dapat hadir mesyuarat agong tahunan yang membuka peluang bagi mereka mengetahui sedikit sebanyak tentang operasi takaful.

why takaful
why takaful

Urusan Sistem Kewangan

Adalah jelas bagi mereka bahawa sesungguhnya urusan sistem kewangan seperti perbankan, takaful, pelaburan modal dan sebagainya juga terbuka kepada bukan Islam selagi mereka menerima syarat yang menjadi asas kontrak sistem tersebut mengikut prinsip-prinsip Islam khusus.

Yang demikian produk takaful juga terbuka kepada mereka. Dalam hubungan ini mereka memaklumkan dalam bahasa Kantonis, takaful yang disebut `tai-kafu’ bermaksud kemewahan kepada semua.

Ini selari dengan maksud takaful yang menggambarkan suatu pakaran bagi menyediakan kemudahan kewangan untuk meringankan beban yang kena ditanggung oleh peserta yang ditimpa musibah.

Dengan kata lain, melalui penghayatan saling jamin menjamin menurut konsep takaful akan membawa kesengangan kepada semua yang terbabit.

Sememangnya secara am, bidang muamalat nyata tidak hanya terbatas kepada masyarakat Islam sahaja. Berbeza dengan pelaksanaan fardhu ‘ain yang diwajibkan keatas setiap individu Muslim sahaja, urusan kewangan dan perniagaan lain, selagi dilaksanakan mengikut hukum syrarak, dan tiada pula urusannya terbabit dengan perkara-perkara yang tidak halal maka ia terbuka kepada semua meskipun bukan menjadi suatu yang wajib.

Atas sifat sejagat inilah dapat dilihat bilangan bukan Islam yang melanggani produk-produk kewangan Islam, baik takaful mahupun perbankan semakin meningkat.

Bagi takaful misalnya, institusi korporat termasuk syarikat-syarikat multi-nasional turut menyertai produk-produk takaful bagi melindungi hartabenda dan juga kepentingan lain termasuk kemudahan perlindugan kepada kakitangan sesuai dengan skim perkhidmatan institusi masing-masing.

Misalnya, penyediaan program bantuan seperti khairat kematian, dimana waris terdekat akan mendapat manfaat seperti wang khairat jika seorang pekerja meninggal dunia, merupakan suatu manfaat sampingan yang biasa disediakan oleh majikan dibawah skim perkhidmatan sesebuah institusi.

Lazimnya manfaat seumpama ini dibayar berasaskan tiga sehingga lima tahun gaji akhir pekerja terbabit. Menyedari hampir semua pekerja Islam mengutamakan produk berasaskan Syariah, kemudahan ini biasanya diperolehi melalui produk takaful yang dipanggil Pelan Takaful Keluarga Berkelompok.

Sistem Yang Memberi Nilai Tambah Tertentu

Bagi masyarakat bukan Islam pula pada dasarnya mereka akan mendukong sesuatu sistem jika ia dapat memberi nilai tambah tertentu. Rata-rata masyarakat bukan Islam akan turut serta dalam sistem yang berkaitan jika ia menjimatkan belanja dalam jangka masa panjang.

Ciri nilai tambah ini sememangnya ada pada takaful. Keistimewaan khusus yang dikira luar biasa adalah kontrak mudharabah. Peserta takaful akan tetap memperolehi pulangan samada daripada perkongsian untung jika tiada apa-apa musibah berlaku atau daripada bayaran manfaat jika ditimpa musibah.

Nilai tambah yang menjadi asas kontrak seumpama ini tiada dalam amalan konvensional kerana perolehan di bawah sistem konvensional hanya berlaku apabila pemegang polisi ditimpa musibah.

Namun keistimewaan mudharabah sahaja masih belum cukup untuk menjamin sokongan dan keyakinan orang ramai sebagai pengguna produk takaful. Tidak kira samada Islam atau bukan Islam, sebagai pengguna, mereka memerlukan khidmat dan layanan cekap dan cepat.

Inilah cabaran kepada pengendali takaful dalam usaha memastikan sistem kerja yang sentiasa bermutu. Kepada golongan yang meletak harapan begitu tinggi akan kecermerlangan institusi kewangan Islam, sedikit kelemahan sudah dikira suatu kepincangan besar.

Sememangnya sebagai pengguna mereka dikira betul kerana mereka berhak mengharapkan yang terbaik oleh kerana mereka yang kena mengeluarkan wang untuk mendapatkan khidmat yang disediakan melalui pelbagai produk takaful. Apalah institusi perniagaan tanpa pelanggan.

Malah banyak syarikat-syarikat besar terpaksa gulung tikar disebabkan hilangnya kepercayaan pelanggan akibat khidmat dan layanan pelanggan yang tidak bermutu. Bahkan sesuatu sektor itu menjadi lebih terancam lagi jika ada persaingan yang boleh memberi peluang pilihan kepada masyarakat pengguna.

Operasi Kewangan Islam

Sekalipun begitu mungkin mustahak juga masyarakat pengguna memahami perjalanan atau operasi kewangan Islam khususnya takaful yang dikira masih baru.

Sebagai contoh, operasi Takaful Malaysia yang boleh dikira sebagai `takaful model Malaysia’ yang ingin dicontohi beberapa negara luar, terdapat dua dasar pokok yang membezakan urusan kewangan dengan sistem konvensional.

Pertama, hasil atau pendapatan diambilkira mengikut asas perakaunan tunai. Ertinya apa-apa terimaan seperti pulangan keatas pelaburan baik pelaburan ke atas wang sumbangan/caruman oleh peserta atau wang pengendali daripada kumpulanwang pemegang saham hanya diambilkira dalam buku setelah benar-benar pulangannya diterima dan resit dikeluarkan.

Walaupun asas perakaunan bukanlah suatu isu utama Syariah, namun ahli Syariah lebih berat memihak kepada dasar yang mengamalkan perakaunan tunai bagi apa-apa urusan kewangan mengikut kontrak mudharabah.

Hujah mereka, untung yang hendak dikongsi dan dibahagi itu mestilah untung sebenar yang telah diterima. Untung mengikut kiraan buku sahaja bukan untung sebenarnya kerana tidak boleh dicairkan dan dengan itu mustahil dapat diagihkan.

Itu sebabnya peserta takaful digalakkan menjelaskan segera bayaran sumbangan/caruman masing-masing, bahkan bayaran pada hari yang sama dengan hari takaful berkuatkuasa adalah paling baik memandangkan perkiraan perkongsian untung bermula hari wang sumbangan/caruman diterima.

Kedua, dasar yang tidak mengambil belanja operasi daripada wang sumbangan/caruman. Ulama juga sepakat apa-apa urusan berasaskan kontrak mudharabah, kos pengendali sebagai mudharib seperti gaji, sewa pejabat, belanja membeli pelbagai peralatan dan lain-lain tidak wajar menggunakan wang sumbangan/caruman peserta yang dikira modal mudharabah mereka.

Bagi ulama prinsip keadilah dan kehalusan Syariah perlu dijaga. Dikhuatiri jika upah diambil terlebih dahulu sedangkan tugas atau syarat-syarat kontrak belum selesai dan tertunai sepenuhnya, akan timbul kesangsian kepada pihak yang mengeluarkan modal.

Berpandukan kepada hakikat ini, Takaful Malaysia tidak mengamal atau melantik agen/wakil bagi memasarkan produk takaful kerana sistem agensi yang umum diketahui menerima ganjaran atau imbuhan komisyen daripada wang premium yang dibayar oleh pengguna.

Bayaran ini merupakan sebahagian daripada kos operasi. Sebagai amalan pilihan, Takaful Malaysia mempunyai wargakerja yang dilantik khusus untuk menjalankan tugas pemasaran produk takaful seperti juga yang dijalankan agen/wakil insurans konvensional.

Tetapi upah kepada wargakerja ini ditanggung oleh wang pengendali sendiri iaitu daripada kumpulanwang pemegang saham. Dengan ini mereka dikehendaki bertugas sepenuh masa dan tidak seperti agen yang setengahnya bersifat separuh masa sahaja (part-time).

Perbezaan operasi mengikut dua dasar kewangan seperti contoh di atas menyebabkan penyesuaian tertentu wajar dilakukan kepada apa-apa sistem kerja yang digunapakai oleh pengendali. Adakalanya sistem piawai yang sedia ada di pasaran tidak sesuai untuk digunapakai bulat-bulat oleh takaful.

Penyesuaian perlu: kadangkala ia mengambil sedikit masa untuk menjadi biasa. Apapun oleh kerana takaful itu sememangnya berbeza dengan insurans maka sistem kerjanya juga ada yang berbeza kerana bagi Takaful Malaysia ia mestilah selaras dengan Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *