Perolehan Manfaat Takaful Bebas Dari Unsur Judi

Bila disebut menyimpan wang atau menabung lantas yang difikirkan harapan dan matlamat memperolehi kembali semua wang yang disimpan oleh si penabung. Ini pun jika wang disimpan itu masih ada.

Bahaya dan risiko simpanan atau tabungan boleh hilang sememangnya nyata, lebih-lebih lagi jika wang itu disimpan di tempat yang tidak selamat seperti di rumah.

Tetapi dengan berkembang majunya industri kewangan, termasuk sektor kewangan Islam serta disokong pula dengan kesedaran yang tinggi tentang pentingnya amalan dan budaya menyimpan atau menabung kini boleh dikatakan setiap peringkat masyarakat menggunakan produk-produk yang disediakan oleh industri kewangan khususnya untuk tujuan menabung.

kenali takaful
kenali takaful

Takaful Sebagai Sistem Insurans Islam

Dengan munculnya pula sistem kewangan Islam yang merangkumi kedua-dua sektor perbankan dan takaful sebagai sistem insurans secara Islam, masyarakat mempunyai pilihan yang lebih luas menentukan produk tabungan yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

Maksud utama mengapa sistem kewangan Islam adalah untuk membebaskan orang ramai terbabit dengan amalan dan unsur yang tidak menepati hukum syarak dalam urusan dan kendalian perbankan serta insurans. Antara amalan dan unsur yang dilarang oleh syarak adalah riba dan gharar.

Lazimnya apabila adanya kedua-dua amalan dan unsur ini maka akan terbabit pula amalan dan unsur maisir atau perjudian dalam urusniaga yang sama. Amalan dan unsur ini turut ditegah oleh syarak.

Pembersihan amalan dan unsur ini bertujuan memastikan urusan dan kendalian perbankan serta takaful menjadi adil dan ihsan, tanpa berlaku sifat berat sebelah sehingga boleh membawa kepada kemudharatan atau kerugian pihak satu lagi. Malahan prinsip adil dan ihsan merupakan tonggak dalam mana-mana urusan sesama manusia.

Atas hakikat ini, sistem kewangan Islam terbukti menjadi popular dikalangan semua peringkat masyarakat. Apa pun bagi masyarakat Islam sudah tiada lagi pilihan dan sebab kecuali menggunakan produk-produk kewangan mengikut landasan syariah, kerana setiap tindakan dan perbuatan manusia, termasuk dalam berurusan antara seorang dengan seorang yang lain seperti urusan perniagaan atau urusan kemasyarakatan, diharapkan mendapat keredhaan Allah. Sehubungan ini menjadi kewajipan masyarakat Islam memilih produk-produk kewangan Islam ini.

Namun atas sifat sistem kewangan Islam yang saksama, adil dan baik maka kian ramai pula masyarakat bukan Islam melanggani produk-produk kewangan Islam ini.

Malahan di Barat sekalipun sudah ada keprihatinan dikalangan masyarakat tidak mahu terbabit dengan produk-produk kewangan yang dianggap tidak ‘bersih’ dengan menyediakan apa yang mereka istilahkan sebagai ‘dana etik’ atau ‘dana suci’. Dengan kata lain sistem kewangan Islam itu bukan untuk orang Islam sahaja.

Pelbagai Produk Tabungan

Sektor takaful adalah antara sistem kewangan Islam yang menyediakan pelbagai produk tabungan, khususnya berbentuk jangkapanjang yang boleh dilanggani oleh individu yang merancang untuk mengumpul sejumlah wang bagi memenuhi matlamat tabungan masing-masing samada untuk maksud bekalan persaraan, persediaan belanja perubatan atau pembentukan dana pendidikan tinggi anak-anak.

Dalam takaful, produk tabungan berkenaan dipanggil Pelan Takaful Keluarga Dengan Tempoh Matang (PTK). Seperti namanya, PTK menyediakan tempoh penyertaan tertentu. Sebenarnya pilihan tempoh itu tiada kaitan dengan kehendak syarak; ia lebih kepada strategi perniagaan sahaja.

Oleh itu pilihan tempoh matang bergantung kepada kehendak pengguna sendiri. Hanya bagi menepati peraturan syarak, setiap PTK mesti ada tempohnya. Ini adalah berasaskan kepada prinsip setiap kontrak atau akad perlu ditetapkan jangkamasanya; mana-mana kontrak yang tiada ditentukan tempoh boleh membawa kepada amalan dan unsur gharar yang membawa maksud akad yang tidak jelas.

Mana-mana akad yang tidak jelas boleh berlaku urusan berat sebelah yang boleh merugikan satu pihak yang berakad sebaliknya menguntungkan pihak yang satu lagi.

Satu lagi ciri khusus membezakan PTK sebagai produk tabungan dengan produk tabungan perbankan seperti akaun simpanan mengikut prinsip al-Wadiah atau al-Mudharabah ialah adanya manfaat tambahan sebagai wang khairat yang dibayar daripada kumpulanwang takaful jika ditakdirkan peserta meninggal awal sebelum genap tempoh matang PTKnya.

Dengan kata lain, dibawah PTK selain wang tabungan yang merupakan caruman yang dibayar peserta secara beransur-ansur sebelum kematiannya bersama untung pelaburan keatasnya, akan ditambah pula dengan sejumlah manfaat kematian. Secara keseluruhan PTK dapat menyediakan wang manfaat yang lebih besar berbanding produk tabungan biasa.

Dalam konteks adanya bayaran tambahan atas kematian peserta takaful secara sekali imbas boleh dilihat seperti kemudahan yang disediakan oleh polisi insurans nyawa konvensional.

Mana-mana pemegang polisi walaupun baru sahaja membeli polisi insurans, jika ditakdirkan meninggal dunia sebelum cukup tempoh polisi yang dibelinya itu, akan dibayar manfaat tuntutan mengikut harga polisi yang telah dibeli.

Secara am mana-mana kontrak kewangan berasaskan jualbeli yang menjamin dan menjanjikan satu pihak yang berkontrak akan mendapat perolehan manfaat melebihi wang caruman yang dibayarnya dikira mengandungi amalan dan unsur riba serta maisir.

Tetapi dibawah takaful, perolehan PTK yang meliputi bayaran manfaat tambahan seumpama wang khairat adalah bebas daripada kedua-dua unsur berkenaan. Ini adalah disebabkan kontrak PTK disusun mengikut landasan syariah.

Pengendali takaful, seperti Takaful Malaysia misalnya yang menyedia dan menguruskan kumpulanwang PTK disisi akad, bukan pihak yang ‘menjual’ produk-produk PTK.

Begitu juga mereka yang melanggani PTK bukan pembeli dalam ertikata sebenar, sebaliknya adalah pihak yang menyertai program takaful yang bertujuan untuk membantu dirinya dan keluarga serta rakan-rakan peserta lain melalui pembentukan dana bersama.

Sesungguhnya manfaat tambahan yang dibayar bersabit kematian peserta itu merupakan sebahagian daripada wang caruman peserta yang terkumpul dalam satu dana bersama yang dipanggil Akaun Khas Peserta (AKP).

Setiap peserta PTK bersetuju mengenepikan sebahagian kecil wang caruman masing-masing berpandukan prinsip derma atau tabarru’ mengikut kadar yang telah ditentukan. Wang tabarru’ ini dipindahkan ke AKP, diurus dan dilabur secara berasingan oleh penggendali.

Jika peserta PTK meninggal dunia sebelum tempoh, wang khairat sebagai manfaat tambahan yang dibayar dari AKP adalah bersamaan baki wang caruman yang belum sempat dibayar kerana peserta berkenaan meninggal dunia lebih awal.

Seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Pengawasan Syariah (MPS), apa-apa perolehan tambahan seumpama wang khairat yang dibayar kepada ahli waris peserta PTK yang meninggal dunia ini, adalah bebas daripada unsur riba serta perjudian.

Ini adalah kerana perolehan tambahan tersebut datang daripada sejumlah wang semua peserta yang telah ditabarru’ untuk tujuan menyediakan bantuan kewangan tersebut. Kaedah menyediakan bayaran tambahan ini sama dengan amalan tabung kebajikan yang telah lama dilaksanakan dikalangan masyarakat Islam di kampung-kampung, yang biasa dikenali dengan nama ‘syarikat mati’.

Mana-mana anggota masyarakat yang berdaftar dengan syarikat mati ini, jika ditakdirkan meninggal dunia, ahli warisnya akan mendapat sejumlah manfaat khairat sekalipun anggota berkenaan hanya baru berpeluang menyumbang wang keahlian pertama sahaja.

Prinsip Takaful Dan Al-Mudharabah

Sebagai satu-satunya agama yang sempurna, Islam menyuruh umatnya supaya menjalinkan hubungan yang baik samada ‘hablum minaLlah’ atau ‘hablum minan Nas’.

Pengabdian kepada Allah atau ‘Hablum MinaLlah’ boleh dilakukan dengan bermacam-macam cara seperti menunaikan solat, puasa, menunaikan ibadah haji, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Manakala hubungan sesama manusia atau ‘hablum minan Nas’ boleh dilakukan juga dengan berbagai cara seperti nikah kahwin dan urusan yang berkaitan dengan muamalat seperti jualbeli, hutang-piutang dan sebagainya termasuklah melalui perkongsian untung atau al-Mudarabah.

prinsip takaful
prinsip takaful

Al-Mudharabah memberi erti perjanjian antara dua pihak di mana salah satu daripada pihak tersebut mengeluarkan modal manakala pihak yang satu lagi mengusahakan modal tersebut melalui perniagaan dan keuntungan dibahagikan antara kedua-duanya mengikut perjanjian atau persetujuan pada waktu ‘aqad , sama ada dibahagi dua atau dibahagi tiga.

Prinsip ini bukanlah satu perkara yang baru dalam dunia perniagaan kerana ianya pernah diamalkan oleh Baginda Rasulullah sendiri yang mengambil modal daripada Sayyidatuna Khadijah sewaktu beliau berniaga ke Syam dan ijma’ para sahabat mengatakan hukumnya adalah harus.

Allah s.w.t telah mengurniakan dan membekal bakat, daya dan tuah kepada manusia menurut kadar tertentu dengan penuh bijak bijaksana dan hikmatnya yang tinggi.

Ada sebahagian manusia dikurniakan dengan pengalaman dan kepandaian dalam menguruskan perniagaan tetapi dalam masa yang sama mereka mempunyai kekurangan iaitu tidak mempunyai harta yang cukup atau tidak mempunyai modal untuk menjalankan perniagaan mereka.

Ada pula sebahagian manusia yang lain dikurniakan Allah dengan harta yang banyak tetapi malangnya mereka tidak mempunyai pengalaman untuk memanfaatkan harta mereka dalam dunia perniagaan.

Hikmah disebalik perbezaan ini ialah supaya manusia saling bekerjasama antara satu sama lain serta mengakui kelemahan diri sendiri serta dalam masa yang sama mengakui kehebatan orang lain.

Mereka yang mempunyai harta untuk dijadikan modal perniagaan seharusnya memanfaatkan pengalaman dan kepandaian berniaga yang ada pada orang lain supaya faedah daripadanya dapat diperkembangkan dan manfaat daripadanya dapat turut dirasai oleh orang lain.

Apatahlagi apabila hendak membangunkan projek-projek yang besar maka sudah tentu ianya memerlukan kepada modal yang besar dan tenaga mahir yang ramai.

Satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan di antara Takaful Malaysia dengan para peserta dilaksanakan dalam bentuk Mudharabah.

Dalam hal ini Takaful Malaysia bertindak sebagai Mudharib atau pengusaha iaitu menerima wang caruman atau wang sumbangan para peserta bagi menguruskan perlindungan takaful, membuat pelaburan dan sebagainya.

Para peserta pula bertindak sebagai pemilik harta dengan menyerahkan wang caruman mereka untuk diuruskan di dalam pelan atau skim perlindungan takaful, membuat pelaburan dan sebagainya.

Di dalam perjanjian antara Takaful Malaysia dengan peserta ditetapkan pula bagaimana keuntungan akan dibahagikan antara keduanya, misalnya nisbah 7:3, 6:4 atau 5:5.

Dengan adanya keuntungan daripada prinsip Mudharabah ini jumlah tabungan peserta di dalam Akaun Peserta (AP) dan Akaun Khas Peserta (AKP) akan bertambah banyak. Prinsip kerjasama Mudharabah ini amat bertepatan sekali dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan bantu-bantulah kamu di atas perkara kebajikan dan ketaqwaan”. (al-Ma’idah,5:2)

Seperkara yang perlu difahami oleh setiap umat Islam iaitu salah satu daripada keistimewaan dan keunikan yang ada pada Takaful Malaysia ialah peserta akan menerima sejumlah wang daripada perkongsian untung atau Mudharabah apabila dalam tempoh setahun perlindungan tidak berlaku apa-apa tuntutan daripada peserta.

Berbeza dengan insurans konvensional di mana walaupun tidak berlaku tuntutan dalam tempoh setahun, peserta tetap tidak akan mendapat keuntungan Mudharabah kerana akad syarikat insurans konvensional tidak berasaskan kepada prinsip Mudharabah.

Artikel berkaitan:
Kontrak Batal Baki Wang Dikembalikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *