Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Cara Menjadi Seorang Penulis Blog Melayu Yang Berjaya

Sebenarnya bukan mudah untuk bergelar seorang penulis blog melayu yang berjaya atau sekurang-kurangnya separuh berjaya kerana si penulis haruslah memikirkan bentuk artikel yang boleh menarik perhatian pembacanya. Dan proses untuk menakluki hati si pembaca pula agak sukar dek kerana kecenderungan dan minat pembaca melayu kita yang kelihatan agak pelik di mata saya.

penulis blog berjaya

penulis blog berjaya

Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang bergelar penulis blog, rata-rata penulis blog yang ada di Malaysia masih dihambat oleh 5 perkara asas dalam penulisan untuk menarik perhatian pembaca. Mungkin betul cara ini sangat berkesan menarik perhatian pembaca tapi adakah anda ingin melihat dunia blog tanah air 10 tahun yang akan datang dipenuhi dengan blog-blog hiburan slanga dan blog ‘ikut suka you’ sahaja?

Penulis Lebih Pentingkan Hasil Iklan

Jika dilihat pada trend komuniti penulis blog hari ini, rata-rata penulis yang ada lebih mementingkan wang hasil iklan yang dijana oleh traffik mereka berbanding artikel di dalam blog itu sendiri yang sedar tak sedar adalah penyumbang kepada keruntuhan nilai moral masyarakat kita. Kewujudan blog hiburan, politik, berbau seks dan pelbagai lagi yang berorientasikan keuntungan semata-mata seperti cendawan tumbuh selepas hujan bukan sahaja menggalakkan kerosakan minda secara halus, bahkan salah satu agen utama penyebar budaya kuning. Tambah memburukkan keadaan bila mana penggunaan ayat slanga, pasar dan rojak turut digunakan secara meluas.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa faktor penggunaan bahasa memainkan peranan penting untuk menarik perhatian pembaca, yang umumnya lebih gemar membaca ayat ringkas, mudah dan trendy berbanding ayat baku. Tapi sampai bila senario ini hendak diteruskan? Apa yang lebih menyedihkan bila melihat sendiri bagaimana rosaknya bahasa kebangsaan kita dipermainkan tanpa sikit pun rasa bersalah oleh mereka-mereka yang bergelar celebriti ‘Penulis Blog Malaysia’. Kasihan sungguh bangsaku!.

Pilih ‘Niche’

Berbalik kepada resepi yang saya perbincangkan sebentar tadi, untuk menjadi seorang penulis blog melayu yang berjaya seperti beberapa nama besar dalam penulisan blog, anda perlulah memilih ‘niche’ hiburan sebagai menu utama blog anda dan mula menulis dengan menggunakan ayat yang berbentuk makian di dalam artikel tersebut. Jangan lupa masukkan sekali gambar-gambar yang tidak senonoh sebagai bukti bahawa anda tidak bercakap kosong dan ayat ‘jangan jadi macam artis nie atau jadikan gambar ini sebagai teladan’ di akhir perenggan. Dah buat? Syabas… kini anda sudah selangkah ke hadapan menuju alam ‘Top Malaysian Bloggers’ dan bakal menerima kunjungan tak henti-henti dari pembaca yang begitu dahagakan artikel ‘sampah’ seperti ini.

Seterusnya seorang penulis blog melayu yang berjaya juga perlulah menulis sekerap mungkin perkataan berbau seks atau lucah dalam artikel mereka sebagai perencah utama. Ingat! semakin lucah dan ganas tajuk artikel anda, maka semakin tinggilah peluang web atau blog anda akan menjadi terkenal. Dan untuk membuktikannya anda boleh menaip sendiri perkataan ‘MELAYU’ dalam enjin carian web masing-masing. Jangan terperanjat sekiranya anda menjumpai lebih daripada 37 juta hasil carian untuk perkataan MELAYU sahaja, bersepah di internet yang majoritinya merupakan kombinasi ayat yang berbau lucah dihidangkan secara percuma dari Melayu khusus untuk pembaca Melayu. Tidak perlu menuding jari kepada sesiapa mengenai isu kerosakan akhlak remaja dan pembuangan bayi yang hangat diperkatakan pada masa kini selepas ini, anda sebenarnya yang menggalakkannya! Percayalah.

Tulis Tentang Wang

Untuk menambahkan lagi kelazatan resipi blog anda, tulislah artikel mengenai wang di dalamnya. Ceritakan bagaimana anda memperolehi wang dengan mudah tanpa mengeluarkan setitik peluh pun. Ajarlah pembaca bagaimana melaburkan wang mereka dalam pelaburan haram, MLM atau skim cepat kaya. Kaburi mata mereka dengan kepingan-kepingan gambar yang memperlihatkan kemewahan anda sebagai buktinya. Hujani juga mereka dengan dakyah-dakyah palsu penuh harapan supaya mereka turut terpesona, dan sertakan bukti mereka-mereka yang telah berjaya supaya mereka turut terjebak sama. Insya-Allah kejayaan sentiasa bersama dengan anda penulis perosak minda.

Seorang penulis blog juga tidak akan berpeluang untuk menjadi ‘Top Malaysian Bloggers’ sama sekali sekiranya tidak menggunakan ayat berbentuk makian dalam penulisannya! Ingatlah, penggunaan ayat yang sopan dan tertib tidak mungkin menarik perhatian pembaca untuk terus membaca kandungan artikel yang telah ditulis meskipun topik yang diperbincangkan dalam artikel tersebut sangat berkualiti. Umumnya pengertian berkualiti di mata pembaca melayu sungguh subjektif bagi saya. Ini kerana artikel berkualiti di mata pembaca dan penulis blog tanah air ialah artikel yang menggunakan ayat yang dipenuhi dengan api kebencian, makian, dan juga hasutan di dalamnya walaupun ianya hanyalah sekadar berkisarkan isu plagiat!

Jelasnya untuk menjadi seorang penulis blog melayu yang berjaya, anda perlulah menulis mengenai wang, wanita, lelaki, hiburan, makian, seks & politik di dalam blog anda. Hidangkanlah pembaca anda dengan hiburan ringan seperti di atas agar blog anda akan terus menjana trafik yang tinggi. Seorang penulis blog melayu yang berjaya ialah bila mana mereka berjaya memanipulasikan kelima-lima perencah ini untuk menjadikannya satu resipi yang hebat. Selamat mencuba.

Artikel berkaitan:
Saya Sudah ‘Bebas’ daripada Sistem Bertulis

Leave a Reply