Pelarasan Harga Minyak & Gula Demi Naikkan Sosioekonomi Masyarakat?

Harga minyak naik lagi? Walau apa pun alasannya, kenaikan harga minyak yang diumumkan baru-baru ini bukanlah merupakan satu berita yang sedap didengar di kala hidup rakyat pada saat ini yang semakin terhimpit dek arus pembangunan.

Mungkin ada benarnya kerajaan telah mengalami kerugian yang amat besar berikutan terpaksa menanggung sejumlah subsidi yang bukan ratusan ringgit, malahan jutaan lemon.

harga petrol

Tapi kenaikan yang boleh dianggap drastik ini dilihat terlalu terburu-buru dan bakal menambahkan lagi keperitan hidup sedia ada penduduk Malaysia yang rata-ratanya bergelar ‘penduduk Malaysia yang bukan senang’.

Minyak Naik, Semua Barang Pun Turut Naik

Tanpa kita sedari, kenaikan harga minyak walau sesen pun akan turut disertai dengan kenaikan harga barang keperluan dan perkhidmatan lain yang terus dibayangi oleh pasaran minyak.

Sekalipun subsidi ini dirasakan perlu untuk membantu perjalanan ekonomi negara, ia tidak seharusnya ditarik balik apa lagi bila ianya melibatkan komoditi yang amat penting bagi kita semua seperti minyak. Ini kerana pada akhirnya ia akan menyebabkan kesan yang buruk kepada semua rakyat.

Susah Bagi Golong Yang Berpendapatan Rendah

Kesan ini adalah Domino Effect yang akan berlanjutan dan menyusahkan masyarakat khususnya rakyat yang tidak berkemampuan dan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan.

Sementara itu kenaikan gaji yang telah dibuat sebelum ini hanyalah seperti mengabui mata 30 juta penduduk Malaysia dan mereka tidak mempunyai peluang sedikit pun untuk merasai nikmat gaji 4 angka sekiranya senario kenaikan harga barangan berlaku.

Kes Jenayah Meningkat Juga

Apa yang lebih menyedihkan adalah kenaikan harga minyak ini juga turut dilihat menjadi salah satu faktor dalam peningkatan kes-kes jenayah dan sosial di negara ini.

Maka tidak hairanlah media massa tanahair kita kini begitu mewah dengan limpahan cerita jenayah di muka hadapan akhbar mereka setiap hari.

Persoalannya, mahukah kita melihat institusi kekeluargaan menjadi semakin longgar akibat keterpaksaan ibu-bapa memerah keringat untuk mencari wang yang lebih berikutan memenuhi tuntutan ekonomi yang semakin memuncak daripada berlaku. Inikah nilai sebenar 20 sen yang terpaksa kerajaan gadaikan untuk menjimatkan dana negara? Tepuk dada tanya selera.

Kewujudan dan pemantauan berterusan daripada KPDNHP pula bukanlah jaminan terbaik untuk mengatasi permasalahan ini yang bukan senang sangat untuk diselesaikan.

Ini kerana sejarah sudah membuktikan bahawa harga barangan akan tetap dinaikkan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab meski pun ianya telah dipantau oleh pihak yang terbabit.

Di saat inilah mulut lancang pihak pembangkang akan terus kedengaran untuk menarik perhatian rakyat yang semakin terhimpit oleh kemelut kewangan. Jangan kita lupa semasa pengumuman kenaikan harga minyak sekitar bulan 9 tahun yang lepas, DSAI begitu petah melaungkan “kenaikan harga minyak adalah hadiah hari merdeka dari kerajaan untuk rakyat”.

Mahukah kita ayat yang lebih pedih dikeluarkan oleh salah seorang pemidato yang paling bijak di Malaysia ini berkumandang kembali di lidah rasmi mereka?.

Saya percaya sekiranya kita terus dihimpit dengan kenaikan harga barangan secara berterusan, sedikit sebanyak akan ada di antara kita yang lemah imannya dan turut terpengaruh dengan dakyah pemimpin pembangkang yang bermulut manis ini. Natijahnya populariti pemerintah pula akan semakin menurun.

Kerajaan Perlu Dipersoalkan Jika Tak Dapat Urus Dengan Bijak

Mahukah kita melihat pertukaran tampuk pemerintahan hanya disebabkan melepaskan beban selama ini yang bagi saya adalah satu situasi menang-menang? Memang aku pun setuju juga pertukaran kerajaan jika kerajaan yang  berkuasa pada masa kini tidak dapat selesaikan isu ekonomi dengan bijak.

Rasionalnya kenaikan harga minyak bukanlah satu resolusi yang sesuai diambil oleh kerajaan bagi menangani kemelut kewangan negara. Bukankah terdapat banyak lagi projek mega di luar sana yang patut kerajaan hentikan atau kurangkan bagi menanggung beban subsidi yang selama ini diberi kepada rakyat.

Bagaimana dengan penyertaan negara dalam F1? Ataupun perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri sendiri? Tidakkah ia melibatkan pengeluaran kos yang besar? Renung-renungkanlah.

Proses kenaikan harga ini juga kelihatan terlalu drastik. Kenapa? Ini kerana sebelum rakyat sempat membiasakan diri dengan corak ekonomi masa kini yang serba mahal, mereka telah dikerah pula untuk menikmati satu lagi hidangan ekonomi yang cukup memeritkan. Sedangkan kenaikan gaji hanya dikaji sekurang-kurangnya 10 tahun sekali. Tidakkah itu membebankan?

Sesungguhnya kerajaan perlu mempertimbangkan dampak kenaikan harga minyak sedalam-dalamnya kepada masyarakat sebelum membulatkan tekad menaikkannya lagi di masa hadapan. Saya risau niat baik kerajaan untuk menggunakan subsidi yang selama ini ditanggung untuk pembangunan disalahertikan oleh orang ramai sebagai satu bebanan.

Percayalah bila sifat amarah menguasai diri, semua kebaikan dan jasa yang diterima selama ini akan hanyut ditelan masa. Dan kerisauan ini semakin bertambah bila mana memikirkan saat pembangkang memerintah negara ini, kerana saya percaya tiada yang lebih baik daripada kerajaan yang mampu membela nasib bangsa melayu dan pribumi Malaysia khususnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *