Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Malaysia Perlukan Jose Maurinho

Salah satu di antara topik ‘hangit’ yang dibincangkan dalam sesi diskusi kedai mamak selepas solat teraweh malam tadi adalah berkaitan pembangunan dan bolasepak Malaysia. Ahli panel diskusi seramai 5 orang tersebut begitu bersemangat melontarkan idea dan pandangan masing-masing mengenai cara dan kaedah terbaik untuk membina kejayaan pasukan bola sepak Malaysia yang pada pandangan mereka sudah sampai masanya untuk berubah ke arah kejayaan.

Salah seorang ahli panel yang mempunyai pengalaman bermain bolasepak di zaman sekolah rendah dahulu dan pernah menjaringkan dua gol sepanjang karier bolasepaknya begitu bersemangat sekali mencadangkan supaya struktur kejohanan dan liga Malaysia di kembalikan semula kepada zaman awal 80-an dahulu yang mana pada pandangannya lebih meriah dan berjaya menarik minat ramai penonton.

maurinho

maurinho

Panel kedua lebih fokus kepada sistem pengurusan badan yang mengawalselia pembangunan bolasepak negara. Katanya badang yang diberi tanggungjawab perlu lebih fokus kosisten dengan setiap perancangan. Beliau merujuk kepada beberapa perubahan yang tidak konsisten dalam sistem yang menyebabkan dia sendiri sekarang ini keliru dengan liga-liga yang ada dalam negara ini.

Diskusi menjadi semakin rancak dan tanpa disedari setiap ahli panel sudahpun menghabiskan 5 gelas minuman pelbagai perisa, dari teh o ais sehinggalah kopi jantan, juga roti telur, roti bom dan capati juga menjadi hidangan yang menyebabkan mamak tersenyum manis.

Panel ketiga yang sekarang ini masih lagi aktif bermain bola di pesta sukan peringkat komuniti pula berpendapat sudah tiba masanya malaysia menggunakan semula khidmat pemain import, katanya lagi ‘apa barang’ nak pergi ke peringkat antarabangsa sedangkan tidak pernah terdedah dengan corak permainan pemain luar negara.

Individu tertentu yang mempunyai corak pemikiran kreatif dan business minded diperlukan untuk merancakkan mutu bolasepak negara ini, demikian pula saranan daripada panel ke empat, bekas pemain handalan rumah biru di pesta sukan pejabatnya, seorang pemain pertahanan yang biasanya hanya mampu bertahan di atas padang (sekolah rendah) selama 15 minit sebelum minta dikeluarkan.

Dia mengambil contoh bagaimana Tan Sri Annuar Musa berjaya mempopularkan pasukan bolasepak kelantan dan mewujudkan pelbagai ruang dan peluang perniagaan melalui aktiviti bolasepak pasukan red warrior tersebut.

Panel kelima pula mencadangkan supaya malaysia mengambil khidmat pengurus dan ketua jurulatih yang cukup popular pada masa ini iaitu Jose Maurinho untuk membimbing pasukan malaysia di persada antarabangsa.

Beliau begitu optimis tidak mutahil semua itu boleh berlaku di ‘bolehland’ ini, lagipun sudah banyak perkara yang sebelum ini dianggap mustahil dan tidak logik berlaku juga di negara ini.

Beliau yakin ‘The Special One’ atau nama penuhnya José Mário dos Santos Félix Mourinho mampu mengubah prestasi pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

kebetulan panel kelima tersebut merupakan seorang yang agak cekap dan berpengalaman dalam bidang kejurulatihan ini dan sering menjadi jurulatih kelab tersohor dalam beberapa siri permainan komputer seperti Championship Manager, Football Manager dan sebagainya.

Beliau melihat faktor pengurus dan jurulatih sebenarnya yang mampu mencari bakat-bakat terpendam di kampung-kampung di luar bandar. Lagipun katanya Malaysia mempunyai 27 juta rakyat, pastinya ramai sebenarnya yang boleh bermain bola, cuma tidak diketemui sahaja.

Setelah lebih kurang 5 jam berdiskusi, barisan panel tidak sedar bahawa mereka sudah menghabiskan masa selama 5 jam untuk membincangkan isu pembangunan bolasepak negara yang masih lagi perlu dimajukan.

Kesemua panel diskusi secara dasarnya bersetuju supaya sesuatu perlu dilakukan untuk membangunkan bolasepak negara secara komprehensif.

Sesi diskusi seterusnya terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian berikutan terdapatnya panggilan dari anak dan isteri masing-masing.

Artikel sukan badminton:
Pengenalan badminton dan cara bermain sukan ini

Leave a Reply