Amalan Bersedekah Dalam Takaful

Islam tidak memisahkan setiap gerak kerja yang dilakukan oleh manusia dari peraturan Syariah. Aktiviti perdagangan yang secara umum dikenali dengan istilah “muamalah” iaitu peraturan mengenai perhubungan antara manusia dalam urusan perniagaan harian, termasuklah hal-hal kewangan juga tidak terkecuali dari peraturan.

Misalnya dalam hal-hal kewangan urusannya mestilah bebas dari unsur riba dan penipuan. Ini bererti gerak kerja atau aktiviti yang dilakukan itu ada kaitan dengan dosa dan pahala. Jika sesuatu yang dilakukan itu menepati syarak sekaligus bererti pelaksanaannya halal; dan jika dilakukan dengan ikhlas maka akan diberi ganjaran pahala dengan izin Allah.

Amalan sedekah takaful
Amalan sedekah takaful

Keuntungan Tanpa Langgaran Kehendak Syarak

Pada dasarnya matlamat utama perdagangan adalah untuk mendapat keuntungan. Islam mengharuskan keuntungan selagi cara dan puncanya tidak melanggar kehendak syarak. Namun diwaktu yang sama Islam juga mementingkan kesejahteraan masyarakat.

Matlamat ini boleh dihasilkan melalui proses perdagangan itu sendiri dengan menyediakan peraturan bantuan membolehkan diberi kepada yang memerlukan. Tetapi ini tidak pula bererti keutamaan memperolehi keuntungan dan dengan hak menghasilkan daya untung dipinggirkan dalam aktiviti perdagangan Islam semata-mata kerana objektif menyediakan bantuan.

Jika ini berlaku pihak yang diberi amanah mengurus aktiviti perdagangan itu sudah dikira tidak bertanggungjawab dan melanggar amanah yang diserahkan kepadanya. Atas hakikat dapat dilihat bahawa akad atau kontrak perdagangan secara Islam diatur dengan jelas dan telus : yang mana untung sebagai pulangan dan yang mana pula diakui bantuan sebagai sedekah.

Antara sistem kewangan Islam yang jelas menepati susunan ini adalah operasi takaful. Pembahagian untung perdagangan adalah jelas dalam takaful kerana peserta sebagai pihak yang mengeluarkan modal melalui bayaran wang sumbangan atau caruman takaful dan pengendali sebagai pihak pengusaha yang menyedia dan menguruskan operasi takaful berhak mendapat untung masing-masing melalui prinsip perkongsian untung dibawah perjanjian al Mudharabah.

Untung yang dikongsi ini jelas puncanya dan kaedah pengiraannya; ia tidak diambil secara sewenang dari mana-mana. Sementara dalam melaksanakan matlamat menyediakan bantuan sesama peserta, jika sesuatu musibah menimpa mereka sehingga membawa kepada kerugian dan kehilangan sama ada nyawa atau hartabenda, bantuan yang diperolehi itu dibayar mengikut konsep sedekah dari punca yang jelas pula.

Dalam konteks ini untung itu jelas dan bantuan itu pun jelas; antaranya tidak dicampur aduk dan jika ada yang kurang tidak secara sewenang boleh diambil dari yang banyak untuk menampong bahagian yang kurang.

Mengikut Islam konsep sedekah itu luas, dengan pengertian yang amat luas pula. Sedekah boleh digunakan bagi pelbagai jenis, meliputi sama ada yang wajib mahupun sunat.

Dalam operasi takaful sedekah yang sunat dikenali dengan isitlah tabarru’ yang bermaksud menderma dengan tujuan berbakti atau membantu tanpa hak mendapat balasan dari wang yang ditabarru’.

Dari segi pelaksanaannya tabarru’ membolehkan setiap peserta takaful rela dan bersetuju sama ada sebahagian tertentu atau keseluruhan wang sumbangan atau caruman takaful yang dibayarnya kerana menyertai pelbagai produk takaful dibuat secara tabarru’.

Seperti mana-mana sedekah peserta tidak berhak atau dijamin mendapat apa-apa balasan atas wang sedekahnya atau tabarru’ yang dilakukan daripada wang sumbangan atau carumannya itu.

Amalan Sedekah

Oleh kerana tabarru’ membabitkan persetujuan yang diperakui oleh peserta maka prinsip ini dimasukkan sebagai sebahagian daripada akad takaful itu sendiri.

Amalan sedekah melalui tabarru’ ini sekaligus dapat menghapuskan unsur gharar atau amalan yang tidak jelas dalam operasi takaful. Gharar adalah antara unsur yang dilarang dalam Islam dan mana-mana aktiviti yang mengandungi unsur ini boleh menyebabkan aktiviti itu rosak dari segi akadnya.

Sebagai operasi yang berlandaskan Syariah, takaful sememangnya tidak boleh dipisahkan pelaksanaannya dari peraturan syarak. Sehubungan ini dalam al Quran terdapat banyak dalil yang menggalakkan umat manusia supaya melakukan sedekah yang sunat ini sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al Hadid ayat 18 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan mereka meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik nescaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak”.

Sesuai dengan lumrah alam, manusia dalam menjalani kehidupan seharian tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada berbagai kemungkinan, lebih-lebih lagi yang berbentuk musibah termasuk malapetaka, kemalangan dan kecelakaan yang datang tanpa mengenal dan mengira siapa serta tidak diketahui pula bila saatnya.

Lazimnya musibah yang menimpa akan membawa akibat dengan pelbagai penderitaan, kesulitan dan tanggungan yang kena dipikul. Lebih malang lagi jika yang menjadi mangsa adalah ketua keluarga kerana lazimnya pemergian ketua keluarga akan menambah lagi beban tanggungan kewangan anak isteri.

Sistem Kewangan Islam

Takaful merupakan salah satu sistem kewangan Islam yang disediakan bagi mengurangkan beban dan tanggungan kewangan yang kena dipikul oleh seseorang atau sesebuah organisasi jika ditakdirkan musibah yang tidak diduga itu menimpa ke atasnya. Kata orang malang tidak berbau.

Yang demikian perancangan awal sebagai langkah ikhtiar meringankan beban kemungkinan amat mustahak. Bagi seorang Muslim perancangan seumpama ini amat sesuai dan sungguh wajar jika menepati kehendak-kehendak syarak kerana tiada gunanya mendapat sejumlah perolehan wang daripada punca tidak halal.

Dalam hubungan ini barangkali timbul persoalan, dari manakah sumber wang yang menjadi bantuan kepada peserta yang malang itu, dalam operasi takaful yang seterusnya akan dimanfaatkan oleh ahli keluarga peserta terbabit, diperolehi.

Secara mudah jawapannya boleh dirujuk kepada takrif takaful itu sendiri sebagai satu pakatan oleh sekumpulan orang atau ahli yang bersetuju untuk saling jamin menjamin sesama mereka dengan cara mengumpul sejumlah wang dalam satu dana bersama bagi tujuan membantu mana-mana antara mereka yang ditimpa musibah.

Secara praktiknya apabila seseorang atau pihak menyertai mana-mana produk takaful terlebih dahulu akan bersetuju sebahagian atau keseluruhan wang sumbangan atau caruman yang telah dibayarnya berserta apa-apa untung pelaburan keatas wang sumbangan atau carumannya itu disedekahkan melalui prinsip tabarru’ yang akan diuruskan oleh pengendali sebagaimana yang dimeterikan dalam akad.

Bergantung kepada produk takaful dan tertakluk kepada setiap kontrak produk terbabit, wang yang ditabarru’ itu akan diasingkan daripada perolehan yang menjadi untung untuk dikongsi di antara peserta dan pengendali.

Misalnya bagi produk takaful keluarga jangka panjang dan produk-produk yang sama dengannya yang diuruskan dibawah Perniagaan Takaful Keluarga, wang sedekah peserta mengikut prinsip tabarru’ ini akan diasing dan dimasukkan ke dalam satu tabung khas yang dipanggil Akaun Khas Peserta (AKP) yang akan dilabur secara berasingan.

Apa-apa pulangan pelaburan akan dimasukkan kembali ke dalam AKP. Dengan cara ini secara beransur-ansur kedudukan kewangan AKP akan sentiasa teguh dan kukuh.

Jika ditakdirkan sesuatu musibah menimpa peserta yang menyertai mana-mana produk takaful, bantuan akan disediakan kepadanya atau ahli keluarga terdekatnya dari AKP.

Hakikat ini menjelaskan mengapa AKP perlu dijaga kekuatan status kewangannya. Melalui AKP ini semua peserta takaful dapat membabitkan diri masing-masing dengan amalan bersedekah atau berjariah melalui tabarru’ melalui wang sumbangan atau caruman masing-masing.

Mengikut kontrak, setiap peserta takaful adalah berhak memperolehi manfaat tuntutan seandainya musibah menimpa sama ada orang atau harta benda yang dilindungi di bawah mana-mana produk takaful.

Perolehan manfaat yang akan dibayar sebagai bantuan daripada AKP ini bergantung kepada kehilangan atau kerugian yang ditanggung mengikut jenis produk takaful dan tertakluk kepada akad masing-masing.

Misalnya bagi kes kematian perolehan yang dibayar mengikut formula yang jelas, yang secara umumnya dikira berasaskan kepada amaun wang sumbangan atau caruman yang dibayar peserta setiap bulan atau setiap tahun dan dikalikan dengan baki tempoh produk yang belum sempat dibayarnya iaitu dari tarikh kematian sehingga ke tarikh matang produk berkenaan.

Sementara dalam membayar manfaat bayaran balik seperti manfaat hospital disebabkan peserta dimasukkan ke hospital dan belanja hospital telah didahulukan oleh peserta ia adalah mengikut jumlah nilai yang dilindungi dan bayaran maksima sewajarnya tidak melebihi jumlah ini.

Sebaliknya jika bil hospital kurang daripada jumlah nilai yang dilindungi maka biasanya bayaran yang dibuat adalah mengikut bil. Selain itu ia tertakluk juga kepada jenis dan bentuk rawatan yang dijalani oleh peserta terbabit; yang demikian amaunnya boleh berbeza antara satu sama lain.

Pilih Produk Yang Sesuai

Meskipun adanya amalan bersedekah melalui perakuan tabarru’ namun peserta boleh memilih sendiri produk takaful yang sesuai mengikut hasrat dan keperluan kewangan masing-masing.

Kadar yang kena ditabarru’kan pula berbeza mengikut produk dan tergantung juga kepada usia peserta itu sendiri semasa penyertaan bermula serta tempoh matang sesuatu produk itu.

Apapun selaras dengan prinsip kesamarataan, kadar tabarru’ bagi produk takaful keluarga dibuat mengikut perkiraan aktuari yang secara prinsipnya berasaskan kepada jangkaan kemortalan atau kadar kematian setiap 1,000 peserta mengikut setiap peringkat umur.

Oleh kerana perkiraan aktuari ini berpandukan data-data sebenar yang telah lalu, misalnya bagi takaful menggunakan data pemegang polisi insurans nyawa bagi suatu tempoh sekurang-kurangnya lima tahun yang berlalu, didapati kadar kematian sebenar yang dialami oleh takaful tidak banyak berbeza dengan jangkaan kemortalan tersebut.

Yang demikian ini membolehkan bantuan kewangan daripada wang perolehan AKP dapat sekurang-kurangnya dipastikan dengan agak tepat sebagaimana mengikut unjuran.

Amalan sedekah atau tabarru’ dalam operasi takaful berlaku secara bersendirian dan dirahsiakan tanpa diketahui oleh peserta lain. Sekalipun kadar tabarru’ ini disediakan mengikut jadual khusus dan diterbitkan oleh pengendali takaful sebagai garispanduan, namun kadar sebenar bagi setiap peserta tetap rahsia dan tidak diketahui oleh peserta lain.

Oleh itu peserta tidak mengetahui kepada peserta manakah wangnya ditabarru’kan kerana urusan menyedia dan membayarkan wang perolehan manfaat adalah menjadi tanggungjawab pengendali takaful.

Dengan kata lain, setiap peserta bersetuju menghulurkan sedekah untuk dana khusus seperti AKP melalui pengendali takaful seperti Takaful Malaysia dan pengendalilah yang akan mengenalpasti mana peserta yang layak menerima perolehan ini mengikut perjanjian.

Sejajar akad yang layak ini dijelaskan keadaannya iaitu peserta yang menimpa musibah, dan banyak mana amaun perolehan juga akan ditentukan oleh pengendali takaful itu sendiri biasanya setelah dibuat penilaian oleh penyelaras bebas dalam kes kerosakan hartabenda.

Sedekah atau tabarru’ seperti ini diakaui sendiri oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith sebagai amalan sedekah yang terbaik. Baginda membuat perumpamaan seolah-olah tangan kanan bersedekah tetapi tidak diketahui oleh tangan kiri.

Sesungguhnya operasi takaful yang diamalkan diseluruh dunia kini adalah sebahagian daripada sektor tijari atau dalam lakaran perdagangan. Malahan selain menyedia dan mengurus pelbagai produk takaful, pelaburan termasuk melaburkan wang sumbangan atau caruman peserta merupakan antara aktiviti utama pengendali takaful.

Daripada pelbagai kegiatan komersil seumpama ini, untung akan diperolehi. Sememangnya untung perlu dalam kegiatan perdagangan kerana untung dapat membantu menjana pembangunan dan perkembangan perdagangan itu sendiri.

Sehubungan ini pengendali takaful perlu berusaha memastikan untung operasi diperolehi. Selain dapat menunaikan amanah peserta melalui akad berkongsi untung, pengendali juga turut memenuhi amanah pemegang saham sebagai tuanpunya pengendali.

Pengendali harus berusaha untuk menunaikan tanggungjawabnya membayar dividen atas pelaburan dan suntikan modal oleh pemegang saham.

Bentuk Perdagangan Makin Berubah

Dalam ekonomi moden, bentuk perdagangan korporat biasanya dikendalikan oleh institusi yang dipanggil badan korporat dan tidak oleh individu. Bagi takaful ini bererti pengendali merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan mengikut Akta Takaful 1984 dan juga undang-undang berkaitan penubuhan syarikat.

Sebagai sebuah badan korporat, pengendali tentunya mempunyai harta atau aset sama ada digunakan secara langsung untuk tujuan perdagangan atau sebaliknya. Melalui untung yang dihasilkan lebih banyak aset dapat dimiliki kerana dengan sendirinya akan berlaku perkembangan perdagangan itu sendiri.

Misalnya bagi pengendali takaful lebih luas rangkaian cawangan dibuka, dan lebih mudah pula masyarakat berinteraksi dan melanggani produk-produknya, lebih banyak aset diperlukan.

Mengikut Islam, individu atau badan korporat yang memiliki aset atau harta serta pula mempunyai pendapatan mengikut syarat-syarat tertentu wajib membayar zakat. Yang demikian terlaksana pula suatu lagi amalan bersedekah, kali ini yang wajib, melalui zakat perniagaan yang dibayar.

Syarat zakat berbeza dengan cukai pendapatan yang kena dibayar hanya bila sesebuah badan korporat perdagangan itu memperolehi keuntungan. Sedangkan zakat kena dibayar selagi badan berkenaan mempunyai aset walaupun barangkali perdagangannya masih rugi.

Sebagai contoh, Takaful Malaysia, rugi tahun pertama operasi kira-kira 20 tahun yang lalu. Oleh itu ia tidak perlu dikenakan cukai pendapatan tetapi zakat tetap wajib dibayar berasaskan kegiatan perdagangan serta harta yang dimilikinya.

Sistem kewangan Islam menggabungkan objektif menunaikan naluri kewangan seseorang untuk kewajipan hidup didunia dan diwaktu yang sama sebagai amal soleh dapat pula memenuhi tuntutan ibadah dalam bentuk sedekah.

Di samping itu, selain menghapuskan amalan riba sistem kewangan Islam seperti takaful dapat memenuhi tuntutan menjaga kebajikan masyarakat melalui amalan bantu membantu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *