Manfaatkan Tabungan Melalui Takaful

Pelan Induk Sektor Kewangan yang telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan pada 1 Mac 2001 lalu telah menetapkan dua sasaran khusus untuk sektor perbankan Islam dan takaful. Pertama, Malaysia akan dibangunkan sebagai pusat serantau bagi perkembangan kedua-dua sektor ini.

Usaha mengwujudkan prasarana kearah ini telahpun dilaksanakan oleh pihakberkuasa. Antara langkah awal menjadikan BIMB Training and Research Institute Sdn Bhd (BIRT), sebuah anak syarikat milik penuh Kumpulan Bank Islam kepada sebuah institut yang lebih bersifat nasional.

Sehubungan ini, BIRT diubah nama menjadi Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM). Barangkali dijangka IBFIM akan memainkan peranan lebih luas dalam penyebaran maklumat dan lakaran program pendidikan berkaitan sektor kewangan Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.

Menerusi pengalaman dan kredibiliti Malaysia dalam membangunkan kedua-dua sektor ini, IBFIM dipercayai akan menjadi sumber rujukan pihak luar. Difahamkan IBFIM telah mula melangkah ke arah ini.

Sayugia disebut sektor kewangan Islam adalah luas menerangkumi perbankan, takaful, gadaian Islam (ar-rahn), pasaran modal dan yang berkaitan dengannya.

takaful kewangan
takaful kewangan

Di bawah sasaran kedua ditetapkan pula supaya sektor perbankan Islam dan takaful menguasai 20% pasaran masing-masing menjelang tempoh Pelan Induk iaitu tahun 2010. Ini bererti pada akhir tempoh tersebut, kutipan wang sumbangan/caruman sektor takaful dijangka 20% daripada keseluruhan premium insurans dan sumbangan/caruman takaful.

Pada masa ini terdapat hanya dua pengendali takaful: Takaful Malaysia di bawah Kumpulan Bank Islam dan Takaful Nasional di bawah Kumpulan MNI. Adalah diunjurkan jumlah premium insurans dan sumbangan/caruman takaful menjelang akhir tahun 2010 meningkat kepada RM35.8 bilion. Ini bererti sektor takaful perlu memperolehi RM7.2 bilion.

Angka ini dipercayai boleh dihasilkan dengan bertambahnya kesedaran masyarakat tentang betapa mustahak dan pentingnya menabung serta mengatur belanjawan dengan bijak melalui bantuan produk kewangan seperti yang disediakan sektor takaful.

Dengan tahap pendidikan semakin meningkat, masyarakat akan lebih berpengetahuan dan menjadi lebih bijak memilih produk dan khidmat kewangan yang menarik dan menguntungkan mereka.

Bagi masyarakat Islam khasnya, lebih ramai pula akan tertarik kepada produk atau khidmat kewangan yang selaras dengan kehendak Syariah. Apatah lagi jika produk dan khidmat itu sememangnya kompetif, memberi pulangan stabil, mempunyai nilaitambah dengan khidmat pelanggan yang bermutu.

Sudah pasti ia dapat menawan semua golongan tidak kira masyarakat Islam atau bukan Islam. Sektor kewangan Islam, khasnya takaful, pada dasarnya mempunyai nilai-nilai universal yang mempunyai tarikan sendiri serta kelebihan tertentu berbanding sektor konvensional kerana asas operasinya adalah mengikut landasan syarak.

Kerana nilainya yang universal ini maka ia menjadi pilihan semua. Menjadi cabaran kepada pengendali untuk memastikan khidmatnya unggul dan dapat memenuhi keperluan masyarakat.

Apapun sebagai bidang perniagaan, yang bergerak pula dalam sistem pasaran terbuka, setiap produk dan khidmat perlu dipromosikan supaya diketahui dan difahami masyarakat.

Walaupun produk-produk perbankan Islam dan takaful mempunyai keistimewaan tertentu, keistimewaan ini tidak diketahui tanpa maklumat dan pendedahan pengetahuan. Penyebaran maklumat seumpama ini sememangnya sejajar dengan tuntutan Islam dalam konteks kegiatan dakwah. 

Selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kedua-dua sektor ini sebagaimana yang disasarkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan, Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa yang mengawalselia industri kewangan negara bersama dengan institusi kewangan yang terbabit akan melancarkan Minggu Perbankan Islam dan Takaful (MPIT). Bertemakan Perbankan Islam dan Takaful: Maju Bersama Anda, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan oleh semua institusi kewangan yang terbabit bagi memastikan masyarakat lebih memahami dengan dekat pelaksanaan, peranan dan perkembangan kedua-dua sektor ini dalam memajukan ekonomi negara keseluruhannya.

Lebih penting bagaimana produk dan khidmat sektor perbankan Islam dan takaful dapat memenuhi keperluan kewangan setiap anggota masyarakat.

Sememangnya operasi takaful yang berasaskan kontrak al Mudharabah yang bermaksud berkongsi untung amat sejajar dengan konsep kepenggunaan moden yang menekankan ketelusan dan nilai tambah kepada pengguna.

Dengan kata lain, wang sumbangan atau caruman takaful seumpama premium insurans serampang dua mata. Pertama, seperti wang pelaburan, pengguna produk-produk takaful yang dipanggil peserta, berhak memperolehi untung atas wang sumbangan/caruman takafulnya jika operasi takaful mencatat keuntungan.

Pengalaman Takaful Malaysia sendiri sebagai contoh, sejak pelancaran operasi mulai 1985 sehingga kini telah membayar untung kepada peserta-peserta di bawah Takaful Am dalam lingkungan 30% sehingga 45% daripada wang sumbangan/caruman masing-masing.

Barangkali ini sebabnya ada orang mengatakan takaful memberi khidmat perlindungan percuma. Kedua, wang sumbangan/caruman seperti premium insurans akan dikira sebagai balasan untuk membayar manfaat tuntutan jika ditakdirkan sesuatu musibah menimpa kepada orang atau harta yang dilindungi. Dengan kata lain di bawah takaful peserta tetap mendapat pulangan tidak kira musibah menimpanya atau tidak.

Oleh itu takaful jelas adil, saksama dan nyata sebagaimana yang dikehendaki dalam berurusan secara kontrak mengikut Islam. Ia memberi manfaat kepada kedua-dua peserta sebagai pengguna dan pengendali sebagai pengusaha.

Produk takaful pula, khasnya Pelan Takaful Keluarga boleh memenuhi keperluan kewangan individu melalui program tabungan jangkapanjang secara tetap dan berdisiplin. Tabungan setiap individu akan membantu mempertingkatkan kadar tabungan negara.

Tabungan negara amat perlu dalam membantu menjana ekonomi sesebuah negara. Pada masa ini kadar penembusan insurans nyawa dikalangan bumiputra Islam amat kecil, dalam lingkungan 15%, sedangkan keseluruhan rakyat Malaysia 35%.

Dengan adanya takaful keraguan berhubung insurans tidak lagi menjadi suatu halangan. Tambahan pula amalan menabung adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang yang berusaha dengan cara yang baik, berbelanja dengan sederhana dan menabung apa yang lebih (setelah memberi nafkah) untuk saat-saat dia yang memerlukannya nanti”. (Hadith Muttafaqun Alaih).

Menabung tidak semestinya mampu dikalangan oleh golongan berada sahaja. Yang penting perlu ada disiplin dan merancang belanja dengan teratur.

Pembaziran dalam ertikata berbelanja lebih daripada pendapatan akan menyekat usaha menabung dan wajar dielakkan kerana ini dicela oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Sesungguhnya para pembazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan amat kufur terhadap nikmat Tuhannya”. (Surah Al Israk: 26-27).

Sektor takaful telah berkembang dengan memuaskan. Kadar pertumbuhan kedua-dua pengendali takaful, Takaful Malaysia dan Takaful Nasional, dalam tempoh lima tahun lalu adalah kira-kira 30%, jauh lebih tinggi berbanding pencapaian pertumbuhan insurans konvensional.

Kini operasi takaful di Malaysia diakui sebagai terbesar dan yang termaju di dunia. Semoga dengan keistimewaan sistem kewangan Islam yang diasas dan dibangunkan oleh Malaysia, sektor perbankan Islam dan takaful akan terus maju bersama kita.

Sektor Takaful Berkembang Dalam Kegawatan Ekonomi

kibat kegawatan ekonomi yang melanda Asia serta Malaysia lebih dua tahun lalu, kolum ini turut menjadi korban apabila halaman akhbar ini terpaksa dikurangkan. Kini keadaan ekonomi bertambah baik sekalipun tidak sepenuhnya.

Kemungkinan ekonomi muram boleh berlaku lebih-lebih lagi dengan adanya tanda-tanda kelambapan ekonomi dunia terutama ekonomi Amerika Syarikat. Sedikit sebanyak ekonomi negara akan turut merasa tempiasnya jika ekonomi Amerika Syarikat lemah kerana hampir satu perempat ekspot negara adalah ke Amerika Syarikat.

Ini menjadikan dasar dan usaha mempertingkat serta memperluaskan pasaran barangan dan ekspot Malaysia amat mustahak. Amat tidak wajar sesebuah negara terlalu bergantung pasaran ekspotnya kepada satu kawasan sahaja. Sekiranya negara berkenaan tidak berkeupayaan mengimpot bererti negara pengekspot akan menghadapi masaalah ekonomi.

takaful ekonomi
takaful ekonomi

Apapun, yang jelas kegawatan ekonomi secara amnya tidak begitu mengancam sektor kewangan Islam yang mana takaful merupakan antara komponen yang berpengaruh. Suasana ini tidak sahaja terhad di Malaysia, malah beberapa negara lain yang mengamalkan operasi kewangan Islam.

Ini termasuk Turki sewaktu sektor kewangan konvensional mengalami krisis peningkatan mendadak kadar faedah ekoran kejatuhan nilai matawang kiranya sektor kewangan tanpa faedah tidak merasa ancaman krisis yang sama.

Kalau adapun kesan daripada kegawatan ekonomi ini barangkali yang berkaitan dengan kejatuhan nilai pelaburan saham. Kejatuhan harga saham sedikit sebanyak memberi tekanan ke atas dayauntung mana-mana institusi kewangan yang turut dalam aktiviti pelaburan saham.

Kalau harga saham sewaktu dibeli tinggi selangkah dengan indeks komposit yang melangit, sudah pasti mengikut piawaian perakaunan wajar diambilkira susut nilai sebaik harga saham merudum sejajar indeks komposit yang turun menjunam.

Namun diukur mengikut daya pertumbuhan takaful secara keseluruhan, tidak banyak terjejas. Umpamanya dalam tahun 1998 dan 1999 di tengah-tengah kancah kegawatan ekonomi, takaful mencatat pertumbuhan positif dengan purata peningkatan kutipan sumbangan takaful (premium) melebihi 24%.

Sebaliknya prestasi insurans konvensional mengalami pertumbuhan negatif dengan jumlah premium menguncup kira-kira 4% dalam tempoh yang sama. Seandainya aliran ini berkekalan dalam jangkapanjang takaful akan berjaya berada dalam arus perdana sektor kewangan negara.

Trend yang serupa juga dialami beberapa negara lain yang mempunyai operasi takaful atau insurans Islam dengan merekod pertumbuhan positif yang sama, sedangkan sektor kewangan konvensional menghadapi kesukaran untuk menambah perniagaan.

Di Indonesia misalnya, Syarikat Takaful Indonesia terus maju dan mencatat peningkatan prestasi di tengah-tengah sektor insurans konvensional negara itu menghadapi soal mengekalkan operasi atau menutupnya. Begitu juga dengan prestasi takaful di Singapura apabila nilai `Takaful Global Fund (Dana Takaful Global)’ mencatat kenaikan 100% berbanding harga asal.

Pertumbuhan yang serupa juga dialami di Brunei. Malahan dalam menghadapi kemaraan takaful, berbagai taktik diguna oleh sektor insurans konvensional di negara tersebut termasuk tawaran premium yang rendah misalnya dalam menarik perlindungan kenderaan.

Sesungguhnya `perang premium’ dalam jangkapanjang tidak menguntungkan sesiapa baik, Syarikat mahupun pengguna. Apatah lagi takaful yang masih kecil dan baru `membuka kedai’ tidak wajar turut sama dalam perang harga untuk mendapat penyertaan orang ramai.

Dalam apa-apa perniagaan sekalipun perlu ada kestabilan `harga’. Prestasi positif takaful dalam kegawatan ekonomi yang sebaliknya memberi kesan negatif ke atas insurans konvensional, barangkalai membuktikan keunggulan Syariah itu sendiri.

Operasi takaful yang diamalkan di Malaysia dan negara-negara Asean lain adalah berasaskan kontrak atau akad mengikut prinsip al Mudharabah yang bermaksud berkongsi untung dalam perniagaan, dan al Tabarru’ atau menderma secara ikhlas untuk tujuan tertentu.

Ringkasnya wang sumbangan yang dibayar sebagai balasan menyertai produk takaful disatu segi ibarat modal pelaburan yang akan memberi pulangan secara perkongsian untung diantara pembekal modal dengan pengusaha.

Misalnya, pengalaman prestasi Takaful Malaysia untuk perlindungan harta benda seperti rumah, kenderaan, stok perniagaan dan lain-lain harta untung yang telah dibayar kepada peserta rata-rata tidak kurang daripada 35%. Dengan kata lain jika amaun wang sumbangan RM100 yang dibayar pulangan RM35 akan diperolehi daripada perkongsian untung al Mudharabah.

At tabarru’ pula di masukkan ke dalam akad bagi mengizinkan sekian peratus wang sumbangan yang sama diambil khusus untuk membantu rakan peserta yang ditimpa musibah. Perjalanan takaful sebegini menjadikan operasinya jelas, dengan struktur perjanjiannya telus.

Ketelusan ini diperlihatkan pula dalam dasar perakaunannya. Kewajaran ini penting bagi memastikan keseluruhan operasi takaful itu adil dan ihsan iaitu dua prinsip tonggak yang dituntut Islam dalam setiap perilaku manusia. Seruan supaya berlaku adil dan ihsan disebut oleh khatib dalam setiap khutbah Jumaat.

Selain menyediakan kemudahan perlindungan apabila peserta ditimpa musibah seperti insurans, aktiviti takaful juga membabitkan pelaburan. Selangkah dengan peraturan Syariah, bidang pelaburan mestilah bersih dari apa-apa unsur riba.

Sekali-kali ia tidak menjejaskan dana takaful. Pengendali takaful dan peserta sebagai kedua pihak yang berkepentingan tidak merasa diambil kesempatan atau tertekan untuk mendapat pulangan bagi menggantikan kejatuhan faedah atau sebaliknya.

Menurut pengurus Dana Takaful Global di Singapura, seorang bukan Islam ketika ditanya apakah strategi pelaburannya yang mampu menghasilkan pulangan baik sedangkan pasaran saham dunia muram, beliau hanya menyatakan sukar dirasionalkannya secara ilmiah. Apa yang beliau benar-benar faham ia seolah-olah mendapat pertolongan oleh suatu `tangan’ ghaib.

Artikel berkaitan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *