Fleksibiliti Produk Takaful Berkaitan Pelaburan

Jika perkembangan polisi insurans konvensional berkaitan pelaburan boleh dijadikan ukuran, potensi produk takaful pelaburan untuk berkembang dalam menarik minat pengguna amat cerah.

Kutipan premium sebagai pelaburan baru yang diterima oleh beberapa syarikat insurans nyawa yang menjual polisi insurans berkaitan pelaburan ini bagi 2001 mencecah hampir RM529 juta, dekat tiga kali ganda tahun sebelumnya.

Sekaligus menunjukkan polisi berkaitan pelaburan ini antara yang paling popular dan menjadi pilihan luas pengguna. Trend positif ini diramalkan akan berterusan pada masa hadapan.

investment linked insurance
investment linked insurance

Tetapi sambutan terbesar adalah oleh masyarakat bukan bumiputra. Suatu bukti jelas memperlihatkan betapa tingginya kesedaran menabung menerusi kegiatan pelaburan saham dikalangan masyarakat bukan bumiputra berbanding masyarakat Melayu.

Justeru itu bilangan pemegang polisi insurans pelaburan sebagai pelabur bukan bumiputra jauh lebih tinggi. Barangkali ada beberapa sebab mengapa wujudnya senario sebegini. Antaranya hakikat masih luas jurang pengetahuan mengenai polisi berkaitan pelaburan sebagai produk insurans.

Umum difahamkan secara tradisional polisi insurans mengutamakan kemudahan perlindungan jika ditakdirkan sesuatu musibah menimpa pemegang polisi dan kurang dikaitkan dengan pelaburan saham secara khusus.

Pampasan dibayar sebagai jaminan perlindungan jika pemegang polisi tradisional ini meninggal dunia. Sebaliknya manfaat yang akan diperolehi di bawah polisi berkaitan pelaburan lebih bergantung kepada nilai saham semasa.

Lantarannya akan timbul kebimbangan mengenai ‘pelaburan’ itu sendiri. Dalam suasana pasaran saham yang agak lembab dan sukar diramalkan tempoh pemulihannya ada orang mungkin kurang yakin wang premium yang dibayar untuk tujuan pelaburan itu akan terselamat dalam erti kata nilai asalnya akan susut, apatah lagi memberi pulangan yang menguntungkan.

Kebimbangan ini ditambah pula dengan tanggapan kononnya saham-saham halal secara relatif tidak memberi daya untung yang besar berbanding saham-saham tidak selaras Syariah. Ini barangkali berbeza dengan pandangan pakar kewangan dan penganalisis pasaran saham serta tidak mencerminkan kedudukan indeks saham itu sendiri.

Dilihat pertumbuhan ekomomi pasaran saham tidak sepatutnya lembab dan yang demikian sukar diterima bagaimana ia akan terus jatuh. Umpamanya pada tahun 2003 ini, Malaysia diunjurkan mencatat kadar pertumbuhan kira-kira 4.5%.

Selain itu sektor korporat dijangka menghasilkan pendapatan kira-kira 15%, suatu angka yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Sehubungan ini secara purata sektor korporat mampu pula membayar kadar dividen yang lebih besar berbanding sebelumnya.

Harga saham halal secara keseluruhannya tidak jauh dari saham sebaliknya. Indeks komposit dan indeks Syariah BSKL boleh dikatakan sentiasa bergerak seiringan; dengan sendirinya menolak tanggapan saham halal adalah kelas kedua.

Kurangnya daya tarikan masyarakat Melayu Islam kepada polisi insurans berkaitan pelaburan mungkin boleh disandarkan kepada hakikat, bahawa seperti polisi insurans konvensional lain, ia tidak berasaskan takaful.

Mengikut syarak, pelaburan dalam saham-saham yang diluluskan Syariah sahaja masih belum cukup untuk ‘menghalalkan’ polisi ini selagi asas kontraknya tetap berdasarkan amalan insurans konvensional. Malah gandingan pelaburan mengikut Syariah ini boleh barangkali menambahkan kekeliruan.

Strategi pemasaran juga boleh mempengaruhi keyakinan masyarakat pengguna. Dalam apa pun bidang perniagaan, pengguna harus yakin ciri manfaat dengan nilai tambah yang akan diperolehinya daripada produk yang dilangganinya.

Jika produk yang akan diperolehinya daripada itu berasaskan pelaburan maka penggunanya lebih berhati-hati. Pengguna ingin dan wajar tahu dan sepatutnya diberitahu bagaimana wang yang dilaburnya itu akan digunakan oleh pihak yang mengurusnya. Dalam konteks ini, ketelusan operasi dan transaksi amat penting.

Kebanyakan polisi insurans berkaitan pelaburan mengenakan peruntukan (allocation) dari wang premium tahun pertama bagi yang memilih bayaran premium secara ulangan.

Melalui peruntukan premium ini sebahagian besar premium tahun pertama itu diambil syarikat bagi membiayai kos-kos tertentu termasuk pemasaran. Kesannya pemegang polisi sebagai pelabur jelas tidak akan menerima apa-apa pengembalian premium jika polisi berkaitan pelaburan yang dibelinya itu dibatalkan dalam tahun pertama.

Menyedari hakikat ini dan sebagai langkah memberi pilihan kepada masyarakat pengguna beragama Islam, produk takaful berkaitan pelaburan telah dilancarkan oleh Takaful Malaysia kira-kira dua bulan lalu.

Apapun sebagai aktiviti perdagangan, takaful tidak terhad kepada masyarakat Islam sahaja; orang bukan Islam boleh menyertainya. Produk yang diberi nama ‘Takaful Dana Saham (TDS)’ sudah semestinya berasaskan prinsip Syariah sebagaimana yang telah disediakan mengikut produk-produk takaful lain.

Selaras dengan ini, sebelum TDS dilancarkan ia telah diteliti dan disahkan oleh Majlis Pengawasan Syariah (MPS) Takaful Malaysia. Malahan mengikut undang-undang tiada suatu produk takaful pun boleh dipasarkan tanpa terlebih dahulu diperaku dan disahkan oleh MPS.

Dalam suasana harga saham seperti jualan barangan murah, inilah waktu paling sesuai produk berkaitan pelaburan seperti TDS ini ditawarkan.

Dengan pasaran saham yang rendah serta diperkukuhkan oleh asas yang tidak memudahkan indeks saham terus menjunam, pelaburan saham dikira amat kena dengan masanya.

Apapun produk berkaitan pelaburan wajar dilihat dalam jangkapanjang. Ini adalah kerana tempoh penyertaan TDS akan tamat secara otomatik apabila pesertanya mencapai usia 65 tahun.

Yang demikian jika seseorang berusia 30 tahun menyertai TDS sekarang, bererti peluang pelaburannya adalah selama 35 tahun selagi dia tidak memecah kontrak di tengah jalan.

Dalam hubungan ini barangkali cukup sesuai jika seseorang mengkaji sejarah perkembangan pasaran saham dengan menganalisa purata tempoh jatuh naiknya indeks pasaran saham sejak 30 tahun lalu.

Ini boleh memberi gambaran sebagai panduan arah aliran indeks saham untuk sesuatu jangkamasa. Namun ada lagi beberapa faktor lain yang perlu juga diambilkira seperti keadaan politik, dasar Kerajaan, hubungan antara bangsa dan sebagainya.

Walau bagaimanapun TDS mempunyai benteng pertahanan sendiri atas sifatnya menyerupai saham amanah, kejatuhan saham secara umumnya tidak mudah memberi kesan kejatuhan besar nilai pelaburan peserta.

Pada dasarnya pelaburan TDS dibuat dalam sekelompok saham selaras dengan Syariah sebagaimana yang diluluskan MPS yang terdiri dari pelbagai kaunter dan kemudiannya dipecahkan mengikut kiraan unit untuk diagihkan kepada peserta.

Tetapi TDS bukan saham amanah. Peserta diberi kuasa memilih tabungan pelaburan yang sesuai dengan keperluan kewangannya. Selain pelaburan, TDS mempunyai kelebihan adanya manfaat takaful.

Sesungguhnya TDS banyak fleksibiliti memberi ruang pilihan luas kepada peserta dari segi matlamat kewangannya. Antaranya TDS boleh dijadikan tabung biasiswa pendidikan anak masa depan, tabung rawatan peribadi, tabung persaraan dan sebagainya.

Malah semua tujuan ini boleh dirancangkan dalam satu TDS sahaja. Dengan kata lain, TDS boleh digunakan untuk memenuhi pelbagai keperluan kewangan.

Misalnya jika dirancangkan sebagai persiapan belanja pendidikan institusi pengajian tinggi masa depan anak-anak, sampai masanya TDS boleh dikeluarkan secara beransur-ansur untuk tujuan tersebut. Untuk memperolehi manfaatnya tidak perlu menunggu sehingga TDS genap tempoh matang seperti produk lain.

Pengeluaran manfaat secara beransur-ansur ini tidak menjejaskan TDS kerana kontrak takaful masih terus berkuatkuasa. Oleh itu jika berlaku musibah yang dilindungi menimpa pesertanya, manfaat perlindungan tetap akan dibayar.

Ini berbeza dengan beberapa produk takaful lain yang boleh menyebabkan pecah kontrak jika wang caruman dikeluarkan tanpa mengikut syarat. TDS menyediakan manfaat takaful 1.5 kali wang caruman atau pelaburan asal bagi bayaran caruman sekaligus dan 75% wang caruman bagi bayaran ulangan, perlindungan tetap terjamin jika ditakdirkan peserta meninggal dunia.

Peserta yang telah mengeluarkan TDS secara beransur-ansur tetap dapat memastikan manfaat sepenuhnya dengan terus menambah atau menokok pelaburan baru. Bukan kematian sahaja yang dilindungi. Bayaran manfaat juga disediakan jika peserta mengidap salah satu 36 jenis penyakit kritikal.

TDS yang membayar caruman atau wang pelaburan secara berulang, kontrak TDS akan terus berkuatkuasa sekalipun peserta hanya sempat dan mampu menjelas wang pelaburan pertama sahaja, dengan syarat jumlah minimanya tidak kurang RM100 pada bila-bila masa.

Caruman atau pelaburan ulangan boleh diteruskan mengikut kemampuannya kemudian tertakluk kepada amaun RM100. Sebaliknya Produk takaful atau polisi insurans biasa hanya dikira laku dan sah apabila wang caruman atau premium dibayar mengikut tempoh ansuran yang telah ditetapkan.

Di bawah amalan takaful, pihak yang bertanggungjawab menguruskan wang pelaburan TDS dibayar peserta, seperti Takaful Malaysia hanya dibenarkan, dengan persetujuan peserta sendiri, mengambil tidak lebih 5% daripada wang pelaburan untuk menampong kos pentadbiran.

Kebenaran ini diluluskan di sisi syarak sebagaimana yang diputuskan oleh MPS kerana kontrak TDS berasaskan prinsip al-wakalah. Dalam konteks ini, Takaful Malaysia sebagai wakil peserta TDS, dibenarkan mengambil sebahagian wang caruman peserta mengikut ketentuan peraturan.

Dalam hubungan ini tiada lagi dibenarkan dibuat peruntukan ke atas wang caruman tahun pertama bagi menampong pelbagai belanja pengurusan pengendali. Ketidakadilan yang boleh menimbulkan amalan penindasan wajar dielak sesuai dengan TDS sebagai produk kewangan berasaskan Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *