Lebihan Takaful Kemortalan Bukan Hak Pengendali

Sebuah syarikat insurans nyawa boleh mengaut keuntungan daripada kadar atau nisbah jangkaan kematian para pemegang polisinya.

Jika bilangan kematian pemegang polisi dijangka kecil berbanding asas yang diunjurkan bagi tahun kewangan tertentu perniagaan insurans nyawa bagi tahun terbabit dikatakan ada lebihan yang langsung boleh diambil sebagai keuntungan syarikatnya.

Keuntungan ini diperolehi berdasarkan unjuran terhadap kumpulanwang insurans nyawa yang mengumpul mengikut prinsip daripada seberapa ramai yang mungkin guna membantu bilangan kecil yang malang.

Secara konsep, operasi insurans nyawa berteraskan strategi memaksimakan bilangan pemegang polisi dan menggantinya seminima mungkin mereka yang dijangka ditimpa musibah. Unjuran ini hendak berpandukan asas dan prinsip aktuari khusus sebagaimana yang ditetapkan dalam peraturan undang-undang.

takaful fund
takaful fund

Berasaskan doktrin”bilangan yang besar” dijangka pada kebiasaannya baki kumpulanwang insurans berkenaan lebih daripada mencukupi untuk menanggung bayaran tuntutan sebagai gantirugi atau manfaat pampasan sebilangan kecil yang malang.

Kaedah yang digunapakai dalam menentu dan menghitung sama ada jumlah tuntutan yang dijanjikan itu mencukupi atau sebaliknya bergantung unjuran yang berpandukan asas-asas yang ditetapkan itu.

Mengikut peraturan undang-undang unjuran yang dibuat mestilah diasaskan kepada perangkaan tertentu yang telah diolah menggunakan formula aktuari.

Oleh kerana tanggungan kewangan kumpulanwang insurans nyawa berkait rapat dengan kematian dan kecacatan anggota badan pemegang polisi atau dengan kata lain berkait rapat dengan nyawa atau hayat manusia maka perangkaan paling sesuai yang menjadi asas adalah kadar kematian yang dipanggil jadual kemortalan (mortality table).

Dalam konteks ini jadual kemortalan yang relevan adalah angka-angka sebenar kadar kematian atau kecacatan anggota badan pemegang-pemegang polisi terdahulu. Oleh itu bilangan atau jangkaan kematian pemegang polisi akan memberi impak besar kepada kedudukan keseluruhan kumpulanwang insurans berkenaan.

Atas hakikat ini, jadual kemortalan menggambarkan data dan perangkaan kematian sebenar, biasanya dalam suatu tempoh lima tahun, yang mencerminkan pengalaman kadar tuntutan pemegang polisi syarikat-syarikat insurans nyawa dalam sesebuah negara.

Bilangan pemegang polisi yang membuat tuntutan kerana kematian atau kecacatan anggota badan secara kasar akan direkod, dikategori mengikut sebab kematian dan kecacatan serta disisih mengikut peringkat umur.

Perangkaannya pula dihitung pada kadar setiap seribu orang untuk setiap peringkat umur. Bagi mana-mana negara yang tidak mempunyai data dan perangkaan sebegini, biasanya pihakberkuasa di negara berkenaan akan menggunakan jadual kemortalan yang digunapakai oleh negara-negara yang mempunyai industri insurans nyawa yang sudah mantap.

Malaysia umpamanya sejak 10 tahun lalu mempunyai jadual kemortalannya sendiri yang dipanggil ‘DGI Mortality Table’ sebagaimana yang dibenarkan mengikut undang-undang.

Secara terperinci, jadual kemortalan ini menyenaraikan nisbah kematian yang diunjurkan bagi setiap seribu pemegang polisi mengikut setiap peringkat umur.

Daripada pengalaman tuntutan dan nisbah yang dikira, perangkaan seluruh industri insurans nyawa ini akan dikumpulkan dalam satu laporan yang dipanggil jadual kemortalan bagi tempoh lima tahun.

Jadual ini boleh berubah unjurannya selepas sekurang-kurangnya 20 tahun berpandukan data dan perangkaan terbaru yang dapat dikumpul untuk proses mengemaskini data. Secara umum jadual kemortalan semakin ‘ringan’ dengan kadar hayat secara keseluruhannya semakin panjang.

Daripada jadual kemortalan ini kadar premium insurans nyawa ditentukan. Namun kerana insurans nyawa itu berasaskan jual beli maka dalam menentukan kadar premium sebagai harga yang dikenakan kepada pemegang polisi beberapa komponen lain seperti belanja pengurusan, kos pemasaran dan jualan termasuk kadar komisyen yang akan dibayar kepada agen akan turut ditokok, disamping unjuran kemortalan sebagai asas harga.

Kos tambahan ini pada keseluruhannya diistilahkan sebagai ‘premium syarikat (office premium)’. Selain itu, premium sebagai harga yang kena dibayar oleh pemegang polisi selaku pembeli akan bertambah mengikut jenis polisi insurans nyawa.

Sebagai contoh, biasanya jenis polisi beserta keuntungan mengenakan kadar premium lebih tinggi daripada jenis polisi tanpa keuntungan; seolah-olah keuntungan yang dijamin apabila polisi itu matang telahpun berbayar dalam perkiraan premium itu sendiri.

Polisi beserta keuntungan secara kasar bermaksud pemegang polisinya akan memperolehi wang yang diinsuranskan beserta keuntungan yang telah dijamin sebaik polisi berkenaan genap tempoh dan pemegang polisinya masih hidup.

Dalam proses memastikan bahawa kumpulanwang insurans nyawa mempunyai unjuran aset yang mencukupi berbanding unjuran tanggungan yang sama seperti yang dikehendaki undang-undang, kumpulanwang insurans ini akan tertakluk kepada penilaian setiap akhir tahun kewangan syarikat insurans berkenaan oleh seorang ahli aktuari yang bertauliah.

Peraturan ini sesungguhnya wajar memandangkan aktuari yang bertanggungjawab menentu dan mengesahkan bahawa unjuran yang digunakan dalam perkiraan kadar premium itu munasabah berasaskan prinsip-prinsip yang kukuh.

Seandainya hasil penilaian oleh aktuari bertauliah menunjukkan unjuran aset yang akan diperolehi kumpulanwang berkenaan melebihi unjuran tanggungan atau liabiliti dijangka kena dibayar maka kumpulanwang ini dikatakan mempunyai lebihan yang diisytiharkan sebagai ‘lebihan kemortalan’ atau ‘lebihan aktuarial’. Undang-undang insurans membenarkan lebihan ini diambil menjadi hak syarikat insurans nyawa berkenaan.

Misalnya, di bawah Akta Insurans 1986 lebihan aktuarial jenis-jenis polisi insurans nyawa tanpa keuntungan boleh diambil keseluruhannya sebagai hak syarikat insurans nyawa, manakala jenis-jenis polisi insurans nyawa beserta keuntungan pula, perpindahannya sebagai untung syarikat tertakluk kepada peraturan tertentu seperti saiz kumpulanwang insurans nyawa itu sendiri dan kadar yang boleh dipindahkan juga ditentukan.

Dalam takaful, ciri yang sama boleh dilihat di bawah operasi takaful keluarga. Secara dasar seumpama polisi insurans nyawa, produk-produk takaful jangkapanjang mempunyai dua matlamat utama; iaitu menyediakan bantuan kewangan seumpama manfaat khairat kebajikan kematian sebagai hak berlindungan dan tabungan untuk persaraan hari tua sebagai hak beruntung.

Namun bezanya wang caruman takaful yang dibayar peserta tidak sama dengan premium kerana wang caruman bukan harga membeli produk.

Oleh itu ia tidak mengikut perkiraan jadual kemortalan. Sebaliknya amaun wang caruman takaful sebagai tabungan adalah mengikut kemampuan kewangan peserta itu sendiri dimana sebahagian kecil akan diambil untuk keperluan hak berlindung.

Wang caruman ini dimasukkan ke dalam kumpulanwang takaful keluarga yang dipecahkan kepada Akaun Peserta (AP) dan Akaun Khas Peserta (AKP). Untuk produk jangkapanjang melalui Pelan Takaful Keluarga Dengan Tempoh Matang hak berlindung adalah fungsi AKP. Seandainya peserta meninggal lebih awal sebelum cukup tempoh Pelan Takaful matang, perolehan hak berlindung ini akan dibayar daripada AKP.

Bagi menyempurnakan matlamat hak berlindung, operasi takaful keluarga juga memerlukan unjuran tertentu mengikut asas dan prinsip aktuari seperti insurans nyawa. Dalam konteks ini, jadual kemortalan yang sama turut dipakai mengikut prinsip ‘uruf atau amalan umum yang diharuskan Syariah.

Bezanya, yang tertakluk kepada jadual kemortalan adalah kadar yang diguna untuk mengambil sebahagian kecil wang caruman itu bagi memenuhi matlamat hak berlindung oleh AKP.

Selaras peraturan Syariah, secara praktiknya pemindahan sebahagian kecil wang caruman ini ke dalam AKP, dibuat secara tabarru’ (derma) oleh semua peserta seperti dalam akad. Bahagian tabarru’ ini termasuk juga apa-apa perolehan daripada pulangan pelaburan AKP.

Sesuai dengan jadual kemortalan sebagai asas, kadar tabarru’ mestilah disahkan oleh aktuari bertauliah mengikut undang-undang sebagaimana yang ditentukan dalam Akta Takaful 1984 setelah diperakukan pula oleh Majlis Pengawasan Syariah.

Sebagai contoh, seandainya kadar kemortalan untuk peringkat umur tertentu mengunjurkan empat dari setiap seribu peserta dijangka meninggal dunia pada setiap tahun maka aktuari akan menentukan kadar tabarru’ mengikut umur peserta berkaitan.

Memandangkan kadar kemortalan boleh dikatakan sama bagi peringkat umur tertentu dan yang terdekat maka bagi memudahkan pentadbiran penentuan kadar tabarru’ dilonggok secara kumpulan umur. Umpamanya untuk kumpulan umur 18 tahun sehingga 30 tahun satu kadar tabarru’ dan begitulah seterusnya.

Selain jangkaan kemortalan unjuran ini turut mengambilkira jangkaan pulangan untung pelaburan wang caruman kerana dalam operasi takaful wang caruman baik dalam AP atau AKP tidak disimpan beku; sebaliknya dilabur dalam pelbagai bidang.

Oleh kerana di bawah operasi takaful am, kadar tabarru’ ini tidak ditokok dengan kos-kos pengurusan seperti istilah premium syarikat dalam amalan insurans nyawa maka kadar tabarru’ secara relatif jauh lebih kecil. Sebenarnya unjuran kemortalan sahaja adalah rendah.

Oleh kerana AKP yang akan menanggung jangkaan kemortalan sama ada kematian atau kecacatan tubuh badan peserta, mengikut undang-undang AKP adalah tertakluk kepada penilaian aktuari.

Sama seperti penilaian kumpulanwang insurans nyawa, penilaian AKP secara prinsipnya membabitkan perkiraan jangkaan wang caruman yang akan diterima sepanjang tempoh penyertaan peserta-peserta yang ada yang diiktiraf sebagai aset AKP.

Jumlah aset yang diunjur ini akan ditolak unjuran liabiliti AKP iaitu jangkaan kematian peserta-peserta yang sama berasaskan jadual kemortalan yang dirujuk ketika kadar tabarru’ dihitung bagi setiap peserta yang sama.

Selain itu jangkaan aset AKP juga sudah meliputi unjuran untung atau kadar pulangan pelaburan yang akan diterima sepanjang tempoh penilaian yang dibuat keatas aset yang sama.

Secara kasar perkiraan ini membabitkan faktor-faktor diskaun iaitu menentukan jumlah unjuran aset yang akan diterima pada masa depan sepanjang tempoh Pelan Takaful yang disertai oleh pelbagai peserta sehingga matang kepada nilai semasa penilaian aktuari dibuat.

Begitu juga unjuran liabiliti yang sama berpandukan bilangan kematian atau kecacatan tubuh badan yang dijangka menimpa pelbagai peserta itu sehingga Pelan Takaful mereka genap tempoh kepada nilai semasa penilaian yang sama dibuat. Penilaian ini akan mencerminkan sama ada unjuran aset cukup untuk menanggung unjuran liabiliti berasaskan nilai semasa.

Mengikut kelaziman, makin lama operasi takaful keluarga berkuatkuasa, seperti Takaful Malaysia ramai pula bilangan peserta, jangkaan aset AKP setelah diskaun kepada nilai semasa turut besar dan akan melebihi jangkaan liabiliti mengikut tempoh yang sama sekiranya tiada apa-apa perubahan drastik berlaku dalam pasaran.

Kemungkinan ini dapat diandaikan wang caruman diterima besar kerana bilangan peserta ramai yang secara relatif akan menjana pulangan pelaburan yang besar pula kerana baki kumpulannya turut besar. Sebaliknya bilangan kematian sebenar kecil berbanding jangkaan kerana faktor jumlah peserta yang ramai itu.

Sebagai contoh, jika bilangan sebenar kematian hanya satu atau dua peserta sahaja setiap seribu, sedangkan kadar tabarru’ berasaskan unjuran empat kematian setiap seribu dalam satu-satu tahun, sudah pasti penilaian aktuari akan menghasilkan lebihan. Apapun kerana ia unjuran, lebihan ini adalah kira-kira sahaja; bukan dalam ertikata lebihan wang tunai sebenarnya.

Banyak mana unjuran lebihan AKP adalah mengikut yang diistiharkan oleh aktuari. Tetapi berlawanan dengan amalan insurans nyawa, lebihan aktuarial AKP ini tidak boleh diambil untuk menjadi hasil dan seterusnya untung pengendali.

Lebihan ini bukan mutlak, ia hanya dalam kira-kira sahaja yang tidak boleh diterjemahkan kepada untung secara tunai kerana pada hakikatnya ia berupa jangkaan semata-mata berasaskan andaian tertentu.

Selain itu, tiada apa-apa untung mutlak yang boleh diperakukan kerana semasa penilaian dibuat setiap tahun itu semua peserta masih belum cukup tempoh matang.

Oleh itu mengikut prinsip al-Mudharabah tiada apa keuntungan nyata dan sebenar boleh dikongsi dan diagihkan.

Tambahan pula mengikut Syariah, pengendali sebagai pengusaha dan pemegang amanah AKP tidak boleh mengambil untung atas hakikat peserta meninggal atau tidak meninggal kerana mengambil untung daripada perbuatan sebegini adalah seperti bergantung kepada nasib.

AKP adalah wang tabarru’ semua peserta; Syariah melarang lebihannya dijadikan hak pengendali disamping fakta kontrak peserta masih belum tamat. Untung berasaskan nasib dikatakan seumpama judi, meskipun insurans secara umum bukanlah perjudian. Yang demikian pengendali tidak boleh mengambil lebihan ini berdasarkan prinsip al-Mudharabah.

Bahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Syariah Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan Bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) yang berlangsung awal tahun lalu di Bahrain, iaitu yang mewakili Lembaga Pengawasan Syariah AAOIFI mengambil keputusan lebihan aktuarial takaful tidak boleh diambil sebagai hasil dan keuntungan pengendali.

Sebaliknya ia hendaklah diagihkan kepada peserta sebaik tempoh penyertaan takaful mereka matang. Malahan ada pandangan sebahagian ahli fiqh yang lebih cenderung supaya lebihan ini diagihkan kepada pihak ketiga atau yang tiada kaitan dengan pengendali dan peserta.

Apapun mesyuarat Jawatankuasa yang sama memutuskan agihan lebihan ini hendaklah ditentukan dan diputuskan oleh Majlis Pengawasan Syariah (MPS) pengendali masing-masing, tetapi sekali-kali tidak membenarkan dipindah ke dalam Kumpulanwang Pemegang Saham sebagai hak pengendali.

Mengikut amalan Takaful Malaysia, seperti yang disepakati MPS, apa-apa lebihan ini hanya boleh diagihkan kepada peserta yang tamat tempohnya; kerana lebihan sebenar sememangnya ada dalam AKP sebaik peserta tamat tempoh penyertaan.

Dalam operasi kewangan Islam amat tegas bahawa hasil dan untung mestilah dari punca yang benar-benar halal. Oleh kerana operasi insurans konvensional tidak menepati kehendak syarak maka mustahak bagi pengendali takaful yang menyediakan khidmat insurans secara Islam memastikan ciri, kaedah dan punca hasil serta keuntungan yang diperolehinya mestilah benar-benar diharuskan syarak.

Sekalipun aspek-aspek teknikal tertentu operasi takaful kelihatan selari dengan insurans konvensional, ia tidak serupa kerana prinsip yang berbeza. Yang demikian ia tidak boleh mengharuskan lebihan aktuarial sebagai hasil dan untung pengendlai kerana prinsipnya bercanggah peraturan Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *