Web Analytics
takaful cash back

Mewakafkan Perolehan Takaful

Dalam usaha untuk memberi khidmat kemudahan wakaf wang ringgit, beberapa institusi kewangan kini telah menyediakan produk-produk khusus yang berbentuk tabungan jangkapanjang. Ini adalah antara kemajuan dan perkembangan sektor kewangan Islam di Malaysia.

Oleh kerana wakaf merupakan ibadah disisi agama, produk yang berkaitan dengannya wajar distruktur selaras dengan peraturan syarak baik disisi akad mahupun operasi. Disediakan pula oleh institusi kewangan seperti perbankan dan takaful maka pelaksanaan dan pengurusan produk-produk wakaf ini akan memberi keyakinan kepada masyarakat.

Peraturan undang-undang yang mengawal selia institusi kewangan terbabit boleh memberi kepercayaan kepada orang yang berwakaf bahawa setidak-tidaknya wang yang akan diwakafkan itu selamat. Yang penting matlamat wakaf seseorang itu tercapai.

takaful cash back
takaful cash back

Pelan Takaful Wakaf

Menyedari akan betapa besar ganjaran yang akan diperolehi oleh seseorang yang mewakafkan sesuatu kebaikan sewaktu hidup, langkah telah diambil untuk menggandingkan perolehan produk takaful dengan amalan wakaf.

Sehubungan ini bagi membolehkan seseorang merancang amal jariah yang berterusan dan sekaligus mengembangkan amalan wakaf melalui wang ringgit, Takaful Malaysia telah menyediakan suatu produk khas yang diberi nama Pelan Takaful Wakaf (TW), yang merupakan program tabungan jangkapanjang.

Melalui TW mana-mana individu yang berusia diantara 18 sehingga 70 tahun boleh merancang suatu program mengumpul sejumlah wang secara beransur-ansur dalam suatu tempoh tertentu, mengikut kemampuan masing-masing, semata-mata dengan matlamat untuk membantu golongan yang memerlukan.

Individu yang menyertai TW untuk tujuan wakaf, menerusi wang caruman yang dibayar secara beransur-ansur, samada sebulan sekali, tiga bulan sekali, enam bulan sekali atau setahun sekali sebagai balasan penyertaan itu sepanjang tempoh, sekurang-kurangnya lima tahun, akan mengumpul sejumlah dana atau tabungan yang akan disumbangkannya sebagai wakaf untuk kegunaan pihak atau golongan tertentu.

Dalam usaha memberi peluang seberapa ramai individu yang mungkin melakukan amalan wakaf melalui TW, Takaful Malaysia menetapkan wang caruman minima hanya RM10.00 sebulan atau RM120.00 setahun jika ansuran dibuat secara tahunan yang kena dibayar oleh seseorang peserta, sepanjang tempoh lima tahun penyertaan itu.

Logiknya semakin besar wang caruman yang dibayar maka besar pulalah perolehan tabungan yang akan diwakafkan melalui TW ini.

Kumpulanwang Takaful Keluarga

Seperti operasi produk takaful keluarga jangkapanjang yang lain, wang caruman TW yang dibayar secara beransur-ansur itu akan dimasukkan ke dalam Kumpulanwang Takaful Keluarga (KTK) yang kemudiannya dibahagikan kepada dua akaun – Akaun Peserta (AP) dan Akaun Khas Peserta (AKP).

Oleh kerana tabungan penting, sebahagian besar wang caruman, rata-rata melebihi 95% akan dikreditkan ke dalam AP untuk tujuan tabungan yang akan diwakafkan.

Sementara baki kira-kira 5% itu akan dipindahkan ke AKP sebagai tabarru’ atau derma untuk membolehkan bayaran manfaat seperti khairat kematian disedia dan dibayar jika ditakdirkan ada yang meninggal dunia juga akan diwakafkan.

Perolehan TW akan dibayar daripada KTK melalui AP dan AKP apabila berlaku dua kejadian – kematian individu (peserta) yang menyertai TW sebelum genap tempoh penyertaan lima tahun atau apabila tempoh penyertaan TW matang. Jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh, katakan selepas tahun ketiga penyertaan, perolehan dibayar daripada kedua-dua AP dan AKP.

Dari AP akan terkumpul keseluruhan wang caruman yang dikreditkan ke dalamnya sejak caruman pertama dibayar semasa penyertaan bermula, sehingga caruman terakhir yang dibayar sebelum kematian. Selain itu, dicampurkan pulangan atau untung pelaburan wang carumannya itu bagi tempoh yang sama.

Untung pelaburan keatas diagihkan mengikut perkongsian untung oleh kerana kontrak TW, seperti produk-produk takaful lain, juga berasaskan pembahagian keuntungan mengikut prinsip al-Mudharabah.

Sementara itu perolehan juga dibayar dari AKP sebagai wang tambahan khairat kematian disebabkan peserta meninggal dunia sebelum genap tempoh penyertaan.

Mengikut peraturan amaun yang dibayar dikira berpandukan wang caruman yang belum sempat dibayar peserta, iaitu dari tarikh kematian sehingga tarikh matang TW.

Dalam contoh di atas, wang caruman yang belum sempat dibayar peserta bersamaan tempoh dua tahun kerana dia berkenaan meninggal dunia selepas wang caruman tahun ketiga dijelaskan; menjadikan bakinya sebanyak agregat caruman dua tahun terakhir.

Sekiranya peserta masih hidup sehingga matang, perolehan manfaat juga akan dibayar daripada kedua-dua AP dan AKP. Keseluruhan tabungan yang terkumpul dalam AP, iaitu semua wang caruman yang dibayar untuk AP bersama untung pelaburan yang dikira dari tarikh penyertaan bermula sehingga tarikh cukup tempoh TW, akan ditambah pula dengan apa-apa lebihan AKP, merupakan manfaat matang TW.

Penerimaan Selepas Kematian Peserta

Kedua-dua wang perolehan, samada bersabit kematian peserta sebelum genap tempoh atau manfaat matang TW, akan diserahkan oleh Takaful Malaysia sebagai wakaf peserta kepada mana-mana badan yang dinamakan oleh peserta untuk menerima wakafnya itu.

Sesuai dengan amalan wakaf, wang perolehan tersebut tidak akan dibayar atau diserahkan kepada peserta atau ahli warisnya. Barangkali agensi pemegang amanah seumpama yayasan-yayasan negeri atau baitulmal adalah antara badan yang sesuai untuk menjadi penerima wakaf memandangkan antara kegiatan utamanya menyediakan kemudahan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan .

Adalah jelas TW mempunyai kelebihan khusus dalam menghidupkan amalan wakaf wang ringgit. Peserta berpeluang mewakafkan tabungan yang dibuat secara beransur-ansur sepanjang tempoh TW.

Jika dia meninggal dunia sebelum cukup tempoh wang yang dapat diwakafkan lebih besar daripada yang sempat dibayarnya kerana selain wang caruman yang telah dibayar beserta keuntungan pelaburan, ada bayaran tambahan pula hasil perolehan khairat kematian daripada TW.

Sebaliknya jika dia hidup sehingga matang, amaun tabungan yang dapat diwakafkan juga besar berbanding wang caruman yang telah dibayar apabila diambilkira untung pelaburan keatasnya. Perkembangan produk kewangan seperti TW ini akan dapat menyumbang ke arah menggalak dan meluaskan amalan dan institusi wakaf dikalangan rakyat.

Kejujuran Pihak Berakad Memajukan Takaful

Islam mempunyai hikmahnya. Kadangkala ada hikmah yang sukar dirasionalkan oleh pemikiran manusia. Walaupun berlaku kegawatan ekonomi sektor kewangan Islam, tidak banyak terjejas berbanding sektor kewangan konvensional.

Sistem yang bebas dari riba tidak memberi tekanan kepada pengendali dan juga pengguna. Apa-apa yang telah dipersetujui kedua pihak tidak boleh dipinda seperti menaikkan kadar faedah kerana pasaran wang menjadi mahal. Akad al Mudharabah yang menyedia hak berkongsi untung, setelah dimeterikan tidak boleh diubah.

Operasi yang telus, tiada berat sebelah dan tidak boleh dipinda syarat-syaratnya diperkuat pula dengan pelaburan yang bebas dari amalan riba menyebabkan sektor kewangan Islam tidak membawa kepincangan sebelah pihak dan menguntungkan pihak satu lagi.

takaful
takaful

Namun demikian, ketelusan operasi tiada ertinya jika pihak-pihak yang terbabit dalam perjanjian gagal mematuhi dan menghormati tanggungjawab dan kewajipan masing-masing.

Dalam apa jua perjanjian perlu ada sekurang-kurangnya dua pihak yang berakad. Bagi akad takaful pada dasarnya pengendali takaful disatu pihak dan peserta takaful dipihak yang satu lagi. Tanpa kejujuran dan keikhlasan pihak-pihak terbabit perjanjian menjadi kacau kerana adanya rasa hormat menghormati diantara mereka.

Pelanggaran akad akan berlaku. Perbuatan sedemikian jika disengajakan, sehingga membawa mudharat atau merugikan salah satu pihak menimbulkan wujudnya unsur `gharar’ atau ketidakjelasan perjanjian yang menyebabkan akad rosak.

Dalam Al Quran Allah berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian…” (al-Maidah, Ayat 1)

Dengan kata lain mengingkari perjanjian membawa kepada ketidakadilan yang amat dilarang Islam. Dalam perniagaan ini boleh mengakibatkan kerugian wang ringgit keatas pihak yang berakad.

Inilah tahap kematangan dalam amalan kepenggunaan yang murni. Ertinya demi memelihara kebajikan serta keadilan dan kesaksamaan semua pihak, amalan kepenggunaan sebegini amat dikehendaki Islam.

Dalam akad takaful, perjanjian bukan semata-mata diantara pengendali dengan peserta. Malahan terdapat dua peringkat akad: antara peserta dengan peserta dan antara peserta dengan pengendali takaful. Oleh itu kesempurnaan akad memerlukan keikhlasan dan kejujuran semua pihak terutamanya peserta dengan peserta.

Andainya seorang peserta membuat tuntutan palsu atau sengaja menokok-tambah amaun kerugian seperti menuntut kenderaannya dicat semula keseluruhan sedangkan yang rosak dalam kecelakaan jalanraya yang wajar mendapat pampasan tuntutan hanya bahagian belakang sahaja. Sudah barang tentu ini menyalahgunakan haknya di bawah akad Skim Takaful Kenderaan Berinjin.

Peserta sebegini tiada bezanya dengan perbuatan merampas wang orang lain. Kesannya boleh menjejas peluang peserta lain mendapat manfaat yang sepatutnya mengikut akad kerana baki dana takaful telah berkurangan disebabkan pembayaran manfaat yang tidak seharusnya telah dibuat kepada peserta yang tidak jujur.

Lebih buruk, peserta-peserta yang berhak mendapat perkongsian untung, hilang hak kerana untung yang sepatutnya ada kini tiada disebabkan berlakunya tuntutan yang tidak sepatutnya dibayar tetapi telah dibayar kerana peserta tidak jujur.

Dalam konteks ini maju atau sebaliknya sektor takaful yang telah diterokai di Malaysia bergantung kepada peserta dan pengendali. Apa yang nyata sistem insurans Islam yang berjenama takaful ini adalah antara contoh klasik terhadap usaha memenuhi keperluan permintaan pengguna.

Umat Islam seluruh dunia umumnya menolak insurans konvensional kerana amalan perjanjiannya yang mengandungi unsur-unsur tidak berlandaskan Syariah. Mereka memilih takaful yang berpaksi saling jamin menjamin, bantu membantu dan kerjasama; sifat-sifat yang dikehendaki Islam.

Malaysia terbukti berjaya melakar rangka asas dan struktur operasi takaful mengikut bidang swasta sesuai dengan keperluan ekonomi moden.

Kejayaan ini memudahkan prinsip pengurusan moden serta kawalan kewangan yang lazim digunapakai bagi mengawal urus mana-mana organisasi perniagaan dan institusi kewangan dapat juga diterapkan ke dalam pengurusan takaful.

Ini bermakna dayausaha pengurusan yang dapat memberi pulangan kepada pemegang saham sebagai dividen dalam pelaburan saham dan serentak itu menghasilkan pulangan kepada peserta mengikut berkongsi untung selaras dengan prinsip al Mudharabah.

Jika prinsip pengurusan moden dapat pula digandingkan dengan kehendak-kehendak Syariah sudah pasti pengurusan takaful boleh setanding atau malah lebih baik berbanding pengurusan konvensional.

Di bawah takaful, wang yang diguna bagi membayar manfaat tuntutan apabila seorang peserta menderita kerugian akibat ditimpa musibah datang dari wang sumbangan semua peserta yang terkumpul dalam dana khusus yang diistilahkan Kumpulanwang Takaful.

Pengendali takaful hanya diberi amanah oleh semua peserta supaya mengurus dan mentadbir kumpulanwang tersebut dengan baik dan saksama. Yang demikian tiada sebab mengapa perlu berlaku ketidakjujuran oleh pihak-pihak yang berakad dalam takaful.

Dalam Islam slogan `jadilah pengguna yang bijak’ bukan sekadar menjaga kepentingan pengguna itu sendiri tetapi dalam waktu yang sama untuk memelihara kepentingan dan kebajikan masyarakat serta sistem itu sendiri secara keseluruhannya.

Artikel berkaitan:
Kontrak Batal Baki Wang Dikembalikan

Leave a Comment