Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Manfaat Takaful Di Gabungkan Pelaburan

Produk kewangan Islam sama ada perbankan, insurans atau pasaran modal tidak cukup dengan hanya menonjolkan ciri-ciri ‘Islamik’ bagi menarik langganan masyarakat khususnya Muslim. Hakikat Islam itu setiap zaman benar-benar terbukti dengan kemampuan produk kewangan Islam ini sendiri dapat disesuai kegunaannya dalam membantu seseorang merancang kewangannya mengikut keperluan semasa. Boleh dikatakan semua orang tahu dan sedar perancangan kewangan perlu jika dilihat ramai orang kini sudah pandai mengumpul harta, termasuk menghimpun wang untuk kesenangan hidup sepanjang hayat. Selain itu harta kekayaan dan wang yang dikumpul ini juga dirancang bagi keperluan anak-anak dan ahli waris setelah ketua keluarga meninggal dunia.

pelaburan takaful

pelaburan takaful

Melihat perkembangan sistem kewangan Islam, kelebihan produknya bukanlah semata-mata kerana ciri ‘Islamiknya’, sekalipun ciri ini penting, tetapi diwaktu yang sama produk ini mempunyai cirinya tersendiri yang dapat memenuhi keperluan semasa masyarakat setanding atau dalam beberapa aspek atas sifat adil dan ehsannya, lebih baik berbanding produk kewangan konvensional.

Pelbagai Pengendali Kewangan Islam

Pentingnya pilihan lebih luas dan pelbagai, penyedia dan pengendali kewangan Islam harus sentiasa aktif dalam strategi mengeluarkan produk-produk baru yang sekaligus boleh membebaskan Muslim dari sistem kewangan tidak selaras dengan Syariah. Strategi ini juga akan menunjukkan bahawa sesungguhnya sistem kewangan Islam itu sendiri bersifat dinamik dan universal penggunaannya. Misalnya dalam sektor takaful, sejak penubuhan Takaful Malaysia 18 tahun lalu, pelbagai produk telah disediakan untuk memenuhi keperluan insurans semasa masyarakat. Tidak syak lagi, langkah memperluas dan memperkembangkan sektor takaful akan tercapai antara lain melalui strategi pelbagaian produk ini.

Dalam hal-hal berkaitan urusan wang yang membabitkan kegiatan pelaburan dan tabungan, kalau diberi pilihan, semua pengguna ingin menentukan sendiri harapan dan unjuran pelaburannya. Walau bagaimanapun, umumnya tiada produk kewangan yang luwes seperti ini. Biasanya urusan pelaburan adalah hak penyedia atau pengendali sendiri. Barangkali produk yang berkaitan insurans sahaja yang menyediakan kemudahan penggunanya membuat pilihan mengikut matlamat kewangan masing-masing. Jika ini disediakan oleh sektor insurans maka produk takaful juga menyediakan kemudahan pilihan yang serupa. Produk yang dimaksudkan ini diistilahkan sebagai yang berkaitan dengan pelaburan atau yang dikenali ‘investment-linked’ dalam insurans konvensional.

Takaful Dana Saham

Sehubungan ini, Takaful Malaysia baru-baru ini telah melancarkan produk takaful berkaitan pelaburan yang diberi nama ‘Takaful Dana Saham (TDS)’. Sewajarnya penyediaan TDS tepat dengan harapan Dato’ Jamaludin Jarjis, Menteri Kewangan Kedua semasa majlis pelancaran TDS yang ingin melihat sektor kewangan Islam secara umum dan takaful secara khusus sentiasa berusaha menyediakan produk baru bagi memenuhi keperluan dan citarasa masyarakat pengguna. Ini juga membuktikan pengiktirafan dunia bahawa Malaysia merupakan negara Islam yang menarajui perkembangan sistem kewangan Islam di dunia.

Dalam pasaran insurans nyawa, polisi insurans berkaitan pelaburan yang dijual oleh syarikat insurans nyawa konvensional kini merupakan polisi paling popular dikalangan orang ramai. Sambutan yang menggalakkan ini dapat dilihat daripada jumlah yang mencecah melebihi RM528 juta dalam tahun 2001, mencatat kadar pertumbuhan lebih tiga kali ganda. Jumlah kutipan ini juga bersamaan 12% premium insurans nyawa keseluruhannya.

Mengapa polisi ini begitu menarik ? Tidak syak lagi antara kelebihan produk berkaitan pelaburan seperti TDS adalah strukturnya yang tidak statistik, memudahkan penggunanya menukar tabung pelaburan sesuai dengan keperluan kewangan mereka dan yang demikian memberi ruang pilihan luas, terutamanya berkaitan manfaat perlindungan dan perancangan tabungan. Dengan kata lain, peserta sendiri yang akan menentu dan memutuskan sama ada dia mengutamakan manfaat perlindungan jika sesuatu musibah menimpa dirinya berbanding keperluan tabungan sebagai persiapan mengumpul wang untuk masa depan. Ruang pilihan yang luas ini juga membolehkan sebahagian tabungan dalam TDS dikeluarkan oleh peserta jika perlu, bila-bila masa tanpa merosakkan akad atau kontrak takaful produk ini. Ertinya peserta dapat mengawal kewangan sendiri mengikut keperluan masing-masing berasaskan saling jamin menjamin di bawah takaful dan merancang sendiri tabungan jangkapanjang di bawah program pelaburan.

Takaful sememangnya tidak boleh dipisahkan dari pelaburan kerana aktiviti ini merupakan bahagian penting, memandangkan operasinya berasaskan perjanjian berkongsi untung diantara peserta dan pengendali mengikut prinsip al Mudharabah. Sudah tentu pulangan pelaburan merupakan sumber penting yang akan digunakan untuk berkongsi untung.

Beza Tentang TDS

Oleh itu mengapa perlu TDS dan apa bezanya dengan produk takaful lain ? Produk takaful lain yang juga membabitkan kegiatan pelaburan seperti Pelan Takaful Keluarga Dengan Tempoh Matang (PTK) biasanya menyediakan manfaat takaful jika ditakdirkan musibah tertentu seperti kematian, hilangupaya kekal, diserang penyakit berat atau seumpamanya menimpa peserta. Perolehan manfaat ini dibayar dari dana yang dikhususkan iaitu Akaun Khas Peserta (AKP), yang dibentuk daripada tabarru’ atau derma khas sebahagian wang caruman semua peserta. Apapun sebelum apa-apa manfaat dibayar wang caruman peserta terlebih dahulu dilaburkan. Sesuai dengan rukun al Mudharabah maka dari segi pelaksanaannya, bidangkuasa pelaburan menjadi budibicara dan tanggungjawab pengendali: peserta tidak berhak campur tangan, dia tidak boleh menunjukkan dimana wang carumannya wajar dilabur oleh pengendali. Atas sifatnya sebagai pelabur, peserta PTK adalah pelabur pasif. Yang penting PTK dapat memastikan wang manfaat sebagai perolehan pampasan dibayar oleh pengendali takaful mengikut perjanjian jika ditakdirkan musibah tertentu menimpa dirinya.

Namun dengan meningkatnya kesedaran kepenggunaan di kalangan masyarakat dengan bertambahnya pula tahap kepenggunaan yang berpengetahuan (educated consumerism), pengguna inginkan kebebasan memilih sendiri dan dibuka peluang kepada mereka untuk turut serta mengambil keputusan tentang cara terbaik bagaimana wang carumannya ditabung. Dengan kata lain mereka dapat memutuskan sendiri bagaimana pengendali takaful dapat mengembang dan mempertingkatkan wang carumannya.

Kuasa memilih sebegini tiada dalam PTK biasa. Sebagai contoh, bagi peserta yang mengutamakan perolehan manfaat besar dalam perancangan penyediaan pampasan untuk bekalan anak-anak dan ahli waris jika ditakdirkan dia meninggal dunia sebelum PTK matang atau merancang untuk mengumpul sebanyak tabungan yang mungkin sebaik PTK matang, kenalah bersedia membayar wang caruman yang besar pula dengan menyertai PTK dengan tempoh matang yang paling lama, sehingga 40 tahun. Atau dengan cara lain peserta ini perlu menyertai banyak PTK. Cara sebegini mungkin membebankan sedikit memandangkan ada setengah peserta yang akan menghadapi tekanan belanjawan. Kehidupan manusia di dunia tidak dapat ditentukan: ada masa mewah dan ada masa susah. Apapun setiap produk itu mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing. Sesungguhnya PTK, merupakan produk sesuai dengan individu yang tidak mahu bersusah payah memikirkan naik turun nilai pelaburan; harapannya asalkan matlamat memperolehi sejumlah manfaat seperti pampasan sebaik bencana menimpa dirinya atau sejumlah tabungan diterima sebaik matang terjamin.

TDS vs. PTK

Dalam kaitan ini, TDS berbeza dengan PTK. Peserta TDS diberi pilihan mengaitkan wang caruman yang dibayar dengan potfolio pelaburan yang dikehendakinya, sedangkan aktiviti pelaburan PTK dipertanggungjawab sepenuhnya mengikut kebijaksanaan dan budibicara pengendali takaful. Ciri yang sama bagi kedua produk ini hanyalah adanya jaminan perolehan manfaat takaful jika peserta mengalami kerugian akibat ditimpa musibah. Oleh itu di bawah TDS caruman untuk pelaburan diasing dan dikhususkan daripada bahagian caruman untuk tujuan takaful atas prinsip derma atau tabarru’ semua peserta. Apapun jumlahnya terlalu kecil kerana kadar menampong kos takaful ini mengikut asas kemortalan adalah amat rendah; tidak akan menjejaskan pelaburan wang caruman peserta.

Kegiatan pelaburan pula antara lain akan tertumpu kepada sektor tertentu seperti saham, bon, sekuriti dan yang seumpamanya. Asas pelaburan sewajarnya mengikut landasan syarak. Dalam konteks ini, bagi Takaful Malaysia sebagai contoh, kegiatan ini akan dipantau oleh Majlis Pengawasan Syariahnya. Sementara tugas pelaburan akan diserah dan dikendalikan oleh sekumpulan pakar yang lazimnya mengikut pengurusan secara berpotfolio. Dalam sektor sekuriti umumnya, sama ada pasaran saham atau bon ruang pelaburan mengikut syarak sememangnya pelbagai dan luas kerana institusi seperti Suruhanjaya Sekuriti juga mempunyai majlis syariahnya yang mengkaji dan menentukan jenis-jenis sekuriti mengikut syarak.

Bagi tujuan takaful yang berkaitan seperti risiko insurans, kadar tabarru’ daripada wang caruman peserta itu akan berubah dan ini berbeza dengan kadar tabarru’ yang sama di bawah PTK sepanjang tempoh penyertaan. Untuk TDS kadarnya berubah bukan sahaja mengikut tempoh penyertaan tetapi juga bergantung kepada Nilai Aset Bersih (NAB) keseluruhan kumpulanwang TDS. Lazimnya kadar ini menjadi semakin kecil selepas sekian lama penyertaan. Yang pasti ia jauh lebih kecil daripada bahagian pelaburan.

Jika peserta TDS meninggal dunia, hilang upaya kekal seluruh tubuh badan sama ada ditimpa penyakit atau kemalangan atau diserang penyakit berat, manfaat takaful sebagai pampasan perlindungan di bawah TDS akan dibayar mengikut kadar yang sama tetapi amaun sebenar bergantung kepada NAB.

Berbeza dengan PTK asas pelaburan wang caruman TDS adalah pembelian pelbagai instruman sekuriti berlandaskan Syariah secara pukal dan berkelompok mengikut pembelian tunai berdasarkan prinsip Bai-Anaqdi. Sebagai langkah mengelak dan mengatasi kemungkinan risiko kerugian kerana pembelian tertumpu kepada suatu instruman pelaburan tertentu sahaja, kegiatan pelaburan akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu jenis sahaja. Pembelian insturman secara pukal dan berkelompok ini kemudiannya akan pecah dan diagihkan mengikut kiraan unit seperti yang diamalkan dalam operasi amanah saham. Oleh itu amaun TDS yang disertai oleh seseorang peserta akan ditentukan mengikut jumlah pegangan unit yang dimilikinya. Nilai keseluruhan unit ini akan ditentukan setiap hari mengikut NAB dan diumumkan kepada orang ramai melalui akhbar. Seperti pasaran saham, yang tertakluk kepada naik jatuh harga, NAB juga tidak boleh lari daripada hakikat ini.

Buat Keputusan Untuk Pelaburan Yang Sesuai

Oleh kerana peserta sendiri yang berhak memutuskan jenis pelaburan yang sesuai mengikut pilihan dan kehendaknya, akad TDS harus distrukturkan berasaskan prinsip al Wakalah. Ini berbeza dengan prinsip al Mudharabah yang menjadi asas akad PTK kerana di bawah PTK segala tanggungjawab dan tugas pelaburan diletakkan di bahu pengendali. Peserta PTK sebagai mudharib tiada mempunyai apa-apa hak berkaitan dengan kegiatan ini. Dengan kata lain, peserta melantik Takaful Malaysia sebagai wakilnya yang bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan pelaburan wang caruman mengikut tabung pelaburan pilihan bagi pihak peserta. Atas premis ini sebagai wakil, Takaful Malaysia dibenarkan mengenakan sedikit komisyen sebagai fi atas perkhidmatan wakalah daripada wang caruman peserta. Apapun kadar komisyen ini mestilah mengikut garispanduan yang telah ditetapkan oleh pihakberkuasa. Dalam konteks ini, Takaful Malaysia hanya mengambil 5% sahaja daripada wang caruman tersebut bagi menampong kos pengurusannya. Sementara itu fi atau bayaran khidmat kepada pihak yang menguruskan pelaburan secara berpotfolio dikenakan pada kadar 1.5% NAB setiap tahun.

Ada dua cara wang caruman TDS boleh dibayar: sekaligus minimanya RM5,000 atau ulangan minimanya RM1,000 sementara setiap ulangan sekurang-kurangnya RM100 sebulan. Namun di bawah skim caruman ulangan, penyertaan TDS tetap berkuatkuasa dan tidak terbatal secara otomatik selepas jangkamasa yang dibenarkan sekalipun caruman ulangan tidak dibayar untuk beberapa waktu. Bayaran seterusnya akan dikira sebagai ulangan selanjutnya dan menjadi sebahagian pelaburan TDS yang telah disertai. Ini berlainan dengan PTK dimana penyertaan PTK terbatal jika wang caruman ansuran tidak dijelaskan mengikut batas waktu yang dibenarkan.

Satu perbezaan ketara dalam kendalian Takaful Malaysia, TDS skim ulangan dengan polisi insurans berkaitan pelaburan konvensional, ‘peruntukan premium (premium allocation)’ tidak dikenakan sebagaimana yang diamalkan di bawah insurans konvensional. Tujuan peruntukan preimum ini adalah untuk menampong belanja pengurusan syarikat yang termasuk komisyen kepada agen berasaskan hujah polisi insurans sedemikian perlu diselengarakan kerana premium ulangan masih dibayar dan dengan itu belanja pengurusan wajar diambil daripada peruntukan ini. Umumnya peruntukan premium oleh insurans konvensional adalah dalam lingkungan 40% sehingga 100% premium ulangan tahun pertama. Oleh kerana premium telah diperuntukan untuk tujuan ini, pemegang polisi yang ‘menjual kembali’ atau menyerahkan polisinya tidak akan memperolehi apa-apa pengembalian wang peremium jika kadar peruntukan premium 100%. Di bawah TDS yang dicajkan hanya 5% daripada wang caruman tahun pertama untuk kedua-dua skim caruman sekaligus atau ulangan sebagai komisyen di bawah prinsip al Wakalah.

Sesungguhnya keistimewaan TDS boleh dilihat pada manfaat takaful yang disediakan. Sama ada mati kerana sakit atau kecelakaan, diserang salah satu 36 jenis penyakit berat (kritikal) atau hilangupaya seluruh anggota badan, peserta TDS atau ahli warisnya akan memperolehi manfaat berupa pampasan. Amaun manfaanya bersamaan 150% NAB bagi skim caruman sekaligus dan 75 kali wang caruman bulanan bagi skim caruman ulangan. Sebagai tambahan perolehan ini, disediakan juga manfaat sampingan yang dibayar kepada ahli waris peserta TDS dalam bentuk belanja pengkebumian jika ditakdirkan peserta berkenaan meninggal dunia.

Sesuai dengan konsep pelabur sebagai pemilik harta mengambilalih risiko pelaburan, TDS membuka ruang bagi memberi peluang peserta sendiri menentukan strategi dan halatuju pelaburannya. Bagi maksud ini, untuk peringkat permulaan TDS menawarkan dua tabung atau potfolio pelabaru. Jika peserta memilih Tabung Istiqrar pelaburannya berasaskan strategi selamat. Secara relatif jangkaan pulangan agak konservatif. Sementara Tabung Ittizan bertujuan mengimbangi pelaburan selamat dengan yang dikira berisiko. Jangkaan pulangannya diangarkan lebih tinggi sedikit berbanding di bawah Tabung Istiqrar. Tabung-tabung baru untuk memberi pilihan yang lebih luas kepada peserta akan diperkenalkan dari masa ke semasa.

Barangkali masanya amat kena produk berkaitan pelaburan seperti TDS diperkenalkan memandangkan sebahagian besara bidang pelaburan produk sebegini akan tertumpu kepada pasaran saham. Meskipun kini amat sulit ditentukan perkembangan dan keadaan pasaran saham, penganalisis umumnya berpendapat kejatuhan pasaran saham yang berlaku sekarang dikira tidak setimpal dengan asas-asas ekonomi yang kelihatan bertambah cerah dengan prestasi dan hasil korporat yang semakin meningkat. Penganalisis selanjutnya berhujah sukar menjangka indeksnya terus merudum memandangkan angkanya kini sama dengan indeks pasaran saham 10 tahun dulu. Walaupun perang keatas Iraq, jika berlaku, diramalkan boleh memuramkan lagi iklim pasaran saham, untuk jangkapanjang ia masih baik. Apatah lagi TDS adalah produk tabungan jangkapanjang. Seandainya ramalan penganalisis ini boleh diterima, barangkali ini masa terbaik perancangan kewangan seseorang dipelbagaikan melalui penyertaan TDS.

Sesungguhnya TDS produk takaful berkaitan pelaburan pertama berasaskan Syariah. Walaupun sudah ada produk seumpama ini, dikenali dengan istilah ‘investment-linked’ yang disediakan oleh insurans konvensional, menggunakan pula jenama Arab bagi memaklumkan pelaburan premiumnya adalah dalam bidang dan saluran yang dibenarkan oleh Syariah, tetapi asas kontraknya bukanlah berdasarkan amalan takaful. Adalah jelas TDS bukan sahaja meluaskan kaedah tabungan dan pelaburan bagi memenuhi kepelbagaian perancangan kewangan individu, serentak itu ia menyumbang ke arah melahirkan individu yang bijak, mahir dan semestinya berpengetahuan dalam disiplin pelaburan.

Leave a Reply

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh