Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

3 Soalan Yang Perlu Dijawab Sebelum Beli Rumah

Buat masa ini, tidak dinafikan pelaburan yang perlu dibuat untuk membeli rumah adalah pelaburan yang terbesar berbanding pinjaman lain. Oleh itu, perancangan yang teliti perlu dibuat supaya seseorang pembeli dapat merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah idaman. Di sini ada digariskan 3 soalan yang perlu dijawab oleh pembeli sebelum beliau mengambil keputusan untuk membeli sesebuah rumah idaman.

beli rumah

beli rumah

1. Berapa Jumlah Wang Yang Mampu Dikeluarkan Untuk Membiayai Deposit Rumah Itu?

Sebelum membeli sesebuah rumah, kebiasaannya pihak pemaju atau penjual akan meminta pembeli untuk membayar bayaran pendahuluan sebagai tanda komitmen pembeli untuk membeli rumah yang diingini. Kebiasaannya, bayaran pendahuluan yang dikenakan antara 5% hingga 20% daripada harga jualan. Di samping itu, kos-kos lain yang perlu diambil kira ialah yuran guaman, duti setem, insurans dan kos pengubahsuaian untuk rumah itu sekiranya terdapat sebarang kerosakan. Jadi adalah dinasihatkan di sini supaya bakal pembeli mempunyai jumlah simpanan 4- 6 bulan bersamaan amaun belanja bulanan sebagai pelindung sekiranya terjadi sesuatu di luar kawalan kita contohnya, bakal pembeli dibuang kerja dan hilang punca pendapatan.

2. Berapa Jumlah Wang Yang Boleh Dikeluarkan Daripada Pendapatan Bulanan Untuk Bayar Balik Pinjaman Perumahan?

Soalan ini amat penting kerana ia menentukan kadar keupayaan kita untuk membuat bayaran balik terhadap pinjaman yang telah dibuat. Salah satu cara untuk memastikan pembeli dapat menyimpan dalam kadar yang tetap untuk pembelian rumah adalah dengan membuka sebuah akaun khas. Setiap bulan peruntukkan dalam 20%-30% daripada pendapatan bulanan dan masukkan ke dalam akaun ini. Bagi meningkatkan jumlah simpanan sentiasa bertambah, cuba kurangkan perbelanjaan kepada perkara yang tidak perlu. Kenalpasti sesuatu perbelanjaan sama ada ia bersifat keperluan atau kehendak. Berbelanjalah bagi memenuhi keperluan hidup dan lengahkan masa untuk memenuhi kehendak sehingga satu masa yang ditetapkan. Selain itu, pembeli juga perlu tahu jumlah yang mampu dibayar setiap bulan bergantung kepada pendapatan semasa dan akan datang. Cara terbaik yang boleh diamalkan ialah dengan membuat bajet dan displinkan diri untuk mengikut bajet yang ditetapkan.

3. Berapa Jumlah Wang Yang Boleh Dikeluarkan Daripada KWSP dalam Akaun 2 Untuk Membiayai Kos Rumah Anda?

Tujuan pengeluaran akaun 2 KWSP adalah untuk mengurangkan beban pembiayaan rumah yang dibeli sama ada untuk pembayaran wang pendahuluan atau wang ansuran bulan.

Mengikut sekular yang dikeluarkan oleh KWSP, amaun yang layak dikeluarkan pencarum KWSP:

Individu – amaun perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah atau jumlah amaun yang ada dalam simpanan akaun 2. Mengikut mana yang lebih rendah yang tidak kurang daripada RM500.

Pengeluaran bersama Suami/Isteri, Ahli Keluarga atau individu yang lain – amaun perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam akaun 2 masing-masing tertakluk kepada amaun maksimum yang layak dikeluarkan mengikut mana yang lebih rendah tidak kurang RM500

Kesimpulannya, ambillah masa yang secukupnya sebelum membuat keputusan terutama pembelian rumah yang melibatkan pinjaman. Sebelum membuat pinjaman perumahan, adalah digalakkan untuk membuat tinjauan terhadap pakej pinjaman perumahan yang disediakan oleh pihak bank. Di samping itu, ambil kira kadar faedah yang dikenakan bagi membolehkan anda membuat penjimatan atas bayaran balik. Buatlah pilihan yang tepat supaya pembeli akan berasa beruntung dalam jangka masa yang panjang dan buatlah perancangan teliti bermula dari sekarang.

Leave a Reply