Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Lebihan Tabarru’ Termasuk Untung Takaful Keluarga

Seperti perniagaan insurans nyawa, takrif untung takaful keluarga bagi produk dengan tempoh penyertaan jangkapanjang di bawah sektor individu adalah pulangan keatas pelaburan wang caruman semua peserta yang terkumpul dalam dana atau kumpulan wang takaful keluarga. Namun satu kelebihan takaful keluarga, mengikut amalan Takaful Malaysia, apa-apa pulangan pelaburan yang dikira untung di bawah kontrak al Mudharabah yang berupa asas operasi takaful tidak diambil untuk membayar kos pengurusan pengendali. Ertinya belanja operasi seperti gaji, sewa pejabat, kos cetak mencetak, bil telefon, elektrik dan yang seumpamanya tidak dicajkan keatas untung pelaburan tersebut. Dengan kata lain, istilah untung adalah untung kasar keseluruhan yang diperolehi hasil daripada pelbagai bidang pelaburan kumpulan wang takaful keluarga. Apapun tunggak pelaburan semestinya yang diharuskan Syariah.

takaful keluarga

takaful keluarga

Sesuai pula dengan dasar kewangan berasaskan perakaunan tunai apa yang diambilkira hanya untung sebenar yang diterima dan diperolehi dalam buku kira-kira Takaful Malaysia. Meskipun dasar kewangan bukanlah satu isu Syariah, tetapi asas perakaunan tunai lebih menepati kontrak al Mudharabah yang membawa maksud berkongsi untung. Sudah pasti jika asas perakaunan akrual digunapakai pelaksanaan kontrak al Mudharabah tidak selaras kerana di bawah amalan akrual, sesuatu perolehan itu akan terus diambilkira sebagai pendapatan sekalipun perolehan sebenar atau bayaran belum diterima. Adalah lebih tepat sekiranya perkongsian untung dilaksanakan berasaskan benar-benar perolehan itu telah diterima. Ini menjadikannya lebih adil; berkongsi apa yang ada.

Kaedah perkongsian untung pula adalah mengikut nisbah yang telah dipersetujui semasa seseorang peserta menandatangani Borang Cadangan dan Akuan (BCA) sebagai perakuannya menyertai produk takaful. Pada masa ini Takaful Malaysia menetapkan nisbahnya 70:30 yakni 70% untung untuk bahagian peserta manakala baki 30% adalah menjadi hak pengendali yang dipindahkan ke akaun untung rugi kumpulanwang pemegang saham. Komponen untung 70% untuk peserta itu dipisahkan pula diantara bahagian tabungan peserta yang direkod dalam akaun berasingan daripada bahagian tabarru’ yang diuruskan dalam satu akaun khusus seperti dana khairat kematian. Jika pecahan tabungan peserta 95% dan baki 5% kepada bahagian tabarru’ maka daripada untung 70% kepada bahagian peserta itu dibahagi 95:5 mengikut pecahan berkaitan. Ini menunjukkan sebahagian kecil untung peserta turut disumbangkan kepada dana khairat yang dibuat secara tabarru’. Dalam konteks ini sesuai dengan semangat saling jamin menjamin dalam konsep takaful, peserta bukan sahaja berikhtiar untuk membantu dirinya dan ahli keluarganya jika ditakdirkan sesuatu musibah menimpa dirinya tetapi diwaktu yang sama juga berpeluang berbakti melalui amalan tabarru’ atau derma khusus untuk membantu rakan peserta yang tidak dikenalinya yang ditimpa musibah. Sesungguhnya amalan tolong menolong ini amat dituntut oleh Islam.

Oleh kerana produk takaful sektor individu berupa Pelan Takaful Keluarga Jangkapanjang yang menjangkau tempoh penyertaan antara 10 sehingga 40 tahun, bahagian untung tidak dibayarkan secara tunai kepada peserta sebaik atau setiap kali untung diisytiharkan sekalipun untung tersebut menjadi haknya. Sebaliknya sebagai satu dasar pentadbiran Takaful Malaysia pada masa ini hanya mengkreditkan untung tersebut ke dalam bahagian tabungan setiap peserta secara tahunan, selepas 30 Jun setiap tahun, iaitu sesudah akaun ditutup pada tarikh akhir tahun kewangan. Perkiraan kadar untung seperti pada 30 Jun merupakan kadar untung setahun dan amaun untung mengikut kadar untung tersebut akan dimasukkan ke dalam bahagian tabungan peserta. Pada bila-bila masa peserta boleh mengetahui baki bahagian tabungannya iaitu jumlah keseluruhan wang caruman yang telah dibayar, termasuk bahagian yang telah ditabarru’ dan amaun keuntungan yang diperolehinya. Dengan yang demikian tabungan peserta akan meningkat dari setahun ke setahun hasil daripada wang caruman yang dibayar pada setiap masa dan juga untung pelaburan keatasnya. Penyata yang membutirkan bayaran serta bahagian untung peserta dikeluarkan setiap tahun.

Sekiranya peserta tidak dapat meneruskan Pelan Takaful Keluarga sebelum genap tempoh maka apa-apa baki yang terkumpul dalam bahagian tabungannya adalah menjadi haknya dan dikembalikan keseluruhan kepadanya. Dalam konteks ini tidak timbul istilah penyertaan Pelan Takaful Keluarga belum sampai tahap nilai serahan yang mana tiada apa-apa wang dikembalikan jika pembatalan dilakukan sebelum sampai tahap ini. Kaedah seumpama tiada dalam istilah operasi takaful. Malahan yang sentiasa menjadi asas utama ialah kontrak al Mudharabah. Di bawah kontrak ini jika pihak yang berkontrak tidak dapat meneruskan komitmen masing-masing maka wang modal hendaklah dikembalikan kepada pihak yang menyumbangnya. Oleh itu peserta takaful keluarga tidak akan hilang wang caruman jika dia terpaksa membatalkan penyertaannya bila-bila masa. Wang carumannya beserta untung pelaburan sehingga ke tarikh pembatalan akan dikembalikan kepadanya. Inilah dikatakan operasi yang telus, saksama dan adil kepada pihak-pihak yang berkontrak. Tiada pihak yang akan merasa terkilan atas sebab kontrak yang berat sebelah sehingga merugikan satu pihak sahaja.

Sebaliknya sesuai dengan erti tabarru’ atau derma bahagian ini tidak dikembalikan kepada peserta jika penyertaan produk takaful keluarga ini dibatalkan sebelum cukup tempohnya. Apapun ini tidak pula bererti wang tabarru’ beserta untung pelaburan menjadi hak pengendali. Sebaliknya ia kekal dan tetap menjadi sebahagian daripada kumpulanwang takaful keluarga. Bagi menentukan samada bahagian tabarru’ ini benar-benar mencukupi dan mampu menanggung jangkaan liabiliti iaitu jangkaan kematian peserta maka bahagian ini akan dibuat penilaian statutori setiap tahun mengikut undang-undang berdasarkan prinsip aktuari.

Secara am kadar tabarru’ dikira berpandukan jadual kemortalan iaitu statistik yang dikumpul daripada pengalaman pemegang polisi insurans nyawa, lazimnya bagi suatu tempoh lima tahun. Melalui perkiraan yang halus dan terperinci data boleh dikumpul yang menghasilkan butiran sebenar kadar kematian setiap 1,000 orang pemegang polisi berkenaan mengikut setiap umur. Daripada butiran ini pakar aktuari akan menetapkan kadar tabarru’ yang bertujuan untuk menampung jangkaan kematian peserta takaful. Dalam konteks ini tabarru’ yang dikira itu adalah khusus untuk memastikan manfaat takaful mengikut jangkaan kematian peserta, dapat dibayar dengan secukupnya daripada bahagian tabarru’. Wang tabarru’ ini tidak sekali-kali boleh digunakan untuk menampung atau membiayai belanja lain seperti membayar upah, gaji, sewa atau yang sama dengannya tanpa diberi izin oleh peserta.

Daripada penilaian tahunan ke atas bahagian tabarru’ oleh aktuari akan dapat diketahui samada wang atau aset yang terkumpul didalamnya mencukupi untuk membayar manfaat yang diunjurkan berlaku pada masa akan datang. Dengan kaedah mengira jangkaan pertambahan aset melalui wang caruman yang akan terus diterima beserta pulangan pelaburan keatasnya dan menolaknya pula daripada jangkaan tuntutan atau unjuran liabiliti kematian peserta berpandukan jadual kemortalan yang digunakan, aktuari akan dapat mengira samada aset bahagian tabarru’ itu mempunyai lebihan atau defisit. Jika jangkaan aset melebihi unjuran kematian maka bahagian tabarru’ dikatakan mencatat lebihan penilaian. Lebihan ini akan diagihkan kepada peserta kerana ia merupakan lebihan wang tabarru’ yang timbul disebabkan jumlah kematian sebenar peserta kurang berbanding jangkaan yang dibuat. Lebihan juga disumbang daripada pulangan pelaburan bahagian tabarru’ itu sendiri. Mengikut Syariah, lebihan ini tidak boleh diambil sebagai perolehan atau pendapatan pengendali kerana pengendali tidak boleh mengaut untung berdasarkan kurang atau ramainya peserta yang meninggal.

Sehubungan ini aktuari akan memperakukan kadar untung daripada lebihan penilaian bahagian tabarru’ untuk diagihkan kepada peserta-peserta yang cukup tempoh penyertaannya sahaja. Yang demikian untung takaful keluarga kepada peserta adalah pulangan pelaburan wang caruman dan lebihan kemortalan hasil penilaian aktuari.

Artikel berkaitan:
Kaedah berkongsi untung takaful keluarga

Leave a Reply