Ekpedisi Gunung Panti

Gunung Panti dengan ketinggian 1684 kaki ini adalah salah satu gunung yang terdapat di negeri Johor. Terletak di Daerah Kota Tinggi, Gunung Panti menjadi salah satu tarikan kepada pendaki kerana lokasinya yang berhampiran dengan Air Terjun Kota Tinggi. Bagi yang belum pernah merasai cabaran mendaki ke Gunung Panti, boleh dikatakan rintangannya tak la terlalu sukar. Tapi keunikan cabaran mendaki sesuatu gunung pasti berbeza antara satu gunung dengan gunung² yang lain.

gunung panti johor bahru malaysia
gunung panti johor bahru malaysia

Cabaran Gunung Panti ni sebenarnya adalah salah satu rintangan yang perlu dihadapi peserta Program Kinabalu High Achiever 2013. Haaa, apa dia Kinabalu High Achiever 2013 ni? Kalau anda nak tau, ni la program pendakian oleh staf UTM ke Gunung Kinabalu sana. Menarik kan bunyinya? Program ni bermula sekitar Mac lalu dan disertai hampir 70 orang staf UTM. Daripada 70 orang yang dipilih, terpilih dan yang menawarkan diri, hanya 30 orang saja yang akan disenarai pendek sebagai peserta akhir ke puncak Kinabalu sana. Pendakian insha-Allah akan dibuat pada bulan Oktober nanti. Semakin menarik bunyinya kan?

Ok, berbalik kita ke Gunung Panti. Dalam program ni, cabaran kepada peserta adalah untuk turut serta mendaki gunung² terpilih [sekali setiap bulan] untuk menguji fizikal dan mental peserta sebelum cabaran sebenar di Kinabalu. Untuk pendakian pada 21 April ini, Gunung Panti menjadi pilihan berdasarkan ketinggian yang tidak terlalu tinggi dan juga lokasinya yang dekat dengan UTM JB. Senang balik hari dan sesuai untuk mereka yang pertama kali mendaki gunung.

Dihari pendakian, peserta berkumpul seawal jam 7 pagi di parkir Tasik Ilmu UTM JB. Seramai 60 orang pendaki bersiap sedia mengerah keringat menawan puncak Gunung Panti. 2 buah bas digunakan dan semuanya berjalan lancar sehingga ke destinasi, Kota Tinggi. Peserta yang terlibat kebanyakannya sangat teruja dan ceria lagi² yang pertama kali mendaki. Pakaian dan peralatan jangan cerita, macam² ada. Dengan kasut baru, sarung tangan, tongkat ‘sakti’, topi, dan tak kurang juga beg air dan pisau rambo. Semua tersemat kemas di tubuh masing².

-Tips-
Peralatan asas mendaki [jika balik hari]
– Beg galas, ubatan peribadi, kompas, pakaian spare, kain lap peluh, kasut mendaki, stokin, pisau, air minuman, minyak panas, makanan penambah tenaga, baju hujan dan lain² peralatan yang difikirkan sesuai lagi tidak membebankan.

nota: ada juga yang mendaki sekadar bawa porch beg, baju sehelai dan handphone. Hebatkan? tapi kalau sesat terima la padah.

Kami tiba di kaki Gunung Panti jam 930 pagi selepas bersarapan sebentar di Bandar Kota Tinggi. Sebelum peserta dilepaskan, dengan dibantu En Hamid [Ketua projek], kami semua memulakan sesi memanaskan badan seperti biasa, sekadar syarat mengelak kekejangan otot. 15 minit berlalu, dan dalam kedudukan berbaris, setiap peserta meninggalkan tapak berkumpul untuk memulakan pendakian. Doa dipanjatkan memohon keselamatan dan bagi Muslim, ayat Kursi dilafazkan buat pelindung diri di ‘tempat orang’.

hiking up gunung panti
hiking up gunung panti

Secara kasar, laluan Gunung Panti ni boleh dikatakan tak terlalu sukar bagi yang pertama kali mendaki. Dengan laluan denai yang kadang-kala sempit dan adakala luas adalah cabaran biasa bagi permulaan pendakian. Keraguan pendaki teruji bila mana ada 1,2 simpang yang sedikit mengelirukan yang boleh menjadi punca pendaki hilang panduan dan sesat jika tidak nampak rakan dihadapan. Sepanjang laluan ke puncak Gunung Panti ini, pendaki akan melalui sebatang anak sungai kecil pada peringkat awal pendakian. Airnya tidaklah jernih dan tidak sesuai untuk dibuat bekal minum sepanjang pendakian. Sebaiknya, air minuman dibawa lebih awal sebalum memulakan pendakian.

Keadaan kecerunan juga tidak keterlaluan dan masih boleh dilalui walaupun ada segelintir pendaki yang perlu berhempas pulas untuk melepasi cabaran laluan. Cabaran sebenar pendakian adalah pada penghujung laluan ke puncak. Pendaki perlu memanjat dan melalui laluan batu setinggi hampir 20-30 meter [maaf, saya kurang arif menganggar ketinggian batu]. Laluan batu yang berlumut, licin, dan hampir pada sudut 90°. Pendaki perlu menggunakan tali yang disediakan dan perlu berhati² dalam setiap langkah yang diambil, silap percaturan, malapetaka boleh menimpa. Alhamdulillah, bagi peserta Kinabalu Higher Achiever ni, tiada apa² musibah yang berlaku kepada semua peserta.

Pendakian mengambil masa kira² 2 jam. Kumpulan pertama tiba di puncak sekitar jam 1130 pagi [mungkin saya silap, sebab saya bukan dikalangan kumpulan pertama]. Ini disusuli peserta lain tiba di puncak dan mana yang dah sampai, dapat la bergambar puas². Pemandangan di atas puncak memang menarik dan tertarik. Kawasan sekitar dipenuhi pokok² renek dan sangat sesuai untuk berteduh daripada kepanasan. Angin bertiup sepoi² bahasa dan kadang-kala kencang. Sejam melepak dipuncak memang tak terasa dengan masing² sangat teruja dengan pencapapian masing², tak kurang pula yang tidak² puas² bergambar, makan², sambil menanti rakan² lain tiba. En Hamid selaku ketua ekspedisi memutuskan untuk semua kekal berada di puncak sehingga jam 1.30 petang.

Dengan matahari terik menyinari yang disangka cerah sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari hari. Jam 12.45 tengahari, angin mula kencang disusuli hujan turun dengan lebatnya membasahi kami semua. Inilah pengalaman pertama saya berada di puncak dengan hujan mencurah dengan lebatnya. Terketar² dibuatnya. Dan saat ini, saya tiada baju hujan untuk disarung, sebahagian yang lain juga. Lencun. Hujan mencurah turun hampir sejam lamanya. Kecekalan fizikal dan mental teruji dengan suhu sejuk yang amat. Sebelum mendaki turun, kami sempat bersolat zuhur di puncak melepaskan kewajipan kepada-Nya. Selepas itu, peserta mula mendaki turun.

gunung panti barat
gunung panti barat

Dengan laluan yang becak, licin dan basah, masing² perlu lebih berhati² dan fokus dalam setiap gerak langkah. Hampir 2 jam mendaki turut, kami semua selamat sampai tiba di kaki gunung tempat berkumpul awal pagi tadi. Dengan keadaan pakaian yang lembap dan kawasan yang basah, masing² mula check kaki dan badan masing², dan YA! Pacat menjadi ancaman sebahagian pendaki saat ni. Kira sapa paling banyak bawa hasil. haha. Selang 15 minit seepas itu, semua peserta mula beransur keluar daripada kawasan permulaan mendaki. Bagi yang lapar, masing² sambung melantak di van urusetia sementara menunggu bas tiba.

Alhamdulillah, semua pendaki selamat keluar dan tiada apa² musibah menimpa para pendaki. Kami bergerak balik ke UTM sekitar jam 4 petang daripada kaki Gunung Panti dengan Masjid Di Bandar Kota Tinggi menjadi lokasi persinggahan untuk membersihkan diri. Kisah suka dan duka sepanjang pendakian kemudiannya dikongsi di meja makan bila mana driver bas ajak berhenti makan. Makan lagi. Baru nak lelap mata. 🙂

Kisah paling menarik dalam mendaki Gunung Panti ni ialah ekpedisi ni keluar di paper!. 🙂

Artikel berkaitan:
Pengalaman Melancong ke Singapura

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *