Web Analytics
untung takaful

Kaedah Berkongsi Untung Takaful Keluarga

Dari kacamata pengguna secara sekali imbas umumnya sukar dibezakan sistem kewangan Islam dengan sistem konvensional. Misalnya jika dilihat dari segi matlamat menyediakan manfaat kewangan apabila pengguna meninggal dunia atau hartabenda yang dilindungi ditimpa kecelakaan atau dilanda musibah, kelihatan seolah-olah tidak banyak perbezaan antara takaful dengan insurans konvensional.

Kedua-duanya akan membayar manfaat tuntutan. Barangkali atas hakikat ini ada orang menganggap tiada apa yang bercanggah dengan Syariah bila membeli polisi insurans nyawa kerana niat dan tujuannya semata-mata untuk menjaga kebajikan ahli keluarga jika sesuatu menimpa dirinya.

Pokoknya dalam Islam matlamat tidak semestinya menghalalkan cara. Berbeza dengan pakaian yang menutupi aurat sebagaimana yang dituntut oleh Islam, takaful atau mana-mana sistem kewangan Islam baik perbankan, pasaran modal mahupun ar-rahnu dan yang seumpamanya tidak dikenali hanya daripada simbol atau logo semata-mata.

Barangkali bandingan seperti ini hanyalah persepsi masyarakat sahaja yang secara sedar atau tidak mengaitkan sesuatu yang `Islamik’ itu dengan simbol lahiriah. Dalam banyak hal jika nama institusi berkenaan tidak membawa perkataan Arab mungkin ia dianggap bukan institusi berlandaskan Syariah.

untung takaful
untung takaful

Apapun benar kata pujangga baik buruk sesuatu itu tidak boleh lihat daripada kulit semata-mata. Dalam konteks ini, meskipun manfaat kewangan kelihatan serupa, tetapi sebenarnya takaful dan insurans konvensional kerana asas kontrak keduanya tidak sama.

Operasi takaful berasaskan kontrak al Mudharabah yang memberi hak berkongsi untung diantara peserta yang menyumbang wang dengan pengendali yang mengusahakan operasi tersebut.

Disamping itu dalam kontrak yang sama digabungkan pula keredhaan tabarru’ yang memberi peluang setiap peserta menderma untuk tujuan membantu rakan peserta lain mendapat perolehan manfaat sebagai pampasan atau gantirugi kerana ditimpa musibah.

Bila disebut derma maka ia adalah pemberian ikhlas tanpa hak mendapat balasan kepada pihak yang memberi. Sedangkan polisi insurans konvensional berasaskan kontrak jual beli, tetapi tidak menepati rukun jual beli sehingga menimbulkan unsur gharar dan maisir kerana jual beli mengikut Syariah mensyaratkan apa yang dikontrakkan mestilah jelas dan tiada perkara yang tersembunyi.

Kewujudan salah satu unsur ini dalam mana-mana kontrak perniagaan mengikut ulamak sudah cukup untuk merosakkan kontrak itu sendiri disisi syarak.

Atas dasar kontrak al Mudharabah yang menyedia hak berkongsi untung maka menjadi kewajipan dan tanggungjawab pengendali takaful berusaha dengan gigih bagi memastikan kendalian takaful yang dilaksanakan itu benar-benar memperolehi keuntungan.

Sekalipun keuntungan bukan sesuatu yang boleh dijamin mengikut Syariah, berusaha sedaya upaya bagi menunaikan apa yang dijanjikan dalam kontrak itu penting. Langkah ini akan memberi kredibiliti dan keyakinan terhadap operasi takaful itu sendiri.

Namun dalam mengejar keuntugan pengendali semestinya jangan sekali-kali mengabaikan sasaran penting operasi takaful iaitu mengumpul sejumlah dana untuk tujuan menyediakan perolehan manfaat sebagai pampasan atau bantuan kepada mana-mana peserta yang menanggung kerugian akibat ditimpa musibah.

Kadangkala dalam keghairahan mengejar keuntungan, tidak kira individu atau organisasi perniagaan, pendekatan yang berhati-hati tidak dipedulikan. Akhirnya objektif memperolehi untung itu sendiripun tidak terhasil.

Pengendali takaful haruslah berusaha untuk memastikan keadaan ini tidak berlaku kerana yang menjadi mangsa nanti bukan sahaja tuan punya pengendali itu sendiri iaitu pemegang sahamnya tetapi juga peserta takaful kerana keadaan sebegini akhirnya mengakibatkan kedua-dua pihak berkenaan tidak mendapat apa-apa perolehan.

Mengikut rukun mudharabah jika berlaku kerugian bukan atas kecuaian pengendali, kerugian tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh peserta atau pihak yang menyediakan modal. Apapun pengendali tetap terancam juga. Jika operasi menanggung rugi bererti tiada apa-apa untung yang boleh dikongsi.

Lebih ditakuti dengan ketiadaan untung, sasaran utama takaful menyediakan perolehan manfaat sebagai bayaran tuntutan mungkin juga turut terjejas. Oleh itu pengendali takaful harus bijak mengimbangi kedua-dua sasaran ini. Dalam takaful secara amnya dasar pelaburan harus mementingkan bidang yang selamat berbanding pulangan besar.

Kaedah pengiraan untung takaful keluarga yang akan dikongsi mengikut kontrak al Mudharabah diantara peserta dengan pengendali bukan sahaja berbeza dengan takaful am bahkan juga berbeza diantara produk-produk takaful keluarga. Produk ini Takaful keluarga boleh dibahagikan kepada dua sektor utama : individu dan berkelompok.

Secara am produk-produk di bawah sektor individu lebih berbentuk tabungan dan yang demikian tempoh penyertaan adalah untuk suatu jangka yang agak panjang seperti 10 tahun, 15 tahun sampailah 40 tahun. Sebaliknya produk-produk sektor berkelompok lebih mengutamakan manfaat perlindungan seperti produk takaful am. Tempoh penyertaannya pula rata-rata menjangkau setahun.

Atas hakikat jangkapanjang maka produk-produk sektor individu mudah disamakan dengan polisi insurans nyawa. Bezanya takaful tidak mengenakan premium sebagai balasan harga membeli polisi seperti insurans nyawa.

Sebaliknya peserta membayar caruman seumpama yuran untuk program tabungan mengikut kemampuan kewangan peserta itu sendiri. Caruman yang dibayar itu pula dibahagikan kepada bahagian tabungan dan tabarru’. Kedua-dua bahagian ini akan dilabur dan untung pelaburan adalah dikira untung atau perolehan takaful keluarga.

Takrif untung ini sama seperti keuntungan atau perolehan dalam perniagaan insurans nyawa kerana pendapatan perniagaan insurans nyawa juga adalah pulangan keatas pelaburan wang premium.

Namun demikian bagi Takaful Malaysia keuntungan atau pulangan pelaburan kasar ini adalah diambilkira sebagai keuntungan sebenar kerana tidak seperti insurans nyawa tiada kos operasi atau belanja pengurusan seperti gaji, sewa pejabat dan lain-lain belanja dicaj atau ditolak dari keuntungan atau pulangan tersebut.

Demikian pula belanja pemasaran seperti imbuhan kepada warga kerja yang menjalankan pemasaran produk-produk takaful seperti agen tidak diambil dari keuntungan atau pulangan yang sama. Sebaliknya semua belanja operasi atau pengurusan ditanggung sepenuhnya oleh kumpulanwang pemegang saham.

Ini selaras dengan hakikat bahawa warga kerja terbabit telah mengikat kontrak perkhidmatan dengan Takaful Malaysia sebagaimana yang digariskan dalam skim perkhidmatan.

Sesuai dengan kontrak al Mudharabah pulangan pelaburan sebenar ini akan dibahagi mengikut nisbah perkongsian samada 50:50, 60:40 atau 70:30 sebagaimana yang dipersetujui oleh peserta semasa permohonan dibuat dengan menandatangani Borang Cadangan dan Akuan (BCA) yang merupakan dokumen asas kontrak takaful.

Dalam BCA dinyatakan dengan jelas nisbah perkongsian ini. Bagi sektor individu, nisbah perkongsian Takaful Malaysia rata-rata adalah 70:30. Ini bererti sekiranya pulangan pelaburan sebenar RM1,000 maka RM700 adalah untuk peserta dan RM300 merupakan bahagian perkongsian untuk Takaful Malaysia. Bahagian untung peserta ini akan dicampurkan dengan amaun wang caruman asal sebagai modal pokok milik peserta.

Tetapi bahagian peserta RM700 ini tidak dibayar tunai kepada peserta; tetapi dikreditkan ke dalam akaun tabungannya. Namun sebahagian daripadanya, bergantung kepada peratusan yang telah ditentukan akan diambil untuk tabung tabarru’ kerana pulangan pelaburan tersebut juga merangkumi wang yang telah ditabarru’ oleh peserta. Keseluruhan wang yang terkumpul akan hanya dikembalikan kepada peserta apabila genap tempoh penyertaan dan peserta masih hidup.

Jumlahnya merangkumi semua wang caruman yang terkumpul dalam akaun tabungan beserta pulangan pelaburan hasil daripada perkongsian untung mengikut kontrak al Mudharabah.

Selain itu peserta sektor individu takaful keluarga ini juga berhak memperolehi lebihan daripada dana tabarru’ mengikut perkiraan yang berasaskan prinsip aktuari. Secara mudah lebihan dana tabarru’ dikira apabila perhitungan aset melebihi perhitungan tanggungan berdasarkan anggaran unjuran kemortalan yang menjadi asas kadar tabarru’.

Ciri ini tidak terdapat dalam insurans nyawa kerana apa-apa lebihan seumpama ini lazimnya dipindahkan kepada akaun syarikat dan tidak diagihkan kepada pemegang polisi yang membeli apa yang diistilahkan dalam industri insurans nyawa sebagai polisi tanpa untung.

Sekiranya peserta meninggal dunia dalam tempoh penyertaan pengiraan wang manfaat berbeza dengan pengiraan manfaat matang.

Baca juga: Kaedah Perancang Keluarga

Leave a Comment