Kisah Raya – Lubuk Paku

Sekarang baru saya ada masa dan kesempatan nak update kisah sehari sebelum raya hari tu. Selepas habis shooting bakar lemang pada sebelah pagi, kira-kira jam 12.00 tengahari dapat mesej dari sparing partner. Dia kata dia dah sampai Maran.

Sebenarnya inilah merupakan kali pertama bagi kami berjumpa di kampung sendiri. Sebelum ni memasing tak pernah berjumpa, melainkan di Kuala Lumpur. Tahun ni rasa lebih meriah sikit sebab ada geng nak menembak.

Kalau dah kaki menembak, pantang bakar sikit terus jadi jer hahaha. Setelah dipikirin, lokasi sesuai adalah di Lubuk Paku Sungai Pahang. Sebenarnya saya sudah lama tidak pergi ke sana, kalau nak diikutkan ramai jer sedara dari simpang mula masuk ke Lubuk Paku sampai ke Kg Serengkam.(kawasan pendalaman).

Pendek kata kalau pergi beraya dari pagi sampai maghrib belum tentu sampai Kg Lubuk Paku sebab di antara perjalanan ke sana ada kampung-kampung lain seperti Belembung, Senggora, Bukit Batu, Kampung Bongkok dan selepas tu barulah Lubuk Paku. Selepas Lubuk Paku ada lagi Kampung Kuala Wau dan Serengkam kemudian keluar balik melalui Kampung Bak-Bak dan akan tembus ke Maran semula.

kedai moyang haji
Papan tanda kedai Moyang Haji Mohd Ali.Kedai ini dibuka pada tahun 1942 dan papan tanda dibuat pada tahun 1961

Bagi pengetahuan anda, Lubuk Paku pernah dikena banjir pada tahun 1971. Masa saya kecik dulu pernah tengok gambar banjir dan air pada masa tu naik sampai ke bumbung.

Lubuk Paku adalah kawasan yang terletak di atas tebing yang agak tinggi di Sungai Pahang. Jadi, boleh anda bayangkan banjir yang amat dasyat berlaku pada waktu tu. Sayang nya gambar tersebut tidak dapat dikesan dan tidak tahu dalam simpanan siapa, kalau tidak sudah tentu saya akan tunjuk buktinya.

Bila sampai di Lubuk Paku, kami bersholat Zohor terlebih dahulu di surau berdekatan. Selepas itu saya meninjau-ninjau kawasan rumah lama. Kalau tak silap saya, rumah tersebut seperti ada penghuni. Saya berhenti buat seketika dan nasib kami cukup baik sebab memang ada sedara yang masih tinggal di situ. Selepas bagi salam saya menegur Uwan (sebenarnya dah patut dipanggil moyang).

barang lamaDiantara barang lama yang masih disimpan di rumah arwah Moyang Mohd Ali

Kami dijemput masuk ke dalam. Setelah bercerita serba sedikit sala-silah keluarga, barulah Uwan tersebut kenal saya anak siapa. Lubuk Paku adalah tempat kegemaran saya sejak dari kecil lagi. Kalau Arwah Tok Ki Hasyim ajak ke sana, saya mesti ikut disebabkan suka tengok Sungai Pahang dan juga kambing biri-biri yang dipelihara oleh Moyang Mat Ali.

lubuk paku 1Deretan rumah dan kedai lama di Lubuk Paku. Tanda merah paras banjir pada tahun 1971

Setelah setengah jam bersembang dengan uwan,kami terus ke tebing Sungai Pahang (lokasi sungai di hadapan kedai di atas). Keadaan paras air waktu itu biasa sahaja, tidak terlalu cetek dan tidak terlalu besar.

tebing lubuk pakuTepi tebing Kg Lubuk Paku Sungai Pahang

lubuk pakuLubuk Paku ( selekoh sungai biasanya dipanggil lubuk)

Lubuk Paku terkenal juga dengan ikan patin. Kalau lihat gambar di atas adalah tempat ternak ikan patin sangkar yang telah lama ditinggalkan. Saya tidak pasti apa sebab sangkar tersebut tidak diusahakan lagi.

Mengikut cerita moyang, jika Lubuk Paku terlalu sejuk pada malam hari tanda ikan Temelian atau Temoleh hendak belaga. Pada waktu tersebut adalah waktu terbaik untuk memburu ikan Temelian. Ikan Temelian bagi saya lebih sedap rasanya dari ikan patin.

Kali terakhir saya makan ikan Temelian pada tahun 1984 dan selepas itu hingga sekarang saya tidak lagi pernah merasa. Harga ikan Temelian mencecah 40-60 ringgit sekilo.

Sesiapa yang ingin merasa ikan tersebut boleh cari di sekitar Pekan Sehari Jerantut, Pasar Tani, Pasar Besar Jerantut, Kampung Pulau Mangsuk, Lada, Batu Embun, Jerantut Feri, Kuala Teh, Pekan Sehari Termerloh dan Pekan Sehari Maran Pahang. Kepada penggemar ikan sungai, ikan temelian mesti dicuba sekali seumur hidup.

Setelah beberapa keping gambar diambil, kami menuju ke Jeti Kg Kuala Wau untuk berehat sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa dari Sungai Pahang. Walaupun pada bulan puasa suasana macam ini boleh jadikan saya lupa segala lapar dan dahaga. Kami berehat agak lama di situ sambil mengambil beberapa keping gambar. Sebenarnya ada adegan lain yang sempat sahabat saya rakamkan.

Setelah penat bergambar kami pulang melalui jalan Kg Serengkam menuju ke Kampung Bak-Bak dan seterusnya pulang ke rumah. Bila sampai di rumah barulah tekak rasa seperti terbakar walaupun pada waktu itu jam menunjukan pukul 3.30 petang. Tuhan saja yang tahu betapa peritnya rasa tekak waktu tu. Itulah keadaan paling teruk saya rasakan sepanjang berpuasa tempohari.

Artikel berkaitan:
Tutorial Buat E-Card Raya Sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *