Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan & Blogger

Ramai yang menghantar e-surat dan bertanya kepada saya, kenapa blog saya semakin sunyi dengan artikel-artikel baru. Minta maaf, saya bukannya merajuk atau sudah ketandusan idea untuk menulis. Bukan juga semakin malas menaip bait demi bait perkataan berpaksikan keindahan bahasa kebanggaan negara. Tidak.. saya masih lagi serius berjuang ke arah itu. Tetapi kekangan masa terlalu mencemburui diri untuk terus mencurah idea dan berkongsi pendapat dengan anda. Mungkin masa yang terbuang itu boleh saya anggap sebagai cuti-cuti Malaysia.

typing

Lupakan alasan mengapa saya tidak menulis selama ini. Bukan saya namanya kalau bersusah payah menulis artikel hanya kerana memberikan seribu satu alasan penyebab kegagalan menulis atau pun sekadar membuat pengumuman bahawa empunya badan sudah bersedia menulis kembali.

Apa yang ingin saya sentuh pada artikel kali ini ialah penubuhan jawatankuasa pelaksanaan bahasa kebangsaan yang bertujuan membetulkan masalah penyalahgunaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat, termasuklah penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio dan televisyen serta di papan tanda.

Membaca artikel mengenainya membuatkan saya terkedu, pelik bercampur sangsi! Bukan disebabkan oleh rancangan penubuhan jawatankuasa ini yang pada saya amat perlu, tetapi disebabkan oleh kelewatannya. Kenapa baru sekarang mereka yang berkenaan seperti terjaga daripada tidur walhal akta bahasa kebangsaan sebenarnya sudah 5 dekad wujud dalam perlembagaan negara dan memerlukan pindaan. Adakah selepas terhantuk baru mereka terjaga dari lena yang panjang dan buka mata mengenai kepentingan menjaga kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Lebih pelik, kenapa hanya pihak-pihak tertentu sahaja yang bakal menjadi sasaran tindakan pembetulan oleh jawatankuasa tersebut sedangkan penulis blog yang boleh dianggap sebagai barah kepada permasalahan ini dibenarkan untuk lepas tangan dan terus berleluasa di luar sana?

Bukankah penulis blog itu sama seperti wartawan dan pengamal media yang lain?

Pada saya, menumpukan perhatian kepada orang-orang tertentu tanpa mencari penyebab lain yang turut menjadi punca kepada permasalahan ini sama seperti mencari sungai yang tidak berhulu kerana jelas terlihat ketirisannya.

Bukan niat mencari salah orang lain tapi itu realitinya. Siapa yang boleh menafikan sekiranya saya mengatakan virus sekecil zarah itu boleh menyebabkan kematian! Kalau betul kerajaan ingin melihat jawatankuasa tersebut berjaya dan mencapai matlamatnya, maka pemantauan ke atas blog yang ditulis oleh penulis blog tanahair juga mestilah menjadi salah satu agenda di dalam jawatankuasa tersebut. Ini bukan sahaja menjamin keadilan dalam pelaksanaan undang-undang, bahkan sebagai penampan agar penulis lebih berhati-hati semasa menghasilkan artikel.

Seperti yang selalu saya bangkitkan, tidak salah menulis artikel yang diselang-selikan dengan dialek atau loghat tempatan. Bagi saya ia bagus untuk memperkenalkan kebudayaan sendiri kepada umum. Cuma apa yang cukup menyakitkan mata, pengubahan serta penggunaan ejaan dan ayat yang salah oleh mereka yang bergelar penulis! Peliknya bila saya melabelkan orang-orang seperti itu perosak bangsa, mereka melenting! Kononnya mereka adalah terpelajar.

Memikirkan trend dan gaya penulisan blog penulis kita membuatkan saya tersenyum sendiri. Geli hati bercampur sedih, bukannya disebabkan oleh gaya penulisan kita yang semakin menghala ke arah gaya bahasa asing, tetapi kerana kecenderungan kita yang saya lihat sama seperti watak utama salah satu cerita rakyat kaum bumiputera di negeri Borneo (minta maaf saya lupa nama watak tersebut). Beria-ia berurusniaga dengan Mat Salleh menggunakan Bahasa Inggeris, tapi sebenarnya tidak tahu mengira! Kenapa bangsaku? Buruk sangatkah bahasa ibunda kita sehingga sanggup menganak-tirikannya?

Sedarlah.. Sedarlah… Sedarlah………

Sudah tiba masanya kita duduk di hadapan cermin bilik masing-masing dan bermuhasabah diri. Fikirkan sejenak apa sumbangan kita terhadap bangsa sendiri. Saya rasa bukan hukuman, denda atau jawatankuasa yang menentukan keberkesanan permasalahan yang semakin kronik ini, tetapi setebal mana perasaan cinta kita kepada bahasa kebangsaan.

One Response

  1. ILYAS AFSOH September 23, 2018

Leave a Reply