Produk Takaful Jaminan Sosial Untuk Semua Peringkat

Sektor takaful di Malaysia yang menyediakan pelbagai produk insurans secara Islam terus berkembang sekalipun beroperasi dalam iklim ekonomi yang belum dikira pulih secara keseluruhannya. Bagi mana-mana institusi kewangan secara khusus prestasinya berkait rapat dengan suasana ekonomi semasa. Namun demikian misalnya kadar purata pertumbuhan mengikut amaun sumbangan takaful bagi kedua-dua jenis perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am kira-kira 30% setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu adalah lebih tinggi, berbanding kadar purata kira-kira 10% pertumbuhan sektor insurans konvensional dalam tempoh yang sama.

syariah compliant
syariah compliant

Sebelum wujud sistem takaful, dengan tertubuhnya Takaful Malaysia dalam 1984, pembabitan masyarakat bumiputra, terutamanya yang beragama Islam dalam bidang insurans nyawa khasnya, tidak sampai pun 3%. Tahap penembusan insurans bagi sesebuah negara biasanya diukur mengikut jumlah polisi insurans nyawa berkuatkuasa berbanding jumlah penduduk. Angka ini samalah dengan kadar penembusan insurans nyawa dikebanyakan negara-negara sedang membangun. Setelah terbinanya adas operasi takaful, bilangan bumiputera beragama Islam menggunakan sistem insurans secara keseluruhannya telah meningkat kira-kira 15%. Tidak diragukan, takaful sedikit sebanyak telah berjaya menarik dan menjinak golongan masyarakat ini menggunakan insurans : antara perkhidmatan dan kemudahan kewangan yang luas dan besar manfaatnya dalam kehidupan moden. Insurans termasuk takaful, tidak lagi boleh dikira sebagai sesuatu yang mewah, yang hanya mampu oleh golongan berada sahaja. Sewajarnya sistem seperti takaful yang boleh dijadikan produk jaminan sosial mampu dimiliki oleh semua peringkat masyarakat.

Oleh itu takaful atau insurans pada dasarnya menjadi suatu keperluan. Cadangan melaksanakan program kesihatan kebangsaan umpamanya merupakan antara contoh betapa sistem perlindungan seperti ini perlu dan harus meliputi semua rakyat. Setidak-tidaknya ia perlu bagi mematuhi kehendak undang-undang, seperti kenderaan: tanpa perlindungan insurans atau takaful, sekurang-kurangnya melindungi pihak ketiga, tidak dibenarkan disisi undang-undang menggunakan jalanraya. Malahan kini ternyata melalui kemudahan takaful, golongan fakir miskin juga turut berpeluang mendapat perlindungannya sebagaimana jalinan kerjasama Pusat Zakat Selangor (PZS) dengan Takaful Malaysia. Di bawah kerjasama ini, PZS menggunakan beberapa produk takaful keluarga sebagai program kewangan jangkapanjang fakir miskin bagi menjana tabungan dan perlindungan golongan asnaf yang menerima bantuan zakat PZS. Pada masa ini bilangan mereka yang dilindungi takaful di bawah program PZS melebihi 4,000 orang.

Begitu juga beberapa produk takaful yang dilakarkan khusus untuk dimanfaatkan oleh masyarakat luar bandar seperti produk takaful kebakaran seumpama Skim Takaful Rumah Desa dan Skim Takaful Baitul Saadah. Kedua-duanya disusun khusus melindungi rumah kampong yang biasanya dibina daripada bahan kayu yang pada dasarnya tidak dikira kumpulan sasar menjadi tarikan sektor insurans konvensional. Sehubungan ini tanpa kebijaksanaan pihak Kerajaan yang menyediakan prasarana ke arah kemajuan takaful yang disokong dengan keyakinan dan kegigihan pihak yang diberi amanah mendiri dan menguruskan takaful, pembabitan masyarakat luar bandar yang kebanyakannya bumiputra beragama Islam dalam sektor insurans barangkali amat kecil sekali. Apapun perlu ditegaskan bahawa sebagai salah satu kegiatan kewangan, takaful terbuka kepada semua: Islam dan bukan Islam.

Sememangnya komitmen Kerajaan untuk mengembangkan sektor kewangan Islam secara keseluruhannya, dan takaful secara khusus diserlahkan melalui sasaran-sasaran tertentu dalam Pelan Induk Sektor Kewangan. Berpandukan kadar pertumbuhan yang telah dicatat adalah dijangka besar kemungkinan sasaran ini akan tercapai. Umpamanya salah satu petunjuk utama ialah perbandingan bilangan Sijil Takaful Keluarga baru yang mencermin bilangan individu yang baru atau pertama kali menyertai produk takaful keluarga berbanding polisi insurans nyawa baru yang sama untuk sektor insurans konvensional terus meningkat dari 14% dalam 2000 kepada 14.6% dalam 2002. Sehubungan ini jumlah sumbangan takaful penyertaan baru meningkat 10.8% kepada 11.3% dalam tempoh yang sama berbanding sektor insurans konvensional.

Trend serupa juga diperolehi takaful am. Misalnya pada tahun 2000 wang caruman pelbagai produk takaful am yang umumnya bertujuan melindungi harta benda serta kepentingan bersangkutan dengannya bersabit kerugian atau kehilangan akibat ditimpa musibah hanya 3.3% daripada premium insurans am keseluruhannya. Kadar ini meningkat 4.3% pada 2002.

Namun dalam mana-mana bidang perniagaan takaful juga tidak terkecuali, risiko serta kemungkinan memperolehi untung atau menanggung rugi tidak dapat diatasi sepenuhnya. Bahkan secara logik, sektor seperti takaful atau insurans lebih mudah terdedah kepada kemungkinan menanggung beban kewangan besar yang mudah membawa kerugian kerana operasinya berkaitan secara langsung dengan penyediaan jaminan kewangan. Dengan kata lain, peranan ini membabitkan tanggungjawab menangung liabiliti atas kerugian atau kehilangan disebabkan musibah menimpa perkara yang dilindungi.

Bagi produk berkaitan tabungan jangka panjang pula seperti di bawah pelbagai pelan takaful keluarga, tabungan dan perlindungan merupakan jaminan yang berkait rapat dengan prestasi pelaburan. Menerusi pelbagai pelan takaful keluarga bagi merancang program tabungan jangka panjang, individu yang melangganinya, sebagai peserta dikehendaki membayar wang caruman terlebih dahulu dengan mengharapkan balasan dalam bentuk perolehan manfaat oleh takaful sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku; sama ada peserta meninggal dunia sebelum pelan matang atau tempohnya genap.

Dalam hubungan ini pengendali takaful wajar membuat unjuran berasaskan prinsp-prinsip munasabayh dan kukuh mengenai jangkaan perolehannya. Sebahagian wang caruman yang diterima awal itu akan diketepikan berasaskan prinsip berkenaan yang diunjurkan mencukupi dalam keadaan biasa untuk membayar manfaat perlindungan jika ditakdirkan peserta meninggal dunia semasa tempoh penyertaan pelan. Prinsip yang dijadikan asas unjuran adalah jangkaan kematian yang lazimnya dirujuk kepada jadual kemortalan. Namun sebagai kuasa penimbal, jangkaan pulangan pelaburan keatas wang caruman turut diambilkira dalam unjuran. Dalam operasi insurans konvensional, pulangan pelaburan dijamin, kadarnya ditetapkan seperti faedah bank. Atas landasan ini perolehan manfaat kepada pemegang polisi adalah dijamin.

Tetapi dalam suasana prestasi pelaburan bercampur pada masa ini disebabkan iklim ekonomi yang masih belum ceria, kadar pulangan sebenar yang diperolehi kurang berbanding kadar yang telah dijamin. Lantarannya, perolehan manfaat pemegang polisi sebagaimana yang telah dijanji dan dijamin sukar dicapai. Atas hakikat ini misalnya, timbul cadangan oleh sektor insurans nyawa mengkaji kemungkinan menurunkan kadar faedah yang dijamin. Selain itu langkah pilihan adalah menaikkan kadar premium bagi memastikan jaminan perolehan manfaat yang dijanjikan itu akan tertunai. Keadaan serupa dilaporkan hampir di seluruh dunia. Sektor insurans nyawa Thailand telah menurun jaminan kadar faedah kepada 2% setahun dari 4% setahun sebelum ini. Bahkan di Peranchis dan di Jerman turut dilaporkan usaha diambil oleh sektor insurans nyawa untuk mendapat kebenaran pihak berkuasa melonggarkan keperluan ini: menurunkan kadar faedah yang dijamin seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan yang kedua melonggarkan keperluan peruntukkan susutnilai yang kena dibuat atas kejatuhan nilai pelaburan. Langkah ini perlu sebagai reaksi kepada tekanan prestasi pelaburan yang lembab.

Dalam amalan takaful, kaedah mengenepikan sebahagian wang caruman untuk penyediaan perlindungan turut dipakai. Tetapi akadnya berbeza dengan insurans konvensional dimana wang caruman yang diketepikan itu dibuat dengan kerelaan peserta berasaskan prinsip tabarru’ atau derma. Asas menentukan kadar tabarru’ juga dirujuk jadual kemortalan tetapi kadar pulangan pelaburan hanya sebagai anggaran atau junuran semata-mata, tiada apa-apa dijanji atau dijamin dalam menentukan jangkaan manfaat perolehan. Apapun memandangkan faktor kemortalan itu kecil maka dalam unjuran yang dibuat prinsip penimbal diambilkira sebagai kaedah meneguhkan dana tabarru’. Secara praktik kadar kemortalan yang relatif lebih tinggi digunapaki sebagai anggaran tambahan. Oleh itu pulangan pelaburan yang mungkin di bawah kadar unjuran tidak banyak akan mempengaruhi jangkaan manfaat perlindungan.

Oleh itu berlainan dengan insurans konvensional, di bawah produk takaful jangka panjang tiada wang premium yang kena dibayar peserta. Ini tidak bermakna pengendali takaful tidak mementingkan sasaran memperolehi pulangan pelaburan semaksima mungkin. Sebaliknya usaha ini harus disasarkan kerana peserta sememangnya mengharapkan keuntungan sebesar mungkin daripada wang carumannya. Diwaktu yang sama pulangan pelaburan penting kerana selain matlamat tabungan, takaful diwaktu yang sama turut mengutamakan perlindungan jika sesuatu musibah menimpa peserta.

Secara praktik, pelbagai strategi pengurusan dilaksanakan bagi mengelak dan mengurangkan impak pelaburan. Antara strategi kewaspadaan misalnya tidak semua wang caruman dilaburkan dalam satu bidang sahaja sesuai pepatah Inggeris ‘jangan melonggokkan semua telor dalam satu bakul’. Selain itu, operasi takaful di Malaysia, sama seperti operasi sektor kewangan lain, tertakluk kepada undang-undang iaitu Akta Takaful 1984. Pihak berkuasa melalui kuasa undang-undang ini akan menetapkan peraturan dan garis panduan tertentu yang akan mengawas serta mengawalselia perilaku pengendali takaful sebagai pemegang amanah peserta supaya pengendali berkenaan melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut prinsip pengurusan yang terbaik. Salah satu strategi pengurusan mantap meliputi langkah menyediakan peruntukkan seperti rezab-rezab tertentu, selain peruntukkan susut nilai pelaburan. Langkah seumpama dikira kritikal dalam memastikan kepentingan serta kebajikan pengguna sentiasa terpelihara. Sekaligus membuktikan sistem kewangan Islam seperti takaful boleh bersaing mengikut keperluan dan peraturan undang-undang moden.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *