Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Media di Malaysia

Siapa yang patut dipersalahkan bila media kita kini dikatakan terlalu banyak bahan berita yang boleh merosakkan akhlak? Media cetak? Minta maaf, nasihat saya jangan menyalahkan pihak media sahaja! Sebenarnya kita yakni pengguna yang mengawalnya. Pihak media cuma berniat mengaut untung dengan memaparkan berita yang menjadi kegemaran pembaca. Anda lupa tanpa pembaca siapalah media. Mungkin atas dasar itu kebanyakan syarikat ataupun media hiburan takut mengambil risiko dengan memaparkan bahan yang berstatus suam-suam kuku. Risau mereka-mereka yang berfahaman hedonisme tidak membelinya. Tipikal? Betul! Siapa yang boleh menafikannya.

media malaysia

media malaysia

Dalam hal ini, saya memuji pendekatan yang telah diambil oleh pihak akhbar Berita Harian. Cukup kemas dan teliti dalam mengeluarkan berita. Walau saya sendiri agak sukar menerima konsep berita panas yang acap kali disajikan kepada pembaca! Tetapi sekurang-kurangnya masih dibatasi oleh ayat-ayat yang bertapis dan cenderung memartabatkan bahasa kebangsaan berbanding akhbar “X” yang lebih suka memaparkan cerita berbau seks dan pembunuhan kejam sebagai penghias muka depan.

Berita telus?

Ini bukan masalah berita telus dan tidak telus! Tapi menyentuh bab psikologi. Lebih penting bagaimana kita mengawal minda masyarakat kita yang semakin kacau dewasa ini. Saya faham mungkin ada di antara kita yang sibuk mempertahankan kewujudan artikel seperti yang telah saya ulas di atas, dengan hujah “bergantung pada penerimaan diri masing-masing”. Tapi bukankah itu satu pernyataan yang menjengkelkan? Seperti peribahasa melayu yang berbunyi berlindung di balik daun lalang sehelai?

Renungkanlah, manusia itu hidupan yang lemah! bila sering disogokkan dengan berita yang kurang enak didengar, saya percaya ada yang mungkin terpengaruh dengannya. Paling kurang, pasti ada sedikit yang terpalit kepada pembaca dan mempengaruhi minda separa sedar mereka seperti mana peribahasa melayu yang berbunyi alah bisa tegal biasa.

Berita pembunuhan yang silih berganti menghiasi muka depan media cetak dan elektronik kita bukan lagi sebagai bahan berita, tapi lebih kepada pendedahan betapa kroniknya masalah sosial di negara kita. Paling menyedihkan bila berita jenayah yang sering melibatkan bangsa kita disalahertikan oleh orang lain sebagai golongan yang paling bermasalah di negara ini. Bahkan, pendedahan bahan seumpama itu menjadikan masyarakat semakin lali dengan jenayah. Maka tidak hairanlah ada di antara kes yang berlaku di mana si pelaku sudah tidak takut kepada hukuman kerana sering didedahkan dengan berita-berita jenayah yang keterlaluan.

Itu tidak termasuk lagi media hiburan yang mengeksploitasi wanita dan lelaki secara ‘total’. Kewujudan majalah hiburan ‘Manggis’ dalam pasaran tempatan bukan sahaja menjadi modal untuk menaikkan nafsu syahwat lelaki yang rata-ratanya masih belum mampu berdiri di kaki sendiri, malah dilihat sebagai agen utama pengaruh budaya kuning di kalangan masyarakat kita.

Paling menakutkan, bila mengenangkan nasib anak-anak pewaris masa depan yang semakin kerap disajikan dengan berita seumpama itu. Permainan ‘masak-masak’ yang sering menjadi permainan kita suatu ketika dahulu pun sudah bertukar seperti cerita “sex and the city” pada zaman kini. Itu tidak termasuk lagi mereka yang baru bergelar remaja belasan tahun, tetapi sudah memikul pangkat sebagai ibu dan ayah kepada anak luar nikah masing-masing. Tahniah masyarakatku. Apa lagi yang kita mahukan? kita sebenarnya sudah terlalu sempurna untuk menjadi orang barat!

Awal dibuat akhir diingat!

Jangan hanya mementingkan poket sendiri. Tidak ada gunanya pendapatan yang berjuta-juta sekiranya nilai moral masyarakat terpaksa digadai untuk mendapatkan sekeping kertas bernama Ringgit Malaysia, seperti mana peribahasa melayu yang berbunyi dilihat galas berlaba, dihitung pokok termakan.

Pembaca pula, tolonglah…. tolong jangan hanya membaca bahan yang panas dan berbau seks sahaja. Permintaan ke atas bahan bacaan ini bukan sahaja menggalakkan lebih banyak penerbitan media seperti itu, justeru tidak memberi apa-apa faedah pun kepada peningkatan intelektual mahupun keperibadian kendiri masing-masing.

Intihanya, jangan melatah kalau kita terlalu mewah dengan limpahan cerita pembuangan bayi atau pelbagai isu yang silih bertukar ganti semenjak dua dekad yang lepas, paling penting jangan menuding jari kepada sesiapa sekiranya permasalahan ini dipersoalkan kepada umum! Tanya diri sendiri kenapa gamak melihat bangsa sendiri merana.

Artikel berkaitan:

One Response

  1. Esti

Leave a Reply

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh