Faktor Malaysia Mendahului Sektor Takaful

Latar Belakang

Takaful mula diperkenalkan di Malaysia kira-kira 20 tahun lalu sebaik Takaful Malaysia ditubuhkan sebagai syarikat dalam Kumpulan Bank Islam. Penubuhannya berpandukan perakuan Badan Petugas Bagi Mengkaji Penubuhan Sebuah Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia yang dibentuk Kerajaan pada tahun 1981.

Di rantau Asia, Takaful Malaysia adalah pengendali takaful pertama, tetapi di peringkat dunia Sudan dikira negara pertama melancarkan sistem insurans secara Islam mengikut asas perniagaan berkonsepkan kerjasama melalui Islamic Insurance Company of Sudan (IICS) yang memulakan operasi pada 1979.

Mengekori Sudan adalah Arab Saudi apabila Islamic Arab Insurance Company (IAIC) mula menjalankan operasi pada 1981. IAIC merupakan sebuah syarikat dalam Kumpulan Dallah.

tentang takaful
tentang takaful

Pada mulanya kedua-dua IICS dan IAIC hanya melaksanakan operasi takaful am sahaja, menawarkan produk-produk takaful berkaitan perlindungan hartabenda. Secara umum produk ini menyediakan tempoh penyertaan tidak melebihi setahun dan boleh diperbaharui sebaik tamat, dari setahun ke setahun.

Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, IICS dan beberapa pengendali baru di Sudan turut menyediakan produk takaful keluarga, sekaligus memberi peluang individu menabung secara jangkapanjang dengan hak memperolehi manfaat perlindungan seperti insurans nyawa. Namun IAIC masih tetap mengendalikan takaful am sahaja.

Sistem Insurans Secara Islam

Sungguhpun Sudan dan Arab Saudi dikira negara perintis sistem insurans secara Islam mengikut lakaran perdagangan moden, tetapi perkembangan tidak begitu dikenali . Sebaliknya Malaysia yang muncul beberapa tahun kemudian, mampu membawa takaful ke persada antarabangsa dan kini diperakukan sebagai peneraju takaful dunia.

Atas status ini, Malaysia sebagai anggota negara-negara D-8 (Developing 8) telah dipilih untuk mengembangkan sektor takaful di negara-negara D-8 khasnya dan OIC amnya. Selangkah ini banyak negara ingin mencontohi pengalaman dan kejayaan Malaysia.

Sebagai contoh, Takaful Malaysia telah dan sedang menyedia pelbagai bantuan teknikal dan kerjasama dengan pihak-pihak luar yang bercadang melancarkan operasi takaful di negara masing-masing.

Faktor kejayaan Malaysia ini antara lain disebabkan oleh pendekatan Kerajaan supaya kajian mendalam dan menyeluruh dibuat sebelum apa-apa projek berkaitan sistem kewangan Islam diperkenalkan.

Berbeza dengan negara-negara lain, kerajaan sendiri mengambil langkah awal untuk memastikan, apabila ditubuhkan suatu sistem kewangan yang mempunyai implikasi ke atas kepentingan dan kebajikan masyarakat awam, didirikan atas asas yang kukuh berlandaskan peraturan-peraturan tertentu.

Tanpa boleh dirujuk untuk tujuan kajian perbandingan, Badan Petugas berkenaan ditubuh Kerajaan bagi membolehkan pakar-pakar Syariah duduk semeja berbincang bersama pakar-pakar lain termasuk ahli ekonomi, kewangan, undang-undang dan pengamal insurans mengkaji bagaimana operasi takaful boleh dilaksanakan mengikut peraturan syarak selaras pula dengan kehendak displin perdagangan moden.

Dayajaya Takaful

Setelah diperakukan sistem perniagaan insurans Islam berasaskan takaful boleh dilaksanakan, tanggungjawab melaksanakannya tidak diserahkan kepada individu. Dayajaya takaful sebagai bidang baru belum dapat dipastikan; berapa lama operasinya akan balik modal sukar diunjurkan.

Atas risiko ini individu tidak dicadangkan pada peringkat awal menaja sebagai pemegang saham adalah individu lazimnya mengharapkan pulangan segera atas modal yang ditanam. Pihak yang lebih sesuai untuk tugas ini sewajarnya institusi kewangan Islam.

Sehubungan ini Bank Islam diberi tanggungjawab menubuh dan melaksanakan takaful. Setelah operasi takaful terbukti berdayajaya seiring institusi perniagaan lain, dengan mampu mencatat daya untung barulah peluang dibuka kepada masyarakat turut memiliki sahamnya.

Inilah contoh yang dilalui Takaful Malaysia sebaik disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur, masyarakat berpeluang memiliki sahamnya.

Sebaliknya bagi kebanyakan negara, proses penubuhan sistem baru seumpama ini diserahkan terus kepada individu atau kumpulan tertentu yang biasanya mempunyai kepentingan korporat dan perniagaan tersendiri.

Individu atau kumpulan ini akan menaja penubuhan dan lantas menjadi pemegang saham, seperti IAIC yang ditubuhkan di bawah Kumpulan Dallah. Ini tidak pula bererti sektor ini semestinya dimiliki Kerajaan; pembabitan Kerajaan sekadar memastikan pelaksanaannya teratur, berasaskan keperluan Syariah serta mengikut garis panduan tertentu.

Pembabitan langsung Kerajaan diperingkat awal membolehkan suatu undang-undang khusus digubal. Antara sebab mengapa Malaysia diyakini dunia dalam operasi takaful kerana keupayaannya menggubal dan menguatkuasakan Akta Takaful 1984, undang-undang khas mengawalselia operasi takaful, yang memberi lebih kredibiliti.

Sehingga kini belum ada negara yang undang-undang khusus untuk operasi ini. Sebaliknya ada negara yang malah tiada mempunyai apa-apa peraturan atau undang-undang mengawalselia insurans konvensional apatah lagi takaful.

Operasi takaful berkait dengan amanah

Kerangka undang-undang seumpama ini penting memandangkan operasi takaful berkait dengan amanah. Pengendali diamanahkan oleh semua peserta supaya menjaga dan menguruskan wang caruman atau sumbangan mereka dengan baik, cermat, selamat serta mampu menunaikan tanggungjawab menyediakan bantuan manfaat kewangan apabila ada peserta ditimpa musibah sebagaimana yang dijanjikan mengikut kontrak.

Bagi menjamin pematuhan Syariah pula, hanya undang-undang dapat memastikannya melalui peruntukkan yang mewajibkan pengendali menubuhkan panel Syariah. Di bawah Akta Takaful, semua pengendali mesti menubuhkan panel seumpama ini yang dipanggil Majlis Pengawasan Syariah (MPS) yang bertanggungjawab memasti dan meluluskan setiap aspek operasi termasuk pelaburan benar-benar menepati syarak.

Keanggotaan MPS terdiri daripada ulamak dan pakar undang-undang. Meskipun boleh dikatakan semua institusi kewangan Islam perlu mempunyai panel Syariah, tanpa undang-undang khusus, panel ini boleh dikira sebagai badan penasihat sahaja.

Pada dasarnya tidak salah seandainya institusi yang menubuhnya tidak mematuhi sepenuhnya keputusan atau teguran panel berkenaan. Apapun kejadian sebegini tidak dijangka berlaku kerana ia boleh menghakiskan keyakinan orang ramai terhadap pengendali itu sendiri sebagai mengingkari Syariah.

Selain itu, undang-undang juga penting bagi menentukan modal minima diperlukan sebelum lesen diberi kepada pengendali untuk memulakan operasinya. Tanpa undang-undang sesiapa sahaja boleh menjalankan operasi takaful. Ini boleh menguggat kepentingan masyarakat.

Sebagai pemegang amanah peraturan kewangan amat mustahak dipatuhi pengendali. Kepercayaan dan kewibawaan sistem kewangan Islam secara keseluruhannya akan terjejas tanpa peraturan yang mantap.

Padahnya lebih buruk berbanding kepincangan dalam institusi konvensional kerana institusi kewangan Islam sekali-kali tidak wajar dilihat ingkar Syariah.

Model perniagaan yang diasaskan di Malaysia semasa operasi takaful mula dilancarkan 20 tahun lalu juga merupakan faktor utama mendorong kemajuan operasi takaful.

Selaras perakuan Badan Petugas Bagi Mengkaji Penubuhan Sebuah Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia kepada Kerajaan, operasi takaful hendaklah berasaskan prinsip al Mudharabah yang bermaksud perjanjian berkongsi untung dalam perniagaan.

Lantarannya, Takaful Malaysia menyusun operasi takafulnya berasaskan model perniagaan mengikut prinsip al Mudharabah ini.

Penggunaan model perniagaan ternyata berjaya menunjukkan operasi takaful sesungguhnya berbeza dengan insurans konvensional baik konsep mahupun kontrak. Ia bukan bermain-main dengan istilah bagi menghalalkan pelaksanaannya.

Sekaligus orang ramai khususnya masyarakat Islam dapat melihat dan merasa perbezaannya. Sebelum takaful pemegang polisi insurans tidak pernah memperolehi apa-apa pulangan ke atas wang premium yang dibayar; di bawah takaful sebaik tamat tempoh setahun peserta menerima bayaran tunai sebagai hak pulangan di bawah perjanjian berkongsi untung tersebut.

Oleh kerana model perniagaan berasaskan prinsip mudharabah mempunyai ciri-ciri tertentu mengenai peraturan kewangan, yang sama sekali berbeza dengan apa yang diamalkan insurans konvensional, kadar untung yang dibayar kepada peserta boleh dikatakan menarik iaitu dalam lingkungan 25% sehingga 30% amaun sumbangan yang mereka bayar.

Sejak wujudnya takaful, masyarakat Islam khasnya mula menjinakkan diri dengan insurans dan faham pentingnya dalam kehidupan dunia kini.

Model Perniagaan

IISC dan IAIC memilih model perniagaan berasaskan prinsip al Wakalah sepenuhnya. Mengikut model perniagaan ini, pemegang saham IISC sebagai penajakhas, menyedia dan mengeluarkan modal atas dasar derma. Oleh itu hak mendapat pulangan dalam bentuk dividen tidak diutamakan.

Lantarannya apabila modal perlu ditambah untuk mengembangkan perniagaan, pemegang saham agak keberatan berbuat demikian kerana menurut mereka modal yang dikeluarkan terdahulu tidak menghasilkan apa-apa pulangan kepada mereka.

Tekanan mewangan ke atas kumpulanwang pemegang saham berat kerana wang modal bukan sahaja digunakan untuk belanja mengurus termasuk komisyen kepada agen yang dilantik pengendali, tetapi atas sifat pengendali sebagai wakil peserta pengendali dibenarkan, dengan izin peserta, menggenakan bayaran perkhidmatan daripada wang caruman atau sumbangan peserta itu sendiri.

Dari segi peraturan kewangan, pelaksanaannya tidak banyak beza dengan yang digunakan insurans konvensional, dimana selain wang modal syarikat insurans, wang premium juga diambil oleh syarikat untuk menampung belanja mengurus termasuk komisyen agen, kos-kos perjawatan dan kakitangan seperti sewa menyewa, gaji, percetakan dan lain-lain.

Ertinya mengikut prinsip wakalah, semua jenis perbelanjaan sama ada bersangkutan dengan tanggungan takaful seperti bayaran manfaat kepada peserta ditimpa musibah mahupun belanja pengurusan pengendali boleh dicaj ke atas wang sumbangan atau caruman peserta. sebaliknya di bawah prinsip mudharabah, semua belanja pengurusan kena ditanggung sepenuhnya oleh wang modal.

Wang caruman atau sumbangan peserta semata-mata digunakan bagi keperluan operasi takaful sahaja dan tidak boleh digunakan untuk keperluan belanja pengendali. Mungkin operasi takaful tidak begitu pesat berkembang jika buat pertama kali dilancarkan model perniagaan yang dipakai adalah mengikut prinsip wakalah.

Pengendali dengan model perniagaan wakalah sepenuhnya mengalami kesulitan mengembangkan perniagaan semasa peringkat awal operasi. Dengan modal yang terhad pemegang saham keberatan menyuntik modal tambahan.

Biasanya seperti kebanyakan perniagaan operasinya kecil di peringkat awal. Oleh itu wang dikutip kecil. Justeru bayaran perkhidmatan yang diambil dari wang sumbangan mengikut peratusan tertentu untuk menampong belanja pengurusan yang sememangnya tidak berubah.

Lantarannya, pengendali terpaksa lebih banyak bergantung kepada wang modal. Jika banyak pula musibah berlaku pada peringkat ini, bertambah pula tekanan kewangan dan kemungkinan wang sumbangan atau caruman yang dikutip tidak cukup membayar manfaat.

Oleh kerana kurangan seperti ini, wajar ditampong pengendali melalui pinjaman oleh kumpulanwang pemegang saham mengikut prinsip al Qardhul-Hassan atau pinjaman kebajikan menambahkan tekanan kewangan keseluruhannya. Akibatnya langkah mengembangkan operasi takaful terjejas.

Apapun hak berkongsi untung peserta dan pengendali juga ada dalam model perniagaan berasaskan prinsip wakalah sepenuhnya ini. Tetapi yang dikongsi hanya ke atas pulangan pelaburan wang caruman atau sumbangan peserta.

Untung sebegini lazimnya tidak besar kerana pulangan pelaburan semata-mata, lebih-lebih lagi jika iklim pelaburan layu, pulangan yang diperolehi kecil. Jumlah pulangan yang boleh dikongsi semakin berkurangan kerana pengendali turut menggenakan upah sebelum ia dikongsi atas khidmatnya menguruskan pelaburan wang caruman atau sumbangan itu.

Secara kasar punca perolehan pengendali di bawah model perniagaan wakalah datang dari pulangan pelaburan wang modal pengendali sendiri, bayaran perkhidmatan yang diambil wang caruman atau sumbangan peserta sebagai wakil mereka dan perkongsian untung ke atas pulangan pelaburan wang caruman atau sumbangan yang sama serta upah menguruskan pelaburannya.

Model Perniagaan Sekarang

Disebabkan kesulitan berkembang kini tiada lagi pengendali takaful mengamalkan model perniagaan berasaskan prinsip wakalah sepenuhnya.

Kebanyakan pengendali baru yang tidak memilih model perniagaan prinsip mudharabah, sebaliknya menggunakan model perniagaan ‘hybrid’ : menggabungkan kedua-dua prinsip mudharabah dan wakalah dalam satu kontrak.

Secara ringkas, pengendali model hybrid akan turut berkongsi untung dengan peserta berasaskan prinsip mudharabah atas lebihan operasi takaful yang termasuk di dalamnya meliputi lebihan wang caruman atau sumbangan setelah membayar semua tanggungan takaful seperti tuntutan dan takaful semula dan dicampur pula pulangan pelaburan wang caruman atau sumbangan setelah ditolak pula bayaran perkhidmatan mengikut prinsip wakalah.

Panduan MPS biasanya diperolehi berhubung peratusan bayaran perkhidmatan yang dikira berpatutan dan adil untuk diambil dari wang caruman peserta.

Kekuatan dan kesempurnaan Syariah jelas dilihat dari model perniagaan takaful yang boleh dipilih oleh pengendali sama ada mudharabah sepenuhnya seperti Takaful Malaysia atau hybrid iaitu gandingan mudharabah dan wakalah yang diguna oleh pengendali takaful di Malaysia.

Yang penting kedua-dua model ini diluluskan Syariah. Kedua-duanya ini wajar dibenarkan berjalan dan berkembang seiring sebagai suatu bidang perniagaan baru sistem kewangan Islam. Biarlah masyarakat membuat pilihan: lebih nilai kepada mereka.

Islam tidak menyekat kebebasan dan hak serta peluang memilih selagi yang dipilih itu tidak menyalahi Syariah. Pendekatan ini memudahkan Malaysia mengembangkan operasi takaful sehingga diiktiraf peneraju takaful dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *