Mengekspot Sistem Kewangan Islam

Sistem kewangan Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada 1 Julai 1983. Tetapi jika diambilkira Lembaga Tabung Haji, Malaysia antara negara pertama di dunia yang meneroka dan menyediakan prasarana institusi kewangan Islam.

Apa pun dalam mengukur tahap kejayaan sistem kewangan Islam dalam lakaran kewangan komersial, ia harus bertitik-tolak dari perkembangan perbankan Islam itu sendiri yang menyediakan kegiatan dan urusan perbankan berasaskan prinsip dan amalan Syariah.

Yang penting sesuai dengan aktivitinya, perbankan Islam adalah untuk semua, individu mahu pun korporat; Islam dan bukan Islam. Oleh itu perbandingan setimpal dengan kewangan konvensional menjadi munasabah dan mudah dilakukan.

takaful keluarga
takaful keluarga

Ternyata perbankan Islam berkembang baik. Institusi perbankan Islam bertambah, bukan saja dengan penubuhan Bank Muamalat sebagai bank Islam kedua, tetapi perbankan konvensional juga sejak 10 tahun yang lalu dibenarkan membuka ‘jendela Islam’ melalui ‘skim perbankan tanpa faedah (SPTF)’.

Mengambilkira semua ini, rangkaian cawangan perbankan Islam melebihi seribu lokasi di seluruh negara, dengan jumlah aset terus meningkat yang kini kira-kira 10% aset perbankan.

Rangkaian produk juga berkembang. BIMB sendiri misalnya, dengan hanya lapan jenis produk disediakan ketika pelancaran 20 tahun dulu, kini sudah meningkat lebih 50 jenis.

Memandangkan urusan perbankan memerlukan perlindungan insurans, sesudah dikaji para ulama, ahli ekonomi dan undang-undang serta dengan persetujuan Kerajaan menyusul pula sistem insurans Islam atau takaful dengan terdirinya Syarikat Takaful Malaysia Berhad (Takaful Malaysia), pengendali takaful pertama, pada 29 November 1984.

Penubuhan Takaful Malaysia adalah antara langkah ke arah melengkap sistem kewangan Islam secara keseluruhannya. Sektor takaful juga berkembang baik dengan kadar pertumbuhan purata kira-kira 30% setiap tahun.

Selain Takaful Malaysia kini muncul tiga pengendali baru sejajar dengan matlamat Kerajaan agar sektor takaful menguasai sekurang-kurangnya 20% pasaran insurans menjelang 2010.

Antara faktor mengapa Malaysia berjaya membangun dan mengembangkan kedua-dua sektor perbankan Islam dan takaful adalah pendekatan ‘banyak membuat dari bercakap’.

Sebagai satu sistem baru yang tidak hanya semestinya lengkap di sisi peraturan Syariah, tetapi harus mampu memenuhi kehendak pengguna moden dalam suasana ekonomi bersaing, kemajuan yang dicapai wajar dikembangkan memandangkan ia adalah hasil intelektual kepakaran Malaysia sendiri.

Semasa di peringkat kajian oleh para pakar tiada mana-mana contoh yang boleh dijadikan rujukan atau panduan. Proses membentuk asas dan kerangka yang kukuh diperbaiki dan ditambah baik dari masa ke semasa melalui pengalaman serta penemuan dan rujukan baru.

Tidak mungkin perbankan Islam dan takaful dapat berkembang maju seperti yang ada sekarang jika Kerajaan mengambil pendirian tunggu sehingga segalanya lengkap baru melaksanakannya.

Barangkali atas pendirian sebegini ada beberapa negara yang dikira ketinggalan memajukan kewangan Islam kerana banyak masa habis berbincang sedangkan hasilnya tiada; baru sekarang negara-negara ini ingin mengadakannya selepas melihat pengalaman dan kejayaan Malaysia.

Dalam isu yang bukan asas, hal-hal mengenai muamalat kadangkala boleh berubah dengan mengambilkira keadaan semasa berpandukan prinsip ‘uruf’

Melalui penggunaan prinsip pengurusan moden dalam melaksanakan perbankan Islam dan takaful yang berteraskan Syariah, jelas Malaysia muncul sebagai negara peneraju kedua-dua sektor ini. Pengalaman Malaysia ingin ditauladani; kepakarannya mahu dilanggani dan tidak kurang pula yang berhasrat mencontohinya.

Jika dulu ada pihak luar yang merasa ragu akan pelaksanaan perbankan Islam atau takaful yang diperkenalkan oleh Malaysia, kini negara yang sama sebaliknya memohon kerjasama dan bantuan teknikal untuk membantu mereka melakukan operasi yang sama di negara mereka.

Pendekatan mengutamakan bekerja dari banyak berbicara, dan selanjutnya memperelokkan apa yang ada serta berusaha menyediakan lebih banyak produk dan khidmat baru dalam matlamat memenuhi keperluan kewangan masyarakat semasa terbukti lebih berjaya bagi Malaysia mempromosikan kedua-dua sistem kewangan ini.

Selangkah perkembangan ini, Malaysia harus pula melihat bagaimana ia boleh mengembangkan sistem yang dibangunkan ini ke luar negara.

Disamping objektif kewangan, langkah ini wajar dilihat sebagai kerja dakwah. Namun kerja dakwah tidak semestinya membabitkan komitmen wang walaupun mungkin sedikit perbelanjaan diperlukan.

Atas hakikat kerja dakwah juga, tidak semestinya menunggu sehingga semuanya sudah selesai dan sempurna di Malaysia baru boleh melangkah keluar. Kemajuan kedua-dua sektor ini amat pantas; sekiranya Malaysia terlambat tarafnya sebagai peneraju mungkin dipintas satu hari oleh pihak lain.

Dalam sektor takaful sebagai contoh, kebanyakan pihak luar hanya menghendakkan bantuan teknikal; bukan dalam bentuk sumbangan wang seperti mencarum modal dan menjadi pemegang saham.

Yang diperlukan adalah sistem dan garis panduan operasi dengan kiriman tenaga kerja dari Malaysia bagi memastikan pelaksanaan perbankan Islam atau takaful di negara berkaitan tidak menghadapi apa-apa kesulitan.

Justeru, institusi kewangan Islam, baik perbankan mahupun takaful, harus memajukan sumber tenaga manusia serta kepakaran mereka untuk di ekspot ke luar bagi menjaya misi dakwah ini.

Dari sudut perniagaan, lazimnya pula kerjasama sebegini ada pertimbangan tertentu, tidak semestinya percuma; sekurang-kurangnya apa-apa perbelanjaan hangus dikembalikan oleh pihak yang memohon bantuan.

Mengembangkan sayap ke luar ini akan menjadi lebih berkesan jika semua pihak termasuk agensi Kerajaan memberi kerjasama dan sedia membantu.

Di luar negara agensi Kerajaan yang paling sesuai sebagai tempat rujukan adalah pihak Suruhanjaya Tinggi atau Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

Pejabat perwakilan luar negara ini lebih mengetahui tentang keadaan sosio-politik dan budaya setempat yang boleh dijadikan panduan dalam melaksanakan misi berkenaan.

Kerana imej Malaysia yang baik dan disegani, peranan perwakilan ini di sesetengah negara memudahkan usaha menarik minat masyarakat setempat.

Minggu lalu satu seminar kewangan Islam bertemakan trend global telah berlangsung di Colombo. Ini adalah kali kedua seminar seumpama ini diadakan di ibu negara Sri Lanka itu anjuran bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia tersebut dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).

Dua tahun lalu ia telah diadakan di kediaman Pesuruhjaya Tinggi sendiri dengan penyertaan melebihi jangkaan. Yang menariknya Sri Lanka, dengan bilangan penduduk Islam kira-kira 10% mempunyai potensi pasaran kewangan Islam yang agak besar memandangkan sebahagian besar kegiatan ekonomi dan perdagangan diceburi masyarakat Islam.

Kini perbankan konvensional di negara itu juga berusaha menawarkan produk kewangan berasaskan Syariah. Yang melanggani produk-produk ini termasuk juga bukan Islam.

Namun apa yang dikhuatiri, tanpa input daripada pihak yang berpengalaman seperti Malaysia, produk-produk perbankan mahu pun takaful yang disediakan ini sukar dipastikan ‘keislamannya’ oleh kerana kekurangan kepakaran Syariah yang boleh menjadi tempat rujukan.

Dalam ucapannya, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka, Iskandar Sarudin menegaskan sistem kewangan Islam telah diterima umum dan berjaya menembusi industri kewangan keseluruhannya; produk-produknya pula dilanggani oleh kedua-dua masyarakat Islam dan bukan Islam.

Menurutnya pasaran kewangan Islam dianggarkan sebesar AS$150 bilion dan sedang berkembang pesat. Atas hakikat inilah bank-bank konvensional turut menerokai dan menyertai sektor ini dengan menyediakan ‘jendela tanpa faedah’ masing-masing atau cawangan Syariah secara khusus.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia itu juga menasihatkan masyarakat Islam khususnya supaya bersikap terbuka dan tidak cepat mempersoalkan aspek operasi perbankan Islam, khasnya yang berkaitan hukum hakam seandainya mereka kurang berpengetahuan mengenai prinsip Syariah yang berkaitan urusan kewangan, dan tidak pula berpengalaman dalam kerjaya perbankan.

Barangkali menurut beliau, inilah antara sebab perbankan Islam tersekat perkembangannya dalam tahun 70an dan 80an.

Langkah Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo wajar diberi sanjungan. Dalam perhubungan antarabangsa, selain politik peranan perdagangan, termasuk sektor kewangan kini mempunyai pengaruh besar dalam arena diplomatik.

Sesuai dengan konsep ‘Malaysia Incorporated’ perwakilan luar negara Malaysia wajar mencontohi usaha Colombo ini untuk bersama institusi perbankan Islam dan pengendali takaful dalam menonjol serta mempromosikan satu produk yang telah berjaya dibangun dan dipraktikkan di Malaysia. Apatah lagi produk ini semakin diperlukan di luar negara.

Sehingga kini sektor takaful yang diterajui oleh Takaful Malaysia telah mengembang sayap di luar Malaysia seperti di Indonesia, Sri Lanka dan Arab Saudi. Operasinya di Saudi diperluaskan kini ke Bahrain. Sebelum ini bantuan teknikal juga disediakan kepada Brunei dan Singapura.

Tidak semua pembabitan luar negara ini memerlukan komitmen kewangan bagi Takaful Malaysia. Sebagai balasan atas kerjasama yang diberikan itu, Takaful Malaysia malah diberikan saham percuma selain keperluan tenaga pakar pengurusannya.

Selain itu, sekurang-kurangnya seorang ahli Majlis Pengawasan Syariah Takaful Malaysia juga turut menganggotai Lembaga Syariah mereka. Dengan cara ini hasil kajian Syariah Malaysia akan sentiasa menjadi rujukan dan garispanduan dalam operasi di negara berkenaan.

Sektor takaful ternyata menonjol di arena antarabangsa. Banyak pihak menghubungi Takaful Malaysia untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan teknikal.

Penonjolan ini terbukti dengan hakikat Malaysia menguasai kira-kira 40% pasaran takaful global dengan jumlah wang sumbangan dianggarkan AS$2 billion dan akan meningkat kepada AS$15 bilion pada 2010.

Usaha mengekspotkan sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia memerlukan pembabitan semua. Contoh di Sri Lanka boleh dijadikan kerangka kerja bagi tujuan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *