Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Menyediakan Tabungan Takaful untuk Bekalan Rawatan

Sememang menjadi fitrah manusia, sebaik ditimpa sakit, rawatan segera diperlukan. Menjadi lumrah pula, semua pesakit kalau boleh inginkan rawatan serta khidmat perubatan yang terbaik. Rata-rata kini permintaan bagi rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan, secara umum terus meningkat. Peningkatan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Ini diperhebatkan lagi dengan semakin ramainya anggota masyarakat mengidap pelbagai jenis penyakit yang barangkali jarang diketahui sebelum ini serta ramai pula yang ditimpa musibah kecelakaan. Dengan taraf hidup yang semakin baik dalam suasana sektor perubatan yang terus berkembang, permintaan keatas khidmat perubatan yang lebih bermutu dan menyeluruh terus meningkat. Barangkali ini terbukti dengan meningkatnya kadar hayat – 73 tahun untuk lelaki dan 75 tahun bagi wanita.

takaful concept

takaful concept

Sedikit sebanyak kemajuan ini membantu dalam memperbaiki dan menambahkan kemudahan perubatan serta penjagaan kesihatan secara keseluruhannya yang disediakan oleh sektor awam khususnya, berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dalam konteks ini Malaysia merupakan negara membangun yang memperuntukkan sebahagian besar belanjawan negara ke arah memperhebatkan lagi kemajuan dan pembangunan khidmat perubatan serta penjagaan kesihatan. Apapun selaras dengan amalan pasaran terbuka, perkhidmatan ini juga terbuka untuk turut sama dibangunkan oleh sektor swasta. Kini bidang perkhidmatan kesihatan dan yang berkaitan dengannya merupakan salah satu bidang perniagaan tersendiri yang agak besar. Justeru itu, pembabitan pihak swasta dalam menyediakan khidmat perubatan dan penjagaan kesihatan terus berkembang. Kesemuanya ini membuka peluang yang lebih untuk membuat pilihan yang terbaik untuk keperluan masing-masing. Ini selari dengan harapan bila sakit layanan dan khidmat rawatan yang cemerlang dan terbaik amat diperlukan.

Namun tiada yang datang secara percuma. Pihak yang terbabit, Kerajaan atau swasta, yang menyedia dan membangunkan perkhidmatan ini sudah pasti mengeluarkan belanja besar untuk memenuhi permintaan dan keperluan masyarakat. Lebih canggih keperluannya maka lebih banyak pula belanja yang diperlukan. Oleh itu pada dasarnya, pengguna perkhidmatan ini harus bersedia menerima hakikat perlu ada bayaran kepada pihak yang membekal perkhidmatan berkenaan sama ada dari pesakit sendiri atau melalui kaedah-kaedah tertentu yang akan membantu pesakit dari segi pembiayaan. Setiap anggota masyarakat wajar peka tentang betapa mustahaknya agar perkhidmatan ini diperolehi dengan mudah bila tiba saat ia diperlukan.

Dalam konteks inilah setiap orang sebagai bakal pengguna dan perlu merancang bagi membolehkan mereka mampu dari segi bekalan wang jika diperlukan ketika sakit kelak. Tiada perancangan yang lebih baik daripada melaksanakan langkah menabung; lebih baik lagi jika langkah menabung ini dibuat secara sukarela. Seperti tabungan lain, tiada yang lebih baik daripada memulakan tabungan itu dengan segera. Malahan Islam mengutamakan amalan menabung untuk kebajikan masa depan sebagaimana hadith Rasulullah yang bermaksud : Allah memberi rahmat kepada orang yang berusaha melalui pekerjaan yang baik. Dan hasil daripada pendapatannya itu, dibelanjakan dengan penuh berhemat serta dapat menyimpan (menabung) sebahagian yang masih tinggal untuk menghadapi saat-saat dia memerlukannya nanti. (Hadih Muttafaqun Alaih).

Saluran Kemudahan Kewangan

Bagi rakyat Malaysia secara amnya, ada dua saluran kemudahan kewangan yang boleh digunakan untuk membiayai belanja khidmat perubatan dan penjagaan kesihatan ini. Kepada golongan yang bekerja mereka boleh memilih kemudahan yang disediakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Mereka boleh menggunakan simpanan atau caruman KWSP yang terkumpul itu untuk belanja merawat penyakit-penyakit kritikal tertentu. Apapun amaun yang boleh digunakan sudah tentu akan tertakluk kepada had yang ditetapkan dan amaunnya pula akan bergantung baki caruman atau simpanan KWSP yang ada. Sungguhpun kemudahan seumpama ini mudah, tetapi jika ada pilihan lain, lebih baik elak menggunakannya, kerana simpanan KWSP ini sebenarnya adalah untuk bekalan wang semasa bersara selaras dengan slogan KWSP: simpanan hari tua anda.

Dalam pada itu bagi mereka yang bekerja juga, terutama kakitangan awam, kemudahan perubatan disediakan secara percuma. Kini sebahagian besar majikan sektor swasta turut memberi kemudahan yang sama. Namun kemudahan sebegini hanya boleh diperolehi sewaktu bekerja sahaja, dan selepas bersara tidak semua akan menerima kemudahan seumpama ini lagi, sedangkan perkhidmatan ini amat diperlukan selepas bersara.

Produk-produk Khusus

Dalam konteks inilah pilihan menyediakan tabungan sendiri melalui produk-produk khusus amat mustahak sama ada sebagai tambahan kepada kemudahan yang disediakan oleh majikan atau inisiatif sendiri secara sukarela sebagai persediaan sebelum malang tak berbau. Sehubungan ini setiap individu boleh memilih produk seperti yang ditawarkan syarikat insuran, samada membeli polisi insurans kesihatan yang disediakan oleh insurans konvensional atau produk takaful yang dibekalkan oleh pengendali takaful. Sekalipun produk takaful boleh digunakan oleh semua golongan masyarakat, barangkali kepada pengguna muslim sudah pasti takaful sahaja menjadi pilihan. Apatah lagi sekiranya produk takaful ini pula rata-rata setanding dan boleh menyaingi polisi insurans konvensional. Sesungguhnya produk-produk tabungan perubatan dan penjagaan kesihatan yang disediakan ini adalah bertujuan memenuhi pelbagai keperluan masyarakat. Oleh itu setiap individu perlu memahami dan mengetahui ciri-ciri produk tersebut, yang mana sesuai dan dapat memenuhi objektif atau matlamat individu itu sendiri. Keperluan setiap individu itu tidak sama. Yang utama perancangan segera mustahak bagi mengelakkan sudah terantuk baru tengadah.

Sebagai contoh, Takaful Malaysia menyediakan produk tabungan perubatan atau penjagaan kesihatan yang meliputi penyertaan secara beramai-ramai dan juga secara perseorangan. Pelan Takaful Rawat Berkelompok (PTRB) menyediakan kemudahan kewangan yang akan menampung atau membiayai kos perubatan atau penjagaan kesihatan apabila orang yang dilindungi dimasukkan ke hospital kerana diserang penyakit atau ditimpa kecelakaan. Lazimnya produk seperti PTRB digunakan oleh majikan sebagai kemudahan perubatan kepada wargakerjanya. Ini barangkali sesuai dengan prinsip bahawa belanja menjaga kesihatan adalah juga tanggungjawab majikan sejajar dengan hakikat bahawa menjadi kewajipan majikan memelihara kebajikan wargakerjanya. Apapun sesuai dengan matlamat mengawal perbelanjaan pengurusan, kini majikan mula mendapat bantuan produk seperti PTRB ini, kerana kosnya adalah wang sumbangan takaful atau wang premium yang kena dibayar sahaja.

Pelan Takaful Rawat

Bagi produk perseorangan pula, Pelan Takaful Rawat (PTR) amat sesuai untuk merancang tabungan kesihatan diri sendiri dan jika perlu dimasukkan sekali ahli waris seperti isteri dan anak-anak di bawah perlindungan yang sama. Yang demikian produk ini sesuai sebagai dana kesihatan atau perubatan seluruh keluarga. PTR dengan tempoh penyertaan secara tahunan akan menyediakan manfaat kewangan bagi membayar kos rawatan serta penjagaan kesihatan jika ditakdirkan perseorangan yang berkaitan atau mana-mana orang yang dilindungi di bawahnya dimasukkan ke hospital kerana sakit atau ditimpa kecelakaan.

Sementara itu sebagai perancangan kewangan khusus untuk belanja rawatan kanser bagi golongan wanita, yang menunjukkan dua kali ganda lebih mudah diserang penyakit kanser berbanding lelaki, disediakan pula Pelan Takaful Hawa (PTH). Penyetrtaannya hanya terbuka kepada wanita sahaja. Mana-mana wanita yang menyertai PTH akan menerima sejumlah perolehan kewangan, mengikut pelan pilihan masing-masing, sebaik sahaja didiagnosa mengidap kanser. Sebagai manfaat tambahan, perolehan kewangan digandakan seandainya kanser itu menyerang bahagian anggota reproduktif seperti rahim, payudara, faraj atau yang berkaitan dengan atau kelahiran anak. Tempoh PTH juga secara tahunan. Pembaharuannya akan dibuat setiap tahun.

Produk Tabungan Jangkapanjang

Selain produk secara tahunan, Takaful Malaysia juga menyediakan produk tabungan jangkapanjang bagi tempoh penyertaan 10, 15 dan 20 tahun khusus bagi mengumpul dana menghadapi kehamilan. Kelahiran anak ada risiko-risiko tertentu. Kini semakin ramai ibu-ibu memilih untuk melahirkan anak di hospital kerana kemudahan yang terdapat di hospital memberi keyakinan jika sesuatu komplikasi berlaku. Produk ini juga hanya untuk wanita sahaja, sama ada yang berumah tangga atau belum dan yang berusia antara 18 hingga 40 tahun, diberi nama Pelan Takaful Wiladah (PTW). Beberapa perolehan manfaat disediakan apabila peserta akan menjalani proses melahirkan anak. Sekurang-kurangnya PTW membantu meringankan beban kewangan yang mungkin kena ditanggung oleh ketua keluarga sebagai bapa. Selain itu jika ditakdirkan berlaku apa-apa komplikasi sewaktu hamil, manfaat tambahan akan turut dibayar. Begitu juga jika anak yang dilahirkan itu cacat atau meninggal dunia, manfaat khusus seumpama khairat kematian akan disediakan.

Dalam konteks takaful, seperti juga insurans, penyertaan produk-produknya wajar dibuat sebelum penyakit menyerang. Jika sesudah datang penyakit baru menyertai produk takaful maka kemungkinan takaful tidak dapat menerima penyertaanya sama sekali atau diterima juga tetapi tertakluk penyakit yang dihidapainya itu tidak dilindungi atau akan dikenakan kadar sumbangan takaful tambahan berdasarkan risiko yang kurang baik. Wajar disedari peranan pengendali takaful yang menyediakan berbagai jenis produk ini, adalah memastikan kumpulanwang untuk tujuan tabungan perubatan dan penjagaan kesihatan sentiasa mencukupi mengikut anggaran risiko yang diterimanya. Oleh itu sebagai balasan setiap peserta akan kena membayar sejumlah wang sumbangan mengikut kadar yang telah ditetapkan. Sayugia dinyatakan kadar tersebut adalah berasaskan risiko yang kena ditanggung. Berpandukan kepada konsep kesaksamaan bagi memastikan kumpulanwang tidak tertekan disebabkan unjuran sumbangan yang tidak selaras dengan anggaran risiko, mana-mana peserta yang mengidap penyakit tertentu wajar menyumbang lebih daripada peserta biasa. Sehubungan ini, setiap peserta dikehendaki jujur dan ikhlas dalam memberi kenyataan mengenai diri dan kesihatannya, sebagaimana yang dikehendaki Borang Cadangan dan Akuan (BCA), mengikut doktrin sucihati mutlak.

Produk-produk Takaful

Dalam hubungan ini amat tidak kena membandingkan kemudahan yang disediakan produk-produk takaful dengan yang apa disediakan oleh pihak awam terutama dari segi kosnya dan risiko yang ditanggung. Biasanya penilaian yang dibuat oleh takaful dan juga insurans adalah mengikut kadar yang berasaskan risiko; sementara yang disediakan oleh sektor awam adalah mengikut kadar yang berasaskan masyarakat am atau komuniti. Jenis kedua ini lebih kepada memenuhi keperluan sosial dan umumnya dilaksanakan oleh Kerajaan. Lazimnya pelaksanaannya tidak terikat kepada penilaian ketat dan semua anggota masyarakat secara keseluruhannya akan diterima. Dalam hubungan ini sememangnya Kerajaan Malaysia sendiri merancang untuk melaksanakan suatu skim penjagaan kesihatan yang menyeluruh diperingkat negara.

Berasaskan konsep saling bantu membantu skim penjagaan kesihatan peringkat negara yang dicadangkan ini pun sesuai dilaksanakan mengikut sistem takaful berasaskan kepada kebajikan dan kepentingan masyarakat atau takaful al-ijtimai. Selari dengan objektifnya, skim mengikut prinsip takaful al-ijtimai biasanya menyediakan pakej yang sama dan standard untuk semua dan tidak mempunyai banyak peluang dan keluwesan untuk masyarakat membuat pilihan. Mampu atau tidak semua orang akan mendapat pakej yang umumnya sama sahaja. Namun produk-produk takaful yang disediakan oleh pengendali takaful, seperti Takaful Malaysia yang mana operasinya adalah tertakluk kepada undang-undang tertentu, termasuk keperluan modal minima dan pengurusan kumpulanwang takaful yang terkawal, sudah tentu berbeza dengan takaful al-ijtimai. Sejajar dengan strukturnya sebagai syarikat perniagaan berlandaskan syariah pengendali takaful berlesen ini menjalankan operasi mengikut prinsip adalah berpandukan takaful al-tijari yang sesuai dengan sektor swasta.

Leave a Reply

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh