Bandung Cincau Paling Istimewa

Sesekali suami dapat bantu isteri menyediakan hidangan dan persiapan untuk berbuka puasa pastinya menyeronokkan. Tidak hilang ‘masculinity’ atau kejantanan lelaki sekiranya turut sama berada di dapur bersama-sama isteri.

Di bulan ramadan ni kalau si suami turut sama membantu apa yang patut pastinya keadaan jadi lebih meriah dan anak-anak pun seronok membantu. Saya yakin sebagai seorang suami pastinya ada kelebihan tersendiri dalam menyediakan masakan atau minuman yang si isteri pun boleh kalah kalau kena caranya. Mesti ada, cuma mungkin tak perasan je.

cincau dan sirap
cincau dan sirap

Sempena bulan puasa ni air apa yang paling digemari untuk berbuka puasa? sirap, bandung, oren, tebu, tuak, cendol, air suam, coke, 100 plus, mangga dan macam-macam lagilah yang jadi kegemaran yang orang yang berlainan masing-masing.

Bagi cuaca yang panas dan sempadan dengan bulan ramadan, sediakan minuman bandung cincau untuk buka puasa memanglah satu pilihan yang bijak. Dapat turunkan kehangatan seharian dengan cepat.

Bagaimana saya tahu buat minuman ini?

Saya belajar membuat air bandung cincau dari kawan saya yang buka gerai kecil di kampung kami di Pekan, Pahang. Pada masa belajar memang selalu saya kunjung ke gerai yang dibuka oleh ayah kawan saya dan pada masa itu kawan saya ni sudah tolong ayahnya di gerai itu.

Kawan saya ini sudah tahu macam mana sediakan banyak minuman walaupun masih belajar di sekolah. Buat minuman kopi, teh tarik, sirap, semua pun dia tahu buat.

Dan satu hari saya nampak dia sedang sediakan bahan untuk buat bandung cincau, dengan mempunyai minat yang tinggi tu, saya terus panggil dia ajar saya. Maka dia pun tunjuklah saja kepada saya.

Lepas tu kawan saya ni ada bagi saya cuba sendiri dan selepas percubaan buat beberapa kali, sudahlah saya tahu langkah-langkah macam mana untuk buat minuman ini.

Cara penyediaan

Hari ni saya rasa ingin nak kongsikan cara yang paling mudah untuk sedia dan buat air bandung cincau istimewa untuk berbuka puasa nanti. Penyediaan minuman ini memang bukan susah sangat sebenarnya. Bahan yang diperlukan pun juga ringkas dan senang diperolehi sahaja.

Masa berbuka puasa semalam tiba-tiba saja saya teringin nak minum air bandung cincau, kebetulan jenguk dalam peti semua bahan yang diperlukan sudah sedia ada, jadi tidak fikir dengan banyak, saya mulakan kerja untuk buat sendiri minuman ini. Bahan-bahan untuk buat minuman ini tidaklah rumit. Cara membuatnya juga tidak memerlukan kepakaran sangat pun.

Apa yang diperlukan adalah cincau, sirap atau pewarna dan susu sahaja. Cukup mudah dan sempoi. Selepas siap sedia semua bahan yang diperlukan., maka boleh mula proses buatkan minuman ini.

Terdapat 4 langkah yang mudah sahaja dan cara untuk membuatnya adalah seperti berikut:

Langkah 1

Mula-mula sekali anda perlu masukkan sirap atau bahan pewarna ke dalam jug yang sudah berisi dengan air masak. Kacau campuran air dan sirap itu dalam jug hingga sebati. Kalau perlu boleh juga anda masukkan sedikit gula ke dalam untuk jadi sebagai pemanis rasa.

Langkah 2

Langkah sererusnya pula adalah untuk ‘membandungkan’ sirap tadi. Boleh anda masukkan susu pekat manis atau kalau suka susu cair pun boleh ke dalam air sirap tadi. Selepas di kacau sekejap sahaja ia akan bertukar menjadi sirap bandung.

Langkah 3

Seterusnya keluarkan jelly cincau dan potongkannya untuk jadi ketulan kecil-kecil mengikut saiz yang anda suka. Berapa kuantiti untuk diisikan ke dalam juga terpulang kepada selera masing-masing. Selepas dimasukkan ke dalam bekas air bandung tadi…tadaa…sudah siap jadilah ia bandung cincau istimewa. 100% halal!

Nak kasi ada lagi ‘kick’ masukkan pula ketulan ais mengikut selera masing-masing. Bila sudah sebati rupanya adalah seperti yang ditunjukkan pada gambar di bawah:

bandung cincau

Mudah dan senang sekali caranya, boleh dinikmati seisi keluarga dan begitu nyaman sekali rasanya. Boleh dicuba untuk buka puasa petang nanti.

Setelah anda cuba dan berjaya menyediakan minuman ini, maka lepas ini sudah boleh anda dapat minum air bandung cincau bila-bila masa anda ingin minumnya.

Minuman ini juga amat sesuai untuk disediakan dan dihidangkan kepada tetamu-tetamu yang kunjung ke rumah anda semasa Hari Raya. Minuman ini pasti digemari oleh tetamu anda terutamanya kanak-kanak.

Bagi peringatan, anda perlu berhati-hati sikit supaya tidak jadikan minuman ini terlalu manis di mana ia mungkin tidak berapa baik untuk kesihatan kita jika diminum dengan banyak.

Tadi diceritakan ada 4 langkah untuk sediakan bandung cincau istimewa ni. Langkah ke 4 ni paling sempoi jugak, boleh skip ke semua langkah awal tadi. Caranya lagi mudah, pergi je ke mana-mana restoran, atau gerai jual air, kemudian minta saja dengan pelayan atau penjual tu ‘air bandung cincau satu’…. Sekejap je terus boleh siap.

Artikel berkaitan:
Tips membancuh teh dengan betul

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *