Memasyarakatkan Takaful

Usaha membangun dan mengembangkan institusi kewangan Islam tidak boleh hanya dilihat dari perspektif perniagaan semata-mata. Jika perniagaan sahaja matlamatnya, yang lazim menjadi sasaran pula adalah untung semata-mata. Tidak dinafikan dalam mana-mana bidang perniagaan, sememangnya pihakyang mengambil risiko pelaburan melalui kerelaan m ereka mengeluarkan modal berharap mendapat untung. Tiada gunanya berniaga jika tidak memberi pulangan.

Takaful family
Takaful family

Dalam bidang perniagaan berkaitan kewangan Islam, matlamat untung juga wajar disasarkan. Selain menghasilkan balasan positif kepada pemegang saham yang sanggup berkorban modal untuk menegakkan institusi kewangan Islam, matlamat untung akan memberi keyakinan kepada semua pihak yang terbabit dan bertanggungjawab membangunnya. Namun untung bukanlah segala-galanya bagi kewangan Islam. Seperti kegiatan Islam lain, apa juga langkah atau strategi yang diambil ke arah memperkenal dan memperluaskan penggunaan institusi kewangan Islam perlu dilihat dalam konteks kerja dakwah. Objektif dakwah secara umumnya mengajak manusia kepada yang makruf dan diwaktu yang sama menghalang dari yang mungkar. Yang demikian, menjadi tanggungjawab dan kewajipan setiap rakyat, terutamanya masyarakat Islam supaya memastikan institusi kewangan Islam supaya terus maju, jauh dari liku perbuatan yang mudah mengugat keupayaannya mendapat untung kerana impaknya kepada ‘survival’ institusi kewangan itu sendiri. Sesungguhnya objektif ini selaras dengan tuntutan Islam yang menghendaki agar sesuatu kemudharatan hendaklah diusaha supaya dihapuskan.

Institusi kewangan Islam yang berkaitan dengan perbankan mula diperkenalkan di Malaysia 20 tahun yang lalu. Setahun selepas itu, perbankan Islam menjadi lebih lengkap lagi dengan munculnya sektor insurans secara Islam yang dikenali dengan nama generiknya takaful. Perkembangan dan kemajuan kedua-dua sektor ini, menerusi pelbagai produknya yang bukan sahaja terbatas untuk masyarakat Islam tetapi boleh turut dilanggani oleh masyarakat bukan Islam disempurnakan lagi dengan terbentuknya pasaran modal Islam. Boleh dikatakan Malaysia negara Islam tunggal di dunia yang mengambil langkah membangunkan sistem kewangan Islam yang benar-benar komprehensif.

Apapun darjah dan tahap kemajuan sebenar sektor ini sebahagian besarnya akan bergantung kepada sejauh mana penggunaannya oleh masyarakat khususnya di kalangan Muslim. Kewujudan perbankan Islam dan takaful oleh Kerajaan adalah didorong kuat oleh kehendak dan tuntutan masyarakat Islam sendiri yang merasa kurang senang dengan pembabitan mereka dalam kewangan konvensional atas sebab-sebab agama. Misalnya, takaful muncul kerana masyarakat Islam sendiri merasa ragu-ragu menggunakan polisi-polisi insurans konvensional. Oleh itu kumpulan sasar utama bagi sektor ini masih masyarakat Islam. Ini barangkali jelas dibuktikan dengan kadar kira-kira 3% sahaja masyarakat bumiputera Islam yang mempunyai polisi insurans nyawa 20 tahun lalu iaitu sebelum adanya takaful pada pertengahan tahun 80an. Kini kadar ini telah meningkat kepada kira-kira 12%. Jika dilihat pertumbuhan penyertaan baru sektor takaful keluarga yang boleh disamakan seperti polisi insurans nyawa, kira-kira 30% setahun, dijangka dalam tempoh 10 tahun akan datang, lebih 60% masyarakat Islam akan menyertai takaful ini,. Dengan sendirinya penembusan bumiputra meningkat lebih 30% bagi rakyat keseluruhannya. Sasaran ini dirasakan dapat dijangkau jika masyarakat Islam keseluruhannya meletakkan tugas mengembang dan membangunkan takaful sebagai institusi kewangan Islam sebagai kerja dakwah yang harus dilaksanakan oleh setiap orang. Ini akan memastikan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam tertinggi kadar penembusan takaful dikalangan masyarakat akan terus kekal.

Oleh itu tugas ini bukan terletak di bahu mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor takaful sahaja, khususnya wargakerja pengendali takaful, pemegang saham atau agensi Kerajaan yang bertanggungjawab mengawalselia sektor ini. Jika dilihat matlamat Islam, antara lain ia menghendaki bukan sahaja kesejahteraan seseorang secara individu tetapi juga kesejahteraan ahli keluarganya, masyarakatnya, negara dan ummah. Tambahan pula dalam zaman moden, seorang Muslim wajar juga memikir dan merancang kehidupan masa depan, selain kehidupan semasa. Tujuannya untuk meringankan beban masa depan ahli keluarganya seandainya kemudharatan menimpa dirinya tanpa diduga. Oleh kerana Islam mengutamakan berat sama dipikul, ringan sama dijunjung maka langkah mengembangkan institusi kewangan Islam menjadi tanggungjawab semua.

Dasar ini selari dengan asas dan struktur pelaksanaan takaful itu sendiri. Tujuan takaful adalah untuk menyediakan kemudahan bagi membolehkan masyarakat mewujudkan dana bersama yang dipanggil Kumpulan wang Takaful. Kumpulanwang ini kepunyaan semua pihak yang menyertai takaful secara bersama. Ia bukan hak milik pengendali; tugas dan kewajipan pengendali hanya semata-mata sebagai pemegang amanah yang bertanggungjawab agar kumpulanwang dijaga dan diurus dengan baik dan sempurna. Apabila pihak yang menyertai takaful memerlukan bantuan atas sebab-sebab yang telah disepakati oleh semua pihak yang menyertai takaful, bantuan berkenaan diperolehi dan disediakan dengan mudah oleh pengendali.

Ini didasarkan hakikat, berbeza dengan insurans konvensional, tidak mengikut asas jual beli. Wang sumbangan, seperti premium, yang dibayar setiap pihak yang menyertainya tidak menjadi hakmilik pengendali kerana wang sumbangan itu bukan harga yang kena dibayar sebagai balasan membeli perlindungan melalui polisi yang dijual syarikat insurans. Mengikut rukun jual beli secara Islam, perkara yang di jual beli yang menjadi salah satu pokok kontrak mesti jelas dalam ertikata pembeli mengetahui dengan tepat bila, bagaimana, banyak mana dan dari mana perolehan ke atas barang atau khidmat yang dibelinya itu dibayar oleh pihak penjual. Jual beli yang tidak jelas seperti ini mengandungi unsur gharar yang boleh merosakkan kontrak jual beli itu sendiri. Gharar ditegah dalam Islam.

Sebaliknya dalam takaful, pihak yang menyertai pelbagai produknya yang dipanggil skim dan pelan takaful menyumbang sejumlah wang untuk mewujudkan kumpulanwang yang menjadi sumber manfaat diperolehi berasaskan prinsip tanggungan bersama untuk membantu pihak yang untuk membantu pihak yang memerlukan bantuan. Bila bantuan ini akan menjadi perlu untuk perolehan kepada pihak yang malang itu ditakrifkan pula dalam kontrak seumpama berlaku sesuatu musibah yang membawa kepada kerugian atau kehilangan tertentu kepada pihak terbabit.

Bagi memastikan manfaat ini dibayar selaras dengan peraturan Syariah maka dalam kontrak yang sama dijelaskan secara khusus sebahagian wang sumbangan tersebut akan ditabarru’. Wang yang ditabarru’ ini akan dikreditkan pula ke dalam akaun tertentu di bawah kumpulanwang takaful. Tabarru’ ertinya menderma secara khusus. Dalam konteks ini, wang ditabarru’ itulah digunakan sebagai perolehan bantuan berasaskan prinsip tanggungan bersama kepada mana-mana pihak yang memerlukannya. Dengan kata lain, peserta sendiri secara beramai-ramai membantu rakan peserta yang ditimpa malang. Sebaliknya di bawah insurans konvensional, pemegang polisi akan memperolehi faedah tuntutan atau sebaliknya banyak bergantung kepada hak pihak yang menjual pelbagai polisi insurans.

Bagi memperteguhkan pula kedudukan kumpulanwang takaful wang sumbangan terkumpul itu dilaburkan; dan bidang pelaburan semestinya yang dibenarkan oleh syarak. Majlis Pengawasan Syariah akan memastikan pengendali sebagai pemegang amanah melaksanakan kegiatan pelaburan mengikut yang diluluskan Syariah. Jika keuntungan diperolehi, pihak yang menyertainya akan turut mendapat pulangan kerana keuntungan itu akan dikongsi bersama. Yang demikian tiada pihak mempunyai hasrat untuk meraih kesempatan untuk mengaut untung secara sebelah pihak dengan mengenepikan hak sebelah pihal lagi.

Memandangkan pada dasarnya takaful mempunyai nilai universal yang boleh digunakan bagi menjaga dan memelihara kebajikan umum, usaha mempertingkatkan penggunaan takaful perlu dilaksanakan oleh setiap rakyat. Peranan ini tidak seharusnya menjadi tugas wargakerja takaful semata-mata. Selaras dengan tanggungjawab dakwah, setiap masyarakat terutamanya yang beragama Islam wajar disedari tentang peranan masing-masing dalam menyebarkan maklumat mengenai institusi kewangan Islam termasuk takaful. Tambahan pula dengan taburan institusi ini di seluruh negara, tiada sebab lagi masyarakat Islam memilih selain daripadanya. Barangkali atas nilai universal ini juga semakin bertambah masyarakat bukan Islam melanggani produk-produk kewangan Islam termasuk takaful. Ini menunjukkan sifat saksama dan keistimewaan Islam itu sendiri.

Justeru menjadi cabaran kepada institusi kewangan Islam dalam memenuhi permintaan serta keperluan kewangan masyarakat semasa. Dalam memasarkan produk kewangan Islam, seperti takaful, walaupun ciri kepatuhan Syariah itu amat penting tetapi jika produknya jauh dari mampu memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat semasa maka produknya akan ditolak. Oleh itu pengendali takaful perlu sentiasa inovatif dan berkebolehan melakar serta dapat menyedia produk-produk baru bagi memenuhi permintaan masyarakat yang semakin canggih. Sebagai peluang kewangan baru, takaful harus mampu menyediakan saluran bagi menjana perancangan kewangan dan harta semua peringkat masyarakat. Produknya wajar memenuhi kehendak masyarakat seluruhnya dan tidak untuk kelompok tertentu sahaja walaupun dalam strategi pemasaran kepentingan setiap kelompok itu perlu diambilkira.

Atas hakikat inilah sebagai contoh, Takaful Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan produk yang dirasakan boleh memenuhi keperluan semua. Misalnya untuk masyarakat umum ada produk berkelompok seumpama tabung khairat kematian yang penyertaannya mudah diuruskan melalui masjid dalam sesuatu kariah atau kampung. Secara tidak langsung produk ini dapat memenuhi semacam keperluan jaminan sosial dalam satu-satu kariah. Jika semua kariah seluruh Malaysia menyertainya maka seluruh rakyat, desa dan bandar dilindungi oleh takaful. Untuk hartabenda pula, ada produk seperti takaful rumah desa dan takaful baitul saadah yang disediakan khusus melindungi rumah-rumah kampung yang dibina dari bahan kayu yang biasanya tidak diterima insuransnya oleh sektor konvensional.

Usaha ini mudah memasyarakatkan takaful. Dengan bertambahnya bilangan pengendali takaful kepada empat (4) syarikat : Takaful Malaysia, Takaful Nasional, Mayban Takaful dan terbaru Takaful Ikhlas, kegiatan dan usaha memperluaskan maklumat dan khidmat takaful kepada setiap pelusuk masyarakat menjadi lebih luas. Takaful diwujudkan kepada masyarakat dan disediakan oleh masyarakat untuk keperluan dan perlindungan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *