Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Model Takaful Malaysia Menjadi Contoh

Takaful akan menjadi pilihan insurans utama bagi negara-negara Islam atau negara-negara yang mempunyai bilangan penduduk Islam yang agak ramai. Potensi takaful amat cerah. Atas kehendak umat serta kemahuan politik, sebagaimana yang dibuktikan di Malaysia, perkembangan takaful tiada penghujungnya. Diukur daripada hasrat pelbagai pihak luar mendapatkan bantuan teknikal Takaful Malaysia, barangkali model takaful yang telah diasaskan di negara ini dapat menjadi contoh untuk diekspot. Takaful Malaysia sendiri kini telah mengembangkan sayap operasinya di beberapa negara luar sama ada melalui penubuhan syarikat usahasama atau bantuan teknikal. Bagi syarikat usahasama, pengurusan adalah dikelolakan oleh pegawai-pegawai dari Takaful Malaysia.

model takaful malaysia

model takaful malaysia

Penduduk Islam Semakin Berkembang

Jumlah penduduk Islam di seluruh dunia adalah kira-kira 1,700 juta orang, sementara bilangan penduduk Islam di negara-negara Islam sahaja seramai 850 juta orang. Tetapi pemilikan insurans mereka amat kecil, kurang 5% daripada keseluruhan premium dunia. Purata seorang Islam hanya berbelanja AS$15 atau kurang RM60 seorang setahun untuk premium insurans.

Kadar pemilikan insurans yang rendah ini mungkin disebabkan keraguan umat Islam terhadap insurans itu sendiri di sisi Syariah. Jika adapun polisi insurans dibeli hanya untuk memenuhi keperluan undang-undang sahaja seperti insurans kenderaan atau menyempurnakan syarat pinjaman seperti insurans kebakaran untuk melindungi harta yang dibeli melalui kemudahan pinjaman institusi kewangan. Kesannya penembusan insurans di negara-negara Islam adalah amat rendah. Malaysia boleh dikatakan sebuah negara Islam dan negara membangun yang mencatat kadar penembusan insurans yang agak tinggi, kira-kira 35%. Tetapi kadar penembusan masyarakat Islam Malaysia dianggarkan kurang 15% atau separuh berbanding keseluruhan penduduk. Barangkali ini disebabkan oleh keraguan insurans disisi syariah serta kurangnya amalan budaya menabung di kalangan masyarakat melayu berbanding masyarakat lain. Apapun kadar purata penembusan insurans bagi negara-negara Islam adalah dalam lingkungan 2% – 4% sahaja. Sebaliknya kadar penembusan negara-negara maju yang kesemuanya bukan negara Islam adalah tinggi 50% hingga 200%. Sekaligus memperlihatkan betapa rendahnya kadar tabungan di kalangan umat Islam. Sayugia diingat produk-produk insurans, khususnya polisi insurans nyawa dapat membantu mempertingkatkan kadar tabungan. Sehubungan ini produk-produk takaful keluarga dapat memenuhi matlamat ini.

Kajian di Bahrain

Dalam satu kajian di Bahrain, dianggarkan sejumlah AS$ 550 juta atau hampir RM 2,200 juta wang sumbangan yang telah oleh industri takaful di seluruh dunia dalam tahun 2000. Daripada angka ini kutipan di rantau Asia Pasifik sahaja AS$193 juta atau kira-kira RM 750 juta. Kajian itu menyebut Malaysia antara penyumbang pasaran yang besar di luar Asia Barat dengan penguasaan 72% jumlah wang sumbangan. Malaysia juga mencatat kadar pertumbuhan yang tinggi, antara 10% – 60% setahun.

Dengan pencapaian ini, tidak hairan jika tahun 2001 dan selanjutnya akan dianggap era perkembangan takaful. Hakikat ini kian nyata dengan kemunculan pengendali-pengendali baru di beberapa negara Islam yang bergerak seiring dengan insurans konvensional. Seperti sektor perbankan umumnya boleh dikatakan keseluruhan negara-negara Islam mengamalkan sistem dwi-insurans kecuali Sudan yang hanyak menyediakan insurans Islam sahaja. Rata-rata sektor takaful mencatat kadar pertumbuhan yang lebih besar berbanding insurans konvensional.

Malaysia harus bersyukur kerana perkembangan takaful di dunia dilihat daripada kejayaan sistem takaful yang dibangunkan di negara ini. Apapun pada peringkat awal penerimaan masyarakat tidak seterbuka seperti sekarang. Sudah lumrah, sesuatu yang baru itu sukar diterima bulat-bulat. Sama dengan perbankan Islam ada golongan yang sangsi mempersoalkan, masakan perbankan boleh beroperasi tanpa riba, dan sistem insurans yang berasaskan berkongsi untung, sedangkan perniagaan insurans konvensional menghadapi kesulitan memperolehi keuntungan.

Sistem Kewangan Islam

Komen dan pandangan sinis masyarakat Islam terhadap sistem kewangan Islam berlaku di mana-mana. Pada tahun 1989, dalam satu persidangan perbankan dan kewangan Islam di Dhaka, Bangladesh, seorang peserta yang pernah berjawatan tinggi dalam jabatan pengawal insurans di negara berkenaan menyatakan adalah menyalahi undang-undang insurans jika sistem insurans Islam atau takaful dilaksanakan di negaranya kerana prinsip al Mudharabah akan dianggap satu amalan `rebating’ atau perbuatan memulangkan sebahagian premium secara pintu belakang. Biasanya rebating ini dikaitkan dengan perbuatan agen insurans menyerahkan sebahagian wang komisyennya sebagai balasan pemegang polisi membeli polisi insurans melaluinya. Sememangnya perbuatan ini salah disisi undang-undang kerana ia menyerupai rasuah. Sesungguhnya rebating berbeza dengan perkongsian untung yang hanya dibayar setelah tamat tempoh dan setelah sah ada untung. Yang demikian cabaran kepada pengendali takaful adalah memastikan operasinya berjaya sebagaimana yang disasarkan dalam mana-mana aktiviti perniagaan. Atas kesedaran inilah misalnya Takaful Malaysia sejak mula operasi berjaya membayar kadar untung 32% bagi produk-produk takaful am 17 tahun lalu.

Arus perkembangan takaful begitu pantas. Di Malaysia ada dua pengendali: Takaful Malaysia dalam Kumpulan Bank Islam dan Takaful Nasional di bawah Kumpulan MNI. Ada setengah masyarakat keliru dengan menyangka kedua takaful ini sama kerana nama yang hampir serupa. Mereka mengambil analogi bolasepak dimana pemain Malaysia dan pemain Nasional sama kerana kedua-duanya pemain negara. Takaful dan bolasepak berbeza kerana takaful nama generik yang barangkali banyak lagi banyak lagi takaful baru akan muncul seperti yang diwarwarkan di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan yang diumumkan oleh Bank Negara pada 1 Mac lalu. Sementara itu dalam tahun 2000 lalu sudah terdiri tiga buah syarikat insurans Islam atau takaful di Bangladesh. Ketiga-tiganya telah bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Takaful Malaysia dalam bidang bantuan teknikal. Selain itu beberapa negara di Asia Barat juga ingin berkongsi pengalaman Malaysia untuk mempromosikan sistem takaful di negara mereka. Yang mutakhir laporan dari Arab Saudi menyebut pihakberkuasa di sana akan memperkenalkan undang-undang insurans mengikut konsep kerjasama, saling tanggung menanggung dan setiakawan yang diharuskan oleh Syariah iaitu yang berasaskan takaful. Kini sebuah syarikat usahasama telahpun beroperasi di negara tersebut mulai Oktober 2000 antara Takaful Malaysia dengan salah sebuah syarikat Kumpulan Arab Saudi yang terbesar menyediakan perniagaan takaful termasuk produk medikal. Syarikat usahasama berkenaan, Syarekat al Takaful al Arabia Wal Malaysia (STAM) dijangka dapat memenuhi keperluan insurans kesihatan yang akan diwajibkan mengikut undang-undang ke atas tenaga kerja asing serta tanggungan masing-masing di negara itu yang dianggarkan berjumlah lebih 6 juta orang.

Takaful Malaysia Jadi Contoh untuk Negara lain

Tidak dinafikan Malaysia telah merintis sektor takaful sehingga menjadi contoh negara-negara lain. Status ini wajar dipelihara bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang maju dan dinamik untuk kepentingan ummah seluruhnya.

Sehubungan ini, semua pihak perlu memastikan Pelan Induk Sektor Kewangan mencapai objektifnya. Di bawah Pelan Induk ini sasaran-sasaran khusus ditetapkan untuk perbankan Islam dan takaful. Ini penting bagi membuktikan Malaysia serius dan mempunyai wawasan tersendiri ke arah pembangunan sektor kewangan Islam setanding dengan kemajuan sektor kewangan konvensional. Bagi takaful matlamat ini dipercayai boleh dicapai sekiranya model yang telah diasas dan dimajukan oleh Malaysia dapat dikembangkan.

Leave a Reply

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh