Bukan Kematian Sahaja Dilindungi Takaful Keluarga

Sedap didengar dan sah menetapi kehendak Syariah tidak cukup untuk menyakinkan sistem kewangan Islam diterima dan dilanggani oleh masyarakat. Sekalipun menarik dengan akad yang telus, tetapi jika ia tidak mampu melengkap kehendak dan keperluan pengguna ia tidak akan berkembang.

Justeru, untuk memastikan kemajuan dan perkembangan sistem kewangan ini, tidak dapat tidak ia hendaklah berorientasikan keperluan masyarakat.

Malah dalam apa juga bidang perniagaan produk atau khidmat yang hendak dipasarkan, sewajarnya selaras dengan apa yang diistilahkan dalam ilmu pemasaran sebagai doktrin ‘marketing oriented’. Strategi pemasaran sistem kewangan Islam juga tidak terlepas dari doktrin ini.

takaful keluarga
takaful keluarga

Pengendali Sistem Kewangan Islam

Atas kesedaran inilah pengamal dan pengendali sistem kewangan Islam baik sektor perbankan, pasaran modal mahupun insurans atau takaful sentiasa peka supaya setiap khidmat dan produk yang disediakan sektor masing-masing boleh dan mudah diterima oleh pengguna.

Sehingga kini kemajuan yang dicapai secara tidak langsung memperlihatkan apa juga produk dan khidmat yang disediakan itu dapat memenuhi keperluan kewangan semasa penggunanya.

Meskipun usia sistem kewangan Islam boleh dikatakan muda, baru kira-kira 20 tahun diperkembangkan di Malaysia, berbanding dengan sistem konvensional yang sudah bertunjang ratusan tahun, jika diukur dari segi tembusan penggunaan oleh masyarakat ternyata sudah agak luas.

Bersifat praktikal, menjadikan sistem kewangan Islam lebih fleksibel. Ini ternyata dengan kemampuannya memenuhi keperluan kewangan semasa individu dan juga korporat.

Misalnya dibidang korporat, penerbitan bon berlandaskan Syariah kian berkembang dan semakin luas diterima; malah turut diguna oleh syarikat bukan milik Islam. Ini terbukti dengan lebih langganan setiap bon baru diterbit dan ditawarkan di pasaran.

Pada masa ini dilaporkan kira-kira setiap lima bon korporat yang diterbitkan di Malaysia satu daripadanya adalah berasaskan Syariah atau dipanggil ‘bon Islam’. Atas hakikat inilah barangkali pengamat dan pengamal ekonomi bersetuju aktiviti perbankan Islam lebih menepati konsep ‘universal banking’.

Sehubungan ini produk takaful juga tidak terlepas daripada doktrin marketing oriented bagi memastikan ia benar-benar dapat memenuhi keperluan kewangan dan insurans pesertanya.

Oleh itu apa juga bentuk manfaat atau skop perlindungan yang umumnya boleh diperolehi di bawah insurans konvensional pada dasarnya kini turut disediakan oleh takaful, kecuali yang bercanggah dengan kehendak syarak.

Lazimnya dalam mana-mana polisi insurans nyawa konvensional, di bawah skop perlindungan asas akan ditawarkan skop perlindungan tambahan yang boleh dituntut oleh pemegang polisi jika sesuatu musibah menimpa keatas pemegang polisi berkenaan mengikut perlindungan tambahan berkenaan.

Dengan kata lain, tuntutan yang boleh dibuat di bawah polisi demikian tidak hanya terhad bila berlaku kematian, sebagai skop perlindungan asas, pemegang polisinya. Polisi insurans tanpa tawaran skop perlindungan tambahan kurang mendapat sambutan masyarakat pengguna.

Salah satu alasan mengapa polisi insurans kurang diminati adalah disebabkan polisi seperti ini. Bagi pengguna tiada faedahnya polisi ini kerana perolehan wang tidak dapat mereka manfaatkan, kerana perolehan hanya dibayar setelah mereka meninggal dunia.

Sedangkan mereka mahu menikmati faedah tersebut semasa mereka masih hidup. Premium yang mereka bayar, hasilnya tidak dapat dirasai.

Bagi memenuhi kehendak pengguna, boleh dikatakan semua polisi insurans sebegini menawarkan perlindungan tambahan kepada polisi asas. Sesuai dengan perkembangan dan permintaan pasaran, produk takaful juga menyediakan kemudahan yang sama.

Pelan takaful keluarga yang hanya untuk individu, dengan tempoh penyertaan dari 10 tahun sehingga 40 tahun, seperti polisi insurans nyawa konvensional, juga tidak terhad kepada musibah kematian semata-mata untuk mendapatkan perolehan manfaatnya.

Sememangnya selaras dengan skop perlindungan asas, jika ditakdirkan peserta pelan takaful keluarga (PTK) meninggal dunia sebelum genap tempoh, manfaat kematian akan dibayar kepada ahli warisnya mengikut hukum faraid.

Bagi memudahkan proses bayaran manfaat kematian seumpama ini dibuat, peserta akan diminta melantik atau menamakan wasi sebagai orang yang akan bertanggung jawab mentadbir serta menguruskan apa-apa perolehan manfaat takaful tersebut untuk diagihkan kepada ahli waris peserta mengikut hukum faraid.

Sistem wasi bertujuan untuk memudahkan manfaat takaful diurus bayar. Bagi maksud ini borang akuan wasi sememangnya disediakan dalam Borang Cadangan dan Akuan (BCA) iaitu borang permohonan menyertai PTK. Peserta dinasihatkan menamakan wasinya dalam BCA semasa penyertaan dicadangkan olehnya.

Tidak dapat dinafikan keperluan kewangan seseorang serta ahli warisnya menjadi lebih terdesak jika sesuatu musibah menimpa dirinya. Seseorang yang ditimpa musibah kemalangan atau kecelakaan jalanraya atau diserang penyakit berat akan memerlukan rawatan perubatan.

Sesungguhnya tiada siapa yang dapat menentukan tempoh rawatan yang kena dijalankan. Yang pasti rawatan ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Tambahan pula rawatan perubatan moden bukan kecil kosnya, sentiasa pula meningkat dari masa ke semasa.

Begitu juga kemungkinan seseorang menderita hilang upaya atau keilatan kekal tubuh badan samada disebabkan kemalangan menimpa dirinya atau diserang penyakit akan menghadapi tekanan kewangan yang berat.

Oleh kerana keadaan fizikalnya yang tidak berupaya barangkali dia tidak dapat menjalankan kerja. Ertinya sumber pendapatan terputus. Yang jelas langkah persediaan amat perlu bagi memastikan bekalan wang secukupnya ada.

Sebagai sokongan kepada skop perlindungan asas, PTK juga menyediakan skop perlindungan tambahan sebagai pilihan peserta. Bererti jika peserta memilih perlindungan tambahan tersebut sedikit wang caruman tambahan akan dikenakan.

Oleh itu selain caruman asas bagi tujuan menyediakan manfaat kematian, peserta dikenakan sejumlah kecil caruman tambahan mengikut pilihan yang disertainya. Namun demikian sudah ada pula produk PTK yang menyediakan skop perlindungan tambahan ini secara otomatik. Ia tidak lagi dikira sebagai tambahan. Sehubungan ini tiada apa-apa wang caruman tambahan dikenakan kepada peserta terbabit.

Ketiga-tiga perlindungan tambahan yang biasa dimasukkan dibawah PTK sebagai pilihan peserta adalah kemalangan diri, manfaat hospital dan hilang upaya kekal tubuh badan.

Apabila berlaku salah satu daripada tiga musibah ini peserta PTK yang mengambil pilihan ketiga-tiganya boleh mengemukakan tuntutan dan manfaatnya akan dibayar. Sudah tentu bayaran akan dibuat kepada peserta sendiri kerana ada masih hidup.

Apapun perlindungan tambahan yang dikenali sebagai faedah atau manfaat sampingan ini mestilah digabungkan dalam kontrak takaful sebagaimana yang disebut di bawah ‘manfaat sampingan’ dalam Sijil Takaful.

Sementara sebagai contoh, beberapa produk PTK Takaful Malaysia yang mempakejkan secara otomatik ketiga-tiga manfaat sampingan ini menjadi perlindungan asas termasuklah Pelan Takaful Dana Pekerja, Pelan Takaful Siswa dan Pelan Takaful Ziarah.

Selain itu disamping kematian, ada juga produk yang membayar manfaat takaful jika peserta hilang upaya kekal seluruh tubuh badan. Begitu juga bayaran manfaat tambahan sekiranya peserta ditimpa kecelakaan dan dimasukkan ke hospital.

Sebagai tambahan dalam memberi satu dayatarikan, amaun manfaat lebih besar dibayar jika kematian berpunca dari kemalangan atau kecelakaan. Biasanya amaun manfaat digandakan daripada kematian biasa.

Bagi peserta PTK atau mana-mana orang yang dilindungi dibawah Sijil Takaful yang sama yang mengambil pilihan kemalangan diri, boleh membuat tuntutan akibat kecederaan yang ditanggungnya jika ditakdirkan mereka ditimpa kemalangan.

Pilihan untuk manfaat sampingan ini akan ditentukan peserta sendiri sewaktu penyertaan PTK dibuat. Namun tambahan ini boleh juga dimasukkan selepas PTK berkuatkuasa.

Skop Perlindungan Takaful

Dalam konteks ini harus dibezakan skop perlindungan tambahan sebagai manfaat sampingan dengan skop perlindungan kemalangan diri yang sememangnya disediakan dibawah produk tersendiri. Seperti polisi insurans kemalangan diri, takaful juga menyediakan produk tersendiri ini.

Produk yang dikenali dengan nama ‘Skim Takaful Kemalangan Diri’ (personal accident) disediakan dibawah Perniagaan Takaful Am. Mengikut peraturan wang sumbangan sebagai balasan menyertai produk tersendiri ini dihimpunkan dalam kumpulanwang takaful am, diuruskan berasingan dari kumpulanwang takaful keluarga.

Berbeza dengan PTK, tempoh penyertaan Skim ini adalah secara tahunan. Bila genap tempohnya ada pula perkongsian untung, jika tiada tuntutan dibuat dalam ertikata tiada apa-apa musibah, kemalangan atau kecelakaan menimpa diri peserta. Ia boleh disambung untuk tahun berikutnya.

Tuntutan dibawah skop perlindungan kemalangan diri berkonsepkan menggantirugi mengikut jadual gantirugi yang biasanya disebut dan disenaraikan dalam Sijil Takaful.

Jika kemalangan diri membawa kecacatan anggota badan seperti putus jari, buta mata, hilang keupayaan penggunaan kaki dan seumpamanya maka manfaat yang dibayar ditentukan mengikut peratusan daripada amaun yang diperlindungkan seperti dalam jadual berkenaan.

Amaun yang diperlindungkan ini pula bagi PTK adalah berasaskan pakej yang ditawarkan. Ada juga perolehan manfaat ini mengikut amaun manfaat kematian biasa yang disediakan dibawah PTK.

Satu lagi manfaat sampingan yang disediakan secara pakej di bawah PTK adalah manfaat hospital. Ini berbeza dengan produk takaful kesihatan yang secara asas khusus melindungi kesihatan seperti ‘Pelan Takaful Rawat’ atau ‘Pelan Takaful Hawa’ yang sememangnya bertujuan menyediakan bantuan kewangan jika pesertanya jatuh sakit atau ditimpa kemalangan lalu dimasukkan ke hospital.

Kedua-dua Pelan ini juga merupakan produk kesihatan tersendiri dengan tempoh penyertaan secara tahunan. Juga apabila cukup tempoh, mengikut syarat penyertaan, peserta berhak berkongsi untung mengikut prinsip al Mudharabah.

Di bawah manfaat sampingan ini perolehan yang akan dibayar ada dua pilihan: sama ada bayaran balik kos hospital tetapi tidak melebihi had manfaat yang ditetapkan atau bayaran tetap tanpa mengambilkira kos hospital, semacam elaun tunai harian.

Apapun tuntutan hanya boleh dibuat sekiranya peserta berkenaan dimasuk dan bermalam di wad kerana kemalangan atau diserang penyakit. Seandainya kos rawatan sebagaimana yang dikenakan oleh hospital melebihi had manfaat yang dibenarkan, kos selebihnya itu akan ditanggung sendiri oleh peserta.

Hilang Upaya

Satu lagi perlindungan tambahan yang ditawarkan secara pakej samada sebagai manfaat sampingan atau digabungkan secara otomatik di bawah PTK adalah hilang upaya seluruh tubuh badan. Tiada produk tersendiri bagi skop perlindungan ini.

Kecacatan fizikal yang dimaksudkan adalah samada berpunca dari kemalangan yang menimpa diri peserta mahupun kesan diserang penyakit. Sebagai contoh, pesakit terpaksa dipotong anggota badan seperti kaki disebabkan penyakit kencing manis atau lumpuh seluruh anggota badan akibat kecelakaan jalan raya.

Yang dimaksudkan hilang upaya seluruh tubuh badan adalah keadaan yang menghalang peserta menjalankan apa-apa kerja atau mengambil bahagian serta melakukan apa-apa perniagaan dengan tujuan mendapatkan bayaran upah atau keuntungan.

Dengan kata lain, peserta sudah hilang daya tenaga untuk ‘mencari makan’. Selain itu, dalam menentukan keadaan fizikal seumpama ini peserta mestilah hilang upaya sepenuhnya secara kekal dan berterusan tanpa gangguan sekurang-kurangnya enam bulan.

Perolehan manfaat boleh dibayar sekaligus atau secara beransur-ansur. Dalam tempoh bayaran beransur-ansur ini, peserta akan diminta bukti bahawa sesungguhnya keadaan fizikalnya masih tidak berubah.

Jika peserta gagal memberi bukti, biasanya pengesahan oleh doktor, perolehan manfaat secara beransur-ansur itu akan diberhentikan oleh pengendali takaful kerana peserta tidak lagi menanggung hilang upaya kekal sepenuhnya.

Tetapi bagi produk takaful keluarga seperti ini, jika ditakdirkan peserta berkenaan meninggal dunia kemudian, baki perolehan manfaat yang belum sempat dibayar akan diagihkan kepada wasinya.

Wang caruman pun tidak lagi kena dibayarnya. Gabungan manfaat sampingan dalam produk takaful keluarga menjadikan operasi takaful sesuai setiap masa dan setanding dengan mana-mana polisi insurans dalam memenuhi keperluan perancangan kewangan pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *